"Kita boleh dengar apa jua cerita orang kerana kita sememangnya tiada upaya menutup mulut mereka. Tapi kita juga ada akal, ada naluri, pandai-pandailah memilih dan menapis mana yang memudaratkan dan mana pula memanfaatkan. Yang buruk buanglah jauh-jauh. Yang baik simpanlah sungguh-sungguh. Jadilah seperti ikan di laut masin. Selagi hidup tak mungkin menjadi ikan masin, melainkan ianya telah MATI."
Cerita tentang ikan masin, teringat pula saya akan kenangan ketika zaman kanak-kanak. Suatu ketika dulu, pernah saya menangis, merajuk dengan ibu kerana setiap hari pulang dari sekolah dalam keadaan penat dan lapar, seringkali ibu hanya menyediakan nasi kosong dengan ikan masin goreng sebagai juadah utama. Saya bosan, saya muak. Saya ingin lauk yang sedap-sedap. Ayam goreng atau ayam gulai. Saya jemu mengisi perut yang kosong dengan nasi putih dan ikan masin.
Sungguh waktu itu, saya bukannya mengerti betapa ibu dan ayah bersusah payah membanting tulang empat kerat bagi memastikan kami sekeluarga dapat meneruskan kelangsungan hidup. Sungguh waktu itu, saya tidak reti menghargai nilai sebiji nasi dan seekor ikan masin. Ampunkan dosa anakmu ini, duhai ibu.
Ikan hidup vs Ikan masin
Membaca semula entri saya sebelum ini, saya malu sendiri. Terserlah betapa saya ini manusia lemah yang mudah sungguh mengalah dan berputus asa. Masih sarat dengan sifat-sifat negatif yang tiada memberi manfaat kepada diri sendiri. Saya insafi kekurangan diri dan insyaAllah, akan mencuba lebih baik untuk memperbaiki kelemahan diri.
Justeru, dalam keadaan ini. Saya teringat kata-kata teman saya (yang dia petik entah dari mana) perihal ikan yang tak mungkin jadi ikan masin walaupun setiap hari hidup di dalam air yang sangat masin - selagi ianya masih hidup. Maha suci Allah yang menciptakan.
Dapat saya ringkaskan, walaupun ikan hidup dalam air masin - kelilingnya atas bawah depan belakang kiri kanan semuanya air masin - namun, selagi ia masih hidup, ia dapat mengimbangi dan mengawal badannya agar tidak menyerap dan meresap sifat-sifat masin di sekitarnya itu.
Aplikasi dalam kehidupan seharian kita. Walaupun persekitaran kita penuh onak dan duri, sentiasa berhadapan dengan pelbagai kerenah dan keletah manusia yang adakalanya menguji kesabaran. Walaupun di sekeliling kita dikelilingi pelbagai situasi negatif, menyesakkan dada merimaskan otak. Selagi kita mempunyai jati diri yang utuh, sifat yang penyabar, semangat yang tinggi, ilmu yang mantap, iman yang teguh, jiwa yang tenang, jasmani yang sihat,insyaAllah, kita mampu menghadapinya tanpa terkesan apapun. Biarpun dicaci dan dimaki, disajikan dengan kata-kata nista lagi menyakitkan - kita mampu menepisnya atau menapisnya agar tidak meresap ke dalam hati sekaligus tidak memberi apapun kesan kepada diri kita.
Bolehkah kita? Mampukah kita? Tentu sekali ianya bukan kerja mudah. Namun, tiada apa yang mustahil.
Mendidik hati menjadi orang yang sabar, juga memerlukan kesabaran. Yang paling penting, perlu sentiasa positif dan berlapang dada. Menghadapi sebarang apa jua keadaan yang tidak menyenangkan dengan penuh berhemah. Bersabar. Dan bijaksana.
Pujuklah diri sendiri. Makin banyak orang menjahati kita, makin banyak pahala kita jikalau kita bersabar. Maka, berbahagialah wahai insan yang dizalimi. Ganjaran untukmu menanti di sana, pasti!
Sematkan di jiwa. Menjadi seorang hamba, tidak semudah kata. Mengharapkan keredhaan dan ganjaran dari Allah swt semata-mata juga bukan semudah bicara. Namun, ingatlah jua. Untuk mendapatkan durian yang lazat isinya kita perlu bersusah payah membuka kulitnya yang berduri tajam. Untuk mendapatkan mutiara yang indah kita perlu menyelam ke dasar lautan. Untuk mendapatkan emas yang bernilai juga perlukan usaha yang gigih. Apatah lagi syurga yang menjadi idaman muslimin dan muslimat! Tentu sekali perjalanan menuju ke sana penuh ranjau onak dan duri, maka, bersabar dan redhalah dalam menempuh apa jua ujian.
Sematkan di jiwa. Menjadi seorang hamba, tidak semudah kata. Mengharapkan keredhaan dan ganjaran dari Allah swt semata-mata juga bukan semudah bicara. Namun, ingatlah jua. Untuk mendapatkan durian yang lazat isinya kita perlu bersusah payah membuka kulitnya yang berduri tajam. Untuk mendapatkan mutiara yang indah kita perlu menyelam ke dasar lautan. Untuk mendapatkan emas yang bernilai juga perlukan usaha yang gigih. Apatah lagi syurga yang menjadi idaman muslimin dan muslimat! Tentu sekali perjalanan menuju ke sana penuh ranjau onak dan duri, maka, bersabar dan redhalah dalam menempuh apa jua ujian.
Saya tahu, ia bukanlah kerja yang mudah untuk menepis segala 'kejahatan' agar tidak mempengaruhi diri kita - kerana saya juga manusia biasa serupa dengan kalian yang sering juga tertewas, maka saya tahu erti kesukaran itu. Namun. Apalah sangat kesukaran yang sementara ini. Bukankah hidup ini terlalu singkat untuk kita mensia-siakannya? Bukankah hidup ini cuma sementara, sekadar taman permainan untuk kita bergurau senda, sekadar ladang untuk kita bercucuk tanam mengumpul amal menuju hari akhirat.
Bukankah penderitaan ini akan berakhir juga bila mati tiba. Bukankah yang pahit akan manis jua akhirnya? Andai keimanan kita terus teguh, sentiasa ingat Allah dalam apa jua keadaan, sabar dan redha dengan apa jua ujian dan musibah - insyaAllah, syurga milik kita. Marilah kita jadi seperti ikan, selagi hidup kita tidak akan terkesan dengan apa jua ujian dan dugaan duniawi. Kita tidak akan jadi ikan masin sebelum tiba masanya. Doakan saya duhai sahabat.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment