+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, February 24, 2012

Belum Layak Jadi Daei



Hari ini saya teringat kembali entri blog yang saya tulis pada tarikh 20 Julai 2010, yakni setelah kira-kira dua bulan saya bekerja di tempat kerja saya sekarang ini. Boleh klik sini untuk baca kisah selanjutnya, tapi suka saya quote satu perenggan yang saya kira, besar maknanya buat saya..

Saya tidak pasti mengapa Allah menghantar saya ke sini. Namun hati saya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tertulis untuk saya di sini. Saya percaya bahawa saya sememangnya sudah ditakdirkan berkhidmat di sini. Sejak hari pertama saya menghadiri interview, dengan keadaan tidak tahu apa-apa mengenai tempat kerja ini, memandu mengikut gerak hati namun secara tiba-tiba sampai di hadapan kilang, hati saya terdetik.

"Ada sesuatu untukku, di sini. "

Dan hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Ya Allah, bantulah aku. Berikan aku kekuatan.

Benarlah, kita tidak tahu apa yang menanti pada esok hari. Sungguh, hanya Allah yang Maha Tahu.

Hari ini, saya benar-benar berasa lemah dan ingin saja berputus asa. Mungkin, impian itu cuma impian. Mungkin, Allah ingin menguji saya, bagaimana pendirian saya bila pendekatan saya sering ditolak. Mungkin juga Allah ingin saya berusaha lagi lebih gigih agar lebih menampakkan hasil yang positif.

Sungguh, saya pun tidak tahu.

Tapi, untuk masa ini. Biarlah dulu saya berhenti sejenak. Muhasabah diri, merenung ke dalam diri dan membuat koreksi diri. Lupakan seketika niat saya untuk menjadi penyampai. Lupakan seketika niat saya untuk berkongsi ilmu.

Mungkin, hati yang keras lama-lama lembut juga. Dan bila ianya sudah lembut, sesuai untuk didekati, insyaAllah saya cuba lagi.

Mengapa saya kata begitu?

Air yang putih bersih, jika dimasukkan ke dalam bekas yang hitam dan kotor akhirnya menghasilkan air yang kotor juga. Biar seputih mana pun air tersebut, selagi mana bekas itu kotor, hasilnya akan tetap serupa. Kotor juga.

Begitu juga hati manusia. Biarpun beratus kali hadir ke majlis ilmu, ceramah agama ataupun membaca buku-buku ilmiah. Selagi mana hati kita hitam dan tidak bersih, selagi itulah ilmu yang bermanfaat, yang baik-baik tidak akan menyerap masuk ke dalam roh kita.

Allahuakbar.

Tidak seharusnya saya berkecil hati. Andai mereka tidak dapat menerima cara saya. Atau menolak pendekatan saya. Atau berburuk sangka terhadap diri ini. Kerana sedari awal, saya sering mengingatkan diri sendiri, ‘apa jua yang kita lakukan kerana Allah swt, biarlah apa jua reaksi orang terhadap kita, selagi kita ikhlas kerana Allah, terimalah segala kepahitan dengan dada yang lapang.’ Tidak kira apa jua yang kita lakukan, tentu ada risiko yang menanti. Iya kan? Kiranya dari awal saya telah bersedia menghadapi sebarang apa jua kemungkinan.

Tapi kini, entahlah.

Mungkin agaknya saya sudah penat. Ibarat mencangkul angin, melakukan perkara yang sia-sia, saya rasa, cukuplah sampai sini saya ‘berurusan’ dengan mereka. Sedangkan Nabi Muhammad saw tidak mampu membawa Abu Talib memeluk agama Islam, siapalah saya ini untuk tidak berpuas hati dengan mereka yang tidak sependapat dengan saya yang sememangnya banyak kekurangan ini.

Yang penting, Allah tahu apa yang telah saya lakukan. Kenapa saya begitu atau begini, semuanya dalam pengetahuan Allah. Saya seharusnya tidak perlu bersedih tatkala mereka tersalah menilai saya. Harusnya saya faham, apa yang saya baca, apa yang saya lihat dan dengar, apa yang saya lalui berbeza dengan mereka. Makanya, saya terima bahawa tentulah mereka melihat dari sudut pandangan yang berbeza dengan saya sama sekali. Saya mengerti.

Namun, untuk membiarkan diri ini terus-terusan disalah ertikan, saya rasa saya tidak rela. Kalau selama ini pemikiran, kata-kata dan tindakan saya merujuk kepada al-Quran dan hadis. Tidak mahu kerana mereka saya dituduh mempergunakan al-Quran dan hadis untuk kepentingan diri. Sudut melihat kami jauh berbeza. Bukankah Al-Quran itu adalah buku manual untuk manusia, kalau tidak merujuk dan berpegang kepada Al-Quran, kita nak rujuk pada apa?

Honestly I can’t accept this. How could I throw away hadits and Quran from my head? From my words? You can say I am wrong, I am lack of everything but don’t blame me, don’t hate me for using Quran and hadits. This is totally wrong!

Setiap dari kita ada hak untuk memilih. Kita berhak untuk pilih apa yang kita suka dengar, apa yang kita suka baca. Maka, saya pilih untuk membina sedikit jarak daripada mereka yang sukar untuk berfikiran secara positif.

Mungkin bukan salah mereka untuk salah sangka. Mungkin salah saya sendiri yang tidak berhikmah dalam menyampaikan, tidak bijak dalam menyusun kata-kata. Maka, setelah menimbang baik dan buruk, akhirnya saya memilih untuk memisahkan diri dari mereka yang sering salah sangka terhadap tindakan saya.

Sekadar simpati dengan mereka dan tidak mahu menambah dosa mereka, dosa kerana salah sangka sedangkan saya ikhlas kerana Allah taala. Tak mahulah saya terkena biasan dosa sedangkan niat saya untuk mendapat pahala.

Kepada mereka yang telah terluka kerana kelemahan saya ini, saya mohon maaf banyak-banyak. Kepada mereka yang pernah salah sangka kepada saya, tolonglah buang jauh-jauh perasaan buruk sangka itu. Saya Cuma manusia biasa, yang sedar diri hidup kat dunia ini tidak lama. Saya Cuma manusia lemah, yang sedar bahawa setiap apa yang saya lakukan semuanya dihitung oleh Allah swt. Saya Cuma manusia kerdil yang telah banyak menangis di atas dunia ini. Impian saya Cuma satu, saya ingin bahagia di akhirat. Saya ingin masuk syurga. Itu saja.

Kalau ilmu masih kurang, belajarlah lagi. Tiada siapa pun yang sempurna. Saya juga. Tapi, bukankah tiada manusia yang sempurna. Kalau kita nak tunggu hanya manusia sempurna yang menyampaikan ilmu, mengajak ke arah kebaikan, maka tentulah ianya mustahil.

Saya doakan moga bekas-bekas kotor itu akan bersih jua, dengan izin Allah. Bukankah Allah swt telah berfirman;

Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. (Al-Ghasyiyah : 21)

Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). (Al-Ghasyiyah : 22)

Dan saya juga memohon kekuatan daripada Allah. Moga diri ini lebih tabah menghadapi apa jua musibah dan ujian. Semoga Allah memimpin hati ini, agar menjadi hamba yang lebih baik, lebih berhikmah dalam berkata-kata, lebih elok budi pekerti. Saya rindukan syurga! Hidup di dunia ini penuh onak dan duri, saya ingin berbahagia di sana kelak.

Mohon makbulkan doa-doaku Ya Allah.


No comments: