Tahun 2008, tahun bersejarah buat kami kerana pada tahun inilah kami berkenalan melalui alam maya - menggunakan nama samaran melalui sebuah laman web interaktif.
Mulanya kami mungkin sekadar bertegur sapa, berbalas komen di ruangan forum namun akhirnya kami menjadi bertambah erat setelah diberi amanah untuk bekerja dalam satu pasukan. Juga kerja di alam maya, tanpa perlu bertemu dan bersua muka.
Tuhan yang merancang segalanya. Asalnya sekadar bertegur sapa melalui alam maya, kemudiannya kami diizinkan Allah untuk bertemu. Mungkin kerana ada keserasian antara kami, hubungan menjadi kian erat. Dari masa ke masa, jumlah kami juga bertambah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas nikmat ukhwah dan persaudaraan.
Seiring dengan peredaran masa, kami juga berubah. Bertukar fasa kehidupan daripada pelajar kepada pekerja, bujang kepada bekeluarga dan sebagainya. Namun syukurlah, tautan hati antara kami masih ada.
Biarpun 'rumah' tempat kami pernah berteduh telah 'roboh' - namun ukhwah yang terbina tidak ikut roboh sama. Kami masih berhubung dan bertemu bila ada kelapangan.
Misalannya, menghadiri majlis tahlil di rumah keluarga Noman, menziarahi Mira di hospital, menghadiri walimah Dr. Cinta Remy di Melaka, menziarahi keluarga Atul yang kehilangan ayah dan lain-lain. Alhamdulillah. Keindahan ukhwah yang terjalin benar-benar berharga buat diri ini.
Masa akan terus berjalan lagi. Selagi belum kiamat, selagi kami belum mati. Apa agaknya yang menanti kami pada esok hari?
Kepada sahabat yang pernah menggelarkan diri mereka 'forum team' - saya ucapkan selamat maju jaya dalam apa jua yang sedang kalian lakukan. Moga Allah merahmati dan memberkati kita semua. Mengampuni dosa-dosa kita dan mempermudahkan jalan untuk kita ke syurga.
Masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Tiada apa yang perlu disesalkan kerana semua yang terjadi adalah takdir dariNya buat kita. Terima kasih atas segalanya, mohon ampun maaf untuk segala kesalahan.
Teruskan langkah. Ukhwahfillah.
No comments:
Post a Comment