+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, April 8, 2014

Bacalah Al Quran, Sehari Satu Juz


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Syukur alhamdulillah, kita masih lagi diberikan keizinan olehNya untuk bernafas lagi hingga ke detik ini. Firman Allah swt, apabila sampai waktu ajal manusia, tiada siapa yang boleh melambatkannya atau mempercepatkannya, walau cuma sesaat. Maka, sebelum sampai saat itu, ayuhlah kita mengambil peluang untuk memohon taubat dan ampunan dariNya, ayuhlah kita mengumpul amal kebaikan agar dapat dijadikan bekalan di akhirat sana. InsyaAllah.

Setiap hari kita tidur, kemudian bangkit pada keesokan harinya, sedarkah kita, itu membawa makna bahawa usia kita kian pendek dan kematian makin menghampiri? Datuk kita yang dulu bersama-sama kita berjalan ke surau, hari ini sudah tiada. Nenek kita yang dulu mengajar kita mengaji Quran kini sudah kembali ke alam barzakh. Ayah kita yang dulu membesarkan kita juga sudah pergi ke pangkuan Sang Pencipta. Seorang demi seorang telah pergi meninggalkan kita. Giliran kita menyusul pula bila? Mungkin bila-bila masa sahaja. 

Bersediakah kita? Bersediakah saya? Soalan begini, sejujurnya saya sendiri tidak mampu menjawabnya dengan yakin. Terlalu banyak kekurangan diri, terlalu sedikit amal ibadah yang telah dilakukan. Diri ini sesungguhnya belum layak untuk mendapat syurga Allah, pun begitu, tidak sanggup diri ini menerima seksa azab api neraka..

Bagaimana cara menyelematkan diri dari azab api neraka?

Lakukan semua suruhan Allah swt, dan, jauhi segala laranganNya. Berusaha dan berdoa agar kita sentiasa di jalan yang lurus, berada di jalan yang Allah swt redhai. Berpegang teguhlah pada Al Quran dan As Sunnah, semoga kita sentiasa dipelihara oleh Allah swt..

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan."
(Al-Maaidah 5:35)