+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, December 31, 2010

'Year End Sale'

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah, baru beberapa minggu yang lepas, kita menyambut dan meraikan tahun baru, 1 Muharam 1432. Tinggal lagi beberapa jam, insyaAllah kita akan menyambut tahun baru sekali lagi, 1 Januari 2011. Dengan izin Allah.

YES aka Year End Sales akan berlalu, diskaun dan promosi juga akan berakhir sebaik sahaja datangnya tahun 2011. Begitu juga Diari 2010 kita juga akan di tutup lagi beberapa jam. Segalanya tidak kekal, suka atau tidak, kita harus melepaskan 2010 pergi dan seterusnya meraikan kehadiran 2011. InsyaALlah.

Selamat tinggal kisah silam. Selamat datang kisah yang baru. Ahlan wasahlan!

Jom, kita tutup buku 2010, simpan kemas sebagai sebahagian daripada sejarah kehidupan kita. Tercatit sebagai sebahagian daripada kisah perjalanan hidup kita, dalam melengkapi sebuah pengembaraan sementara menanti ajal tiba. Apa yang tercatit di dalamnya? Apa pula yang dicatit oleh malaikat Rakib dan Atid? Hanya Allah yang maha mengetahui segalanya.

(Allah) Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata; maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah keadaanNya dari segala yang mereka sekutukan. (Al-Mu'minuun 23:92)

Masa untuk muhasabah diri, menghitung amalan sendiri sebelum nanti tiba masanya, amalan kita dihitung oleh-Nya. Ketahuilah, andai waktu itu tiba, segalanya sudah terlambat. Penyesalan tiada lagi gunanya.

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Al-Mu'minuun 23:102) |

Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri; mereka kekal di dalam neraka Jahannam - (Al-Mu'minuun 23:103)

Mari kita periksa diri, tanya diri sendiri, apa yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita. Apa yang telah tangan kita lakukan? Ke mana kaki kita melangkah? Apa yang telah dimakan oleh mulut kita? Apa yang menjadi darah daging kita? Tangan ini, tangan Allah. Kaki ini, kaki Allah. Jasad ini, jasad Allah. Dia yang memberi dan ingatlah, bila-bila masa juga Dia berhak mengambilnya semula.

Dengan segala nikmat dan anugerah pemberian-Nya, apa yang telah kita lakukan sebagai tanda kita hamba yang bersyukur??

Dan Dia lah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (Al-Mu'minuun 23:78)

Moga kita tidak termasuk dalam golongan itu, semoga kita sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Biar cuma sekadar lintasan hati, apatah lagi bait-bait kata mahupun tindakan, ingatlah Allah selalu. Bukan mudah, namun andai itu berjaya kita lakukan, insyaAllah, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang beruntung.

Wallahua'alam.

Cinta Terputus Dua

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt. Semoga semuanya sentiasa di bawah naungan kasih dan limpah rahmat Ilahi..... Izinkan saya berkongsi di sini, sedikit pandangan peribadi, tentang cara-cara menangani masalah akibat putus cinta. InsyaAllah, mudah-mudahan bermanfaat buat kita. Dengan izin Allah swt.


Sekali lagi maaf, masih berkisar kepada permasalahan cinta. Melengkapkan trilogi cintan-cintun, kali ini saya ingin bincangkan pula perihal putus cinta.

Dalam Islam, perceraian dibenarkan andaikata sebuah perkahwinan itu sudah tiada jalan lain untuk diselamatkan, andaikata meneruskan perkahwinan mendatangkan lebih banyak mudarat. Penceraian dibenarkan, bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak samada suami atau isteri untuk memulakan hidup baru dengan cara yang tersendiri.

Mulakan hidup baru. Bekas suami dengan jalannya sendiri dan bekas isteri pula dengan hidupnya sendiri, di samping beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi.

Jika pernikahan yakni ikatan yang sah juga boleh diputuskan, apatah lagi dengan 'couple'.

Seandainya salah seorang dari pasangan menyedari, dengan bercouple, makin menjauhkan diri dari Allah, makin membuatkan diri lupa kepada Allah, menambahkan lagi dosa dan maksiat, membuat hidup makin tidak keruan, membuat jiwa dan perasaan makin terseksa, mengakibatkan prestasi dalam pekerjaan atau pelajaran kian merosot, maka jalan terbaik adalah berpisah. Putuskan hubungan dengan si dia.

Seandainya si dia tidak bersungguh-sungguh dalam perhubungan, tidak menghargai dan tidak mempunyai perancangan untuk melansungkan pernikahan. Andainya saban malam melakukan istikharah, masih juga tidak mendapat sebarang petunjuk atau tanda, maka bulatkan tekad, putuskanlah hubungan dengan si dia.

Bina hidup baru, mulakan hidup baru. Andainya si dia pergi meninggalkan kita, mengkhianati cinta kita, lepaskanlah dia pergi dengan berlapang dada. Ingat, dunia masih belum berakhir andai hidup tanpa dia.


Putus Cinta.

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

[Surah Al-Baqarah ayat 216]

Tidak semua cinta bersatu. Bukan semua orang memiliki cintanya. Bukan semua orang dicintai oleh insan yang dicintainya. Nasib kita berbeza-beza. Ada suka ada duka. Ada pahit ada manis. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan seandainya cinta tidak kesampaian?

Pertama sekali, dekatkan diri kepada Allah, banyakkan ibadat. Tingkatkan keimanan dan keyakinan kita kepada qada' dan qadar Ilahi. Yakin bahawa Allah mempunyai perancangan-Nya tersendiri, kita hanya mampu merancang. Yakin bahawa setiap apa yang berlaku semuanya adalah kehendak dan suratan takdir. Yakinlah bahawa Allah memberi dugaan hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sujud dan sembah hanya kepada Allah, menangis dan mengadu, mohonlah petunjuk dan pertolongan daripada Allah. Dia Maha Berkuasa atas segala makhluk.

Setiap hati yang luka berdarah, pecah berkecai mampu mengundang titik jernih mengalir dari kedua kelopak mata. Menangislah. Luahkan segala kesedihan yang terbuku di dada. Namun harus diingatkan, menangis pun biarlah berpada-pada. Jangan sampai lupa solat lupa makan lupa segalanya. Jangan sampai peredaran siang atau malam lansung kita tak sedar. Sapulah airmata, bangkitlah dari kesedihan.

Menangis hanya menambahkan lagi kesedihan. Menangis hanya membuatkan jasad dan mental kita kian lemah. Menangis tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah. Sapulah air mata, usir segala kedukaan jauh-jauh. Jangan biarkan sejarah silam merosakkan masa depan. Past is past, gone is gone. Biarkanlah apa yang berlaku terus berlalu kerana yang berlalu, pastinya tidak akan berlaku lagi.. Kita hidup harus sentiasa memandang ke hadapan, usah menoleh kebelakang.

Jangan paksa diri untuk melupakan si dia serta merta. Beri ruang masa kepada diri sendiri untuk melupakan si dia secara 'semulajadi'.

Cara yang paling berkesan (kalau boleh) adalah berpindah ke tempat lain. Ini kerana biasanya, jika kita terus di tempat yang sama, membuatkan kenangan bersama dia sentiasa segar. Masih melakukan aktiviti yang serupa bezanya tanpa dia. Masih berjalan di lorong yang sama, bezanya hanya tidak ditemani dia. Pastinya, setiap sudut dan ruang, di mana-mana saja terbayang-bayang kenangan bersama dia. Ini mengakibatkan lebih memakan masa untuk melupakan si dia. Jadi, seboleh yang mungkin, elakkan dari terus bertembung atau bertemu dengannya. Dan kalau boleh, tukar nombor telefon atau alamat email, ini bagi mengelakkan diri kita dari terus tertunggu-tunggu panggilan telefon atau email darinya.

Hapuskan segala kenangan ketika bersama dengannya. Buang atau bakar segala barang pemberian, kad atau hadiah, gambar atau segalanya yang berkaitan dengannya. Sedekah kepada kepada sesiapa sahaja asalkan jauh dari pandangan mata.

Biasanya orang bercinta, kawanmu kawanku jua. Keluargamu keluargaku jua. Jadi, bila dah putus cinta, cuba kurangkan pergaulan dengan mereka yang boleh membuatkan kamu mengingatinya. Ini supaya dapat mengelakkan kita daripada terus bercakap atau bertanya khabar tentang si dia. Mungkin tak perlu 'buang seratus peratus' tapi cuba elakkan diri dari terus bercakap mengenai si dia.

Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti lain yang bermanfaat. Jangan beri ruang kepada diri sendiri untuk menyendiri, tidak berbuat apa-apa. Masa yang kosong jika tidak diisi dengan baik akan menyebabkan kita secara automatik terimbas kembali kenangan-kenangan silam samada pahit atau manis. Teringatkan si dia dan boleh menyebabkan rindu kembali bertandang. Bergaullah dengan kawan-kawan dan elakkan daripada duduk menyendiri. Dan pada masa yang sama, pastikan kawan-kawan kita itu baik akhlaknya, bukan kaki disko atau penagih dadah, dibimbangi kita turut terpengaruh dengan aktiviti kurang sihat.

Setiap kali bangkit dari tidur, senyum dan optimis, bisikkan dalam diri, "aku boleh hidup bahagia tanpa dia". Bersikap positif untuk mengubah diri menjadi lebih baik dari sebelumnya. Tanamkan tekad untuk membina hari baru dan hidup baru yang lebih baik dari semalam. Begitu juga sebelum tidur, jangan biarkan diri kita terus mengenangkan si dia, perbanyakkan doa dan zikir, biar sampai tertidur tanpa memikirkan si dia.

Putus cinta yang paling sakit adalah apabila dikhianati. Walau apa jua sekalipun, maafkanlah si dia. Terima semuanya sebagai ketentuan Ilahi. Sesungguhnya maaf adalah penawar yang terindah. Selagi kita tidak memaafkan, selagi itulah dendam dan perasaan tidak puas hati itu memakan diri kita dan merosakkan jiwa kita. Jadi, belajarlah untuk memaafkan. Kemudian lupakanlah segalanya.

Lupakanlah keburukan orang kepada kita dan lupakanlah kebaikan kita kepada orang.

Lebih menyakitkan apabila putus cinta setelah diserahkan segalanya. Maruah tergadai, mahkota diri musnah.

Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Walau apapun, tidak kira apa jua yang telah berlaku pada hari semalam, kita hidup pada hari ini harus terus memandang kehadapan. Hidup perlu diteruskan jua. Biar perit biar pedih, selagi ajal tidak datang menjemput. Teruskanlah langkah kaki untuk terus mara kehadapan.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kita sendiri yang berusaha mengubahnya. Jadikan kisah silam sebagai pengajaran buat kita, supaya kita menjadi lebih kuat. Jangan biarkan kenangan silam melemahkan lagi langkah kaki kita. Past is past, gone is gone.

Cinta dan rindu itu sakit. Putus cinta itu lebih menyakitkan. Makin dalam kita menyintai, makin perit sakit yang tertanggung. Allah ya Allah. Hanya Engkau yang Maha Mengetahui.

Mohonlah pertolongan dari Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat. Ingat.. Kita tidak bersendirian. Allah sentiasa ada bersama kita. Setiap detik dan saat, Dia sentiasa melihat dan mendengar. Dia Maha Mengetahui, setiap rintihan dan rayuan kita. Dia mendengar suara hati kita. Panjatkanlah doa, mohonlah petunjuk dan pertolongan hanya dari Allah.

Cintakan bunga, bunga kan layu. Cintakan Ali, Ali pi kawen dengan minah. Cintakan Allah, kekal abadi.

Tiada cinta seindah cinta kepada Allah. Tanpa perlu belikan hadiah, tanpa perlu kad berwarna warni, hadiah mahal-mahal, cinta itu tetap akan mekar mewangi andai kita sentiasa menjaganya dengan baik. Selangkah kita mendekati, makin Dia menghampiri. Dialah yang mendengar rayuan hati, Dialah yang memakbulkan segala doa.

Allah ya Allah, tingkatkanlah keimanan dan kecintaanku hanya kepada-Mu. Jangan kerana cinta dunia aku lupa pada-Mu. Jangan kerana nikmat dunia, aku lupa syurga-Mu.

Allah ya Allah, jadikanlah aku hamba-Mu yang solehah, akhirkanlah hidupku dengan kesudahan yang baik, masukkanlah aku ke syurga bersama iman.

Amin ya rabbal alamin.


Note : Pertama kali pernah diterbitkan DI SINI.

Thursday, December 30, 2010

Setiap Amalan Berdasarkan Niat

Khalifah Umar bin Khattab melaporkan, katanya;

Saya pernah mendengar Nabi Muhammad Saw bersabda, "Amalan seseorang itu ditentukan oleh niatnya. Oleh itu, setiap orang mendapat apa yang diniatkannya. Oleh sebab itu, orang yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasulnya. Tetapi bagi sesiapa yang berhijrah dengan niat hendak mendapatkan keuntungan di dunia, ataupun bagi mendapatkan isteri, dia mendapat apa yang diniatkannya semasa dia berhijrah"

Wallahua'alam.


Sumber : Buku 40 Hadis Imam Nawawi, muka surat 3

Monday, December 27, 2010

Tak Mahu Sesat dan Silap

Bismillahirrahmanirrahim..

Kemiskinan dan kesusahan tidak menghalang saya untuk menanam cita-cita setinggi langit. Sewaktu kecil, saya menanam azam untuk belajar bersungguh-sungguh, supaya berjaya dalam pengajian dan mendapat kerja yang menjanjikan gaji yang lumayan. Saya mahu kaya dan tidak ingin hidup miskin selamanya.

Ketika kecil juga, saya sering menjadi perhatian kerana selalu cuai. Pinggan mangkuk di rumah selalu berkurang jumlahnya kerana saya puncanya. Sering terlepas dari pegangan tangan lalu jatuh ke lantai pecah berkecai. Pernah juga pinggan hampir sedozen pecah sekelip mata kerana kecuaian saya itu. Syukurlah emak dan ayah sangat memahami 'kekurangan' saya ini. Tidak pernah mereka marah saya, malah sering menenangkan saya bila saya dirundung rasa kesal dan bersalah kerana kecuaian saya itu telah merosakkan banyak harta benda. Saya bersyukur seadanya, sesungguhnya, merekalah ibu dan ayah yang terbaik buat saya.

Saya ingat lagi. Kata emak waktu itu. Tangan saya panas. Pegang barang selalu rosak. Mungkin emak masih terpengaruh dengan adat orang dulu-dulu, atau mengapa, saya tidak pasti. Namun, kerana kecuaian saya itu juga, saya menjadi lebih berhati-hati dan trauma, takut merosakkan lebih banyak barang. Dan juga, saya mudah panik dan kelam kabut orangnya. Selalu juga, otak saya gagal berfungsi dengan baik bila gemuruh datang. Jadi, sempat juga saya menanam cita-cita, mahu menjadi kaya supaya ada pembantu rumah dan pemandu. Kiranya, saya tidak perlu memandu dan tidak perlu risau kalau-kalau saya panik, kecuaian atau kemalangan atau tersesat di jalan raya, kerana saya tidak perlu memandu sendiri.

Seperti drama tv, pembantu rumah saya mungkin bernama Mak Mah, pemandu saya mungkin bernama Pak Mat..

Ah! Angan-angan seorang anak kecil. Kenyataannya, hidup tidak seindah impian.

Masa terus berlalu, alhamdulillah saya tidak lagi semiskin dulu. Namun, tidaklah kaya untuk memiliki pembantu rumah bernama Mak Mah dan pemandu bernama Pak Mat. Jadi, saya perlu membasuh baju, mengemas rumah, memasak, lipat baju, gosok baju dan lain-lain dengan tulang empat kerat saya juga. Dan saya juga harus memandu sendiri. Tanpa Pak Mat.

Menjadi saya bukan mudah. Selalu cepat panik dan cepat rasa 'stress' bila terbuat kesilapan. Kepala saya sering sakit berdenyut-denyut bila saya menjadi tertekan, walaupun kesilapan yang dilakukan tidaklah sebesar mana. Selalu juga saya sakit kepala ketika memandu. Kerana tersilap jalan dan tersesat. Oleh yang demikian, saya jarang memandu, kecuali jika benar-benar perlu atau terpaksa.

Saya tidak suka memandu kerana selalu sesat, takut kemalangan dan selalu panik bila di atas jalan raya. Bertambah cuak jika tempat yang ingin di tuju sangat asing bagi diri ini. Andai jalan biasa dilalui pun selalu sesat, inikan pula tempat baru, tak sanggup saya menyusahkan diri sendiri.

Saya juga sangat tidak suka memandu di tengah bandar Kuala Lumpur. Papan tanda mengelirukan, selalu sesak dan banyak jalan sehala, andai terlepas simpang keluar, jawabnya terpaksa membuat 'u-turn' yang mungkin jaraknya bertambah berbelas kilometer. Saya tak suka sesat. Buang masa, tenaga, membazir minyak dan mungkin toll. Oh.

Bersambung. InsyaAllah...



Pelakon Terbaik

Ini cerita aku
kisah hidupku
pentasnya dunia
pelakonnya aku

Duniaku aneh
hidupku misteri
penuh tanda tanya
soalan tanpa jawapan
kian hari bertambah sulit
hampir tersimpul mati
kekusutan di sana sini
tiada tanda bakal terlerai

Entah di mana
hujungnya
mana pemula
mana penutup
aku tidak tahu
namun kaki penat
langkah tidak bermaya
hidup tak mahu
mati tak ingin

Nafas bagai tersekat
luka bagai tersiat-siat
pedih menusuk ke sukma
bagai racun
mengalir dalam darah
mendera saraf dan nadi
bisanya hanya aku
dan Dia yang tahu

Aku hanya
pelakon terbaik
di pentas kehidupan
tak pernah gagal
memenuhi takdir-Nya
kerna hanya Dia
Yang Maha Berkuasa
sakit dan pedihku
tangis dan rintihku
semua dengan izin-Nya

Ku tunduk akur
kerana aku cuma
seorang hamba.

Friday, December 24, 2010

Puisi Cinta

Ini
puisi cinta
buat dia
lelaki yang ku cinta

Bicara ini bisu
lagunya rindu
iramanya pilu
bernada sendu

Setiap waktu
selalu
ada kamu
tanpa jemu

Kau lelaki pertama
tulus hulurkan cinta
sejak dikandung bonda
belum menjenguk dunia
kasihmu hangat membara

Ayahanda
kau lelaki pertama
yang aku cinta

Dan Ayahanda
sebelum kita ada dia
dan Tuhannya
yang mencintai kita
sebagai ummatnya
kerana kita hamba-Nya

Lelaki yang ku cinta
dalam doaku ada kamu
setiap waktu dan ketika
ku ungkapkan rinduku tanpa jemu

Cinta ini suci
tak ingin aku kotori
ku simpan kemas di hati
biarlah sampai ku mati

Di dunia tidak bertemu
moga di akhirat kita bersatu

InsyaAllah.






Thursday, December 23, 2010

Kisah Gagak Hitam

Assalamualaikum wbt..

Dimulai dengan menyebut nama ALlah dan memuji kebesaran-Nya. Alhamdulillah, kerana kita masih diberi keizinan oleh-Nya, untuk hidup, hingga ke saat ini. Dan pastinya, ajal maut, mati, hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Kebelakangan ini, kita sering dihidangkan dengan berita-berita yang menyayat hati. Tentang kemalangan, kecelakaan. Tentang mati. Allah. Mati di mana-mana saja, 'penyebabnya' juga pelbagai, namun yang pasti, sebagai muslim yang beriman kepada-Nya, kita haruslah percaya, bahawa hanya Allah yang berkuasa atas segalanya. Kun fayakun. Maka jadilah.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kemalangan sebuah bas persiaran. Kemalangan ngeri dan itu bukanlah yang pertama. Namun, melihat angka kematian yang agak tinggi, yakni 27 orang (berdasarkan berita 22 Disember), ramai antara kita yang tersentak!

"Huish! Jangan naik bas lagi lah. Bahaya!"

"Owh, nasib baik orang Thailand"

"Alah, bukan orang Islam, biarlah."

"Berapa nombor plat? Ambik nombor ekor. Berjudi. Mana tahu dapat 'ong!'"

"Gagak hitam tu petanda ajal ya? Kalau macam tu, lainkali nampak gagak hitam lagi, mesti ada kemalangan lagi."

"Ya Allah, bila giliran aku pulak yang mati. Dah cukup ke amalan aku?"

............... Dan macam-macam lagi..

Apapun, marilah kita muhasabah diri kita. Periksa diri kita, periksa tahap keimanan kita. Apakah dalam kita bertutur, dalam kita berfikir, adakah Allah ada disetiap tutur bicara dan cetusan akal kita? Apakah kita sentiasa mengingati Allah?

Kita harus yakin dan percaya, ajal dan maut kita sudah ditentukan. Malaikat Izrail yang ditugaskan untuk mencabut nyawa kita, tidak pernah engkar perintah Tuhannya, sentiasa patuh pada suruhan Tuhan. Tidak kira, walau di mana kita berada, walau di atas pembaringan yang paling selesa sekalipun, jika Allah sudah tuliskan bahawa pada saat dan detik itu kita akan mati, maka matilah kita. Sesungguhnya, bukan bas atau kereta, motor atau basikal yang berkuasa untuk menarik nyawa kita. Namun, pada masa yang sama, berhati-hatilah sentiasa. Islam melarang kita melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri kita sendiri.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 57,

"Setiap yang bernyawa pasti merasa mati, dan kepada Allah kamu dikembalikan"

Islam atau pun tidak. Kita semuanya makhluk ciptaan Allah. Jika Allah mahu, Dia boleh saja ciptakan kita satu kaum, satu agama, kerana Dia Maha Berhak lagi Maha Berkuasa. Namun Allah juga lebih mengetahui atas segalanya. Setiap apa yang Dia ciptakan, tiada yang untuk sia-sia. Kita disarankan untuk saling mengasihi dan saling menghormati. Tidak kira samada dengan makhluk ciptaan yang lain seperti binatang dan tumbuhan, juga sesama manusia. Sedarlah bahawa kita cuma hamba. Allah sudah banyak berbuat baik kepada kita, maka, berbuat baiklah kita sesama makhluk. Moga bertambah-tambah kasih sayang Allah kepada kita. InsyaAllah.

Kisah gagak hitam.

Orang dulu-dulu percaya, jika ada binatang hitam seperti kucing, anjing dan mungkin gagak melintas di hadapan, elok jangan teruskan perjalanan, mungkin ajal dan bahaya menanti di hadapan. Astagfirullahalazim.

Beristighfarlah. Jauhi perkara-perkara syirik, tahyul atau khurafat. Bukankah hanya Allah yang maha mengetahui atas segalanya. Sungguh, perkara-perkara ghaib, mahupun perkara yang diluar batasan pemikiran kita, hanya Dia yang lebih tahu. Oleh itu, usahlah kita melampaui batas. Saling berandaian dan percaya kepada perkara-perkara yang tidak pasti, yang kita sendiri tidak tahu kesahihannya.

Allah berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 28;

"Dia membuat perumpamaan bagimu dari dirimu sendiri. Apakah (kamu rela jika) ada di antara hamba sahaya yang kamu miliki, menjadi sekutu bagimu dalam (memiliki) rezeki yang telah Kami berikan kepadamu, sehingga kamu menjadi setara dengan mereka dalam hal ini, lalu kamu menjadi takut kepada mereka sebagaimana kamu takut kepada sesamamu? Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang mengerti."

Saya menyeru diri sendiri, dan sahabat sekalian agar tidak mudah percaya kepada perkara-perkara yang samar dan tidak pasti. Teguhkan keimanan dan keyakinan kita kepada Allah. Perbanyakkan amalan baik dan tinggalkan amalan buruk. Menjaga perbuatan dan lisan mungkin sukar, tapi sesungguhnya, menjaga hati dan minda ternyata jauh lebih sukar. Moga kita dipelihara oleh-Nya, terhindar dari sifat-sifat keji. Dan semoga, perbuatan dan lisan kita, dihitung sebagai amalan yang baik, tercatit sebagai pahala, kerana didorong oleh cetusan hati dan niat yang baik. InsyaAllah.

Mohon diri untuk berundur. Apa yang salah mohon diperbetulkan, dan sungguh, saya juga manusia biasa. Hanya Allah yang maha mengetahui atas segalanya.

Wallahua'alam.

"Tapi orang-orang yang zalim, mengikuti keinginannya tanpa ilmu pengetahuan, maka siapakah yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan Allah. Dan tidak ada seorang penolong pun bagi mereka. [Ar-Ruum, ayat 29]

Wednesday, December 22, 2010

Apabila Susah atau Senang

Aku berlindung dengan nama Allah dari syaitan yang direjam.
Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya; [Surah Ar-Ruum : Ayat 33]

Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
[Surah Ar-Ruum : Ayat 36]

(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.
[Surah Ar-Ruum : Ayat 37]

Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.
[Surah As-Sajadah : Ayat 21]

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas.
[Surah As-Sajadah : Ayat 22]




Sunday, December 19, 2010

Tumpang Bahagia, Kita Kan Bersaudara

Alhamdulillah, satu lagi hari yang indah telah kita tempuhi. InsyaAllah, jika esok umur kita masih panjang, dan bumi ini belum kiamat, esok juga pasti menjadi satu lagi hari yang indah. Dengan izin Allah, dan tertakluk kepada penerimaan dan pentafsiran kita akan erti keindahan.

Hari ini indah buat saya kerana saya masih lagi diberi keizinan untuk bernafas di bumi Allah, menghirup udara ciptaan-Nya, berjalan di atas hamparan bumi ciptaan-Nya, bertemu dengan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, melihat panorama alam dan gelagat manusia dengan mata ciptaan-Nya, dan banyak lagi, yang indah-indah, Alhamdulillah.

Memanfaatkan hujung minggu, saya sempat meluangkan masa ke pusat membeli belah, membeli sedikit barang keperluan. Biarpun sendirian namun saya bersyukur kerana segalanya lancar dan saya juga bebas bergerak tanpa perlu rasa takut. Selesai membeli dan membayar harga barang-barang keperluan, saya menjinjing beg plastik, memasang niat untuk terus pulang. Saya turun ke tingkat bawah menggunakan tangga 'escelator'.

Sedang berdiri dan turun, mata saya sempat menangkap ke arah sebuah keluarga yang juga sedang menggunakan escelator untuk turun. Si ibu, si ayah, seorang anak lelaki berusia lebih kurang 5 tahun dan seorang anak perempuan berusia lebih kurang 2 tahun. Si ibu memegang troli yang sarat. Si ayah memerhatikan kedua-dua anaknya.

Mulanya mereka mahu turun bersama-sama, namun sebaik sahaja ibu, ayah dan adik perempuan bergerak turun, si abang berdegil tidak mahu turun. Berdiri di tepi tanggga sedangkan yang lainnya sudah hampir tiba ke tingkat bawah. Si ibu masih fokus dengan troli yang dipegang, mungkin menaruh sepenuh kepercayaan kepada si ayah untuk mengawasi anak-anak. Sekali-sekala dia sempat menjeling kepada si ayah dan anak-anak. Si ayah pula menunjukkan riak wajah cemas melihat si anak masih di tingkat atas tidak bergerak namun akhirnya kelihatan lega bila si anak melangkah kaki ke atas escalator.

Melihat sang abang masih di atas, si adik yang comel mula berlari semula mahu naik ke atas. Riak wajah si ayah menjadi cemas semula. Sangat cemas. Tanpa berlengah dia terus mengejar si anak naik ke atas semula. Si ibu memberikan perhatian lebih sedikit. Namun bila si ayah berjaya mendapatkan si anak yang masih kecil lalu mendukungnya, akhirnya si ibu tersenyum lega. Tanpa kata-kata, namun kebahagiaan terungkap pada wajah-wajah mereka. Subhanallah.

Demikian antara gelagat yang sempat dirakam oleh lensa mata saya pada hari ini. Melihat mereka bahagia, anehnya, sedikit kebahagiaan meresap ke jiwa ini. Tanpa sebab, atau mungkin inilah yang dimaksudkan, 'tumpang bahagia', barangkali..

"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah R.a, Nabi Saw bersabda: ‘"Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya." (HR. Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah saw bersabda :“Janganlah kamu dengki mendengki, janganlah kamu menawar harga untuk menjerat orang lain, janganlah benci membenci, janganlah belakang membelakangi, janganlah menjual di atas jualan lain dan jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim saudara kepada muslim yang lain. Tidak boleh menzaliminya, tidak boleh menghina dan membiarkannya dihina orang. Takwa adalah di sini. (Rasulullah menunjukkan ke dada, dan mengulanginya tiga kali). Cukuplah sebagai kejahatan seseorang kalau ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim ke atas muslim yang lain haram darah, harta dan kehormatannya."(HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Tuesday, December 14, 2010

Berpada-pada Dalam Membenci

Benci dan dendam mungkin ada dalam setiap diri kita. Cuma bezanya, sejauh mana dan sebanyak mana kita membenci dan mendendami. Bagaimana kita menguruskan benci dan dendam, dan bagaimana pula ia mempengaruhi kehidupan kita, bukan saja ketika hidup di dunia, bahkan di akhirat kelak. Ini yang harus kita renung-renungkan.

Saya pernah terbaca, pesan seorang bijak pandai, ingat dua perkara dan lupa dua perkara.

Ingat kebaikan orang kepada kita dan ingat kejahatan kita kepada orang.
Lupa kebaikan kita kepada orang dan lupa kejahatan orang kepada kita.

Mudahnya pada saya, pesanan tersebut mampu menjadi kunci agar kita mudah memaafkan orang lain, tidak membenci dan apatah lagi mendendami andai kita mampu mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian kita.

Hate the sin, not the sinner.

Kata-kata tersebut juga, jika direnungkan, boleh membuatkan kita terhindar dari sifat-sifat negatif. Benci dan dendam.

Dan dalam membenci, biarlah benci yang berlandaskan syariat Islam. Benci apa yang dibenci oleh agama, oleh rasul dan Tuhan. Benci kepada maksiat. Benci kepada kemungkaran. Benci kepada sifat-sifat buruk dan keji.

Katakan, Ali (bukan nama sebenar) melakukan maksiat, meminum arak, menipu dan mengkhianati. Maka bencilah sifat buruk yang ada pada Ali itu. Atau Siti memutuskan silaturrahim maka bencilah perbuatannya itu. Namun dalam diri Ali dan Siti, bukanlah semuanya buruk, mungkin dalam dirinya juga ada sifat-sifat baik yang lain, maka, jangan pula kerana sikapnya yang buruk, kita membencinya secara pukal sekaligus menolak kebaikan dalam dirinya.

Dan mungkin juga dia banyak melakukan kejahatan, tapi bila mana dia mengingsafi diri dan bertaubat, maka, janganlah lagi terus membencinya, maafkanlah dan terimalah dia dengan seadanya. Yang kita benci adalah sifat buruknya, maka bilamana sifat buruknya itu telah tiada, maka kenapa harus simpan perasaan benci itu?? Kita benci pada siapa?? Pada makhluk ciptaan Allah! Apakah kita layak?? Siapa kita?? Bukankah kita juga cuma seorang hamba?? Astagfirullah...

Nabi bersabda;

“Sesiapa yang ada padanya empat sifat dia benar-benar munafik, sesiapa yang ada satu daripadanya bererti dia ada satu sifat munafik. Sehingga dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia dusta, apabila dipercayai dia khianat, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila bertengkar dia melampaui batas.” (Hadis riwayat Bukhari)

Allah pula berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 190;

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.”

Sesungguhnya Islam melarang kita bersikap melampaui batas. Oleh itu, berpada-padalah dalam membenci. Jangan kerana benci kita itu, kelak ia memakan diri dan membinasakan diri kita sendiri. Jangan kerana benci itu, kita dibenci makhluk di bumi dan di langit. Jangan kerana benci itu, kita dibenci Allah. Naauzubillahiminzalik.

Mohon ampunkan dosa-dosaku, Ya Tuhan..

Sunday, December 12, 2010

Coretan 12 Disember : Sekalung Penghargaan

Bismillahirrahmanirrahim.

Sahabat yang dikasihi Allah, apa khabar hari ini? Moga semuanya bertambah sihat, bertambah amalan, bertambah bahagia, InsyaAllah..

Masa terus berjalan, sekali sekala saya sempat menjeling pada senarai 'followers' yang kian bertambah dari hari ke hari. Maha Suci Allah, Alhamdulillah, sedar atau tidak, jumlahnya kini mencecah lebih 400 orang. Kepada semua yang sudi klik 'follow', saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga, sesungguhnya saya sangat mernghargai kesudian anda semua, untuk berziarah dan singgah di teratak buruk saya ini, moga-moga kehadiran kalian di blog ini, sedikit sebanyak mendapat manfaat dan hasil yang baik. InsyaAllah, untuk dunia dan akhirat.

Makin bertambah bilangan sahabat, makin 'berat' juga bebanan yang saya galas. Makin besar tanggungjawab saya. Manakan tidak, setiap kali menulis, saya harus memikirkan kesemuanya sekali. Siapa yang akan membaca tulisan saya ini? Siapa yang akan menerimanya atau menolaknya? Apakah kesan daripada tulisan saya ini, baikkah atau sebaliknya? Adakah dosa atau pahala berganda yang bakal saya perolehi hasil dari coretan dan nukilan saya? Allahu.

Bagi saya, ini adalah amanah dan tanggungjawab yang harus saya pikul dan laksanakan sebaik yang mungkin, agar mendatangkan manfaat dan faedah yang baik buat diri saya sendiri dan tentunya buat semua yang sudi membaca, moga Allah permudahkan, insyaAllah.

Sahabat, selalunya bila saya menulis, saya cenderung untuk mengingatkan diri sendiri, memberi pesanan kepada diri sendiri dan memotivasikan diri sendiri. Namun saya juga percaya, kalian yang membaca, adakalanya melalui 'permasalahan' yang serupa dengan saya, perlu dimotivasikan dan diberi peringatan, ada yang rasa terubat bila membaca coretan saya kerana mungkin pengalaman yang kita lalui, sedikit sebanyak ada persamaan. Saya berharap, dalam waktu saya memujuk diri sendiri, moga-moga saya dapat memujuk sahabat yang lain juga. Dalam waktu saya menenangkan diri sendiri, mencari kekuatan buat diri sendiri, moga-moga sahabat-sahabat yang lain juga mendapat kekuatan dan ketenangan yang serupa.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa saya suka menulis dalam blog? Ada juga yang bertanya, kenapa blog saya tiada perkongsian luahan perasaan atau catatan harian seperti blog orang lain? Dan pernah juga saya dituduh mencari publisiti murahan melalui blog. Sejujurnya saya tidak ambil kisah apa kata orang, kerana saya yakin dan percaya, tiada siapa yang dapat memahami atau mengetahui apa yang tersirat di dalam jiwa saya. Tiada siapa yang betul-betul mengerti jikapun seribu perkataan yang saya tuliskan untuk menterjermahkan apa yang terpendam di dalam hati ini, kecuali Dia. Dan bukankah, hidup dan mati ini hanya untuk-Nya? Maka, katalah apa yang mahu dikata, dan cukuplah hanya Dia yang Mengetahui segalanya.

Mudahnya, saya ingin berbakti kepada saudara seagama saya, kepada masyarakat, kepada mereka yang memerlukan. Saya sedar saya tidak punyai harta yang banyak untuk didermakan, saya juga tiada masa yang banyak untuk turun padang berbakti mencurah tenaga, dan saya juga tidak petah dalam berkata-kata. Apa yang saya mampu, cuma di sini, dari jiwa ke jari jemari, lalu terhasillah nukilan dan coretan. Moga, tulisan saya di sini, dicatit oleh malaikat di bahu kanan saya, sebagai sebahagian dari ibadah saya kepada-Nya.

Harus diingatkan, saya bukanlah manusia yang sempurna. Saya juga bukanlah pakar motivasi, juga bukan ustazah. Saya cuma manusia biasa seperti kalian semuanya, punya kelemahan dan kekurangan. Tidak pernah lepas dari melakukan kesalahan. Dan sedang mencari kekuatan untuk bangkit dari kegagalan. Oleh itu, saya hargai dan gembira, sekiranya sahabat ada teguran dan pandangan untuk diajukan, silakanlah berkongsi dengan saya, insyaAllah, sama-samalah kita berusaha untuk memperbaiki diri.

Silakan 'comment' jika ada yang tak berkenan, atau pandangan yang lebih baik, atau, boleh juga emel saya di alamat berikut:

skyredbutterfly@gmail.com

Mari doakan, agar kita semua, bertambah pahala, dari saat ke saat. Sekali lagi terima kasih saya ucapkan kepada semua yang sudi membaca, dan, mohon ampun maaf, atas segala salah dan silap.

Hingga bertemu lagi, jika diizinkan Allah. Wassalam.

Friday, December 10, 2010

Siapa Mahu Mati?

Allah ciptakan manusia unik. Kita sememangnya unik. Ada pelbagai karekter. Pelbagai susuk tubuh. Pelbagai rupa. Pelbagai kehendak dan citarasa. Dan sesungguhnya, dalam dunia ini hanya ada seorang saya dan saya tidak mungkin akan sama dengan dia, mereka, atau anda sekalipun. Maha Suci Allah.

Allah berfirman dalam Surah At-Tiin Ayat 4;

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya"

Allah juga tidak ciptakan kita untuk sia-sia. Di bumi ini, kita punya amanah dan tanggungjawab yang kita galas dan perlu kita laksanakan, sebagaimana Firman Allah Swt dalam Surah Az-Zariyat, Ayat 56;

"Dan Tidaklah Aku Menciptakan Jin dan Manusia Kecuali untuk Beribadah Kepada-Ku"


Kitalah juga adalah makhluk Allah, ciptaan-Nya yang terpilih sebagai khalifah di muka bumi ini sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30;

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Harus diingatkan juga, dunia ini hanya sementara. Dalam dunia ini tiada apa pun milik kita, semuanya pinjaman. Jasad dan nyawa juga pinjaman, bila tiba saat yang ditetapkan, kita akan kembali kepada-Nya, melengkapkan kembara kehidupan kita, singgah ke alam barzakh sebelum menuju ke alam akhirat, ke negeri yang abadi. Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 57;

"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan). "

""...... Dan tidak ada seorang pun dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok hari. Dan tidak ada seorang pun yang tahu, di bumi mana dia akan mati. Sungguh, Allah maha mengetahui, maha mengenal."
[Surah Luqman: Ayat 34]

Kita semua, pasti akan mati. Bila dan di mana, hanya dia yang tahu.

Kebanyakan dari kita, punya cita-cita, azam, matlamat, plan untuk kita capai. Selalunya bila tiba tahun baru, kita sibuk berbicara mengenai azam masing-masing. Matlamat yang ingin capai ketika hidup kita, sedangkan kita sendiri tidak pasti, sampai bila kita diizinkan hidup di dunia ini. Sedangkan kita juga pasti, bahawa kita akan mati, tapi jarang di kalangan kita yang menanam azam, yang ingin kita capai setelah kita mati.

Aneh bunyinya, cita-cita setelah mati.

Siapa mahu mati?

Mati itu pasti, suka atau tidak, bila sampai masanya, kita pasti mati.

Kata orang, bekerjalah seolah-olah kamu mahu hidup selamanya. Beribadatlah seolah-olah kamu akan mati esok hari.

Ada pula hadis yang berbunyi; " Dunia penjara orang beriman surga bagi orang-orang kafir" (Sunan Ibnu Majah: Bab Zuhud Hadits No: 4113).

Jadi bagaimana?

Harus pandai menyeimbangkan. Antara dunia dan akhirat. Jangan sampai di dunia kita bahagia tapi di akhirat kita sengsara.

Ibadat bukan bererti duduk di atas sejadah semata-mata. Jangan tersilap konsep, belajarlah jika tidak tahu dan tuntutlah ilmu dengan guru yang benar-benar arif.


Harus diingatkan juga, orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati. Mengingati mati bukan bererti kita harus pasif, mundur dan tidak membangun. Mengingati mati bukan bermakna kita harus berpeluk tubuh, tidak berdaya saing dan tidak berusaha. Namun lebih dari itu, mengingati mati membuatkan kita menggandakan usaha, berusaha lebih gigih kerana hasil yang kita harapkan bukan hanya untuk dunia, tapi juga akhirat.

Mengingati mati membuatkan kita sentiasa beringat bahawa malaikat di kiri dan kanan sentiasa mencatit perbuatan dan amalan kita, meletakkan diri kita dalam keadaan yang sentiasa berhati-hati, takut melakukan kejahatan tidak kira rasuah atau makan gaji buta. Kerana kita yakin dan percaya, bahawa mati itu pasti, hari akhirat itu pasti, syurga dan neraka itu pasti.

Allah berfirman lagi, dalam Surah Al-Ankabut, ayat 64;


"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."

Sampai di sini bicara saya untuk kali ini. Moga mendapat manfaat darinya, dan semoga catitan saya kali ini, sebahagian daripada ibadah saya kepada-Nya.

Mohon doa dari sahabat sekalian, moga kita semuanya sentiasa mendapat petunjuk dari-Nya, mendapat kebahagiaan, di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Mana yang silap, mohon diperbetulkan. Mana yang salah, mohon dimaafkan.

Wassalam.



Thursday, December 9, 2010

Saya Mungkin Hantu Itu

Beberapa bulan yang lepas, saya berkesempatan menonton sebuah filem dari Thailand. Cerita yang agak seram. Erm, memang cerita hantu pun.

Kisahnya mengenai seorang wanita, mengandung yang ditinggalkan oleh Justify Fullsuaminya, setelah menanti beberapa bulan, dia yang sarat mengandung berkeputusan untuk keluar mencari suaminya.

Akhirnya, setelah jauh mengembara, beliau berhenti berehat di sebatang pokok besar, tak jauh dari pohon itu, beliau terjumpa sebuah rumah besar yang penuh misteri, suasana di dalamnya menyeramkan dan orang-orang di situ juga penuh misteri. Bunyi yang menakutkan, roh yang merayau merata-rata pada waktu malam, bayangan pelbagai susuk tubuh dan sebagainya. Kerana terdesak, dia telah memohon untuk bekerja di situ, sekurang-kurangnya ada tempat untuk berteduh.

Dipendekkan cerita, dia bersalin di situ dan berkenalan dengan pemilik rumah itu, seorang wanita cantik yang penuh misteri, seolah-olah cemburukan dirinya yang punyai anak. Dia juga akhirnya bertemu dengan suaminya di kawasan perumahan itu, namun suaminya yang aneh itu memintanya keluar dari situ. Kata suaminya, mereka tidak boleh hidup bersama kerana dia sudah dimiliki oleh wanita lain.

Marah, cemburu, tidak dapat menerima kenyataan sebenar, wanita itu mulai yakin bahawa suaminya itu mempunyai hubungan sulit dengan wanita kaya pemilik rumah besar itu. Dengan perasaan yang meluap-luap, dia bertindak menyerang wanita itu, kononnya mempertahankan haknya sebagai isteri.

Namun rupa-rupanya, segala-galanya terbukti, dialah merupakan orang ke tiga dalam perhubungan itu. Rupa-rupanya, suaminya itu adalah suami kepada wanita kaya itu yang kemudiannya mengkhianati isterinya yang kaya dan sudah berusia, dengan alasan tidak dapat melahirkan anak.

Bagai suatu tamparan hebat, apabila akhirnya dia tahu, wanita kaya itu telah membunuh suaminya sendiri ketika pergaduhan, akhirnya terbongkar, mereka yang menemaninya di rumah itu sebenarnya, semuanya sudah mati. Dengan penuh ketakutan, dan demi menyelamatkan anaknya yang masih kecil, dia cuba melarikan diri, keluar dari rumah yang penuh dengan hantu dan roh. Suasana benar-benar menyeramkan, hantu sana-sini.

Akhirnya, dia dapat menyelamatkan dirinya, keluar dari perkarangan rumah misteri itu. Dan kembali ke pohon yang dia singgah sebelum masuk ke rumah itu. Sambil menangis dan merintih, dia menahan setiap kereta dan beca yang lalu di situ, namun tiada satu pun yang berhenti, singgah menumpangkanya. Begitulah dia saban malam, melambai-lambai, menanti dan terus menanti.. namun tiada siapa yang peduli.

Rupa-rupanya...

Dia juga bukanlah manusia biasa. Rupa-rupanya, dia juga telah mati, menggantung dirinya di pohon yang besar itu sebelum masuk ke perkarangan rumah besar itu kerana terlalu sedih ditinggalkan. 'Hantu'nya yang masuk ke rumah itu. Dia, melambai teksi dan beca yang lalu bagai hantu yang menyeramkan, siapa yang mahu tumpangkan?

Moral of the story:

Abaikan pasal hantu dan roh. Itu cuma 'pelazat' jalan cerita.

Moralnya, sebelum menuduh orang lain, kita perlu muhasabah diri sendiri dahulu. Jangan membuta tuli. Mungkin kesalahan itu puncanya dari kita sendiri.

Sudut pandangan bagi setiap orang berbeza-beza, kita tidak boleh menganggap orang lain sentiasa berfikiran sama dengan kita. Mungkin cara melihat mereka lebih baik dari kita.

Kadang-kadang, kita berasa kita sentiasa betul dan sempurna. Tidak sanggup melukai hati insan lain, tidak sanggup mengkhianati orang lain. Tapi ada masanya, tanpa sedar kita, kita juga tidak mustahil akan melakukan kesilapan itu, tiada manusia yang sempurna, kita bukanlah maksum. Oleh itu, ada masanya, kita perlu check and balance, heart to heart, tanya sahabat baik kita, apakah selama ini kita ada melukainya ataupun tidak, sebagai contoh.

Ada waktunya juga, kita sentiasa berasa kita yang paling betul, kitalah mangsa, kita tidak bersalah dan dikhianati. Kita melihat orang lain sebagai pesalah (hantu-hantu) dan kita lupa, kita juga mungkin dalam golongan mereka.

Muhasabah diri jom, ambil ibrah dari setiap apa jua yang berlaku. InsyaAllah, mudah-mudahan, hidup kita lebih baik dari sebelumnya.

Wallahua'alam.

Nadi Pasti Terhenti

"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)."
[Surah Al-'Ankabuut, Ayat 57]

"...... Dan tidak ada seorang pun dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok hari. Dan tidak ada seorang pun yang tahu, di bumi mana dia akan mati. Sungguh, Allah maha mengetahui, maha mengenal."
[Surah Luqman: Ayat 34]

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling rugi."
[ Surah An-Naml : Ayat 4&5]


"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."
[Surah Al-Ankabuut : Ayat 64]

Tuesday, December 7, 2010

Kalendar, Diari, Jam

Assalamualaikum wbt..

Semoga semuanya dirahmati Allah =)

Alhamdulillah, kita masih lagi bernafas di bumi indah ini. Syukur juga kita sempat meraikan tahun baru sekali lagi, Salam Maal Hijrah saya hulurkan.

Bagai semalam kita meraikan 1 Ramadhan. Bagai semalam kita menyambut 1 Syawal. Kini 1 Muharram datang lagi, betapa ajaibnya masa. Tidak pernah berhenti menunggu kita, siapa yang terlambat, dia yang ketinggalan. Begitu uniknya masa. Rahsia Allah yang hanya Dia lebih mengetahui segalanya.

Dalam kita meraikan tahun baru, harus juga kita berhenti sejenak, mengenang kembali detik-detik bersejarah penuh erti, insan-insan terpilih oleh-Nya, yang mengharungi segala kesukaran dan keperitan, berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Mari kita bersyukur dan berterima kasih, kerana pengorbanan dan penghijrahan mereka, maka kita hari ini dapat menikmati nikmat Islam dan Iman, kerana penghijrahan mereka, membawa terang cahaya, dengan izin Allah adanya, kita berkesempatan menikmati dan menghirup manisnya Iman dan Islam. Alhamdulillah. Terima kasih Allah, sesungguhnya takdir-Mu dan aturan-Mu, itulah yang terbaik buat kami semua.

Imbas kembali, ketika mula berkhidmat di tempat kerja sekarang, Mr Ooi (pengurus jabatan) telah menghadiahkan saya sebuah kalendar dan sebuah diari yakni buku catatan. Walaupun saya memulakan kerja pada pertengahan tahun, bulan Mei 2010, namun saya dihadiahkan keduanya itu, yang lumrahnya diperlukan ketika di awal tahun.

Agaknya kenapa?

Saya bukanlah punya kuasa adiwira untuk menebak apa yang ada dalam kotak fikiran Mr Ooi, dan saya juga segan untuk bertanya kenapa dia hadiahkan saya kalendar dan buku catatan. Namun, apa yang saya miliki, saya akan hargai dan manfaatkan sebaik yang mungkin, begitu juga kalendar dan buku catatan itu.

Pada saya, (mungkin juga Mr Ooi), hari baru adalah permulaan baru bagi setiap apa pun. Hari baru memerlukan usaha baru, semangat baru. Hari baru kita kembali bermula dari sifar. Hari baru kita perlu kembali belajar merangkak, bertatih, berjalan dan berlari. Hari baru, semuanya baru, tidak kita ia di bulan Januari atau Muharam, atau Disember mahupun Zulhijjah.

Hari baru memerlukan buku baru. Buku catitan baru untuk mencatitkan apa yang telah kita lalui, agar kita tidak lupa. Juga kalendar baru, untuk mencatit apa yang akan kita lakukan, agar kita sentiasa bersedia dan beringat-ingat.

Dan, sempena Muharam kali ini. Saya hadiahkan diri sendiri 2 utas jam.

Simboliknya. Hanya saya dan Dia yang tahu.

Apapun, semoga kedatangan Muharam kali ini, membawa semangat baru untuk kita, untuk lebih perbaiki diri, berhijrah dari kegelapan menuju terang. Semoga Muharam kali ini membawa kekuatan kepada diri kita, berusaha untuk mengejar akhirat dan tidak hanyut dalam godaan dunia. Moga kedatangan Muharam kali ini, membawa bahagia, sinar bahagia, kebahagiaan bukan saja untuk di dunia, malahan, biarlah bahagia hingga ke syurga.

Amin ya rabb..

Sunday, December 5, 2010

Satu Cinta..



Satu Cinta

Album : Satu Cinta
Munsyid : StartFive
http://liriknasyid.com


Ku memohon dalam sujudku pada-Mu
Ampunkanlah s'gala dosa dalam diri
Ku percaya Engkau bisa meneguhkan
Pendirianku....... Keimananku.......

Ku memohon dalam sujudku pada-Mu
Ampunkanlah s'gala dosa dalam diri
Ku percaya Engkau bisa meneguhkan
Pendirianku....... Keimananku.......

Engkau satu cinta
Yang s'lamanya aku cari
Tiada waktu ku tinggalkan
Demi cintaku kepada-Mu
Walau seribu rintangan
Kan menghadang salam diri
Ku teguhkan hati ini
Hanya pada-Mu
Ku pasrahkan.......

Oh Tuhan .... s'lamatkanlah hamba ini
Dari segala fatamorgana dunia
Oh Tuhan .... jauhkanlah hamba ini
Dari hidup yang sia-sia

Wednesday, December 1, 2010

SEGALANYA MILIKMU




Segalanya Milik Mu

Album : TigaSatuTiga
Munsyid : Mestica
http://liriknasyid.com

Kau yang menciptakan cinta
Dan Kau jua yang menghampar bahagia
Di ribaanMu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan

Kau yang mengutuskan duka
Dan Engkaulah yang mengirimkan hampa
Namun padaMu jua diadukan
Merabahkan keresahan dan tangisan

Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu
Dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
Tak semuanya yang ku mahu

Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyeru (menyebut) namaMu
Terarah segala ronta dan rasa
Pada damainya dakapanMu
Aku tahu inilah kasihMu
Aku tahu inilah cintaMu

Dan ku tahu di segenap ruang rasaku
Telah Kau titipkan kekuatan

Oh Tuhan

Tuesday, November 30, 2010

Bukan Senang Mahu Senang?

Kadang-kadang (baca: selalu) saya cemburu dengan mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang Islamik. Islamik di sini maksud saya, keluarga yang sangat menitik beratkan soal agama, meliputi akidah, tauhid, akhlak, semua sekali memandangkan Islam adalah syumul. Dari soal berpakaian, keutamaan mendirikan solat, mengaji al-Quran, pergaulan dengan bukan muhrim, bab penjagaan makanan dan lain-lain. Semuanya berlandaskan syariat yang telah digariskan dalam agama kita, Islam.

Bukan saya tidak bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini. Saya syukuri nikmat Islam dan Iman. Saya syukuri kerana setidak-tidaknya saya dilahirkan dalam Islam. Saya bersyukur kerana tidak perlu bersusah payah mencari cahaya Allah, alhamdulillah saya beragama Islam. Namun saya akui, sedikit sebanyak saya mengalami banyak kesukaran, yang terpaksa saya tempuhi untuk menjadi 'muslim yang sejati' . Saya perlu kuatkan semangat, tabahkan hati, tetapkan pendirian. Perlukan sokongan, namun ada masanya saya goyah juga. Kadang-kadang terjatuh dan terluka, pernah juga terpesong dari jalan yang sepatutnya.

Lihat saja mereka yang berpakaian sopan, menutup aurat sejak kecil. Kerana terbiasa, diasuh sejak kecil, pakaian yang dibeli juga 'sefesyen', semuanya labuh dan menutup aurat, maka pada pendapat saya, tiada masalah timbul untuk mereka kekal sentiasa berpakaian menutup aurat. Melainkan terkena 'kejutan budaya', terpengaruh dengan 'hijrah songsang'. Tiada yang mustahil, dari bertudung labuh, tiba-tiba tidak bertudung. Bertudung labuh tapi cenderung berbuat maksiat. Tuhan yang membolak-balikkan hati. Kun fayakun, maka jadilah.

Lupakan soal seketika soal mereka yang bertudung labuh, yang saya cemburui.

Kembali kepada diri saya sendiri, muhasabah kekurangan dan kelemahan diri ini. Yang saya percaya, bukan hanya saya mempunyai dilema ini.

Ingin berubah, tapi bagaimana?

Ingin berhijrah, tapi tidak punya kekuatan!

Ingin bertudung labuh, tapi tidak mendapat sokongan dari orang sekeliling.

Ingin menutup aurat, tapi kadang-kadang teringin berfesyen mengikut fesyen semasa.

Aduh! Harus bagaimana nih?


Teringat ketika mula-mula bertudung agak labuh, kawan-kawan sekerja memanggil saya ustazah. Saya hanya mampu tersenyum. Biarlah orang nak kata apa. Perubahan saya yang agak mendadak itu juga memberi suatu 'kejutan' kepada rakan sekerja, mereka kelihatan kekok untuk berurusan dengan saya, terutamanya pekerja lelaki. Masalahnya juga, saya bagai 'manusia dua alam'. Kadang-kadang tersasul, kadang-kadang terbabas. Allah sedang menguji saya.

Sendirian 'berjuang' kadang-kadang melemahkan kaki. Bahkan saya kadang-kadang 'terlupa' apa yang sepatutnya saya lakukan dan apa yang tidak. Contohnya terlupa memakai stoking, atau kadang-kadang menyelak tudung yang labuh sehingga menampakkan bahu dan sebagainya. Bukan senang 'pandai-pandai sendiri'. Ada masanya juga bila terlihat pakaian kegemaran lama yang tergantung, hati teringin benar menyarungnya semula. Benar-benar cubaan.

Baju lama yang kecil, ketat dan singkat disisihkan. Saya membuat 'reformasi' secara beransur-ansur. Menambah koleksi pakaian baru yang lebih longgar dan labuh. Jalan selamat adalah memakai baju kurung. Selipar yang menyukarkan saya memakai stokin juga diganti. Begitulah sedikit sebanyak usaha yang telah saya lakukan.

Ada hikmah yang tersembunyi.

Kebetulan waktu itu, berat badan saya naik mendadak. Alhamdulillah. Allah membantu saya dan mempermudahkan niat saya untuk cuba mendekatinya. Dek kerana saya tidak lagi sekurus dulu, tidak cantik berpakaian singkat dan ketat, alhamdulillah, kegemukan ini juga menjadi pendorong kepada saya untuk mengubah penampilan diri.

Saya juga bersyukur kerana keluarga saya tidak melayan saya seperti 'makhluk asing'. Walaupun tidak menyokong saya secara total, tapi mereka tidak melarang saya 'berhijrah'. Malahan, bila bersama-sama membeli pakaian, mereka juga turut membantu. Alhamdulillah.

Saya akui, bukan mudah berhijrah. Sungguh kita tidak akan mampu melakukannya seorang diri. Saya harus bersyukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada sahabat dan keluarga iluvislam.com. Tanpa mereka, saya mungkin bukan saya hari ini. Krew iluvislam terutamanya sahabat forum team, tak kurang user dan pengisian di dalam iluvislam.com antara pemberi semangat buat saya untuk terus kekal hijrah ke jalannya. Alhamdulillah. Moga semuanya akan terus di sisi saya, memberi sokongan dan doa untuk saya meneruskan sisa-sisa kehidupan.

Pegang tangan ini, jangan biar jatuh. Pimpin tangan ini jangan biar lemah. Tunjukkan jalan jangan biar sesat. Ingatkan diri ini jangan biar lupa. Perbaiki diri ini jangan biar salah. Kita kawan sampai syurga. InsyaAllah.

Aturan Allah adalah terindah buat saya. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan.

Allah berkuasa atas segalanya. Dan Dia juga berkuasa mengubah hati manusia menurut kehendak hati-Nya.

"Barangsiapa dikehendaki Allah akan mendapat hidayah (petunjuk), Dia membukakan dadanya untuk (menerima) Islam. Dan barangsiapa dikehendaki-Nya sesat, Dia jadikan dadanya sempit dan sesak, seakan-akan dia (sedang) mendaki ke langit. Demikianlah Allah menimpakan siksa kepada orang2 yang tidak beriman."
(Surah Al-An'am : Ayat 125)

Katakanlah (Muhammad), "Alasan yang kuat hanya pada Allah. Maka kalau Dia mengkehendaki, niscaya kamu semua mendapat petunjuk".
(Surah Al-An'am : Ayat 149)

Hidayah Allah datang dalam tidak disangka-sangka. Namun kadang-kadang kita sengaja palingkan wajah. Tidak mahu membuka hati dan mengizinkan hidayah itu singgah ke hati kita. Mungkin kita masih tercari-cari, atau barangkali kita kata, nanti-nantilah. Tapi jangan kita lupa, mati itu pasti dan kita tidak tahu bila. Jangan lupa bahawa sesungguhnya dunia hanya sementara, akhirat itu yang abadi. Bantu membantulah kita ke arah kebaikan. Dan janganlah kita bantu membantu ke arah keburukan. Pandang kiri dan kanan. Mungkin di satu sudut, sahabat kita perlukan sokongan dan bimbingan dari kita. Toleh kanan dan kiri, mungkin di sebelah kita, sahabat kita meraba-raba dalam kegelapan menunggu kita memimpin tangannya.

Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).
(Surah Al-'Ankabuut 29:57)

Masuk syurga sama-sama. Biar di syurga kita bertemu lagi. Tanamkan niat dan keinginan itu di dalam hati kita. Andai kita mahu ke syurga, ingatlah juga sahabat-sahabat kita. Apakah kita tergamak membiarkan dia ke neraka? Atau barangkali ketika kita sedang cuba melangkah ke syurga, dia menarik kita bersamanya ke neraka, kerana khilaf kita ketika di dunia, membiarkan dia dalam kesesatan, Naauzubillah.

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat). (Al-'Ankabuut 29:64)

Saya sendiri sedang mencari kekuatan. Memperbaiki diri sendiri dan cuba semampu saya untuk mengingatkan sahabat-sahabat sekalian tentang pentingnya ingat-mengingatkan, bantu-membantu ke arah kebaikan. Kerana saya tahu, bahawa 'kekuatan' saya cuma di sini, di medan tulis ini. Dan saya berdoa dan berharap, agar sesiapa yang membaca, mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

Ini baru soal pakaian. Kan? Lain-lain pula bagaimana? Bukan senang mahu 'senang', jika punya kelapangan, insyaAllah akan disambung lagi. Sementara itu, selamat membaca dan menkaji Quran. Jadikan ia teman baik kita. Setiap waktu setiap ketika. Baca maksudnya dan cuma renungkan, bayangkan, kita sedang membaca 'warkah cinta' dari Kekasih yang Agung. Berbahagialah..

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami jadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan mereka (yang buruk) sehingga mereka bergelumang dalam kesesatan. Mereka itulah orang-orang yang akan mendapat seksaan buruk dan mereka di akhirat adalah orang-orang yang paling rugi."

[ Surah An-Naml : Ayat 4&5]


"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi."

[Surah Al-Imran : Ayat 8]

Wallahua'alam. Hanya ALlah yang Maha Mengetahui.

Monday, November 29, 2010

Doa Buat Kawan dari Seorang Kawan

Jangan mengaku kawan kalau dia jatuh kamu palingkan wajah. Jangan mengaku kawan, kalau dia tersesat kamu membiarkan. Jangan mengaku kawan kalau dia berbuat salah, kamu tidak menegur, sebaliknya mengumpat di belakangnya..

Banyak orang tidak sedar kesalahan sendiri, maka itulah perlunya kawan yang baik, untuk saling melengkapi dan mengasihi. Kerana Allah.

Jangan menunding jari, mencari salah orang dan menyalahkan orang lain sebelum muhasabah diri dan periksa diri sendiri. Jangan menganggap diri terlalu sempurna dan terlepas dari sebarang kemungkinan untuk melakukan kesilapan. Jangan lupa bahawa sesungguhnya kita manusia sukar untuk nampak kesalahan sendiri, malah sebaliknya cenderung untuk nampak kesalahan dan keburukan orang lain. Bak pepatah orang dulu-dulu. Lebih kurang begini bunyinya;

"Gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang diteropong."

"Kain sendiri koyak tak perasan, kain orang yang koyak kita nampak."

Rahsia Allah, kita tidak tahu. Perjalanan hidup kita, samada yang telah kita lalui ataupun bakal kita tempuhi, semuanya dalam pengetahuan-Nya. Kita tidak tahu apa-apa. Namun itu bukan alasan untuk kita mudah berputus asa dan menyalahkan takdir. Bukan juga alasan untuk kita berpeluk tubuh dan membiarkan masa terus berlalu begitu sahaja. Kita punyai usaha dan kudrat, akal dan minda, naluri dan perasaan, kehendak dan keinginan. Kita punyai jasad dan tulang empat kerat. Segalanya adalah anugerah dari-Nya. Teruskanlah mara ke hadapan. Berusahalah.

Sungguh kita tidak tahu apa yang bakal menanti kita di hadapan. Namun janganlah risau, usah gentar. Allah sentiasa ada bersama kita. Sebelum kita lahir ke bumi, Dia kirimkan Rasul dan Al-Quran untuk membawa cahaya dan menunjukkan jalan yang lurus buat kita.

Dan Dia tidak ciptakan kita sebatang kara. Kita punyai ibu dan ayah. Kita ada abang dan kakak, adik-adik dan saudara mara. Kita punya kawan-kawan. Semua orang perlukan teman. Begitu juga saya perlukan anda semua, kawan-kawan saya.

Seiring dengan peredaran masa. Kawan datang dan pergi. Ada yang sentiasa setia di sisi, namun jumlahnya tidak banyak. Beruntunglah andai kita miliki kawan yang setia itu. Biarpun diperlimbahan sekalipun, cahayanya tetap berkilauan. Tidak kira susah atau senang, dia akan sentiasa bersama. Andai kita terjatuh, dia akan menarik kita ke atas. Andai kita tersesat, dia akan menunjukkan jalan yang betul. Andai kita terbuat silap, dia akan menegur dan memperbaiki kesilapan kita. Dia akan menutup aib kita. Dia akan melindungi kita dari kedukaan. Dia tidak akan memperbesar-besarkan kekurangan kita. Dia tidak akan menyakiti hati kita sewenang-wenangnya. Dia akan sentiasa mendoakan kita. Sentiasa.

Sebagai manusia yang punyai kekurangan dan kelemahan. Saya juga perlukan kawan untuk terus berdiri teguh. Nobody can live alone. Terima kasih Tuhan kerana meminjamkan kawan-kawan yang sentiasa setia di sisi, mendoakan dan memberi pendorong untuk diri ini meneruskan kehidupan, biar susah atau senang.

Saya juga berterima kasih, kepada teman yang sudi kirimkan doa ini..

"Oh Allah, i don't know of all challenges this person has, but You know everything.. I hear her silence, You hear her plead.. I hear her laughter, You see her tears. Isee when she gives, You see what has been taken from hers.. I see her appearance, You see her soul. I experience her faith, You knew hers doubts. I pray to you, is to give her everything she needs and bless her abundantly for all the times to come.. Ameen.."

Amin ya rabb. Moga Allah memakbulkan semua doa-doamu. Kawan.

Monday, November 22, 2010

Bukan Daun Keladi.

Pertama kali dalam hidup saya berjauhan dengan keluarga tersayang adalah ketika saya berusia 16 tahun, yakni selepas mendapat keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan PMR dan terpilih untuk menyambung pengajian di salah sebuah MRSM di Negeri Sembilan. Segalanya sudah tertulis dalam 'skrip Ilahi'. Saya cuma seorang 'pelakon'.

Kerana ketentuan Ilahi, saya berhijrah dari desa yang sinonim dengan sungai dan sawah padi ke felda yang intim dengan tanaman pohon kelapa sawit. Oh! Mungkin ramai yang tidak tahu, saya anak jati Kelantan.

Faham-fahamlah orang Kelantan sejati. Cikgu Bahasa Melayu pun mengajar menggunakan loghat Kelantan. Apatah lagi anak murid yang kekampungan seperti saya ini. Di awal persekolahan di tempat baru, saya mengalami kesulitan dalam pergaulan dengan rakan sekelas. Mereka tidak faham apa yang saya cakap! Dan saya pula tidak tahu bagaimana boleh membuat mereka faham!

Saya yang asalnya peramah, periang, suka banyak cakap akhirnya menjadi pemurung, pendiam dan tertekan dengan situasi baru ini. Ditambah dengan masalah sampingan lain, jiwa saya menjadi kian kacau.

Dek kerana 'tiada orang faham saya' dan saya pula bukanlah seorang 'pemendam perasaan yang baik', akhirnya saya terfikir jalan untuk meluahkan perasaan saya ini kepada seseorang. Dan waktu itu, terdetik di fikiran saya untuk bertemu guru kaunselor, Cikgu Firdaus.

Egonya saya waktu itu.

"Apa dia nak cakap nanti, semuanya aku pun dah tahu, ah, jumpa saja lah, asalkan ada orang boleh dengar masalah aku ni, sukahati dia lah nak kata apa, " itu 'mind-setting' saya sebelum melangkah kaki masuk ke bilik kaunselor.

Alhamdulillah, sesi kaunseling berjalan lancar. Cikgu Firdaus juga menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Namun 'magiknya', sebaik sahaja keluar dari bilik kaunseling, sepatah apa yang cikgu cakap, sedikit pun tidak melekat dalam kepala saya. Lupa semuanya. Allahu.

Benar, saya rasa lebih lega, cumanya, saya tidak mampu mengaplikasikan apa yang diberitahu oleh kaunselor kerana sedikitpun ia tidak masuk ke dalam minda dan jiwa saya.

Kenapa?

Apakah kerana Cikgu Firdaus tidak cukup profesional? Atau butir bicaranya tidak cukup bermakna?

Waktu itu saya tidak tahu kenapa, dan 'lupa' untuk fikirkan kenapa. Saya bersikap tidak cakna dan endah tak endah.

Namun, setelah usia meningkat dewasa, akhirnya persoalan itu terjawab jua.

Halangan.

Rupa-rupanya, ia adalah kerana 'mind setting' saya sebelum melangkah masuk bertemu kaunselor. 'Mind setting' saya telah mencipta halangan dan sekatan daripada menerima sebarang input baru. 'Mind setting' saya telah menutup segenap ruang dan peluang untuk mendengar kata-kata dan nasihat daripada Guru Kaunselor. Ibarat daun keladi yang diselaputi lilin, disimbah air beratus kali pun tidak akan basah.

Perasan bagus.

Keduanya, saya rasa ilmu dan pengetahuan saya telah cukup dan memadai buat saya. Dan mungkin terdetik, "saya lebih baik daripada dia, kenapa saya harus dengar nasihat dia?". Saya fikir saya tidak lagi perlukan bantuan sesiapa dan saya sudah cukup sempurna. Mampu berdikari, berdiri atas kaki sendiri dan tahu segala-galanya.

Ibarat menutup gelas dengan tapak tangan, kemudian menuangkan air ke dalamnya. Setitik air pun tidak masuk ke dalam gelas, semuanya tumpah ke lantai.

Adab dalam menegur dan ditegur. Adab ketika berkongsi pandangan. Kita bagaimana pula?

Belajar dari kesilapan, kata orang, pengalaman adalah guru yang paling hebat. Saya tidak mahu mengulangi kesilapan serupa sebagaimana yang telah saya lakukan ketika berusia 16 tahun.

Dan saya berdoa, agar kita semua tidak menjadi seperti daun keladi atau gelas yang tertutup rapat.

Beri ruang, untuk diri kita ditarbiyah. Beri peluang untuk jiwa dan rohani kita menerima santapan-santapan yang bermanfaat. Jangan biar ia kelaparan hanya semata-mata kerana kita rasa kita sudah cukup kenyang. Moga-moga, kita peroleh kebahagiaan, dunia dan akhirat.

Wallahua'alam.








Friday, November 19, 2010

I Am Not Perfect! So What?


Pada pertengahan 2007, saya telah mendapat tawaran bekerja di sebuah konsultan minyak dan gas. Seminggu sebelum memulakan kerja, saya telah mencari dan memilih sebuah rumah untuk disewa. Rumah tersebut letaknya pada laluan bas bagi memudahkan saya berulang alik ke tempat kerja. Alhamdulillah. Allah permudahkan segalanya.

Sekali-sekala ketika cuti hujung minggu, kakak saya akan datang menjemput saya, membawa saya pulang ke rumahnya. Kami tinggal dalam daerah yang sama, namun jarak rumah kami kira-kira 30km. Setelah cuti tamat, kakak jugalah yang akan menghantar saya pulang ke rumah sewa untuk kembali menyambung tugas.

Sudahnya, terbit rasa tidak mahu membebankan si kakak. Lalu saya membuat keputusan untuk pulang sendiri ke rumahnya dengan menggunakan kenderaan awam. Oleh kerana saya tidak banyak pengetahuan tentang kenderaan awam, bertukar-tukar bas beberapa kali kemudian terpaksa mengambil teksi, akhirnya saya mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk tiba di rumah kakak yang jaraknya hanya 30km. Waktu itu, hanya Allah yang tahu perasaan saya, semangat berkobar-kobar untuk segera mendapatkan lesen memandu.

Dengan izin Allah, saya berjaya mendapat lesen memandu kereta. Tidak lama kemudiannya pula, saya telah membeli kereta sendiri mengikut kemampuan saya pada waktu itu.

Al-maklumlah kereta baru, sayang tentulah sayang. Di bayar pula dengan wang titik peluh sendiri. Kasihnya menggunung tinggi. Namun dek kecuaian saya sendiri, baru 3 bulan memandu kereta baru, kereta kemek kerana saya telah secara tidak sengaja melanggar divider jalan. Tidak sanggup melihat kecacatan itu, akhirnya saya terpaksa membelanjakan beberapa ratus ringgit untuk mengembalikannya seperti rupa asal.

Beberapa kemudiannya pula, ketika sedang memandu sendirian. Entah dari mana datangnya seketul batu, melantun tepat pada cermin hadapan kereta saya. Aduh. Cermin kereta saya retak pula. Tempat retak itu pula mudah untuk dilihat kerana benar-benar di cermin hadapan. Aduhai. Hati saya menjadi tidak senang melihat kecacatan itu. Sungguh ia mengganggu konsentrasi saya. Setiap kali ternampak kecacatan itu, jiwa ini seolah mendesak-desak agar segera perbetulkannya. Saya benci ketidaksempurnaan itu.

Namun kerana saya tiada masa dan kesempatan untuk ke kedai cermin walaupun insuran kereta mencangkupi cermin, akhirnya niat saya sering terbantut dan tertangguh-tangguh. Dalam tidak redha, saya terpaksa membiarkan saja retak itu di situ. Di depan mata saya.

Hinggalah pada suatu hari, saya beli 'si ladybird' untuk diletakkan di atas 'dashboard' kereta.

Alhamdulillah, dengan kehadiran 'si ladybird', akhirnya berjaya menghalang penglihatan saya daripada terus ternampak retakan tersebut. Selain daripada teruja dengan kecomelannya, dan di tambah pula pandangan saya sudah terlindung, akhirnya saya kian melupai retakan tersebut. Ia menjadi tidak signifikan, seolah-olah tidak lagi wujud sedangkan saya tahu, ia hakikatnya masih ada di situ. Hingga kini.

Kita Ada Kelemahan.

Setiap daripada kita, atau mungkin kita semua tentunya punyai kekurangan dan kelemahan masing-masing. Ibarat pepatah Inggeris yang berbunyi 'Nobody is perfect!'

Namun harus sentiasa sematkan di dalam jiwa, kekurangan itu bukanlah segala-galanya yang menjadi penyebab gagalnya segala impian dan cita-cita kita. Janganlah kelemahan dan ketidaksempurnaan yang ada pada diri kita, menjadi alasan untuk kita tidak mencapai kejayaan. Janganlah kerana kecacatan itu, kita mudah berputus asa dan cepat mengaku kalah. Janganlah kerana kekurangan kita itu, kita selalu mengeluh dan merungut, menjadi malas untuk berusaha. Naauzubillahiminzalik.

Ingat jangan lupa, firman Allah dalam Surah At-Tiin, ayat 4 yang bermaksud;

Aku berlindung dari syaitan yang direjam. Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
[Surah At-Tiin : Ayat 4]


Oleh yang demikian, tanganilah kelemahan yang ada pada diri kita sebaik yang mungkin. Cubalah untuk menutup dan mengatasi kelemahan kita itu dengan kekuatan dan kelebihan lain yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Dan jadikan ketidaksempurnaan kita itu sebagai pembakar semangat, pemangkin untuk kita berusaha lebih gigih, agar kita setanding atau lebih baik daripada insan-insan lain. InsyaAllah.

Stephen Hawking : Sumber

Elakkan daripada tanggapan dan pemikiran yang menganggap bahawa ketidaksempurnaan kita itu suatu masalah besar sehingga mengganggu aktiviti-aktiviti kita yang lain. Seperti apa yang telah saya tulis sebelum ini dalam entri saya yang terdahulu : Secubit Garam. Bezanya sangat ketara jika dibandingkan antara secubit garam yang dimasukkan dalam secawan air dengan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sebatang anak sungai.

Try to take it easy. Bykan bererti kita lari dari masalah atau bersikap tidak ambil peduli, cuma, kita harus mengurangkan tekanan dalam jiwa dan minda kita, mengalih sedikit perhatian dan pandangan agar tidak terlalu fokus kepada kekurangan tersebut, cuba untuk sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif serta optimis.

You are what you think. Jika kita menganggap dan mentafsirkannya sebagai masalah besar yang sangat serius, maka besarlah ia. Sebaliknya, jika kita menerimanya sebagai ujian kecil yang mampu kita atasi sebagaimana firman Allah, bahawa Dia memberi dugaan kepada hamba-Nya yang mampu memikulnya, insyaAllah, kita mampu menanganinya dengan baik, dengan izin Alah.

Accept your weakness. Belajar untuk terima kekurangan dan ketidaksempurnaan dengan redha dan hati terbuka. Yakinlah bahawa Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Percayalah bahawa setiap apa yang dicipta oleh-Nya, tentu ada hikmah dan ibrah yang tersembunyi. Mungkin pada kita ianya buruk tapi mungkin juga, itulah yang terbaik buat kita. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud..

"... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Saya sendiri, adakalanya tertekan dengan beberapa sifat negatif yang ada dalam diri saya, yang tidak mampu saya atasi biarpun usaha telah saya lakukan. Namun akhirnya saya sedar dan akur, ia menjadi negatif kerana saya yang menerimanya sebagai negatif, lalu saya cuba belajar untuk redha dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Semampu saya.

Mari kita cuba! Tafsirkannya sebagai positif, umpamanya;

Saya berbeza daripada orang lain kerana saya memang diciptakan unik!

Saya bukan cacat tapi saya sebenarnya istimewa!

Saya tidak bodoh cuma insan terpilih untuk berusaha lebih gigih!

Mari mencuba! Cubalah! Worry ends when faith begin. Trust me.. And more than that, trust Allah. I believe that we can do it, with Allah wills. All the best and till we meet again.

Wassalam.

Thursday, November 18, 2010

Ya dan Tidak

Janji bukanlah untuk dikhianati.

Harapan bukanlah untuk dihancurkan.

Impian bukanlah mainan.

Kata-kata bukanlah seloka.


Berfikirlah sebelum bertindak.
Jangan sekejap ya kemudian tidak.
Sesuka hati mengikut kehendak.
Sekejap tarik kemudian tolak.


Hati bukan kristal, bukan juga kaca.
Bila terhempas berderainya tetap sama.
Namun luka dan pedih ditanggung berbeza.
Tidak berdarah tapi sakitnya terasa.


Jangan berjanji jika tidak mampu menepati.
Jangan memegang amanah jika tidak sanggup memikulnya.
Jangan berkata-kata jika hanya berdusta.
Dan berpada-padalah dalam pertengkaran...

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya .
(Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) "


Wallahualam.


Allah berfirman, maksudnya :

“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya-Allah”. Dan ingatlah akan tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”. – (AL-Kahfi : 23-24).


Amin ya rabb.

Wednesday, November 17, 2010

Erti Cinta dan Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim..

Sahabat. Salam aidiladha saya ucapkan buat semua. Setakat ini, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk membuktikan cinta kita kepada-Nya? Mari muhasabah jom.

InsyaAllah. Moga kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari kisah pengorbanan mulia Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Semoga kisah itu bukan setakat kisah dongeng, yang kita dengar kemudian kita lupakan. Semoga pengorbanan mereka itu, mengajar kita erti cinta yang sebenar-benarnya. Cinta yang hakiki. Cinta kepada Dia yang satu. Semoga kita dapat mencontohi mereka yang dicintai Allah..

Allahu. Diri ini hakikatnya masih jauh dari-Mu. Cinta ini sesungguhnya tidak sedalam cinta insan-insan pilihan-Mu.


Dan pengorbanan diri ini, ternyata tidak mungkin mampu menandingi pengorbanan rasul-rasul pilihan-Mu. Sungguh kerdil diriku ini.

Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. [Surah Taghaabun : Ayat 15]

Maha Suci Allah. Nabi Ibrahim a.s telah membuktikan bahawa cinta terhadap isteri dan anak tidak mampu menandingi cinta kepada Allah. Begitu tinggi dan agungnya cinta Ibrahim kepada Tuhannya, kita bagaimana? Astagfirullahalazim..

Cinta kita mungkin tumpahnya kepada insan bergelar kekasih, suami, isteri, ibu atau bapa. Anak-anak. Harta kekayaan. Pangkat dan kedudukan. Duniawi oh duniawi. Kita lebih utamakan dunia dan kerap melupakan akhirat. Kita memilih untuk bersenang-senang di dunia dan mengabaikan kesenangan yang hakiki di akhirat kelak. Kita mencintai dunia mengatasi cinta kita kepada Allah swt. Kita tidak sanggup berkorban untuk mendapat tempat di syurga, malangnya terkorban dek godaan nafsu dan hasutan syaitan.

Berkorban apa saja. Tapi apakah yang kita korbankan? Untuk apa pengorbanan kita? Apa imbalan dan ganjaran yang bakal kita perolehi daripada pengorbanan kita itu?

Andai demi cinta manusia kita sanggup korbankan maruah dan harga diri. Apakah pengorbanan itu yang ingin kita persembahkan di hadapan Tuhan kita kelak?

Andai demi cinta kepada pangkat dan kedudkan kita tergamak korbankan solat dan prinsip diri. Apakah pengorbanan itu yang bakal memimpin tangan kita menuju syurga?

Berkorban, biarlah kena pada tempatnya. Berkorban biarlah kerana Allah matlamatnya. Berkorban biarlah kerana takut kepada neraka dan rindu kepada syurga. Berkorban biarlah selaras dengan apa yang dituntut oleh agama. Berkorban biarlah selari dengan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad saw. Kita hidup bersyariat. Ada garis panduan dan cara hidup yang bukan sewenangnya rekaan manusia semata-mata. Kita bukan orang buta, bukan orang pekak, bukan orang yang hidup dalam kegelapan. Kita ada Al-Quran sebagai panduan. Kita diberi cahaya dan petunjuk oleh-Nya. Kita tidak seharusnya meraba-raba dan hidup dalam kesesatan. Kita ummat Muhammad saw. Kita ummat yang dikasihi dan dirindui. Moga pengorbanan Baginda tidak kita sia-siakan. Moga di syurga kelak kita bertemu dengan insan yang terlebih dahulu mengasihi kita sebelum kita lahir ke bumi ini. InsyaAllah.

Ya Allah. Teguhkanlah hati-hati kami. Bimbing dan berilah kami kekuatan untuk meneruskan kehidupan di jalan-Mu. Bantulah kami untuk menuju syurga-Mu. Lindungilah kami dari azab dunia, jauhilah kami dari azab kubur dan janganlah Kau masukkan kami ke dalam neraka bersama mereka yang Engkau murkai..

Allah tidak memberi kesusahan seseorang hamba melainkan apa yang terdaya olehnya. [Al-Baqarah: 233]

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [Al-Ankabut: 2-3]

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (dengan ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). [Al-Baqarah: 214]

Mohon izin untuk berundur. Salam aidiladha saya ucapkan. Saya menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan dari hujung rambut ke hujung kaki. Doakan agar saya dapat perbaiki diri, menjadi insan yang lebih baik, mendapat redha Allah. Doakan agar saya dilindungi dari hasutan syaitan dan nafsu jahat. Doakan agar saya sentiasa dekat dengan-Nya. Doakan agar saya mendapat sebaik-baik tempat di syurga.

Terima kasih sahabat. Hanya itu yang saya harapkan. Doa dari kalian semuanya. Moga Allah membalas jasa baik kalian dengan sebaik-baik ganjaran.

Wassalam wbt..


Dari Yang Tulus,
Sang Hamba
11 Zulhijjah.
17 November 2010