+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, September 30, 2011

Tempatation of Wife - Hui Jia De You Huo - Cinta yang Dikhianati




Kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa saja. Begitulah hebatnya cinta Ai Li sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk merampas cinta Shin Xian. Dan kerana benci dan dendam juga, manusia boleh menjadi kuat sekelip mata. Itulah Lin Pin Ru yang akhirnya kembali dari sebuah kegagalan untuk melunaskan segala dendam yang terpahat.

Hui Jia De You Huo adalah nama sebuah drama China yang kini sedang disiarkan di TV2, setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang. Asalnya cerita ini adalah dari drama Korea yang bertajuk Temptation of Wife.

Kisahnya, tentang seorang wanita yang lemah lembut, penyabar, seorang anak yang taat dan disayangi dalam keluarga, namanya Lin Pin Ru. Lin Pin Ru kemudiannya bernikah dengan seorang lelaki dari keluarga yang kaya, namanya Shin Xian. Pin Ru mempunyai sahabat baik, merangkap adik angkatnya yakni Ai Li. Ibu bapa Pin Ru telah menjaga Ai Li sejak Ai Li berusia 10 tahun. Pin Ru mempunyai seorang abang yang sangat menyanyanginya iaitu Yi De. Yi De pula menaruh hati terhadap Ai Li namun sayangnya, Ai Li telah jatuh cinta pada Shin Xian, merangkap abang ipar angkatnya.

Sepanjang pernikahan Pin Ru dengan Shin Xian, Pin Ru telah mendapat layanan yang buruk oleh ibu bapa mertuanya kerana dia berasal dari keluarga miskin. Pin Ru dilayan seperti orang gaji dan selalu diherdik oleh ibu mertuanya. Malah, Pin Ru pernah keguguran anak pertama kerana cuba menyelamatkan ibu mertuanya, namun dia lansung tidak dihargai. Pin Ru  akhirnya dihalau dari rumah oleh emak mertuanya tanpa belas kasihan.

Keadaan Pin Ru bertambah buruk apabila Shin Xian tewas terhadap godaan dan rayuan Ai Li. Shin Xian akhirnya jatuh ke pelukan Ai Li. Sikap Ai Li yang licik sangat melukakan hati seorang isteri bernama Pin Ru. Malah, dia beberapa kali terserempak dengan Ai Li dan suaminya tidur bersama. Namun begitu, Pin Ru tetap bersabar demi mempertahankan rumahtangganya dan anak dalam kandungannya.

Keadaan tidak berpihak kepada Pin Ru. Hinggalah suatu hari, Pin Ru terjatuh ke dalam laut dan Shin Xian tidak berjaya menyelamatkannya. Tidak cukup dengan itu, Ai Li telah melarang Shin Xian membuat laporan polis dan mereka berpakat untuk memaklumkan kepada seisi keluarga bahawa Pin Ru telah mati kerana membunuh diri. 'Kematian' yang menjadi permulaan kepada sebuah 'kehidupan' baru.

*******************************************************************
Demikian permulaan kisah ini. Ceritanya masih panjang. Saya cuba ringkaskan. InsyaAllah.

********************************************************************

Setelah terjatuh ke dalam laut, Pin Ru telah diselamatkan oleh seorang jejaka, Gao Wen Yuan yang kebetulan sedang mencari adik angkatnya Gao Shan Shan. Pin Ru mengambil masa yang lama untuk bangkit dari segala kesedihan dan kelukaan. Sakit akibat dikhianati dan kehilangan anak yang dikandung buat kali kedua. Setelah mendapat semangat baru untuk meneruskan kehidupan, Pin Ru telah 'hidup kembali' dengan menggunakan nama baru, Gao Shan Shan (kerana terdengar Wen Yuan menyebut nama itu ketika mengigau).

Takdir menemukan beliau dengan Puan Gao, yang juga ibu kepada Wen Yuan. Puan Gao berdendam dengan ayah Shin Xian, Tuan Hong. Dulunya ketika muda, mereka pernah bercinta dan kononnya Tuan Hong telah merampas tanah milik ayah Puan Gao dan mengakibatkan ayahnya meninggal dunia dan anak perempuannya Min Min mati.

Dua wanita yang mempunyai dendam kesumat yang sangat menebal ini akhirnya bersatu, merancang strategi untuk membalas dendam terhadap lelaki-lelaki yang pernah mengkhianati mereka. Takdir berpihak kepada mereka, satu persatu, rancangan mereka berjalan lancar dan hampir sampai ke penghujungnya. Keluarga Hong hampir kehilangan seluruh harta yang mereka bangga-banggakan itu. Hebat sungguh kuasa benci dan dendam!

**********************************************

Saya percaya, ramai wanita dan isteri yang pernah dikhianati oleh suami masing-masing, amat terkesan dengan watak yang dilakonkan oleh Lin Pin Ru. Sakit dan pedih dikhianati oleh insan yang sangat disayangi. Lebih dalam lagi lukanya apabila kehilangan zuriat yang dikandung. Dan saya juga percaya, ramai yang terdetik, "Kan bagus kalau aku dapat balas dendam seperti Pin Ru!"

Kan? Tapi, itu cuma kalau....Cuma kalau...

Dalam Surah At-Tin, ayat ke-8, Allah telah berfirman,


"Bukankah Allah hakim yang paling adil?"

Serahkanlah segalanya kepada Allah untuk mengadili dan menghakimi.

Sebagai hamba kepada-Nya, belajarlah untuk memaafkan.

Kepada mereka yang pernah dikhianati, pernah disakiti, pernah dilukai, pernah dianiaya.. Maafkanlah mereka yang pernah mengkhianatimu, maafkanlah mereka yang pernah menyakiti kamu, maafkanlah mereka yang pernah melukaimu, maafkanlah mereka yang pernah menganiayaimu, maafkanlah mereka yang pernah membuat kamu menderita, maafkanlah mereka yang pernah membuat kamu menangis...

Jika kamu memaafkan, sebenarnya kamu bukan berbuat kebaikan dan kebajikan kepada mereka yang pernah mendera hatimu, tapi sebenarnya kamu telah melakukan kebajikan untuk diri kamu sendiri. Kamu membebaskan dirimu dari sebuah penjara dendam yang gelap lagi menyeksakan. Kamu menghadiahkan dirimu sendiri sebuah kebebasan dari belenggu masa silam yang menyeksakan dan menyakitkan. Kamu mencipta sebuah ruang di hatimu sendiri, untuk membina hidup baru dan kenangan baru yang mungkin lebih indah. Jadi, maafkanlah..

Dan belajarlah untuk meminta maaf. Lumrah orang yang dikhianati akan nampak segala keburukan pada pasangannya, hingga terlupa kekurangan yang mungkin ada dalam diri. Kita manusia, tiada yang sempurna. Kita juga mungkin tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Tutup buku lama, tutup rapat-rapat.

Andai pernah ada niat untuk membalas dendam, lupakanlah....

Mulakan hidup baru, dengan semangat dan azam yang baru. Kita hari ini adalah kerana kita pada hari semalam. Allah tidak ciptakan sesuatu hanya untuk sia-sia, tiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi.

Kesakitan mengajar kita untuk mencari penawar yang paling mujarab. Kesengsaraan mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih kental. Kerana terjatuh, kita akan melompat lebih tinggi agar tidak jatuh lagi. Kerana pernah tersesat, kita tidak akan kembali mengembara tanpa membawa sebarang bekalan.

Kita hari ini, biarlah kita yang lebih baik dari hari semalam. Dan semoga, kerana cinta, kita dicintai Allah. Pemilik segala cinta.







3 comments:

AsNiza said...

Kawan2 yg berminat dengan drama ini, jom tengok episod last kisah ni jom..

http://www.youtube.com/watch?v=fJOX672TU4c&feature=related

沙希达 said...

I love this story
Suke tgk watak pinru yg kuat lps jatuh
Such a good review ya ukhti
well done ;)

Salam ukhwah ^^

Unknown said...

assalamualaikum

boleh tolong berikan drama ni? lama dah cari..tak dapat2.ada yg korea dan filipina.. terjumpa versi china tp tak ada subtitle lak...terima kasih banyak2