Allah berfirman dalam Surah Al-An'am, ayat yang ke - 134 yang bermaksud,
"Sesungguhnya apa pun yang dijanjikan kepadamu, pasti datang dan kamu tidak mampu menolaknya.."
Kita ini manusia yang lemah. Kita tahu, segala firman Allah adalah benar dan pasti. Kita tahu, tidak sempurna iman seseorang jika tidak beriman dan meyakini sepenuhnya pada qada' dan qadar.
Allahu Allah.. Saya tahu semuanya tapi mengapa sukar memujuk diri sendiri agar sentiasa bersedia dengan apa jua dugaan mendatang? Mengapa sukar untuk memujuk diri agar sentiasa bertawakal pada kepada Allah? Mengapa sukar untuk memujuk diri agar sabar dan redha dengan setiap ujian yang menduga?
Lebih teruk daripada itu, kita sering takut pada perkara yang belum lagi terjadi. Takut pada bayang-bayang yang tak mampu mencederakan. Imaginasi kita yang menakut-nakutkan kita. Seolah-olah, di dalam kepala kita ini, kita cipta sejenis raksaksa yang ganas-lalu kita takut pada raksaksa itu. Lucu kan?
Kita juga sering takut pada 'what if' atau 'kebarangkalian' itu dan ini. Kita takut pada hari esok yang belum datang. Kita takut pada sesuatu yang belum wujud.
Atau cuma saya yang begitu? Lemah sungguh iman saya ini rupa-rupanya.
Bukan kita tidak tahu, segala ketentuan, tiap apa yang terjadi, semuanya di tangan Allah swt. Tidak akan menimpa walau apa pun musibah tanpa keizinan Allah. Takkan gugur daun ke tanah tanpa izin Allah, tapi mengapa hati kita ini terlalu lemah, tidak mampu menyerah diri sepenuhnya kepada Allah?
Saya malu.. Saya ini hamba yang bagaimana? Lupa diri atau tidak tahu bersyukur? Saya ini milik siapa kalau bukan milik Allah. Dia berhak sepenuhnya ke atas diri ini. Siapa saya untuk mempertikaikan keputusan Tuan saya?
Airmata ini begitu mudah mengalir. Benarlah. Tiada pipi yang tidak pernah basah. Suatu ketika dulu saya pernah menangis dengan melupakan Allah. Rasanya sangat perit. Sekarang pun saya menangis lagi. Tapi alhamdulillah, sekarang menangis dengan Allah di hati. Dan esok pun, saya mungkin menangis lagi. Doa saya, biarlah airmata ini menambahkan lagi keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah.
Saya harus kuat. Lebih kuat lagi. Saya mesti terima segalanya dengan hati yang tenang.
Jangan salahkan perpisahan kerana tanpa pertemuan ia tak mungkin terjadi. Jangan salahkan pertemuan, kerana tanpa izin Allah Adam dan Hawa juga tak mungkin bertemu. Jangan takut pada hari esok, kerana esok belum tentu kita masih hidup. Nikmatilah keindahan hari ini sebaik-baiknya. Hargailah dengan sebaik yang mungkin.
Apa pun yang terjadi pada esok hari. Serahkanlah ia sepenuhnya kepada Allah swt. Kita pasti mampu bertahan selagi Allah ada. Jangan takut pada bayang-bayang sendiri. Di dalam gelap, ia juga akan hilang meninggalkan kita.
No comments:
Post a Comment