+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, March 29, 2012

Seribu Jalan, Satu Destinasi

Jarak antara rumah saya dengan rumah kakak saya adalah kira-kira 30km. Lebih kurang begitulah.


Pada awalnya, saya cuma tahu satu jalan untuk berulang-alik pergi dan balik dari rumahnya. Hanya jalan itu yang saya tahu dan saya sentiasa menggunakan jalan itu. Pergi dan balik melalui jalan yang sama yakni Laluan A.

Selepas beberapa ketika, berulang kali melalui jalan yang sama saya mula berasa rimas dengan kesulitan yang terpaksa saya tempuhi sepanjang laluan itu seperti terpaksa melalui banyak lampu isyarat dan jalan yang sesak. Lalu saya mula terfikir untuk mencari altenatif laluan yang lain pula.

Saya beranikan diri, mencuba jalan dan laluan yang lain. Lalu bertemulah saya dengan Laluan B. Dengan jalan dan laluan ini, saya terlepas daripada masalah kesesakan dan lampu isyarat yang banyak. Saya  berasa lega kerana masalah pertama saya tadi sudah dapat diselesaikan. 

Saya senang dengan jalan baru ini. Namun, lama-kelamaan, saya sedar ada satu lagi masalah baru. Apabila dikira dengan tepat jarak yang terpaksa dilalui, rupa-rupanya jalan di Laluan B ini sangat jauh. Aduh. Ada masalah baru pula rupa-rupanya. Lebih kilometer terpaksa ditempuhi, lebih banyak masa diperlukan untuk sampai dan lebih banyak bahan bakar yang diperlukan. 'Rugilah saya,' saya mula berfikir.

Lalu saya berkira-kira lagi. Tidak boleh selamanya begitu. Kemudian saya mencari-cari dan mencuba-cuba jalan lain pula. Saya berharap agar saya ketemu laluan baru yang lebih baik, lebih dekat agar saya boleh tiba dengan lebih cepat ke destinasi yang ingin di tuju. Dan pada masa yang sama saya tidak mahu kesesakan lalu lintas. Saya pun tak mahu menunggu di lampu isyarat.

Setelah mencari dan mencuba, akhirnya saya ketemu jalan yang baru. Laluan C pula. Alhamdulillah. Laluan ini lebih singkat, lebih dekat jaraknya. Tiada lampu isyarat yang banyak. Tiada kesesakan. Saya benar-benar gembira dengan jalan yang terbaru ini. Alhamdulillah.

Saya dengan senang hati menggunakan jalan yang paling baru ini. Sebelum ketemu Laluan C ini juga, saya telah mencuba pelbagai jalan lain yang tidak menepati kehendak saya. Jika dihitung mungkin tidak cukup jari saya ini. Ada-ada sahaja kelemahan dan kekurangannya. Tapi Laluan C ini adalah jalan yang terbaik yang menepati citarasa saya. Saya gembira bukan kepalang.

Namun kegembiraan itu tidak berkekalan. Setelah kerap berulang alik, akhirnya saya mula sedar timbulnya satu lagi masalah yang baru. Jalan ini yang kononnya terbaik, rupa-rupanya juga ada kelemahan. Tol yang perlu di bayar agak mahal! Pulak dah.. Saya ingatkan segala masalah saya sudah selesai, tapi rupa-rupanya, ada lagi masalah baru. Kos untuk bayar tol agak tinggi. Sekali-sekala tak mengapalah, tapi bila kerap, ditambah semua jumlahnya-jadi sangat besar nilainya. Saya rasa rugi perlu membayar lebih sedangkan ada lagi laluan lain yang percuma.

Sudahnya, saya kembali memilih jalan asal yang lebih pendek jaraknya. Sesak dan ada banyak lampu isyarat, tapi jaraknya adalah yang paling singkat. Dan bila bosan menunggu di lampu merah, saya lalu laluan lain pula dan begitulah seterusnya. Untuk tiba ke satu destinasi, kini saya punya pelbagai alternatif.

Benarlah. Manusia akan bertambah kreatif, inovatif dan inisiatif apabila keadaan mendesak. Setelah berhadapan dengan pelbagai masalah-barulah kita tahu bagaimana cara menyelesaikannya. Usah membuang masa, mencipta dan membayangkan masalah di dalam minda semata-mata. Tak guna 'mencipta' seekor raksaksa ganas di dalam imaginasi kita kemudian kita sendiri yang takut kepada raksaksa yang belum wujud itu. Teruskan hidup dengan ceria-jgn takut utk melangkah ke depan.

Prepared for the best. Expected for the worst.

Kedua. Terimalah kenyataan bahawa dunia adala dunia. Di atas dunia ini kita tak mungkin dapat segala apa yang kita mahu. Dunia ini ibarat penjara bagi orang yang beriman. Mana ada penjara yang serba selesa? Tentulah ada banyak kekangan dan halangan yang menuntut kita agar bersabar dan lebih kuat dari hari ke hari.

Di atas dunia ini kita akan diuji dengan pelbagai jenis ujian. Apabila sukses satu ujian, akan datang ujian yang lain pula dan begitulah seterusnya sehingga kita kembali ke tanah. Jgn terlalu mengharapkan kesempurnaan krn ia adalah mustahil. Setiap apa pun jua pasti ada kelemahan dan kekurangan. Yang sempurna cuma Allah taala.

Oleh itu, belajarlah untuk menerima kekurangan dan ketidaksempurnaan.

Ketiga, jgn takut mencuba. Usah terlalu cepat berpuas hati. Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Berusahalah untuk jadi orang yang lebih baik setiap masa.

Keempat, berserah dan bertawakal kepada Allah. Kita mungkin telah merancang dan memilih jalan yang terbaik, tapi sekiranya ada kemalangan tiba-tiba, itu ketentuan dariNya. Jangan menyalahkan diri dan jangan pula menyalahkan takdir. Terimalah dengan hati yang sabar dan redha.

Hidup ini adalah sebuah perjalanan menuju ke satu destinasi yang pasti yakni mati dan seterusnya syurga atau neraka. Jalannya banyak, ada pelbagai dan kita yang memilihnya.

Seandainya tersesat, carilah jalan pulang segera. Jika keliru, bukalah 'buku manual' - baca Al-Quran dan rujuklah hadis-hadis nabi. Jika tidak tahu, berguru dengan orang yang berilmu. Jika terasa lemah, bergaullah dengan orang yang soleh agar dapat mengingatkan kita supaya tidak terus sesat. 

Semoga kita mati dalam keadaan husnul khatimah. Amin ya rabb..

No comments: