"Ish! Hari-hari hujan, nak jemur pakaian pun payah. Nak keluar rumah pun leceh!" Rungut Ali. Mukanya masam mencuka.
Dengan takdir Allah, hari esoknya panas terik. Tidak lagi hujan seperti hari-hari semalam. Ali ingin beriadah bersama anak-anak dan isterinya di taman berhampiran. Tiba di taman, matahari masih memancar cahaya, bersinar terang. Bahangnya terasa. Mereka berpeluh-peluh, kulit pula terasa perit.
"Ish! Panas betullah. Tak selesa badan berpeluh, kesian anak aku kulit terbakar sinaran matahari. Kalau hujan kan bagus, tak panas sangat" Ali merungut lagi dan begitulah seterusnya tidak kira hujan atau panas, kita manusia memang suka merungut.
Saya teringat satu kisah yang telah lama saya baca. Kisahnya mengenai seorang anak muda yang mengembara dan merantau di tempat orang. Setelah jauh mengembara, si anak muda ini bertemu dengan seorang orang tua yang kebetulan ingin melalui jalan yang sama. Lalu mereka mengembara bersama-sama.
Tiba di satu persinggahan, melihat awan kian mendung, anak muda lalu bertanya kepada orang tua itu.
"Pakcik. Apa pendapat pakcik, hari ini akan hujan atau tidak?" tanya anak muda.
"Pada pendapat pakcik, hari ini adalah hari yang indah yang pakcik tunggu-tunggu," orang tua itu tersenyum lalu menjawab santai.
Tidak lama kemudian, hujan pun turun. Anak muda itu melihat orang tua itu begitu gembira. Lalu dia berandaian bahawa orang tua itu sukakan hari hujan.
Esoknya, anak muda itu bertanya lagi. "Pada pendapat pakcik, hari ini akan hujan atau tidak?" dia bertanya seraya mendongak ke langit.
Orang tua itu tersenyum lalu menjawab,
"Pakcik rasa, hari ini tentunya hari yang indah yang pakcik nanti-nantikan". Anak muda itu menyangkakan orang tua itu mengharapkan hari hujan. Lalu mereka meneruskan perjalanan.
Dari pagi hingga ke petang, hujan yang ditunggu-tunggu tidak juga datang namun orang tua itu tetap juga kelihatan gembira. Anak muda itu berasa pelik lalu bertanya.
"Pakcik, bukankah pakcik harapkan hari hujan, pakcik berasa gembira bila hujan turun. Tapi kenapa hari ini tak hujan tapi pakcik juga kelihatan gembira?"
Orang itu tersenyum lagi lalu menjawab,"Anak, sebenarnya bagi pakcik tiada bezanya hujan atau pun tidak. Semuanya dari Allah dan pakcik terima dengan hati yang senang. Jadi, setiap hari adalah hari yang indah buat pakcik, kerana ianya adalah anugerah dari Allah" begitu orang tua itu menjelaskan.
Anak muda itu mengangguk kepala, mengerti. Bukan hujan atau panas yang jadi penentu kebahagiaan, tapi hati kita. Orang yang bahagia adalah orang yang bersyukur dan redha dengan ketentuan takdir.
Kita bagaimana?
No comments:
Post a Comment