Barangkali, waktu itu saya masih terlalu kecil. Terlalu muda untuk mengerti apatah lagi membuat penilaian terhadap beberapa 'kejadian aneh' yang terjadi antara kedua ibu-bapa saya. Ya lah. Waktu itu saya tak tahu apa. Cuma tahu pergi ke sekolah pada hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.
Pulang dari sekolah, saya mencari makanan di dapur. Apa yang ada di dapur, sedap atau tidak, itulah makanan saya. Kemudian saya bermain dengan kawan-kawan jiran tetangga. Lalu hari pun malam. Oleh kerana zaman kanak-kanak, rumah saya belum ada bekalan elektrik, selepas makan malam, saya adik-beradik terus masuk tidur. Begitulah rutin harian saya.
Di celah-celah rutin hidup saya juga, tidak terpisah dengan 'kejadian aneh' yang terjadi antara emak dan ayah saya. Aneh. Sungguh aneh.
Bagai Kutub Utara dengan Kutub Selatan.
Bayangkanlah. Emak dan ayah saya ini adalah dua manusia yang sangat berbeza perwatakannya. Hairan sungguh, macam mana mereka boleh bertemu, kemudiannya saling jatuh cinta, seterusnya merancang untuk mendirikan rumah tangga. Lalu lahirlah kami empat beradik. Saya anak yang kedua.
Emak saya ini, suka bercakap. Apa saja yang terlintas dalam kepalanya, semuanya diluahkan. Seolah-olah tiada rahsia yang perlu dijaga. Kadang-kadang, ada juga ceritanya yang ditambah perisa, supaya kedengaran lebih 'lazat'. Pendek kata, memang hobinya suka bercakap, suka bercerita. Dia juga peramah, cepat mesra dengan sesiapa pun dan suka berkawan dengan ramai orang.
Tapi, ayah saya ini pula kurang bercakap. Jarang kalau nak dengar dia membuka cerita. Kecuali dengan saya, anak kesayangannya ini, suka juga dia bersembang. Dengan orang lain, ayah cuma bercakap bila perlu atau yang penting saja. Melainkan kalau dia marah dan sedang berbalas mulut dengan emak, barulah dia banyak cakap. Itupun, 'modal' yang dia gunakan untuk berperang mulut dengan emak selalunya sama sahaja di ulang-ulang. Seolah tiada modal lain dan kelihatan suka mengungkit.
Emak saya ini kasar orangnya. Kalau dengar cerita zaman kanak-kanak sehingga zaman mudanya, saya pun ada masanya sukar menerima hakikat betapa 'ganasnya' emak saya ini. Sekali-sekala berkumpul dengan makcik-makcik, yakni kakak-kakak emak saya, mereka sering bercerita pengalaman mereka ketika kanak-kanak. Sahih! Emak saya ini memang ganas orangnya. Suka bergaduh, bertumbuk tak kira dengan lelaki atau perempuan. Jangan dia disakiti, pasti cepat melawan.
Degil dan berani tak kenal erti takut. Ketika sedang mengandungkan adik saya yang nombor tiga pun emak ada pukul orang dengan kerusi. Manakala ayah saya ini pula, lemah lembut orangnya. Boleh saya katakan, ayah saya ni 'manja'. Tak pernah saya dengar cerita ayah saya ini bergaduh dengan sesiapa. Kecuali dengan emak saya. Hehe.
Kalau bab makan. Emak suka ayam atau daging yang digoreng sekejap asalkan masak. Ayah suka yang garing-garing. Kalau masak mee segera, emak tak suka dipotong-potong. Tapi ayah suka potong dulu, panjang sangat susah nak makan katanya. Emak saya ini, makan apa saja yang boleh dimakan tapi ayah saya, banyak benda yang dia tak suka makan.
Pelik sungguh mereka berdua.
Bila bab bekerja pula, emak lebih rajin dan pantas dalam melakukan kerja. Ke sawah, ke kebun getah. Kadang-kadang menebas hutan. Saya rasa, emak lebih kuat tenaganya daripada ayah. Emak boleh bekerja dari awal subuh hingga ke malam tanpa mengeluh. Saya nampak ayah bekerja ala kadar saja, tidak segigih emak kalau dibandingkan keduanya itu.
Bab pengurusan kewangan pula. Emak lebih boros tapi ayah suka berjimat cermat. Emak saya kalau ada seguni duit dalam masa satu hari pun dia boleh habiskan tapi ayah saya pula, selalu fikir untuk hari esok.
Seperti Tom and Jerry
Memandangkan waktu itu, hidup kami susah. Wang sering mencetuskan pergaduhan antara kedua ibu-bapa saya. Bekerja pagi hingga ke malam pun, pendapatannya tidak seberapa. Tambah pula, waktu itu upah dibayar bergantung kepada 'budi bicara' orang yang memberi upah. Maka, hasilnya tidak seberapa.
Untuk membesarkan kami adik-beradik, mereka bersusah payah mencari rezeki. Dalam tempoh membesar itu juga, saya dan adik-beradik sering melihat keduanya bergaduh, bertengkar. Pondok buruk kami tidak pernah sunyi daripada pertelingkahan keduanya itu. Tapi yang saya pelik, mereka tetap juga tinggal sebumbung, tidur sebantal. Misteri.
Walaupun terlalu banyak perbezaan antara keduanya, malahan mereka sering bergaduh, alhamdulillah, hubungan mereka berkekalan hingga ke saat ayah saya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Malahan, tahun-tahun akhir sebelum ayah kembali ke rahmatullah, ayah pernah berkata,"Biar ayah mati dulu, jangan emak yang mati dulu."
Biarpun ketika muda mereka sering bergaduh, tapi di hujung usia kasih antara mereka kian terserlah. Sejak ayah jatuh sakit, emak sentiasa setia di sisi menjaga ayah dengan baik. Membawa ayah bertemu doktor, kadang-kadang berurut dan berubat pelbagai cara untuk melihat ayah kembali sihat. Maka saya bertambah pelik.
Ada apa pada ikatan yang mengikat mereka? Hingga mereka dapat kekal bersama selamanya. Misteri.
Serba Ekspress.
Dewasa ini, sering kita dengar tentang kes perceraian di mana-mana. Ada yang bernikah sebulan, kemudian bercerai. Ada yang bernikah dua hari kemudian menjatuhkan talak. Ada juga yang bernikah berpuluh tahun pun bercerai berai. Sebenarnya ada apa pada ikatan yang mengikat mereka? Apakah ikatan pernikahan itu sudah tiada nilai, tiada harga?
Atau kerana kita sekarang ini suka yang cepat dan pantas. Bas ekspres, keretapi ekspres, mee ekspress, maka perceraian pun ekspress. Tidak suka berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan. Bukankah dalam Islam, Allah memberi penghormatan kepada kaum Adam untuk membuat keputusan menjatuhkan talak. Bukankah secara fizikal dan mental, orang lelaki lebih kuat daripada orang perempuan? Bertindak sebagai pemimpin dan pelindung keluarga.
Seharusnya juga, orang lelaki lebih bijak dalam membuat keputusan. Tapi mengapa, perceraian yang menjadi pilihan? Benar, Islam menghalalkan perceraian apabila bertemu jalan buntu untuk menyelesaikan masalah, tapi, apakah benar jalannya sudah benar-benar buntu? Atau semata-mata kerana kita ingin penyelesaian yang segera, terburu-buru dan ekspres?
Entahlah. Semuanya masih misteri. Saya sangka, setelah dewasa saya akan mengerti hakikat semuanya ini. Namun rupa-rupanya saya silap, misteri ini masih lagi tinggal misteri.
No comments:
Post a Comment