Bunga yang cantik, indah berwarna-warni lagi wangi baunya, jika diberi kepada kera, tiada nilainya. Dicampak dan dipijak. Silap haribulan mungkin akan dibaling semula ke muka si pemberi lalu berdarah. Begitu juga, kata-kata yang indah, nasihat dan peringatan, jika diberikan kepada orang yang tidak tahu menghargai, semuanya hanya sia-sia. Tiada bermanfaat.
Alhamdulillah. Pengalaman selama lebih kurang 3 tahun mengendalikan forum, telah menemukan saya dengan pelbagai jenis manusia, ada pelbagai kerenah. Bayangkanlah, user forum berpuluh ribu, mencecah seratus ribu lebih tentulah masing-masing ada perwatakan dan pembawaan yang tersendiri. Unik, variasi dan pelbagai lagi, susah saya nak jelaskan. Syukurlah juga, semuanya itu telah berlalu, kini cuma tinggal kenangan.
Saya ingat lagi, ada seorang user yang saya respek sangat-sangat. Beliau 'suka' betul bergaduh dengan saya, yang waktu itu memegang amanah selaku ketua moderator. Tanpa kenal erti jemu dia terus mengasak. Ada sahaja tindakan saya yang dipertikaikan. Atas banyak alasan juga, kerana tindakannya, dan kerana etika forum, saya dan pihak forum telah ban beliau, berulang kali. Tapi tanpa jemu juga dia datang kembali. Sign up nick baru dan kena ban dan sign up lagi. Jika tidak silap ingatan saya, lebih 5 kali beliau kena ban.
Apa yang saya respek tentang beliau, walaupun kami bertegas menghalang 'kegiatan' beliau, setegas itu jugalah beliau pertahankan hujah dan pendiriannya. Tanpa jemu. Bergaduh, berkelahi, ada-ada saja. Tapi hakikatnya matlamat kami sama dan kerana matlamat yang sama itu jugalah, pergaduhan sebegitu rupa tidak menjadi kudis kepada kami. Lama-lama, kami belajar untuk lebih bertolak ansur dan lebih memahami antara satu sama lain. Saya juga banyak belajar darinya.
Untung beliau bukan seperti kera. Tidak mensia-siakan atau membuang bunga di tangan. Biarpun pada awalnya berperwatakan antagonis, tapi kerana dia berterusan sudi 'bergaduh' dengan saya, dari situ membuka ruang buat kami untuk lebih memahami. (Sekalung penghargaan buat semua user iluvislam yang selama ini pernah 'berperang' dengan saya. Kalian banyak mengajar saya apa erti berlapang dada, bertolak ansur dan pada masa yang sama, menegakkan hak yang sepatutnya. Jzkk)
Semoga saya, kita semua tidak menjadi seperti kera. Kera tidak tahu menghargai keindahan. Jika ada orang datang mengingatkan, memberi nasihat yang baik-baik, janganlah mudah berburuk sangka. Husnuzon dan berbaik sangkalah. Mungkin pada awalnya kita tidak senang dengan ucapannya, tapi, janganlah pula kita tolak mentah-mentah. Siapa tahu, musuh yang paling ketat pada hari ini, esok adalah teman kita yang paling baik. Insyaallah.
Lebih teruk daripada kera. Jangan jadi seperti Abu Jahal. Walaupun telah banyak kali diberi peringatan, ditunjukkan mukjizat Nabi berulang kali, bulan terbelah dua di hadapan mata juga dia kekal menolak agama yang dibawa oleh Muhammad saw.
Setiap manusia ada batasannya. Jangan mengharapkn maksum daripada manusia yang tidak maksum. Jangan mengharapkan kesempurnaan daripada manusia yang semuanya tidak sempurna. Berpada-padalah dalam menguji kesabaran orang lain.
Jangan kita jadi seperti Abu Jahal. Diberi peringatan dengan baik, tanpa kekerasan namun dia tetap memusuhi kebenaran. Dah tak makan saman dengan cara yang baik. Lalu Allah janjikan neraka untuknya. Abu Jahal dan kera. Baik lagi nasib kera. Setidak-tidaknya, kera tidak dijanjikan neraka..
No comments:
Post a Comment