+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, March 9, 2012

Kita Sahabat




Alhamdulillah. Tengah hari ini saya diizinkan oleh Allah swt untuk menjamu selera bersama teman sekerja saya, Ms. T. Niat awal tidak ingin makan tengah hari pada hari ini, tapi, pelawaan orang tak manis ditolak. Lalu akhirnya kami makan berdua tengah hari tadi.. Alhamdulillah.

Teringat pula kenangan pada zaman silam. Ketika di asrama di mana rakan sebaya hidup berkelompok-kelompok. Saya ini berbeza. Pada satu masa yang sama saya ada dua 'geng'. Geng pertama adalah geng rakan senegeri yang juga rakan sebilik dan geng lagi satu ialah rakan-rakan sekelas. Mereka kata, saya tiada semangat setiakawan, tidak setia pada kumpulan, tapi pada saya, berkawan biarlah juta-juta. Musuh, seorang pun jangan! Tak gitu? =)

Tamat tingkatan lima, saya lanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Lucu juga. Cerita sama berulang lagi. Saya ada dua geng. Satu geng rakan-rakan sebilik dan jiran sebelah bilik. Geng lagi satu adalah geng sama kelas. Kerap juga saya dalam dilema apabila ke dua-dua geng memerlukan saya pada masa yang sama. Sudahnya, saya terpaksa 'korbankan' salah satu darinya dan setia pada yang satu.

Tiba-tiba saja teringat kenangan silam, kenangan ketika dikelilingi rakan-rakan. Ketawa bermain sama-sama. Masuk alam pekerjaan, semuanya tentu sekali berubah. Saya juga telah berubah.

Kalau dulu peramah dan ceria. Suka bergurau dan menyakat orang, kini sudah tua. Sudah tidak serancak dulu. Tidak seriang dulu. Ah. Manusia normal memang begini, kan? Mudah benar berubah..

Apapun, pesan emak supaya sentiasa senyum akan tetap saya pegang. Biar apa pun keadaan, senyumlah. Biar apapun jua yang berkecamuk di dalam jiwa, senyumlah.

Kehidupan ini berjalan bukan mengikut kehendak kita semata-mata. Benar, kita boleh merancang, tapi yang menentukan segalanya adalah Allah swt.

Dalam kehidupan ini, kita ada impian ingin dicapai. Kita berusaha untuk menjadikannya realiti tapi andai Allah tidak izinkan, ianya cuma tinggal mimpi.

Allah swt berfirman dalam surah Al-An'am ayat yang ke 134, maksudnya. 'Sesungguhnya apa pun yang dijanjikan kepadamu, pasti datang dan kamu tidak mampu menolaknya.'

Benarlah firman Allah swt.

Apa yang telah berlalu tidak akan berlaku lagi. Apa yang bakal terjadi pada esok hari, tiada siapa yang tahu melainkan Allah swt.

Rakan taulan kita, sahabat karib kita, mungkin suatu masa dahulu selalu setia bersama kita namun kini mereka menjadi sebahagian daripada sejarah hidup kita. Begitu juga sahabat kita pada hari ini, mungkin esok akan menjadi sebahagian daripada sejarah hidup kita.

Mereka datang dan pergi bagai angin lalu. Oleh itu, siapa sahabat kita hari ini-hargailah mereka. Kerana esok, belum tentu mereka ada di sisi kita. Bukankah dalam setiap pertemuan akan ada perpisahan?

Kata Ibn Taimiyyah - "Jangan terlalu bergantung pada insan lain di dunia ini kerana bayang kita sendiri juga akan meninggalkan kita ketika dalam kegelapan."

Kata Mat Lutfi dalam videonya yang bertajuk Kopiah dan Rokok pula - "Kita tak akan mampu hidup sendirian selagi kita tidak bergantung sepenuhnya kepada yang tidak mati (Allah swt)"

Justeru, railah dan hargailah sahabat-sahabat kita. Jangan had-kan siapa kawan kita, siapa bukan kawan kita, usah hidup berkumpulan dan tidak mengalu-alukan orang lain dalam kumpulan kita. Raikanlah semuanya. Dan jangan pula berlebih-lebih dalam apa jua yang dilakukan. Wasathiyyahlah sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Pesanan ini sesuai benar untuk diri ini. InsyaAllah.

Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat kepada kita kerana mungkin suatu hari nanti, musuh ketat kita itu tidak mustahil akan menjadi sahabat baik kita. Hanya Allah yang tahu. Jangan pula terlalu membenci kerana mungkin esok, kita mencintai.

Jom. Berpesan-pesanlah kita. Peringatan ini buat diri saya sendiri juga adanya. Doakan saya sahabat. Moga ketemu sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq. Amin ya rabbal alamin.

No comments: