Bismillahirrahmanirrahim..
Selawat dan salam buat Nabi junjungan, keluarga dan para sahabat.
Indahnya janji-janji Allah, antaranya yang tercatit pada ayat yang ke-22 dalam Surah Ar-Rad.
"Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik."
Subhanallah. Ganjaran tempat yang baik (syurga!) dijanjikan kepada orang yang bersabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya, menolak kejahatan dengan kebaikan! Wah. Nampaknya, ini 'tiket' untuk kita ke syurga.
Tempat duduk di dalam kapal terbang bagi kelas pertama dan kelas ekonomi juga tidak sama. Untuk dapatkan tempat duduk yang paling selesa, paling baik layanannya, paling sedap makanannya - tentulah kita kena bayar lebih. Begitulah kiranya, kalau kita mahukan tempat kesudahan yang terbaik yakni syurga, maka, 'price to pay' tentulah jauh lebih 'mahal'.
Ya. Bukan mudah menolak kejahatan dengan kebaikan. Bukan mudah bersabar semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, tapi ingat, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Dan ingatlah jua, ganjarannya adalah syurga!
Menaiki bukit tentulah lebih sukar jika dibandingkan dengan keadaan ketika kita menuruni bukit. Kerana kita, berhijrah dari bawah naik ke atas, dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih baik. Namun, usahlah cepat merasa lelah dan jangan pula mengalah kerana nun di atas sana, ganjaran dari Allah sedang menanti kita.
Di dalam al-quran jelas menceritakan keadaan neraka dan penghuninya. Sesudah mati, tempat kita cuma satu antara dua. Syurga ataupun neraka. Tiada yang tengah-tengah.
Kalau kita tidak sanggup bersusah payah mendaki ke atas, apakah kita rela jatuh ke bawah? Andai kita tidak bersungguh-sungguh melakukan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya, apakah kita sanggup biarkan diri kita dibakar di dalam neraka?
Terkena percikan api di dunia pun kita tidak sanggup, apatah lagi dicampakkan ke dalam neraka yang berganda-ganda jauh lebih panas. Naauzubillah.
Maka, kita sememangnya tiada pilihan. Kalau tak mahu masuk neraka, mesti usahakan untuk masuk syurga. Mesti!
Jom. Kita muhasabah diri kita. Selama kita hidup, sudah banyak mana kita sedekah? Dah banyak mana amal ibadat kita? Sudah banyak mana ilmu kita bermanfaat kepada orang lain? Sudah cukupkah amalan kita?
Mendaki bukit itu payah, menuruni bukit itu mudah. Namun, antara syurga dan neraka, aku mahukan syurga!
Ampunilah kami, rahmatilah kami ya Allah..
No comments:
Post a Comment