Alhamdulillah. Puji dan syukur ke hadrat Ilahi, Tuhan sekalian alam. Syukur kerana setelah kita tidur, kita masih lagi dibangkitkan. Syukur kerana sepanjang kita tidur, kita tidak sedar apa yang sedang berlaku pada diri kita apatah lagi pada rumah kita, bila kita membuka mata pada pagi ini, semuanya masih kekal selamat seperti hari sebelumnya. Alhamdulillah.
Kita masih diberi peluang untuk hidup sehari lagi. Kita masih diberi peluang untuk bertaubat dan mensucikan diri dari dosa. Kita masih diberi peluang untuk memohon kemaafan daripada insan-insan yang pernah kita sakiti. Kita masih diberi peluang untuk mengumpul amalan dan bekalan untuk dibawa ke alam akhirat. Terima kasih Allah.
Sahabat kita yang suatu masa dahulu ketawa dan menangis bersama telah pun pergi meninggalkan kita untuk selamanya. Giliran kita entah bila? Ayah kita yang dulunya mengendong dan menyuap kita makanan, juga telah pergi meninggalkan alam ini buat selama-lamanya. Giliran kita bila? Allah telah berfirman bahawa setiap yang bernyawa pasti mati. Dan kita. Pasti mati! Bilakah masanya hanya Allah swt yang maha mengetahui.
Berdoa dan berusahalah, agar kita mati dalam keadaan yang baik. Cukup amalan dan bekalan untuk menghadap Ilahi. Kerana yang pasti, setelah roh meninggalkan jasad, sejuta penyesalan tiada gunanya. Tiada lagi u-turn. Sudah sampai masanya kita menikmati ganjaran atau balasan atas apa yang kita kerjakan ketika hidup kita di dunia. Allahuakbar.
Sebagai manusia yang fitrahnya mempunyai nafsu. Ditambah pula dengan sumpah dendam syaitan yang inginkan anak cucu Adam bersama mereka di neraka, kita manusia cenderung melakukan dosa dan maksiat. Biarpun mempunyai akal namun tanpa keimanan yang teguh, kita pasti tewas pada godaan dunia dan hasutan syaitan. Naauzubillah.
Kerana kita manusia biasa, bukan maksum. Kerana kita sememangnya manusia, bukan malaikat. Justeru, kita tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan.
Oleh itu, syukurlah. Kerana Allah masih lagi menyambung kontrak pinjaman nyawa dan jasad kita, memberi kita peluang untuk menginsafi diri, mensucikan diri dari dosa dan maksiat, bertaubat dan memohon keampunan dariNya. Moga Allah mengampunkan dosa kesalahan kita. Moga Allah melindungi kita dari perkara dosa dan maksiat. Semoga Allah menjauhkan kita dari api neraka. Amin ya rabb.
Hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Mati pasti tiba. Mungkin saya pergi dulu sebelum kalian. Mana salah saya, sudilah kiranya kalian maafkan. Mana silap saya, moga sudilah kalian tunjukkan. Kerana saya ini cuma manusia biasa, sama seperti kalian. Tidak lepas melakukan kesalahan dan tidak pula dapat melarikan diri daripada malaikat maut.
Jom! Ingatkan saya. Ingatkan diri kita. Mari kita bersyukur dengan segala nikmat dan anugerah dari Ilahi dengan memanfaatkan segalanya ke arah kebaikan. Sebelum mata terpejam buat selamanya.
Ya Tuhan kami.. Berikanlah kami kemaafan, ampunilah kami, rahmatilah kami.. Engkaulah penolong kami maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir..
Amin ya rabb..
No comments:
Post a Comment