"Kalau ingat kita masa kanak-kanak dulu, siapa sangka kita sekarang macam ni. Aku sendiri pun kadang-kadang rasa macam tak percaya. Dulu kita susah, sekarang ni alhamdulillah." Kata kakak saya pada suatu hari. Saya setuju ikut tersenyum mengia-iakan kata-katanya.
Syukur pada Ilahi atas segala anugerah. Walaupun saya sekarang bukanlah kaya raya tapi setidak-tidaknya bila saya lapar, saya ada makanan untuk di makan. Jika inginkan sesuatu, saya ada wang untuk membeli. Bukankah ini suatu nikmat yang sangat besar yang patut saya hargai?
Ramai orang di luar sana hidup dalam kelaparan, hidup merempat tiada tempat tinggal untuk berteduh. Menadah tangan mengharapkan belas ihsan daripada orang lain demi meneruskan kelangsungan hidup. Alhamdulillah, kini kami bebas dari belenggu itu. Bebas dari belenggu kemiskinan.
Orang yang pernah merasa hidup susah seperti saya ini, membesar dalam kepayahan dan serba kekurangan, berusaha keras untuk keluar dari cengkaman kemiskinan sangat mengerti nilai wang ringgit. Ya! Betul! Wang tidak mampu membeli segala-galanya, tapi dalam dunia sekarang, segala-galanya memerlukan wang.
Untuk menuntut ilmu, berdakwah juga perlukan wang. Untuk bersedekah jariah juga perlukan wang. Untuk ke tempat kerja mencari rezeki juga perlukan wang. Dan ada masanya, nilai dan harga diri seseorang juga perlukan wang.
Iyalah. Memang tak salah hidup dalam kemiskinan, bukan suatu dosa, tapi, Islam juga tidak melarang kita menjadi kaya. Jadilah kaya seperti Abdul Rahman bin Auf, atau Uthman Bin Affan. Nabi juga berniaga untuk dapatkan keuntungan. Namun, adalah lebih indah apabila kekayaan kita itu dimanfaatkan, diinfakkan ke jalan Allah semata-mata kerana ingin mendapatkan keredhaan dariNya.
"Awak dulu PMR dapat semua A, SPM pun dapat semua A, awak mesti budak bijak kan?" Puji seorang teman.
"Bukan saya bijak, tapi saya usaha keras sebab dulu saya miskin. Saya tak mahu miskin sampai bila-bila."
"Selama saya bersekolah, mak ayah tak pernah kejutkan saya pagi-pagi nak pergi sekolah. Saya terjaga sendiri. Masa darjah satu, saya selalu menangis kejutkan emak takut terlambat ke sekolah. Haha." Saya berkongsi cerita zaman kanak-kanak. Terasa lucu. Dan terharu dengan diri sendiri. Betapa gigihnya saya belajar waktu itu. Walaupun masih kecil.
But, well. Manusia ini sifatnya lemah. Mudah lupa dan lalai. Saya pun!
Sedangkan waktu kecil saya dah cukup matang untuk berfikir - untuk apa belajar . Namun, apabila naik ke peringkat univesiti - saya menjadi hanyut. Mengejar fatamorgana yang tidak wujud sehingga tegar membiarkan mimpi sedari zaman kanak-kanak hancur berkecai. Ah! Akhirnya saya kenal erti sebuah kegagalan.
Mungkin itulah natijahnya, apabila niat belajar hanya untuk kepentingan duniawi - bila kabus menutupi saya menjadi sesat. Belajar kerana miskin. Tapi bila mendapat biasiswa, jauh daripada keluarga, dekat dengan orang yang sering memewahkan saya dengan wang ringgit - saya jadi lupa pada niat asal saya belajar supaya tidak miskin.
Kegagalan itu cukup menyakitkan, terasa diri begitu lemah tak mampu untuk bangkit semula.
Namun, Allah masih menyayangi diri ini. Biarpun terpaksa mengengsot untuk mencapai garisan penamat, saya tetap teruskan langkah dengan izinNya. Walaupun hasilnya tidak memberangsangkan, tapi saya bersyukur seadanya. Allah masih menyayangi diri ini dan tidak biarkan saya terus tenggelam tanpa sebarang hasil.
Allah menguji dalam bentuk dan cara yang Dia mahu. Terserah kepada penerimaan kita, bagaimana kita menghadapinya. Samada keimanan kita makin bertambah atau sebaliknya, kita yang memilihnya.
Dewasa ini, sering saya terbaca dan terdengar - peringatan supaya belajar dan ikhlaskan niat kerana Allah. Belajar kerana ia kewajipan seorang muslim. Belajar kerana dunia dan akhirat. Belajar kerana ia juga ibadah. Belajar bukan semata-mata untuk dapatkan kerja yang bagus, gaji yang besar, jawatan yang tinggi - bukan sekadar ingin keluar dari kemiskinan. Tapi, lebih dari itu!
Dangkalnya saya dulu kala - belajar cuma kerana ingin keluar dari kepompong kemiskinan. 'Lucu' dengan diri sendiri.
Namun, Alhamdulillah, bukankah kita perlu belajar sehingga ke liang lahad? Syukurlah. Saya mungkin terlewat tapi belum terlambat untuk tersedar dan ikhlaskan niat belajar kerana Allah. Moga Allah merahmati. Dan menjaga hati ini dalam menuntut ilmu. Amin ya rabb.
No comments:
Post a Comment