+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, November 19, 2010

I Am Not Perfect! So What?


Pada pertengahan 2007, saya telah mendapat tawaran bekerja di sebuah konsultan minyak dan gas. Seminggu sebelum memulakan kerja, saya telah mencari dan memilih sebuah rumah untuk disewa. Rumah tersebut letaknya pada laluan bas bagi memudahkan saya berulang alik ke tempat kerja. Alhamdulillah. Allah permudahkan segalanya.

Sekali-sekala ketika cuti hujung minggu, kakak saya akan datang menjemput saya, membawa saya pulang ke rumahnya. Kami tinggal dalam daerah yang sama, namun jarak rumah kami kira-kira 30km. Setelah cuti tamat, kakak jugalah yang akan menghantar saya pulang ke rumah sewa untuk kembali menyambung tugas.

Sudahnya, terbit rasa tidak mahu membebankan si kakak. Lalu saya membuat keputusan untuk pulang sendiri ke rumahnya dengan menggunakan kenderaan awam. Oleh kerana saya tidak banyak pengetahuan tentang kenderaan awam, bertukar-tukar bas beberapa kali kemudian terpaksa mengambil teksi, akhirnya saya mengambil masa lebih kurang 5 jam untuk tiba di rumah kakak yang jaraknya hanya 30km. Waktu itu, hanya Allah yang tahu perasaan saya, semangat berkobar-kobar untuk segera mendapatkan lesen memandu.

Dengan izin Allah, saya berjaya mendapat lesen memandu kereta. Tidak lama kemudiannya pula, saya telah membeli kereta sendiri mengikut kemampuan saya pada waktu itu.

Al-maklumlah kereta baru, sayang tentulah sayang. Di bayar pula dengan wang titik peluh sendiri. Kasihnya menggunung tinggi. Namun dek kecuaian saya sendiri, baru 3 bulan memandu kereta baru, kereta kemek kerana saya telah secara tidak sengaja melanggar divider jalan. Tidak sanggup melihat kecacatan itu, akhirnya saya terpaksa membelanjakan beberapa ratus ringgit untuk mengembalikannya seperti rupa asal.

Beberapa kemudiannya pula, ketika sedang memandu sendirian. Entah dari mana datangnya seketul batu, melantun tepat pada cermin hadapan kereta saya. Aduh. Cermin kereta saya retak pula. Tempat retak itu pula mudah untuk dilihat kerana benar-benar di cermin hadapan. Aduhai. Hati saya menjadi tidak senang melihat kecacatan itu. Sungguh ia mengganggu konsentrasi saya. Setiap kali ternampak kecacatan itu, jiwa ini seolah mendesak-desak agar segera perbetulkannya. Saya benci ketidaksempurnaan itu.

Namun kerana saya tiada masa dan kesempatan untuk ke kedai cermin walaupun insuran kereta mencangkupi cermin, akhirnya niat saya sering terbantut dan tertangguh-tangguh. Dalam tidak redha, saya terpaksa membiarkan saja retak itu di situ. Di depan mata saya.

Hinggalah pada suatu hari, saya beli 'si ladybird' untuk diletakkan di atas 'dashboard' kereta.

Alhamdulillah, dengan kehadiran 'si ladybird', akhirnya berjaya menghalang penglihatan saya daripada terus ternampak retakan tersebut. Selain daripada teruja dengan kecomelannya, dan di tambah pula pandangan saya sudah terlindung, akhirnya saya kian melupai retakan tersebut. Ia menjadi tidak signifikan, seolah-olah tidak lagi wujud sedangkan saya tahu, ia hakikatnya masih ada di situ. Hingga kini.

Kita Ada Kelemahan.

Setiap daripada kita, atau mungkin kita semua tentunya punyai kekurangan dan kelemahan masing-masing. Ibarat pepatah Inggeris yang berbunyi 'Nobody is perfect!'

Namun harus sentiasa sematkan di dalam jiwa, kekurangan itu bukanlah segala-galanya yang menjadi penyebab gagalnya segala impian dan cita-cita kita. Janganlah kelemahan dan ketidaksempurnaan yang ada pada diri kita, menjadi alasan untuk kita tidak mencapai kejayaan. Janganlah kerana kecacatan itu, kita mudah berputus asa dan cepat mengaku kalah. Janganlah kerana kekurangan kita itu, kita selalu mengeluh dan merungut, menjadi malas untuk berusaha. Naauzubillahiminzalik.

Ingat jangan lupa, firman Allah dalam Surah At-Tiin, ayat 4 yang bermaksud;

Aku berlindung dari syaitan yang direjam. Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)."
[Surah At-Tiin : Ayat 4]


Oleh yang demikian, tanganilah kelemahan yang ada pada diri kita sebaik yang mungkin. Cubalah untuk menutup dan mengatasi kelemahan kita itu dengan kekuatan dan kelebihan lain yang telah Allah anugerahkan kepada kita. Dan jadikan ketidaksempurnaan kita itu sebagai pembakar semangat, pemangkin untuk kita berusaha lebih gigih, agar kita setanding atau lebih baik daripada insan-insan lain. InsyaAllah.

Stephen Hawking : Sumber

Elakkan daripada tanggapan dan pemikiran yang menganggap bahawa ketidaksempurnaan kita itu suatu masalah besar sehingga mengganggu aktiviti-aktiviti kita yang lain. Seperti apa yang telah saya tulis sebelum ini dalam entri saya yang terdahulu : Secubit Garam. Bezanya sangat ketara jika dibandingkan antara secubit garam yang dimasukkan dalam secawan air dengan secubit garam yang dimasukkan ke dalam sebatang anak sungai.

Try to take it easy. Bykan bererti kita lari dari masalah atau bersikap tidak ambil peduli, cuma, kita harus mengurangkan tekanan dalam jiwa dan minda kita, mengalih sedikit perhatian dan pandangan agar tidak terlalu fokus kepada kekurangan tersebut, cuba untuk sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif serta optimis.

You are what you think. Jika kita menganggap dan mentafsirkannya sebagai masalah besar yang sangat serius, maka besarlah ia. Sebaliknya, jika kita menerimanya sebagai ujian kecil yang mampu kita atasi sebagaimana firman Allah, bahawa Dia memberi dugaan kepada hamba-Nya yang mampu memikulnya, insyaAllah, kita mampu menanganinya dengan baik, dengan izin Alah.

Accept your weakness. Belajar untuk terima kekurangan dan ketidaksempurnaan dengan redha dan hati terbuka. Yakinlah bahawa Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Percayalah bahawa setiap apa yang dicipta oleh-Nya, tentu ada hikmah dan ibrah yang tersembunyi. Mungkin pada kita ianya buruk tapi mungkin juga, itulah yang terbaik buat kita. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud..

"... dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Saya sendiri, adakalanya tertekan dengan beberapa sifat negatif yang ada dalam diri saya, yang tidak mampu saya atasi biarpun usaha telah saya lakukan. Namun akhirnya saya sedar dan akur, ia menjadi negatif kerana saya yang menerimanya sebagai negatif, lalu saya cuba belajar untuk redha dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Semampu saya.

Mari kita cuba! Tafsirkannya sebagai positif, umpamanya;

Saya berbeza daripada orang lain kerana saya memang diciptakan unik!

Saya bukan cacat tapi saya sebenarnya istimewa!

Saya tidak bodoh cuma insan terpilih untuk berusaha lebih gigih!

Mari mencuba! Cubalah! Worry ends when faith begin. Trust me.. And more than that, trust Allah. I believe that we can do it, with Allah wills. All the best and till we meet again.

Wassalam.

6 comments:

AhmadNizamuddin said...

Assalamu'alaikum...

Sekali tengok tajuk, macam bengang kat orang. Rupanya tak bengang pun. Sekali mula baca, ingatkan nak cerita tentang rumah sewa dan kereta. Rupanya pendahuluan di sebalik penceritaan. Haha... Andaian-andaian awal. Hehe...

Kitalah manusia. Saling lengkap melengkapi. Si suami melengkapi si isteri. Si isteri melengkapi si suami. Si sahabat melengkapi si sahabatnya yang lain. Si abang melengkapi si adik. Si adik melengkapi si abang. Manusia saling memerlukan.

Kitalah manusia. Yang mahu berusaha untuk mengatasi kekurangan, menangani kelemahan yang ada. Yang perlu sedar, dengan kekurangan itu ada kelebihan, dengan kelemahan itu ada kekuatan.

Kitalah manusia. Yang tak empunya apa pun. Cuma mengharapkan bantuan dan keperluan daripada Yang Maha Esa. Tak boleh juga berdiri di atas kaki sendiri jika tiada keizinan-Nya.

Tetapi, kita manusia. Berusahalah gigih. Biarpun secupak nasi untuk mengisi perut yang kosong. Usah diharapkan bantuan tanpa kesungguhan. Usah mencari rezeki dari jalan yang bukan halal. Kerana kelak, bisa jasad binasa, roh dihina.

Dan kitalah manusia. Yang perlu mencari dan terus mencari. Mencari Sebuah Destinasi.

Wallahu a'lam...

AsNiza said...

Salam wbt.. Nizamuddin..

Terima kasih sudi baca and drop some comments here, jzk..

Tajuk agak kontroversi kali ini, hehe. Mungkin pendahuluan yg agak 'meleret' so kena kurangkan lg in future, insyaAllah..

Makin lama, akak pulak yg makin kagum dgn penulisan (pemikiran?) kamu. Iya kan? Dulu pun akak pernah cakap, kamu mmg dah jauh lebih matang. Cara penulisan juga bertambah bagus. Congrates! =)

Alhamdulillah.

Terima kasih kembali untuk sharing yg bermanfaat. Benarlah, kita hanya hamba Allah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Qasas, semuanya pasti akan musnah kecuali Allah dan kepada Dia kita akan dikembalikan.

Moga, selama kita hidup, dengan anugerah dan nikmat yang Dia berikan, kita manfaatkan sebaik yang mungkin.

Sebagaimana ada siang dan malam, hitam dan putih, lelaki dan wanita, begitu juga kelemahan dilengkapi dengan kekuatan, insyaAllah, semuanya ada pada diri kita.. Dia kan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Jom. Sama2 kita mencari. Moga ketemu destinasi impian.

Wallahua'alam.

AhmadNizamuddin said...

Arrkkk....

Saya budak tak matang. Bercita untuk jadi dewasa yang matang. Tetapi malang, tetap juga tak matang-matang.

Aduhai...

Beginilah nasib diriku yang malang, Oh Tuhan... hehe...

nunui Joe said...

:)

LadyBird said...

salam :)
kak asniza, comel ladybird tu..
menutup kekurangan cermin yang retak..

tiada orang sempurna.. kadang2 ketidak sempurnaan itu merupakan kekuatan pada kita tanpa kita sedari..

yang penting "mindset" kite.. bagaimana kite gunekan ia untuk membantu kehidupan kita..

Anonymous said...

tk d atas entry yang menyentuh hati.teruskan!