+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, April 29, 2010

Pentingkah Sekufu?

"Saya ingin bertanya tentang satu kenyataan yang mengatakan islam menggalakkan perkahwinan yang sama taraf(sekufu) kerana kebahagiaan rumahtangga bergntung kpd persefahaman dan kerjasama yg dpt mengelakkan kemungkinan timbul masalah pasangan suami isteri. bolehkah beri saya perbincangan atau rumuasan yang mendalam mengenai masalah ini?"

Demikian soalan salah seorang user di ruangan forum iluvislam.com, di ambil dari SINI.


Wednesday, April 28, 2010

Kepada-Nya Dia Kembali

Bismillahirrahmanirrahim...

Semoga semuanya di bawah naungan kasih, limpah rahmat Ilahi. Alhamdulillah, panjatkanlah rasa syukur kepada Ilahi, kerana limpah rahmat dan kekuasaan-Nya, kita masih lagi hidup hingga detik ini, nyawa kita masih lagi dipinjamkan oleh-Nya, jasad kita masih lagi berfungsi dengan baik, sungguh nikmat Allah tidak terhitung banyaknya. Biarpun kita menggunakan tujuh lautan air sebagai dakwat, belum lagi mencukupi untuk kita menulis segala nikmat yang Allah berikan kepada kita, maka nikmat Tuhan yang manakah yang telah kita dustai?

Kerana kita masih hidup, kita masih punyai peluang untuk beribadat, berbuat amal kebajikan mengumpul bekalan ke negeri yang abadi.

Kerana kita masih hidup, kita masih mempunyai kesempatan untuk memohon ampun dan bertaubat, agar kita suci dari segala dosa sebelum nyawa berpisah dengan badan.

Kerana kita masih hidup, kita masih diizinkan Allah, untuk berjalan di muka bumi ini, menikmati keindahan alam, menghidu wangian bunga, menatap bulan dan bintang, meluangkan masa bersama insan-insan yang kita kasihi.

Sebelum ajal tiba. Sebelum semuanya terlambat, hargailah segala apa yang kita miliki sebaik yang mungkin.

Saya pernah bercerita di sini "Kerana Kita Mampu" tentang anak sepupu saya yang masih kecil, yang berbulan lamanya terlantar di ward ICU, di IJN. Setelah sekian lama berkelana di tempat orang, akhirnya kedua ibubapanya membuat keputusan untuk pindahkan si anak ke hospital di Alor Setar, Kedah. 27 April, mengikut plan asal, mereka akan bertolak ke Kedah dengan menggunakan ambulan jam 6 pagi kerana keadaan si anak yang masih belum stabil.

Kerana Allah lebih menyayanginya. Dia pinjamkan Muhammad Aiman Bin Muhammad Zain ke dunia ini cuma sehingga tarikh 27 April 2010, jam 6 petang akhirnya dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dari-Nya Aiman datang, kepada-Nya Aiman kini kembali buat selamanya. Berbahagialah duhai ibu dan ayah, penderitaan anakmu sudah berakhir, moga syurga menanti si anak yang masih suci dari sebarang dosa. Al-fatihah buat semua.

Doakan, agar keluarga Muhammad Aiman tabah dan redha dengan ujian dan dugaan yang diberikan.

Di dunia ini, tiada satu pun milik kita, semuanya hanyalah pinjaman. Dia berhak mengambilnya, bila-bila masa sahaja. Kerana kita cuma seorang hamba.

"Ya Allah, hanya kepada-Mu kami menyerah diri, hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.Selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat, jauhkanlah kami dari azab api neraka.. Amin ya Rabb.."

Monday, April 26, 2010

Berpada-pada Dalam Menyintai

"Tersepak batu, batu kena marah."

"Tersepak botol, botol kena marah."

"Kentut pun bau wangi."

"Hempedu pun rasa manis."

Adat orang bercinta, semuanya nampak yang elok. Adat orang menyayangi, yang buruk pun nampak lawa. Bak kata orang tua-tua, ramai yang menjadi buta kerana cinta. Sampai ada yang sanggup terkorban kerana cinta. Wallahua'alam.

Cinta bukan terhad kepada kekasih. Tafsiran cinta meluas. Cinta kepada ibu dan ayah. Cinta kepada sahabat. Cinta kepada rakan sepasukan. Cinta kepada ketua. Cinta kepada dunia. Cinta kepada harta dan kekayaan. Cinta kepada pangkat dan kuasa. Cinta kepada Allah dan rasul dan macam-macam lagi.

Hanya cinta kepada Allah yang kekal abadi.

Sejujurnya. Saya bukanlah orang yang layak untuk mengulas secara panjang lebar, namun cukup sekadar berkongsi pandangan dan pendapat tentang cinta yang melampaui batas. Cinta kepada sahabat.




Cinta ibarat pohon hidup, yang perlu ditanam benihnya, dibaja, disiram dan dibelai. Ada pasang surutnya. Ada masanya kembang mekar, harum mewangi. Ada masanya akan layu terkulai dan mungkin mati. Sedarlah, cinta yang kekal dan hakiki hanya milik Allah. Oleh itu, berpada-padalah dan jangan berlebih-lebih. Kerana ketahuilah, cinta selain dari Allah, suatu hari nanti, pasti mati.

Jangan terlalu memuja dan menyanjung ketika di hati penuh rasa cinta. Jangan terlalu nampak keindahan ketika di hati sarat dengan rasa cinta. Kerana ketahuilah, bila rasa cinta itu hilang, tidak mustahil kita akan mengeji. Bila rasa cinta itu hilang, kawan bisa jadi lawan. Madu menjadi pahit. Gula terasa tawar. Yang nampak cuma kesalahan dan keburukan.

Tidak kira apa jua yang kita lakukan, bersederhanalah.

Baru petang tadi, teman serumah saya bertanya, apa bezanya cinta, kasih dan sayang?

Diam, tiada jawapan.

Kini izinkan saya menjawab. Cinta adalah sesuatu yang sangat 'gila' dan sukar dijangka. Easy to come, easy to go. Sayang milik semua insan yang punyai hati dan perasaan. Kasih pula memerlukan masa untuk dipupuk, bertakhta jauh di dasar hati, kesannya sangat mendalam dan untuk membuangnya terlalu sukar. Sekadar pandangan saya yang serba tidak tahu.

Wassalam wbt.



P/s: Gambar di ambil dari SINI.

Saturday, April 24, 2010

Takziah, Semua Orang 'Sayang' Kamu

"It's okey, dah cantik dah."

"Tak lah, bukan salah kamu."

"Sabar ya, mereka tak faham, insyaAllah semuanya baik-baik belaka."

"Tak mengapa, apa yang kamu buat ni memang betul."

"Tak perlu risau, semua orang suka kamu."

Anda bagaiamana? Selalu dengar kata-kata tesebut? Semuanya positif. Tidak kira apa kita lakukan, segalanya disokong dan dianggap betul. Semuanya tidak salah sehingga kita merasa kita benar-benar menghampiri kesempurnaan. Kitalah yang terbaik, kitalah yang sentiasa di pihak yang benar.

Salam takziah, jika hanya kata-kata positif yang mencecah telinga anda. Anda menghampiri kemusnahan. Tanpa anda sedari.

Manusia diciptakan bersama dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Semuanya rahsia Allah yang hanya Dia yang Maha Tahu. Banyak manusia tidak nampak kesalahan dan kekurangan sendiri, bak kata orang tua, kain sendiri koyak tak nampak, kain orang koyak, mudah ternampak. Kita mudah nampak kesalahan orang lain, dan begitu juga orang-orang sekeliling kita. Mereka sepatutnya nampak apa kekurangan kita.

Jika sepanjang masa mereka sentiasa menganggukan kepala, itu tandanya mereka penipu! Malangnya kita kerana tiada siapa yang sudi memperbetulkan kesalahan kita. Malangnya kita kerana tiada siapa yang sudi mengingatkan kita, mengejutkan kita dari kelekaan.

Sahabat yang baik adalah cermin kepada sahabatnya. Jangan berpura-pura, nyatakan kebenaran biarpun kepahitan. Jika benar sahabat kita melakukan kesalahan, tegurlah dengan berhemah. Jangan biarkan dia terus hanyut atau sesat, dengan perasaan sentiasa betul aka 'syok sendiri'.

Duhai kawan, aku mungkin terlupa, ingatkan aku. Aku mungkin tersesat, tunjukilah aku jalan. Aku mungkin terjatuh, pimpinlah aku. Aku mungkin terleka, kejutkanlah aku.... Jangan lepaskan tanganku, jangan biarkan aku binasa tanpa aku sedar.

Terima kasih.

Friday, April 23, 2010

Duka Sang Cip-Cip

Sang Cip-Cip

Matahari kian melabuhkan layarnya, alam yang terang kini menjadi kelam. Langit bertukar warna. Ibu burung resah gelisah, memandang ke utara, ke selatan, ke timur dan ke barat, namun bayang-bayang bapa burung tetap juga tidak kelihatan. Burung-burung lain semuanya sudah pulang ke sarang, tapi di manakah suamiku? Getus ibu burung di dalam hatinya, tertanya-tanya. Oh Tuhan! Barangkali dia ditimpa kecelakaan. Apalah nasib kami kelak? Sedih. Hampa. Kecewa dan resah.

"Cip! Cip! Cip!" Suara anak-anak burung mengejutkan ibu burung dari lamunan panjang.

"Cip! Cip! Sabar nak, ibu tahu kamu lapar, perut ibu pun serupa, tapi ayahmu belum pulang membawa makanan.." Ibu burung cuba memujuk namun hatinya sendiri tiada siapa yang memujuk. Dia memeluk erat anak-anaknya di bawah kedua belah kepaknya. Kenangan bersama sang suami segar diingatan. Betapa selama ini mereka saling mencintai, hidup bahagia bersama. Betapa mereka bersusah payah mengembeling tenaga membina sarang untuk mereka berteduh, bertelur dan kini mempunyai anak, segalanya susah dan senang diharungi bersama-sama namun kini... Tinggal dia sendirian bersama anak-anak yang baru sehari mengenal dunia. Tanpa insan yang paling dikasihinya. Hatinya hiba dan pilu.

"Oh.. Apalah nasibku ini.." Ibu burung terus merintih meratap sedih.

Suria mengintai dari celahan awan. Masa untuk mencari rezeki sudah tiba. Untuk anak-anaknya meneruskan kelansungan hidup dia harus keluar mencari rezeki. Bimbang anak-anaknya mati kelaparan. Ibu burung menatap wajah anaknya satu persatu. Sayu. Berat hati ingin meninggalkan anak-anaknya yang masih kecil. Namun dia terpaksa, demi sesuap makanan. Demi anak-anak yang dikasihi.

Anak-anak baru mengenal dunia, sedang menangis kelaparan.


"Cip! Cip!" Anak burung menjerit-jerit, mulut mereka terbuka luas, kelaparan.

"Cip! Cip! Sabarlah anak, ibu akan pergi mendapatkan makanan untuk kita" Pujuk sang ibu. Anak-anak yang masih kecil tidak mengerti apa-apa. Mereka cuma tahu menangis.

"Cip! Cip! Ibu harus pergi dahulu anak. Untuk kamu semua." Ujar sang ibu lalu terus membuka sayapnya, terbang meninggalkan dahanan pohon tempat mereka sekeluarga berteduh.

Sedang ia berterbangan, dari jauh sang ibu ternampak pohon yang sedang berbuah lebat. Rezeki anak-anak. Syukurnya di dalam hati. Ibu burung terus singgah ke dahan pohon tersebut. Namun belum sempat dia mematuk buah-buahan yang masak ranum, dia ternampak kelibat suaminya terkulai di tanah. Segera dia terbang mendekat. "Cip! Cip!" Dia girang, gembira bertemu sang suami.


Bangkitlah suamiku, bukalah matamu.. Aku di sini memerlukanmu... Anak-anak kita sedang menanti kepulanganmu..


"Cip! Cip! Cip!" Sang ibu menangis sekuat hati setelah mendapati suaminya sudah tidak bernafas lagi. Hatinya hancur, pecah berkecai. Kecewa. "Cip!Cip!Cip!" Dia meratap hiba. Di bahagian perut suaminya ada kesan darah, pasti kerja budak-budak nakal, tidak berperikemanusiaan melastik sesuka hati. Kenapa manusia kejam? Soalan tiada jawapan. Ibu burung mundar mandir, beberapa kali menggerakkan suaminya dengan kakinya namun suaminya tetap kaku tidak bergerak-gerak. "Cip!Cip!Cip! Aku sayang kamu duhai suamiku. Jangan tinggalkan aku." Rintih sang isteri namun tiada siapa yang mendengar.


Hati mana yang tidak sedih, ditinggalkan engkau yang aku cintai. Pergilah kasih, pergilah sayang. Pertemuan kita cuma sampai di sini. Esok bukan lagi milik kita. Hari mendatang akan aku lalui seorang diri, tanpa kau. Monolog sang burung kehampaan.

"Cip! Cip! Cip!" Ibu burung mengucapkan selamat tinggal setelah dia tiba-tiba terkenangkan sang anak yang kelaparan yang sedang menantinya. Aku harus pergi. Bisiknya di dalam hati. Dalam kesayuan dan linangan air mata, ibu burung berlalu pergi meninggalkan jasad kaku suaminya. Selamat tinggal sayang. Ibu burung kemudian terbang kembali ke dahan pohonan berbuat lebat. Mengambil sedikit makanan untuk anak-anak yang setia menanti di sarang.

Sepenuh kudrat yang ada, ibu burung melebarkan sayapnya ingin segera sampai ke sarang. Pada paruhnya tersepit makanan untuk anak-anak. Tidak sabar rasanya ingin bertemu dengan anak-anak yang dicintai. Makin mendekat, makin hatinya berdegup resah. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Ibu burung hanya mampu berharap, semoga anak-anaknya selamat.

"Cip!Cip!Cip!Cip!Cip!" Jerit pekik sang ibu sebaik tiba di dahan tempatnya membina sarang. Sarangnya kini tiada di tempat asal, terburai di tanah. Berselerakan. Kerja siapakah ini? Mana anak-anakku? Hancur luluh hatinya. Airmatanya kini mengalir laju, lebih laju. Kenapa ambil anak-anakku? Sang ibu terus meratap hiba. Tiada siapa yang mendengar. Tiada siapa yang memujuk. Sendirian. Tanpa suami, tanpa anak-anak. Keseorangan. "Cip.. Cip.. Cip..." suaranya kian tenggelam, pergi bersama harapan yang hilang.

Moral of the story.

Doa orang yang teraniaya sangat makbul. Daripada Abdullah bin Abbas r.a, Nabi saw bersabda: "Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan Allah." (Riwayat al-Bukhari)

Balasan terhadap orang yang zalim sangat buruk, Nabi Muhammad pernah bersabda : "Sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sabda nabi lagi : "Sesungguhnya Allah menangguhkan azab terhadap orang yang zalim, sehinggalah apabila Allah mengazabnya, ia tidak dapat melepaskan diri. (Riwayat al-Bukhari)

Kasihi sesama makhluk. Jangan pentingkan diri sendiri, jangan kerana kepuasan dan keseronokan diri kita, kita mengabaikan perasaan orang lain. Jangan kerana mengejar cita-cita kita, kita lupa bahawa orang lain juga punyai cita-cita dan impian mereka.

Jangan bina kebahagiaan daripada airmata orang lain kerana ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Adil, biar sebesar zarah pun, tidak kira kebaikan atau kejahatan, semuanya ada ganjaran.

Wallahua'alam. Mari kita sama-sama muhasabah diri kita.


Nota kaki: Gambar2 di ambil dari SINI. SITU. Terima kasih.

Thursday, April 22, 2010

Janji Dia

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Demi waktu matahari sepenggalah naik, dan demi malam apabila sunyi..Tuhanmu tiada meninggalkanmu dan tiada pula benci kepadamu...dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan...
[Surah Ad-Dhuha: 1-4]

Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.
[ Surah Al-Insyirah: 5-6]


Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
[Surah At-Tin : 4]

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.
[Surah Al-Bayyinah: 7-8]


Maha suci Allah. Segala puji dan syukur pada Ilahi, Allah Tuhan sekalian alam. Pemilik langit dan bumi. Tidak pernah tidur walau sesaat. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang memulakan dan mengakhirkan. Allah Maha Besar. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah.

Sahabat, bergembiralah, berbahagialah, Allah sentiasa ada bersama kita.. Jangan bersedih kepada mereka yang tengah bersedih.. Jangan gundah gulana kepada mereka yang tengah resah.. Jangan takut kepada mereka yang dalam ketakutan.. Allah kan ada.. =).

Allah berfirman, sesudah kesulitan, ada kemudahan. Oleh itu janganlah kita mudah berputus asa, jangan mengalah, bangkitlah, berusahalah. Allah sudah berjanji dan Dia tidak pernah mungkir janji.

Ayuh, jadilah sebaik-baik manusia, agar syurga menjadi destinasi kita. InsyaAllah, amin..



Tuesday, April 20, 2010

Cinta Jangan Benci

"Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu."

(Imam Nawawi)

Saya dan Nisa membaca ungkapan tersebut bersama-sama. Sebenarnya saya sudah banyak kali membaca ungkapan tersebut, di mana-mana, blog, forum, web site dan macam-macam. Seperti sahabat yang lain, saya bersetuju dan sekata dengan ungkapan tersebut, kononnya, cintakan seseorang kerana Allah, jika hilang cintanya kepada Allah, maka hilanglah cinta saya kepadanya.. namun berbeza dengan Nisa.

"Saya tak suka lah kak cmnie, mana boleh kita tinggalkan sahabat kita kalau dia jauh dari Allah, kita kena bawa dia kembali ke jalan Allah." Begitulah kata-katanya lebih kurang.

Pertama kali saya dengar orang yang tidak suka dengan ungkapan dari Imam Nawawi itu namun penjelasan yang Nisa berikan, adalah rasional dan boleh diterima akal. Saya terpaksa bersetuju dengannya. Kali ini. =)

----------------------------------

Dikisahkan, satu masa dahulu, seorang lelaki yang disegani masyarakatnya sedang berjalan menuju ke pasar. Dari kejauhan lelaki itu melihat orang ramai berkumpul, dan bila dihampiri, mereka sedang memukul dan membelasah seorang lelaki.

"Kenapa kalian memukul dia?" Lelaki bijaksana itu bertanya kepada orang ramai yang sedang dalam keadaan marah. Tanpa belas kasihan mereka membelasah.

"Dia memang patut dipukul kerana telah melakukan banyak dosa." Jawab salah seorang daripada mereka.

"Jika kalian ternampak dia di dalam lubang yang dalam, apakah kalian akan menariknya keluar?" Tanya lelaki bijaksana itu lagi.

"Tentu sekali kami menariknya keluar!" Jawab yang lain pula.

"Jika begitu, janganlah kalian mencela dirinya sekarang," Sambung lelaki bijaksana itu pula.

Lelaki yang bijaksana itu kemudiannya menasihati orang ramai di situ agar mereka sepatutnya tidak mencela walaupun pesalah tersebut telah melakukan banyak dosa. Mereka sepatutnya memberikan bimbingan dan membawa pesalah tersebut ke arah kebaikan, umpama menolong mengeluarkan orang yang terjatuh ke dalam lubang yang dalam.

Orang ramai yang ada di situ mula berasa hairan lalu bertanya, "Apakah saudara tidak membenci dia?"

"Tidak, apa yang saya benci adalah perbuatannya yang salah. Kalau dia tinggalkan perbuatannya itu, maka dia adalah saudara saya." Jelas lelaki yang bijaksana itu lagi.

----------------------------

Kesimpulannya.

Jika Allah itu Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, maka kita sebagai hamba-Nya, apakah kita layak untuk membenci makhluk ciptaan Allah apatah lagi menghukumnya?

Saya akui, hidup di dunia ini, kadang-kadang kita terluka, di lukai samada secara sengaja atau tidak, dikhianati dan disakiti. Namun ketahuilah bahawa sesungguhnya, maaf adalah penawar yang terindah.

Ibarat pesan seorang yang bijak sana, lupakan dua perkara, yakni pertama, keburukan orang kepada kita dan yang kedua, kebaikan kita kepada orang.

Islam menuntut kita saling mengasihi sesama makhluk, lebih-lebih lagi sesama saudara seislam. Allah mengurniakan kita dengan emosi dan perasaan, bukan untuk sia-sia. Hargai pemberian Allah sebaik yang mungkin, manfaatkan dengan baik, mudah-mudahan kita dan sahabat-sahabat kita, sama-sama menjejak kaki ke Jannatul Firdaus.

Yang salah sama-sama kita perbetulkan, yang lemah sama-sama kita perteguhkan, yang senget sama-sama kita perluruskan. InsyaAllah, Allah permudahkan urusan mereka yang membantu orang lain yang berjuang ke jalan Allah.

Wallahua'alam.


Pohon yang Kita Tanam

Langit tidak selalu cerah, awan tidak selalunya putih. Allah yang Maha Pencipta maha berkuasa atas setiap apa yang dicipta-Nya. Kita cuma seorang hamba, hidup untuk mengabdikan diri kepada penciptanya. Mengumpul bekalan untuk dibawa ke hari akhirat. Moga-moga di negeri abadi itu, syurgalah tempat kita.

Pernah beberapa minggu yang lepas, saya 'YM' dengan seorang sahabat.

"Kak, saya dapat rasa nikmat solat selepas saya baca buku itu, dalamnya banyak diceritakan tentang nikmat-nikmat solat, ganjaran untuk orang-orang bersolat, saya harapkan ganjaran tersebut." Lebih kurang begitulah kata-katanya.

"Manusia kan ada dua jenis, ada yang suka kenikmatan dan ada yang takut azab, saya mungkin yang sukakan kenikmatan." Sambung dia lagi. Saya sependapat. Saya akui kebenarannya. Kerana saya adalah golongan yang kedua, saya takutkan azab Allah.

Alhamdulillah, sejak kecil, saya jujur, tidak menipu, tidak mengambil barang orang tanpa izin waima sekeping syiling dalam rumah sendiri. Kerana apa? Kerana saya takutkan balasan Allah.

Maha Suci Allah. Yang menciptakan syurga dan neraka. Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.

Kerana Dia lebih mengetahui bagaiamana sifat dan fitrah hamba ciptaan-Nya. Ada yang mengidamkan syurga. Berbuat kebaikan kerana mengharapkan ganjaran syurga. Beribadat kepada Allah, melaksanakan suruhan kerana bercita-cita untuk menjadi penghuni syurga. Pokok pangkalnya, mengabdikan diri kepada Allah.

Ada golongan lain pula, tidak melakukan maksiat, menjauhi kemungkaran, tidak menganiaya makhluk-makhluk lain, tidak berbuat kejahatan kerana takutkan balasan azab kubur, azab neraka. Mereka menjaga diri dan tidak mendekati segala yang dilarang kerana tidak ingin dicampak ke neraka. Walaupun agak berbeza dengan mereka yang cintakan syurga, namun pokok pangkalnya masih juga sama, percaya dan yakin kepada Allah. Menginsafi diri, kita cumalah hamba dan Dia berhak ke atas kita sepenuhnya.

Syukurlah andai kita tergolong dalam mana-mana golongan di atas.

Jangan kita termasuk dalam golongan mereka yang tidak percayakan syurga dan neraka. Tiada cita-cita dan tidak berusaha untuk mendapat nikmat syurga. Dan tidak pula berusaha untuk melaksanakan suruhan Allah serta menjauhi larangan-Nya kerana tidak takut azab dan seksa Allah. Naauzubillah. Jangan jadi orang yang rugi. Jangan jadi orang yang menganiaya diri sendiri. Jangan jadi orang yang buta hati. Jangan pula jadi seperti orang kafir yang tidak percayakan Allah. Insafilah diri sendiri.

Jangan hanya berpeluk tubuh tidak berbuat apa-apa, kita dapat hasil daripada apa yang kita usahakan. Tanpa berusaha menanam benih, menyiram dan membajainya, mana mungkin kita dapat nikmati buah yang manis?

Kembalilah kepada Allah, muhasabah diri kita sendiri, apa ada dalam hati kita? Gentarkah kita dengan ancaman Allah? Nyamankah kita dengan ganjaran nikmat dari-Nya?

Selawat dan salam buat nabi junjungan Muhammad saw. Kerana membawa cahaya iman ke dalam jiwa-jiwa kami. Kerana menyampaikan ajaran Allah. Kerana memperkenalkan kami kepada Sang Pencipta. Tanpa mu wahai nabi junjungan, kami buta dalam terang. Wahai Tuhan, bimbinglah kami, kurniakanlah kami limpah rahmat, hidayah dan petunjuk-Mu, jangan jadikan kami orang-orang yang sesat, orang-orang yang rugi. Masukkanlah kami ke dalam syurga dan jauhkanlah kami dari azab api neraka. Amin ya rabb.

Dimulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Hanya pada-Mu kami berserah diri, hanya pada-Mu kami memohon pertolongan.. Tunjukilah kami jalan yang lurus..




Monday, April 19, 2010

Kerana Kita Mampu

Bismillahirrahmanirrahim..

Salam sejahtera, semoga sentiasa di bawah rahmat Allah.

"Bila nak kahwin?" Bertalu-talu soalan sebegini, seiras mahupun berbeza tetapi sama maksud sering ditanyakan kepada saya. Sejak mula habis belajar, hingga kini. Jenuh, lali, muak, jemu, geram, bosan, pasrah dan redha segalanya pernah saya rasai. Jika adik-adik dan sahabat-sahabat yang baru berusia awal 20-an sudahpun memasang niat untuk berumah tangga, maka saya berbohong jika saya tiada keinginan tersebut. Namun begitu, hidup saya di muka bumi ini bukanlah semata-mata belajar, bekerja, berkahwin, dapat anak kemudian mati. Selain bernikah, banyak lagi matlamat dan impian lain yang ingin saya tunaikan.

Salahkah saya?

Semalam, 18 April 2010, saya berkesempatan menziarah anak sepupu saya di Institut Jantung Negara, beliau baru berusia 5 tahun. Kini di tahan di ward ICU sejak lebih sebulan yang lalu setelah mengalami komplikasi akibat pembedahan jantung. Sepupu saya dan suaminya, terpaksa bermastautin di IJN sejak hari pertama mereka tiba di situ. Dua minggu pertama berlegar-legar di IJN, sekadar tidur di lobi bangunan dan kemudiannya barulah mendapat tempat penginapan, bilik sewa untuk bermalam yang letaknya agak jauh bagi mereka yang berjalan kaki.

Mendengar cerita mereka, yang bersusah payah datang dari Kedah, terpaksa meninggalkan kerja, sebatang kara di Kuala Lumpur tiada siapa yang membantu, semuanya terpaksa dilakukan berdikari. Ke Chow Kit dengan berjalan kaki untuk membeli susu anak, hingga selipar terputus. Tidur di kaki lima IJN selama dua minggu membuat hati saya terasa sayu. Syukurlah dua minggu yang lepas, kami sekeluarga mendapat tahu tentang mereka, berhubung dengan mereka setidak-tidaknya ada keluarga dekat yang dapat membantu. Boleh mengadu nasib.

Itu nasib si ibu dan si ayah.

Kami tiba di hospital kira-kira jam 6.30 petang, dan kami dibenarkan melawat pesakit cuma dua orang pada satu masa. Kami terpaksa bergilir-gilir kerana jumlah kami yang agak ramai. Tiba giliran saya, sebaik sahaja melangkah masuk ke ICU tersebut, hati saya sebab melihat bayi-bayi lain yang sedang terbaring lemah. Mereka masih kecil. Di beri ujian dan dugaan sebegitu. Mampukah tubuh mereka bertahan?

Tiba di katil anak sepupu. Sudah berusia lima tahun tapi jasadnya sangat kecil ibarat bayi berusia setahun. Kurus cuma tinggal tulang dan kulit. Terbaring dan sekadar minum susu melalui wayar. Bekas jahitan panjang, dari bahagian dada hingga ke perut. Kepala membesar, kaki hitam mungkin kesan ubat. Lemah terbaring tidak bermaya. Tidak cukup dengan itu, paru-parunya juga bermasalah, di bahagian kiri dadanya, juga ditebuk kerana rawatan untuk pari-paru. Hati siapa yang tidak sayu.

Si ibu membelai-belai si anak. Mengusap setiap inci tubuh si anak.

"Cepatlah baik dik, nanti mak dukung, nanti adik main basikal," Suara si ibu memujuk si anak. Air mata saya bergenang menanti masa mahu terjun keluar.

Si anak cuma diam. Mengangkat kelopak mata juga tidak berdaya. Wayar berselirat sekeliling tubuhnya. Suasana di dalam ward ICU memang memilukan. Begitu juga pesakit-pesakit kecil yang kecil yang lain, melihat wajah sayu pelawat membuatkan hati saya hiba. Ada pelawat (mungkin ibu) yang tidak pernah jemu mencium dahi si anak. Ada yang hanya memandang si anak tanpa jemu. Ya Tuhan, sungguh mereka sedang di uji dan semoga mereka tabah.

Tertanya diri sendiri, apakah saya cukup kuat untuk menerima ujian seperti itu?

Pernah beberapa tahun yang lepas, saya menziarah anak sepupu saya, Arwah Amir Shahrir di hospital, waktu itu dia berusia 4 tahun, mengidap penyakit kanser usus dan sempat menjalani rawatan kimoterapi. Sepanjang saya di hospital, melihat keadaan Arwah, airmata saya tidak mahu berhenti mengalir. Saya tidak sanggup melihat keadaannya yang kurus, tanpa sehelai rambut, wayar berselirat. Saya tidak mampu. Hati saya tidak cukup kuat. Saya mudah benar menangis. Apatah lagi sekiranya anak saya sendiri yang sedang terlantar sakit? Tidak mampu saya bayangkan....

Allah yang Maha Pencipta, Dia yang Maha Mengetahui. Kerana Dia tahu apa yang mampu saya pikul, jadi mungkin Dia memilih saya untuk lambat mendirikan rumah tangga, kerana sesungguhnya ini adalah yang terbaik buat saya. Benar, takdir Allah itulah yang terindah.

Kepada sahabat sekalian yang masih belum bertemu jodoh, jangan bersedih, yakinlah pada kekuasaan dan kebesaran Allah, Dia Maha Mengetahui.

Wallahua'alam.

Friday, April 16, 2010

Jangan Ambil Dia

Tuhan..
Jangan ambil dia
Sebelum suci dosanya

Tuhan..
Kasihanilah dia
Kerana aku mengasihinya

Tuhan..
Jangan ambil nyawanya
Sebelum dia dekat dengan-Mu

Tuhan..
Rahmatilah dia
Ketuklah pintu hatinya
Agar dia cinta pada-Mu

Tuhan..
Jangan ambil dia
Sebelum dia mencintai-Mu
Jangan ambil nyawanya
Sebelum dia mengenal-Mu

Tuhan..
Yang paling berkuasa hanya Engkau
Yang menghidupkan dan mematikan
Pada-Mu Tuhan aku bermohon
Jangan ambil nyawanya sebelum dia dekat dengan-Mu.

Thursday, April 15, 2010

Pencuri Masa!

Assalamualaikum wbt..

Apa khabar semuanya? Semoga sihat sejahtera, sentiasa di bawah naungan kasih limpah rahmat Ilahi. Lama saya tidak meluangkan masa bersama sahabat sekalian di ruangan blog yang saya kasihi ini. Rindu pastinya rindu. Hati meronta-ronta ingin mencoret biar cuma sebait kata, namun entah mengapa, sukar saya tafsirkan betapa sukarnya buah bicara ingin saya aturkan di sini.

Ada sesuatu yang membelenggu akal dan fikiran, menyekat ilham. Jari ini enggan menari, akal ini enggan berbicara. Allahu Allah. Mengapa kebuntuan ini mengikat aku?

Misteri, mungkin bukan cuma saya yang merasainya. Bahkan saya percaya, setiap dari kita mungkin turut mengalaminya. "Berlumba dengan masa!". Jika kita lambat, dia akan memotong kita. Jika kita terleka, dia akan terus pergi berlalu meninggalkan kita tanpa belas ihsan. Bersama kita atau tanpa kita, dia tetap tidak akan berhenti. Selagi Allah menetapkannya begitu, selagi kiamat belum tiba.

Ada masanya letih juga diri ini berlumba dengan masa. Sering kali diri ini kalah, ditinggalkan tanpa simpati. Tanpa sedar, detik demi detik berlalu, hari demi hari, bulan berganti bulan. Usia kian bertambah. Mati kian mendekat. Masa lalu kian menjauh. Kita bagaimana?

Semua orang sama, sehari ada 24 jam. Namun entah mengapa, diri ini sering merasakan masa tidak mencukupi. Terlalu banyak perkara yang ingin dilakukan, tapi sering saja semuanya tidak terlakukan. Ke mana hilangnya masa saya? Bagaimana ingin mengejar masa? Kenapa orang lain boleh sedangkan saya tidak? Kenapa orang lain mempunyai masa yang cukup tapi saya tidak?

Bagaimana kita boleh mengutip kembali masa yang hilang? Bagaimana kita boleh memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik yang mungkin agar kita tidak kesal di kemudian hari? Bagaimana menguruskan masa tanpa tersia-sia walau sesaat cuma?

Demi masa.. Sesungguhnya manusia dalam kerugian....

Wednesday, April 14, 2010

Pedoman Insan

~Pedoman Insan~

Tinggi menjulang langit biru
Mana bisa aku gapai
Indah nian mimpi-mimpiku
Mana mungkin jadi realiti

Yang dicinta mendustai
Yang dikasihi telah pergi
Tinggal kini aku sendiri
Dalam duka bertemankan sepi

Oh Dunia!
Tak sunyi dari tangisan pemilu
Bersilih ganti datang dan pergi
Rintihan dan ratapan manusiawi
Menikam jiwa membengkak di hati

Oh Hidup!
Penuh dugaan dan ujian
Hadapilah walaupun sendirian
Biarpun penuh tangisan
Hidup tetap diteruskan

Biarpun ribut mahupun taufan
Jangan goyah usah gentar
Paksikan kukuh ke jiwa
Quran dan sunnah jadi pedoman

Jangan kalah usah mengalah
Berjalanlah jangan berhenti
Allah Tuhanmu, Muhammad Rasulmu
Islam agamamu, syurga impianmu









Wednesday, April 7, 2010

Kalu Bukan Kerana Sayang

Setiap kali berdepan dengan musibah, antara perkara yang tidak pernah saya lupa adalah bersyukur. Bersyukur kerana saya di lahirkan dalam Islam dan Iman. Bersyukur kerana saya percaya dan yakin kepada Allah, kepada Qada' dan Qadar serta yakin adanya hari akhirat. Keyakinan bahawa Allah sentiasa ada bersama saya, Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani, maka tidak kira apa jua dugaan, kepada-Nya jua saya mengadu dan memohon pertolongan. Saya percaya Dia Maha Berkuasa, InsyaAllah, bukan hari ini, mungkin esok atau lusa, atau di akhirat kelak, doa-doa saya akan termakbul jua. InsyaAllah...

Selain itu saya juga bersyukur kerana Allah masih masih pinjamkan saya seorang ibu yang mengasihi dan menyayangi diri ini. Sentiasa ada di sisi, tidak kira susah dan senang, ketawa dan menangis bersama saya. Sentiasa mendengar apa jua yang saya luahkan, menenangkan dan menghiburkan hati ini, memujuk dan meyakinkan diri ini, bahawasanya Allah itu ada, tidak kira apa jua musibah, sentiasa ingat kepada Allah. Juga keluarga dan sahabat yang menyayangi diri ini, semuanya anugerah yang penuh bermakna buat diri ini, terima kasih Allah. Kerana mereka sumber kekuatan bagi diri ini. Alhamdulillah.

Tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan, tiada pipi yang tidak pernah dibasahi airmata. Seberat-berat ujian dan dugaan, berat lagi ujian para nabi dan rasul, demi menyampaikan agama Allah, demi kebenaran yang hakiki. Andai mereka tidak pernah mengalah, tidak pernah berundur, apalah sangat ujian kita pada hari ini, moga hati redha dan tabah mengharunginya. Dan terus dekat dengan Sang Pencipta.

Mengimbas kenangan beberapa tahun yang lepas.

4 September 2006, arwah ayah kembali ke rahmatullah. Lelaki yang paling saya cintai pergi meninggalkan saya buat selamanya. Tiada lagi senyuman, tiada lagi gurauan. Tiada lagi suara ayah mengalunkan suara azan, tiada lagi suara ayah mengomel setiap kali berebut siaran tv. Tiada lagi ayah yang membesarkan saya. Tiada lagi ayah yang mendukung saya. Tiada lagi ayah yang mengusap kepala ini, tiada lagi ayah yang memimpin tangan ini.

Hati mana tidak merintih? Mata mana tidak menangis? Lutut terasa lemah. Ibarat segala kekuatan pergi meninggalkan jasad. Puas saya memujuk diri, jangan menangis, usaplah airmata. Namun setiap kali bayangan ayah menerjah kotak fikiran, saya tumpas lagi dan lagi.

Di sebelah jasad ayah, berbalut kafan putih saya mencuba semampu saya, menyeka air mata ini, agar dapat mengucup dahi ayah buat kali terakhir, kucupan selamat tinggal. Dari seorang anak yang sangat mengasihi dan menyayangi ayahnya. Dalam kepayahan, namun saya redha, setiap yang hidup pasti akan mati. Allah yang menghidupkan dan Dia juga yang mematikan. Semuanya hanyalah pinjaman. Wahai hati, redhalah dengan pemergian ayah...

Ayah pergi beberapa minggu sebelum Ramadhan tiba. Alhamdulillah.. Sepanjang Ramadhan sempat juga saya dan ibu khatam Quran.. Semoga dapat disedekahkan kepada arwah ayah. Walaupun pipi sering basah tatkala bibir mengalunkan ayat-ayat Allah, namun sesungguhnya hanya itu yang mampu saya lakukan, hadiah untuk arwah ayah. Moga Allah mengampunkan segala dosa-dosa ayah.

Hari raya kian menjelang. Kami sekeluarga masih lagi dirundung duka. Malahan saya sendiri nekad tidak mahu menyambut hari raya pada tahun itu, tambahan pula giliran beraya kakak sulung saya pada tahun itu bukan di kampung kami, sebaliknya di kampung suaminya. Jadi, tinggallah saya bersama emak dan dua orang adik lelaki bakal meraikan hari raya pertama tanpa ayah pada tahun itu. Mujurlah ada jiran-jiran yang prihatin, menghadiahkan saya sepasang baju kurung dan yang lain pula hadiahkan sehelai tudung. Maka berayalah saya tahun itu dengan pakaian pemberian jiran tetangga. Terima kasih Allah.

Hari raya tahun itu paling istimewa, kerana itulah pertama kali kami berhari raya dengan menziarah kubur arwah ayah. Saya, emak dan dua orang adik lelaki.

Sebaik tiba di tanah perkuburan, kami bentangkan tikar dan mula sedekahkan Al-Fatihah dan bacaan Yassin. Emak teresak-esak sedari awal. Namun saya tetap gagahkan hati. Enggan menitiskan airmata di depan kubur ayah. Tidak semena-mena, hujan turun bagai mengerti gelora jiwa ini yang sedang berperang. Kedua adik lelaki saya mengangkat tikar, lalu memayungkan saya dengan emak, Mael memegang bucu belah kanan dan Pok Dik pula memegang bahagian kiri.

Sedang membaca Yassin, saya sempat menjeling ke dua adik saya, kelakar pula melihat gelagat mereka lalu saya tergelak kecil. Tidak semena-mena airmata mengalir laju dari kedua belah kelopak mata saya. Allahu Allah. Air mata apakah ini? Susahnya untuk mentafsir maksud hati. Namun air mata itu menjadi saksi lemahnya saya sebagai seorang hamba. Kalau bukan kerana sayang, mana mungkin airmata ini jatuh dengan sendirinya. Ya Rahman Ya Rahim. Ya Latif. Ya Salam. Ya Mukmin. Ya Muhaimin..

Airmata itu menjadi saksi bahawa seorang hamba bernama Hasniza ini benar-benar menyayangi dan merindui ayahnya yang kini bersemadi di dalam perut bumi. Ya Allah, sesungguhnya Engkau jua yang Maha Mengetahui.

Itu cerita lama, beberapa tahun yang lepas, namun tetap jua segar dalam ingatan saya. Malahan, wajah ayah dan senyumannya juga tetap subur dalam kotak memori saya. Mana mungkin saya lupakan dia, lelaki yang paling saya cintai. Biarpun jauh berbeza alam, namun kasih dan sayang tidak mengenal erti jarak dan waktu. Moga di syurga kelak, kami dapat bersua kembali. Amin ya rabb..

Allah beri dugaan dan ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Dan Dia Maha Mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk buat kita. Mungkin sesuatu yang buruk itu baik untuk kita dan mungkin juga sesuatu yang baik itu buruk untuk kita. Sesungguhnya kita tidak tahu apa-apa tapi Dia Maha Mengetahui segalanya.

Tiap apa jua yang berlaku, pasti ada hikmahnya yang tersembunyi. Asalkan kita sentiasa tabah dan redha dengan ketentuan-Nya, insyaAllah, biarpun sepahit mana hempedu akan tetap jua mampu kita telan, kerana keyakinan kita kepada janji-janji Allah, bahawa syurga itu milik hamba-hambaNya yang sabar dan redha dengan ujian dan dugaan yang menimpa. InsyaAllah. Tiada apa pun yang tercipta untuk sia-sia.

Berbahagialah wahai hati-hati yang sedang diuji. Allah menyayangimu.




Tuesday, April 6, 2010

Air Mata untuk Apa?


Menangislah..
Tumpahkan airmatamu..
Dari kolam ciptaan-Nya
Alirkan ke dua belah pipi
Andai bisa membuat kau tenang
Agar luruh segala duka
Biar terubat segala luka
Agar pergi segala lara
Biar sejarah diukir semula.

Wahai jiwa..
Berhenti menangis...
Apa kau lupa Firman Allah??

"Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

[Surah Ar-Ra'd: Ayat 27-28]

Sesungguhnya...
Airmata tidak mungkin bisa
Mengubah apa-apa..

Ubati hati..
Ingati Allah..
Dengan zikrullah
Hati menjadi tenang.