+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, March 2, 2011

Bangunan Kertas Vs Bangunan Plastik


Soalan. Pernahkah kalian, membuat bangunan/binaan dengan menggunakan kertas, kotak, straw, kayu atau lain-lain bahan? 

Jawapan. Saya pernah! Saya ada pengalaman, membina menara dengan menggunakan straw minuman ketika menghadiri program Back To Basic bersama iluvislam.com beberapa tahun yang lepas. Alhamdulillah, pengalaman yang bermanfaat darinya.



Ini rupa "Menara Straw" kumpulan kami.




Ketahanannya Diuji. 
Dengan menggunakan sebuah kotak kosong. 

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Dibekalkan beberapa ikat stra minuman, 4 cawan polisterin, beberapa helai surat khabar lama dan soletape.  Kemudian, kami dikehendaki membina menara mengikut kreativiti kami, dengan masa yang ditetapkan dan hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang dibekalkan sahaja. Setelah bangunan itu siap, kami dikehendaki menghantar seorang wakil untuk bentangkan hasil kerja kami. Dan kemudiannya, setiap menara yang dibina diuji tahap ketahanannya pula. Siapa yang paling kukuh, dia yang paling tinggi markahnya. 

Akhirnya. Alhamdulillah. Kumpulan kami mendapat tempat yang pertama =)
Menara kami satu-satunya menara yang tidak tumbang menyembah lantai apabila diuji dengan kotak tersebut. Dan pembentangan kumpulan kami juga sangat memberangsangkan. Al-maklumlah, tukang 'presentnya' adalah kaunselor. Ehe.

Sekadar muhasabah diri sendiri. 

Adakah logik andai kita membuat binaan dengan menggunakan kertas yang nipis, kita akan meletakkan 'bebanan' yang berat seperti kotak di atas? Yang begitu nyata sememangnya tidak akan mampu menampung berat kotak tersebut. 

Atau, adakah logik, andai kita membuat binaan dengan menggunakan bongkah-bongkah kayu yang lebih besar dan kukuh, kita juga menggunakan kotak di atas untuk menguji ketahanannya? Tentu sekali tidak terjejas sedikit pun!

Kita yang bina bangunan tersebut, tentunya kita tahu apa bahan-bahan yang kita gunakan dan kita juga seharusnya tahu sejauh mana ia mampu bertahan. Kan?

Itu kita. Hamba yang lemah.

Bagaimana pula dengan Allah yang mempunyai sifat-sifat yang Maha Tinggi, Maha Pencipta, Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Perkasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan segala sifat yang ada pada-Nya.

Dia yang menciptakan langit tergantung tanpa tiang. Bintang-bintang bertaburan di langit. Dia yang memasukkan malam ke dalam siang dan siang ke dalam malam. Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dia yang menjadikan manusia dan makhluk yang berpasang-pasangan. Dia yang menjadikan kapal bisa berlayar dilautan, haiwan ternakan sebagai tunggangan. Dia yang memberi hujan, membasahkan bumi yang kering, menghidupkan tanaman dan tumbuhan. 

Sungguh. Dia yang Maha Pencipta. 

 Apakah logik, Dia tidak tahu sejauh mana kemampuan segala ciptaan-Nya?

Tentu sekali, tidak! Bukankah Dia Maha Mengetahui?


Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Al-Baqarah 2:286)


Oleh yang demikian. Kepada mereka yang sedang diuji, bersabarlah. 

Bertahanlah. Berbahagialah. Bukan Allah tidak tahu derita sengsara yang sedang engkau tanggungi. Bukan Allah tidak tahu keperitan dan kesulitan yang sedang engkau alami. Setiap yang berlaku, hanya akan berlaku dengan keizinan-Nya.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah 2:155)
Ingatlah bahawa setiap apa yang berlaku, adalah hanya dengan izin Allah semata-mata. Dan yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu untuk yang sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin hikmahnya itu tidak kita nikmati dan tidak nampak pada kadar yang segera menyebabkan kita merungut, mengeluh,  menyalahkan takdir dan sempat berputus asa. 
 Padahal kita lupa, dunia hanya sementara, akhirat itulah kekal abadi. Merungut dan berputus asa tidak memberi apa-apa kebaikan dan manfaat buat kita. Seharusnya kita bersabar dan menerima ketentuan dari-Nya dengan redha, insyaAllah, ganjaran Allah menanti di akhirat sana. Dan itulah sebaik-baik ganjaran.
"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (At-Taghabun: 11).


Allah swt berfirman berfirman dalam surah Al-Ankabut, ayat ke-2;


“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?”

Kita semua ingin ke syurga? Maka, redhalah andai diuji. Bangkit dari kegagalan, melompat lagi dengan lebih tinggi. Berusaha lebih gigih agar tidak mengulangi kegagalan masa lalu. Sentiasa memohon keampunan dari-Nya, moga terbuka pintu syurga buat kita.

Moga syurga menjadi destinasi kita. InsyaALLAH.






No comments: