"Syaitan diperbuat daripada apa?" Suatu hari, seorang teman bertanya.
"Syaitan daripada api," Saya menjawab.
"Sifat api bagaimana?" dia bertanya lagi.
"Api tu panas, boleh membakar." saya menyahut.
"Lagi?" dia terus menduga saya.
"Api boleh merosakkan, memusnahkan.." saya menyambung.
"Ya. Betullah itu sifat-sifat api. Dan syaitan juga diperbuat daripada api, sifatnya membawa kepada kerosakan, kemusnahan, menuju api neraka." teman saya itu menjelaskan. Saya mendengar dengan teliti.
Sebelum itu, teman saya ada menceritakan tentang nama Allah, Al Wadud yakni cinta yang melimpah ruah. Kerana Allah adalah Al Wadud, Allah memberi kepada makhluk ciptaanNya, kadangkala melebihi daripada apa yang kita perlu. Misalnya. Kita perlukan nasi untuk hidup, tapi Al Wadud berikan kita pelbagai jenis beras yang kita boleh pilih mengikut selera kita. Buah mangga pun ada pelbagai jenis supaya kita dapat menikmati kelazatannya.
"Malaikat diperbuat daripada apa?" teman saya itu bertanya lagi.
"Cahaya" saya menjawab ringkas.
"Bagaimana sifat cahaya?" dia menyoal.
"Menerangi kegelapan?" saya menjawab bagai bertanya.
"Ya betul. Kalau dah terang maknanya apa?" dia menyoal lagi.
Saya masih diam, dahi berkerut-kerut.
"Malaikat Jibril apa tugasnya?" soal dia lagi.
"Membawa wahyu" saya menjawab.
"Betul. Jadi, malaikat membawa wahyu, menerangi kegelapan dan memberi petunjuk kepada manusia. Sesuai dengan sifatnya yang diperbuat daripada cahaya.
Mata saya yang sepet, menjadi bulat sedikit. Kagum dengan penjelasannya. Saya tidak sabar-sabar untuk tahu sifat manusia pula.
"Kalau manusia daripada tanah, sifatnya bagaimana?" saya pula yang bertanya.
"Tanah ada yang subur, ada yang gersang. Tanah yang subur bermanfaat kepada hidupan, manusia boleh bercucuk tanam dan mendapat hasil daripadanya. Tapi, tanah yang gersang pula, lansung tidak bermanfaat.."
"Kita manusia hendaklah hidup bermanfaat dan memberi kebaikan kepada orang lain. Jadilah tanah yang subur. Jangan jadi tanah yang gersang." dia menjelaskan panjang lebar.
Saya anggukkan kepala berkali-kali. Mengerti. Insyaallah, saya tak lupa pesannya.
No comments:
Post a Comment