+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, April 2, 2012

Adab Apabila Berbeza

Assalamualaikum wbt, semoga sahabat yang dikasihi Allah sentiasa sihat sejahtera di bawah naungan kasih dan limpah rahmat Ilahi. Alhamdulillah, syukur hari ini kita masih bernafas, masih lagi hidup dalam nikmat Islam dan Iman. Alhamdulillah.

Sahabat. Saya akui bahawa saya ini tidak sempurna, namun, andai masih ada yang merasakan bahawa saya ini angkuh, berlagak dengan ilmu yang sedikit yang saya ada, riak, bongkak, takbur atau bajet bagus dan sewaktu dengannya, sekali lagi saya merendah diri, mohon ampun dan maaf. Saya sedar segala kekurangan diri ini, dan pastinya, saya tak lepas dari kesalahan kerana saya ini tidak sempurna.


Mohon kiranya sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sudi memaafkan saya insan yang lemah ini.

Sahabat. Tiada apa yang salah jika kita tidak setuju dengan cadangan, saranan, idea, nasihat, pandangan, kata-kata atau apa jua yang datang daripada sahabat kita yang lain. Tiada salahnya jika ada percanggahan dan perbezaan pendapat. Atau mungkin tidak setuju seratus peratus pun tak salah. Tidak mahu terima dan tak ingin mendengar pun tak salah. Itu hak kita untuk menolak. Namun suka saya ingatkan kita dan diri saya ini, dalam apa pun jua tindakan. Ingat Allah selalu.

Seorang tokoh ada berkata, "Jika tunggu sehingga ilmu sudah sempurna barulah kita berdakwah, maka, nescaya tiada siapa yang akan berdakwah."

Sesuai dengan slogan 'popular' ini juga. "Perbaikilah dirimu DAN nasihat-menasihatilah."

Kedua-dua ini suka saya kongsikan kerana ia bersangkut paut. Sahabat, ayuh kita renung-renungkan. Jangan mengharapkan kesempurnaan daripada manusia yang tidak sempurna. Manusia semuanya sama, ada kelemahan dan kekurangan yang tersendiri. Ingatlah. Jika kita mengharapkan kesempurnaan, kita hanya akan menzalimi diri kita sendiri dan juga orang yang kita harapkan sempurna itu.

Tiada yang salah jika kita tidak bersetuju atau ada pendapat yang bertentangan. Allah ciptakan manusia dengan keupayaan dan keistimewaan yang tersendiri. Kita juga mungkin ada kelebihan kita yang tersendiri yang mana mungkin tidak dimiliki oleh sahabat kita. Kita mungkin ada pandangan, vision, ideologi dan fahaman yang tersendiri. Bukan suatu dosa andai kita menegakkan pendirian kita selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syarak.
Teruskanlah..

Namun, dalam perbezaan itu, cubalah sedaya upaya mencari titik persamaan. Dalam percanggahan itu cubalah untuk mencari persefahaman. Sekurang-kurangnya, kita ummat manusia punyai asal usul yang sama, dari Adam dan Hawa.

Kedua. Bergaduh dan bertelingkahlah. Tapi pada masa yang sama, carilah kebaikan dalam setiap keburukan. Usah saling menjatuhkan, mencari keburukan sahabat kita itu atau saling menyalahkan. Tiada siapa yang mendapat keuntungan. Menang jadi abu, kalah jadi arang.

Ketiga adalah ingat petua epal. Jika kita ada satu epal, kawan kita ada satu epal. Jika kita saling bertukar epal, masing-masing akan mendapat hanya satu epal. Tapi, jika kita mempunyai satu pendapat, kawan kita juga ada satu pendapat/idea yang berbeza. Jika kita saling bertukar pendapat/idea, masing-masing akan mendapat dua pendapat/idea. Ini lebih menguntungkan. Maka, railah perbezaan pendapat, jangan fikir ia sesuatu yang buruk.

Keempat. Kata seorang lagi tokoh besar, "Aku boleh menang sekiranya berdebat dengan orang yang pandai, tapi aku pasti kalah jika berdebat dengan orang yang bodoh." Sesuai dengan saranan Al-Quran, jika berhadapan dengan orang yang bodoh, ucapkanlah 'salam' kemudian berlalu pergi, tinggalkanlah mereka. Jadi, berd ebat dan bertelingkahlah dalam perkara kebaikan, yang mendatangkan manfaat. Jangan buang masa untuk perdebatan yang sia-sia.

Kelima. Fokus kepada topik yang dibincangkan. Jangan campur aduk dengan isu-isu lain yang tidak berkaitan, perbesarkan masalah, menyerang keperibadian sahabat kita itu, mencungkil segala kelemahannya. Dan jangan pula kita mengungkit-ungkit.

Keenam. Berlapang dada dan saling memaafkan. Yang kita tidak suka adalah pendapat dan saranannya, bukan dirinya. Allah kasih kepada semua makhlukNya, apa hak kita untuk membenci? Kata Mahatma Gandhi, 'hate the sin, not the sinner'. Setiap orang ada peluang untuk bertaubat, selagi nyawa belum dikerongkong. Ingat Umar Al-Khattab, Khalid bin Al-walid, sebelum syahadah, mereka juga penentang Islam yang sangat kuat. Mereka musuh Islam. Tapi akhirnya, Allah memberi hidayahNya kepada mereka. Sesudah itu, nama mereka tercatit di dalam sejarah sebagai pembela Islam.

No comments: