+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, April 9, 2009

Siapa Lebih Hebat?

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, kesihatan tidak berapa memuaskan kebelakangan ini, maka kuranglah saya berblogging kerana agak ketandusan idea. Batuk, sakit tekak, demam dan selsema..seolah-olah sudah sebati dengan hidup saya nie, makin tua, makin kerap pula berdamping..peringatan buat diri ini agar tidak lupa bahawa segala apa yang saya miliki di dunia ini, semuanya adalah pinjaman, sihat sebelum sakit.. hidup sebelum mati..dan mudah-mudahan, demam ini adalah ujian tanda Dia sayangkan saya..mudah-mudahan sakit yang sedikit ini dapat mengurangkan bebanan dosa yang pernah saya galas. InsyaAllah. ameen.

Tiada Daya dan Upaya Melainkan Dia

Teman sekerja saya, sudah masuk dua minggu tidak dapat datang bekerja. Sebelum ini juga beliau sering mengambil cuti kecemasan, kerana katanya sakit, dan pulang ke kampung untuk berubat. Puas kami menasihati supaya dia bertemu doktor, tapi dia selalu menolak dengan alasan, sakitnya adalah kerana "buatan orang." Naauzubillah.

"Dari Jabir, dari Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah Azzawajala".(Riwayat Al-Imam Muslim).

Seminggu yang lepas, setelah seminggu di kampung, kononnya sudah elok. Hari Selasa yang lepas beliau kembali ke ofis, sebaik tiba di ofis tiba-tiba menangis teresak-esak. Sakit. Bila di tanya, tak mahu bercakap sepatah apa, sekadar menyuruh kami menelefon ibunya untuk bertanya lanjut. Melihat keadaan beliau yang begitu, akhirnya rakan sekerja menghantar beliau ke rumah sewanya.

Tengah hari itu, saya bersama rakan sekerja ingin melawat beliau di rumah sewanya. Memandangkan beliau sendirian di Shah Alam, saya menawarkan diri untuk membawanya ke hospital. Dia menolak dengan gelengan kepala. Saya berkeras ingin menghantarnya ke hospital, dia menangis. Tetap mahu pulang kerana katanya serabut tinggal di sini. Saya menawarkan dia menetap di rumah saya untuk sementara waktu memandangkan dari gayanya "ada sesuatu yang tak kena" di rumah sewanya. Juga dia menolak dengan gelengan kepala. Tetap mahu pulang. Bercakap dengannya lebih elok dari bercakap dengan tunggul, setidaknya tidak menyakitkan hati. Dah sememangnya tunggul tak boleh bercakap. Kawan saya juga hampir serupa, diam, gelengkan kepala, pejam mata, menangis.

Jalan terakhir saya cuba ingin membantu, saya tawarkan diri untuk menghantarnya ke stesen bas, setidak-tidaknya itu yang mampu saya lakukan untuk kurangkan bebanan dia, tapi malangnya, dia tetap berkeras menolak. Aduh, hilang sabar saya jadinya. Geram melihat manusia sebegitu. Langsung tidak mengizinkan dirinya dibantu. Aduyai....

Dan jika anda sebagai sahabat, jika kawan anda sakit, adakah anda boleh berpeluk tubuh membiarkan dan sekadar tengok dia mati? Aduh, pertama kali saya bertemu dengan orang sebegini.

Perbuatan Sihir.

Allah yang Maha Berkuasa. Dia yang Maha Mencipta. Dia yang menyembuhkan. Pada zaman yang serba canggih, agak janggal bila bercakap mengenai 'penyakit buatan orang'. Bukan berniat menolak seratus peratus kewujudan 'penyakit buatan orang', tapi percaya seratus peratus sakit itu adalah akibat buatan orang juga sebenarnya salah.

Jika merujuk kepada kes sahabat saya, sebenarnya sudah lama dia mengadu 'di buat orang'. Sudah sering juga dia berubat berjumpa bomoh di kampung. Dan jika benar dia di buat orang, kenapa setelah berkali-kali bertemu bomoh, masih juga tidak mahu baik? Persoalan..

Percaya kepada 'penyakit ganjil' mungkin tak salah. Memang kerja syaitan menghasut dan menyesatkan umat manusia. Salah satu cara adalah dengan memberi janji palsu lagi menyesatkan yakni melalui bomoh dan tukang sihir. Perbuatan sihir dan santau walaupun jelas di larang dalam Islam masih tetap di amalkan oleh sesetengah golongan yang tidak takut ganjaran neraka.

Di antara dalil-dalil sebagai sandaran menegaskan tentang larangan sihir itu, firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Thaahaa ayat 69 tafsirnya :

"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala benda-benda sihir yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan di mana sahaja ia berada".

Dan jika benar terkena buatan orang atau sihir, dalam Islam telah menetapkan batasan syarak tentang bagaimana ingin mengubatinya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 82 tafsirnya :

"Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya. Dan sebaliknya Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim disebabkan keingkaran mereka melainkan kerugian jua".

Usaha Sebelum Tawakal.

Selain itu, sebelum berusaha, kita adalah sama sekali di larang berserah atau pasrah. Memandangkan teknologi perubatan juga canggih, maka adalah tidak salah kiranya kita bertemu doktor dan memeriksa tahap kesihatan diri, bukan seratus peratus terlalu bergantung kepada bomoh untuk mengubati penyakit.

Kadang-kadang, ada penyakit yang datang kerana kita yang menginginkannya. Tidak menjaga tabiat makan dan mengamalkan cara hidup yang tidak sihat serta berfikiran negatif dan suka berfikir bukan-bukan memang mampu mengundang sakit. Ini kerana, fizikal dan mental kita yang lemah, mampu mendedahkan diri kita sendiri untuk mendapat penyakit samada penyakit jasmani atau penyakit rohani.

Ada masanya, kita kena kuat melawan penyakit. Jika pun sakit, jangan terlalu manjakan diri dengan sekadar terbaring dan tidak mahu makan. Lagi teruk jadinya. Seperti yang saya selalu amalkan, jika sakit seboleh yang mungkin saya 'menidakkan' rasa sakit itu. Cuba sibukkan diri dengan perkara-perkara yang termampu saya lakukan. Dan syukur juga kerana saya kategori manusia yang sentiasa berselera terhadap makanan. Setidak-tidaknya saya kekal mempunyai tenaga.

Kalau sakit, harus bertemu doktor, jangan sekali-kali membuat kesimpulan dengan cepat.." ni mesti buatan orang!". Selagi kita membiarkan pemikiran yang sempit seperti itu, selagi itu kita 'berjaya' mengekalkan diri kita kekal sakit. Harus sentiasa berfikiran positif dan dekatkan diri dengan Allah, amalkan doa-doa menolak sihir dan doa penenang hati. Kadang-kadang, bukan orang yang sihirkan kita, tapi kita yang berfikir bukan-bukan dan membayangkan benda-benda yang tak elok seterusnya mencetuskan rasa sakit itu. Sendiri mencari penyakitlah namanya.

Banyak bergaul dengan orang juga mampu mengurangkan 'kesakitan'. Merujuk kepada kes sahabat saya, kebanyakan dari kami percaya, dia bukan terkena buatan orang, tapi sikapnya yang pesimis dan tidak bergaul dengan orang mengakibatkan tekanan terhadap jiwanya. Wallahua'alam. Bayangkan, sebatang kara di tempat orang mencari rezeki, di tempat kerja tidak banyak bercakap, dengan teman serumah juga tidak rapat, sering bersendirian seolah-olah sengaja membuka ruang untuk berfikir yang bukan-bukan, syaitan mudah membisik, mampu menyebabkan tekanan lalu tercetuslah 'sakit itu'.

Walau apa pun, hanya Allah yang Maha Mengetahui dan sama-sama doakan kesihatan untuk sahabat saya itu. Allah yang Maha Pencipta dan hanya Dia yang Maha Berkuasa. Tiada daya dan kekuatan melainkan Dia. Semoga kita semua sentiasa di lindungi Allah samada dari penyakit rohani atau jasmani, Ameen. Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali.

Wallahua'alam.

2 comments:

Anonymous said...

antara cadangan sy,mengikut pengalaman yg pernah di lalui:

jika si sahabat tu sampai ke pejabat,dan menangis,atau sebagainya,cuba duduk disebalahnya,dan bacakan yasin dengan suara yang dapat didengarinya.Dari situ,anda boleh lihat bagaimana responnya.Jika responnya,tenang dan tidak ada tindak balas yang aneh,alhamdulillah,mungkin "penyakit"nya itu tidak begitu serius,insyaAllah.Tetapi jika responnya agak aneh,lagi pelik,maka di situ sah dia mempunyai suatu "penyakit".

Setelah itu,saya cadangkan,anda tidak perlu bawa dia ke hospital,atau ke mana-mana tukang bomoh,tukang alim lain,sbb sememamngnya dia tidak mahu.Jadi cuba anda bawa mana-mana "orang alim" itu ke pejabat saudari,atau bawa "orang alim" itu terus ke rumah sahabat saudari itu.Mungkin dari situ,"orang alim" itu dapat merasai sesuatu yang kurang baik,dan insyaAllah,saya rasa "orang alim" itu tahu tindakan seterusnya apa yang patut dibuat.

Contohnya:Ust. Fadzilah Kamsah,atau mungkin bilamana anda menghubunginya,dia dapat perkenalkan mana-mana "orang alim" lain.

AsNiza said...

Terima kasih atas cadangan..

Antara masalah yang paling besar dalam kes ini adalah sahabat saya itu sendiri yang tidak mahu ditolong. Tidak mahu memberikan kerjasama dan apa yang difikiran dia cuma nak balik kampung, jumpa mak dia..

Saya pernah berckp dgn maknya di telefon..mak die ckp, dh g klinik, dokter cakap angin..dan kata mak dia, mungkin bercampur angin n buatan orang sbb tu jd teruk.

Kata mak dia lg, seminggu kt kampung dia ok, sbb tu die nak balik kerja semula. tp bila smpai sini, shah alam,(kampung gua musang) dia sakit semula.

Mak dia ada minta rakan sekerja tolong hantar dia ke hospital sbb kalau kat kampung mungkin lebih susah hendak ke hospital. Masalahnya sahabat saya ni tak mahu. Bila telefon pun tak di jawab. Hari tu gi rumah sewa pun main redah, katanya malam tu jugak nak balik kampung..

Sampai sekarang tk tahu apa cerita dia, bos bagi cuti sebulan tanpa gaji..

Semoga dia dilindungi Allah//