+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, April 5, 2009

Aspirasi dan Transformasi.

Maaf, memandangkan blog saya masih sakit dan nazak, saya terpaksa manfaatkan ruangan di blog ini untuk meluahkan harapan dan berkongsi secebis pandangan terhadap ekonomi, politik dan isu semasa tanah air kita. Malaysia.

Masih lagi dilanda demam pertukaran Perdana Menteri Malaysia ke-6. Sudah lama saya tidak bercakap dan berhujah mengenai politik, cara pemikiran saya juga menjadi agak sempit dan kekok. Jika dulu saya selalu berdebat dengan seorang sahabat, tegakkan hujah masing-masing. Dan demi untuk 'menang', saya bersungguh-sungguh membaca dan mengkaji, mencari bahan untuk berdebat. Sedikit sebanyak mengasuh minda saya berfikir, menambahkan pengetahuan dan kesedaran terhadap isu semasa. Di tempat kerja juga tidak kurang hebatnya, kami masing-masing berkongsi pandangan dan pengetahuan, terasa juga berkembang minda. Hebat.

Masa terus berjalan, si sahabat sibuk dengan kehidupannya, kian menjauh, kian menyepi. Tiada lagi isu yang ingin diperdebatkan. Sedih. Teman sekerja juga berganti datang dan pergi, tiada lagi yang benar-benar bersemangat bila bercerita mengenai politik dan isu semasa. Ditambah pula dengan 'peristiwa aneh' di Perak, hampir kesemuanya seolah-olah sudah patah semangat. Tahniah kepada 'mereka' yang telah berjaya menghancurkan semangat kami, 'terima kasih'.

Tidak cukup dengan itu,saya juga sering dikecewakan, asal saja saya mula bercakap mengenai politik, masing-masing memberi respon, membuat muka 'blur'..

"Entahlah, dah bosan cakap pasal politik, tak ke mana, macam tu jugak..no point.." perkataan itu terbit dari bibir mereka, bukan sekali dua, malah acap kali, hingga akhirnya berjaya memadamkan keghairahan saya terhadap politik dan isu semasa.

Kenapa?

Mungkin juga saya turut terbius dan terdorong perasaan hampa itu. Hopeless..Ah...

Saya bukan manusia yang suka mengikut membuta tuli. Saya bukan manusia yang obses dan terlalu yakin dengan apa yang saya percaya.Saya suka mendengar dan seterusnya menilai. Mana yang salah tetap salah dan mana yang benar tetap benar pada pandangan saya. Semuanya sama rata, tidak kira apa pegangan politik. Mana yang benar akan saya sokong dan mana yang salah, belok kanan atau kiri, pusing utara atau selatan, tetaplah juga salah. Itu prinsip saya.

Namun begitu, berpijak di bumi yang nyata. Apa yang terbentang di hadapan mata itulah kenyataan. Tidak mungkin saya tidak boleh mendengar walau bagaimana ketat sekali pun saya menutup telinga. Tidak mungkin saya tak nampak walau semahu mana saya ingin menutup mata. Realiti tetap realiti. Suka atau tidak, ini yang terpaksa saya terima, buat masa ini.

Kenyataan dan fakta yang semua orang tahu, buat masa ini, Dato Seri Najib telah sah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-6. Ini hakikat. Ini sahih, bukan khayalan. Bukan rekaan.

Perdana Menteri Malaysia Ke-6

Cuma lima tahun bertahan, Pak Lah akhirnya terpaksa melepaskan jawatannya. DS Najib di angkat menjadi PM yang ke-6. Ramai yang melihat peralihan kuasa ini sebagai tanda yang positif. Aspirasi rakyat, bakal membawa transformasi. Penyokong UMNO khasnya optimis, dengan kehadiran beliau, keyakinan rakyat terhadap UMNO akan kembali pulih. Itu kata 'mereka'. Pemegang nombor keahlian UMNO 00001 dan 00002 juga akhirnya kembali ke dalam UMNO. Wah, sungguh besar impaknya.

Kali ini saya tidak ingin membangkang. Cukup sekadar ingin meluahkan harapan. Sebuah harapan terhadap seorang pemimpin nombor satu negara, buat masa ini.

Sesuai dengan keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak berapa memberangsangkan, harapan saya agar PM dapat menangani masalah ini dengan bijak. Manfaatkan setiap ringgit yang ada untuk membaik pulih dan meminimakan efek negatif akibat kemelesetan ekonomi, jangan pula disia-siakan untuk projek yang tidak bermanfaat yang hasilnya lebih banyak ringgit masuk ke poket individu tertentu. Jangan pula bazirkan semata-mata untuk menang dalam pilihanraya kecil. Pentingkanlah mana yang lebih penting!

Jemaah menteri bakal diumumkan Rabu depan, dengan izin Tuhan. Siapa yang bakal terpilih? Siapa yang kekal dan siapa muka baru? Terserahlah. Cuma harapan saya agar bilangan menteri dapat dikurangkan. Mana tidak, dengan pertambahan bilangan ada kalanya merumitkan. Petindihan tugas sering berlaku. Sesuatu urusan yang sepatutnya boleh selesai dalam masa sehari mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Membazir dan membuang tenaga, masa dan wang ringgit.

Harapan saya juga adalah supaya individu yang benar-benar layak sahaja yang mendapat tempat. Dan adalah lebih elok jika mereka yang kalah dalam pemilihan terkeluar dari senarai jemaah menteri. Jika dia gagal mendapat sokongan dan undian, apa gunanya terus menjadi pemimpin? Pasti menimbulkan ketidaksenangan bagi sesetengah pihak dan dia sendiri sepatutnya ada rasa 'segan' kerana mendapat sesuatu yang bukan hak nya.

Ketika zaman permerintahan Pak Lah, antara 'perubahan' yang di bawa adalah memberi jawatan menteri/pemimpin kepada mereka yang tidak mempunyai asas politik yang kuat. Ini akhirnya berjaya menghasilkan impak yang tidak sihat. Bayangkan, Imam Besar turut bertanding dalam pilihanraya. Ustazah menjadi ahli politik yang akhirnya memutar belitkan pengetahuan agama demi melindungi parti yang didokong. Sedih. Ustazah yang kini bergelar ahli politik akhirnya mempermainkan hukum hudud. Aduh..

Islam dan politik sememangnya tidak boleh dipisahkan. Tapi, lebih penting dari itu, menyalahgunakan Islam demi kepentingan politik juga ternyata sekali haram. Jangan kerana awak ingin mempertahankan ideologi parti yang awak dokong, awak menidakkan dan memalsukan mana yang benar. Ini terang-terangan di larang. Awak bukan tidak tahu soal agama! Tapi kenapa masih sanggup bersubahat? Ingat syurga, ingat neraka. Bukan pangkat, bukan wang, bukan parti... Sekadar luahan rasa kecewa.


Kembali kepada harapan saya terhadap PM yang ke-6. Bukan sahaja rakyat Malaysia, malah dunia juga sedang memerhatikan Dato' Seri. Dato' Seri mungkin bersikap acuh dan mengabaikan, tapi masih banyak pihak yang ingin menegakkan kebenaran (atau mungkin menjatuhkan Dato' Seri). Untuk menjadi pemimpin nombor satu negara, sepatutnya Dato' Seri bersihkan dulu nama baik dato seri, bukan dengan mengelak dan menafikan. Buktikan!! Buktikan bahawa Dato' Seri tidak bersalah!

Dato' Seri menjadi PM ketika negara sedang bergolak. Ketika negara di ambang kekalutan. Tugas dan bebanan Dato' Seri juga bukan ringan. Pembangkang yang setia membangkang juga bukan terdiri dari calang-calang manusia. Rakyat yang sedang memperhati juga bukan lagi rakyat yang sama ketika zaman pemerintahan Tun M. Teknologi kian canggih, semuanya mudah tersebar pantas. Cara pemikiran rakyat juga kian berubah. Menyekat kebebasan rakyat bererti menggali kubur untuk UMNO.

Jika Tun M berjaya mempertahankan kedudukan selama 22 tahun dan Pak Lah pula cuma mampu bertahan selama 5 tahun, saya selaku rakyat Malaysia, tidak sabar ingin melihat dan menyaksikan 'transformasi' yang bakal di bawa oleh Dato' Seri.

Semoga Allah menuntun hati mereka yang terpilih, semoga Allah memimpin hati mereka, semoga Allah memberi hidayah kepada insan bergelar pemimpin nombor satu negara Malaysia. Saya doakan yang terbaik, kerana hanya ini yang mampu saya lakukan, buat masa ini.

Sekian, wallahua'alam

3 comments:

Fahd Razy said...

Oppss. Mana boleh putus asa lagi. Masih awal lagi. Perjalanan masih panjang. Ada lagi 2-3 negeri perlu ditadbir =)

AsNiza said...

Harapnya cam tu lah.. Perjuangan belum selesai rupanya, =)

Anonymous said...

ish...salah tu...ada 4 + 1/2 lagi =)