+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, April 27, 2009

Bahu Yang Memikul.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani...

Jauh perjalanan luas pemandangan. Banyak pergaulan insyaAllah banyak pengalaman baru diperolehi, asalkan kita sudi membuka pintu hati dan kotak minda, mengutip setiap apa yang terjadi dengan berhikmah dan seterusnya mencatatkanya dalam diari kehidupan kita agar bermanfaat. Semoga Allah mengilhamkannya supaya menjadi sesuatu yang sangat bermanfaat, untuk kita dan sekelian makhluk, insyaAllah...

Dalam kehidupan ini, kita tidak akan sunyi dari diuji. Lain orang lain ujiannya.. Lain orang lain masalahnya.. Kadang-kadang kita melihat mereka tersenyum dan ketawa riang namun di sebalik senyuman yang menawan itu, hanya Allah sahaja tahu apa yang tersirat. Mungkin..sekeping hati itu sedang menangis dalam senyuman...

"Kehidupan dunia dijadikan indah dalam pandangan orang kafir,dan mereka memandang hina orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa itu lebih mulia daripada mereka di hari kiamat. Dan Allah memberi rezeki kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya tanpa batas" (2:212)

Wahai hati yang sedang berduka-lara, bersyukurlah kerana Tuhan masih izinkan kita untuk hidup sehingga ke detik ini..Wahai hati yang sedang kesakitan, bersyukurlah kerana Tuhan masih izinkan kita hidup untuk menebus dosa kita yang silam. Wahai hati yang sedang muram, berbahagialah kerana kita punyai Allah untuk mengadu dan memohon. Wahai hati yang sedang sengsara, berbahagialah kerana Allah sayang hamba-hambaNya yang sabar dan redha. Wahai hati yang sedang terluka, berbahagialah kerana Allah sedang menguji kita, mengetuk pintu hati kita agar kita lebih dekat kepadaNya..

Wahai hati-hati yang sedang menangis..katakanlah..

"Hasbunallahuwanikmalwakil...cukuplah Allah sebagai pembantuku.."

Bahu Yang Memikul.

Alhamdulillah kerana Allah izinkan saya untuk mendengar dan berkongsi pengalaman atau masalah dari sahabat-sahabat yang sangat saya kasihi. Sungguh, kadang-kadang, bila telinga ini mendengar, mata ini membaca, ada masanya terdetik di hati ini..

"Bagaimana agaknya andai aku yang diuji begini? Adakah aku mampu memikulnya?"

Maha suci Allah yang menciptakan segalanya.. Benar juga janji Allah..Allah hanya memberi dugaan hanya kepada hambaNya yang mampu dan sungguh.. mereka yang di uji itu benar-benar berkemampuan memikulnya...Subhanallah..kagum saya melihat semangat dan kekentalan jiwa mereka menempuhi setiap ujian dan cubaan. Allah Maha Mengasihi lagi Maha Mengasihani..Semoga Allah terus memberi kekuatan dan ilham kepada mereka agar terus tabah dan terus yakin kepada Dia yang Satu. Ameen..

Sahabat...

Saya yakin dan percaya, hanya bahu yang memikul yang tahu betapa beratnya bebanan yang tertanggung di bahu, hanya hati yang merasainya yang mengetahui betapa sengsaranya dugaan yang menimpa..dan Allah, Dia pun tahu.

Sahabat...

Andai saya tidak mampu memikul bebanan itu untukmu..andai saya tidak mampu meringankan bebanan yang kamu galas..maka izinkanlah saya menyapu airmatamu..izinkan saya mendoakan untukmu.. izinkan saya memujuk hatimu.. saya cintakan saudara seakidah saya ikhlas kerana Allah yang Satu.

Sahabat...

Allah sentiasa ada bersama kita. Allah itu Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui. Allah Maha Pengampun dan Allah Maha Pemurah. Dalam apa jua yang kita lakukan, jangan sekali-kali melupakan Dia. Dalam kita ketawa atau menangis, ingatlah Dia sentiasa. Semakin kita mendekatiNya, semakin Dia mendekati kita. InsyaAllah Dia akan memimpin hati kita menuju bahagia. Kita ciptaanNya. Hati ini juga ciptaanNya. Setiap hati pasti merindui Penciptanya. Jika pintu hati diketuk, segeralah membukanya agar hidayah dan cinta Allah terus dapat masuk ke jiwa kita.

Segala yang baik datangnya dari Allah, saya sekadar menyampaikan sepatah kata, setiap yang buruk itu sememangnya kelemahan saya yang serba kekurangan.

Sekian, Wassalam...

No comments: