+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, April 23, 2009

Nilai Secebis Sampah.

Prolog

Janggal pula melihat entri blog saya seminggu dua kebelakangan ini. Mungkin saya sedang asyik terbuai emosi, sampai ada masanya saya bagaikan berada di awang-awangan, bagai berdiri di sebuah dunia yang asing, AH..maafkan saya wahai sahabat. Andai apa yang telah saya persembahkan mengecewakan kalian yang meluang masa menjenguk teratak buruk saya ini. Maafkan saya. Sesungguhnya kelemahan itu sememangnya datang dari diri saya yang serba kekurangan.

Intermission.

Okey, kita mula hidup baru! Buka bab baru, lupakan cerita semalam. Memang, kita hidup hari ini adalah kerana apa yang telah kita lakukan pada hari semalam. Tapi, harus diingatkan juga, untuk meneruskan hidup pada keesokan hari, semuanya bergantung kepada apa yang kita lakukan pada hari ini. Jika baik yang kita usahakan maka baik jugalah hasilnya, dengan izin Allah. Jadi, jangan membuang masa menyesali apa yang sudah berlalu, positif dan optimis, pandang ke hadapan. InsyaAllah..

Jujur, tidak dapat saya nafikan, dalam hidup ini, tak semua yang kita inginkan dapat kita miliki. Dan kadang-kadang, kita cuma tersedar bahawa kita benar-benar memerlukan sesuatu, setelah ianya pergi berlalu meninggalkan kita. Mungkin lumrah manusia, tidak menghargai dan jarang bersyukur..maka sering saja melihat dari sudut yang negatif dan serba kurang. Ada saja yang tidak kena.

Suatu hari, saya menjinjing beg sampah menuju ke tempat pembuangan sampah di belakang blok rumah. Suasana sunyi. Tiba di tempat membuang sampah, saya melihat seorang lelaki sedang membongkokkan badannya, menyelongkar tong sampah. Mungkin, mencari sesuatu yang bernilai. Saya terkesima. Ada apa dalam tong sampah? Aduh.. Luluh hati saya melihat beliau.


Penutup.

Apa yang ada dalam tong sampah? Semuanya tak berguna, tiada nilai, buangan! Namun apa yang sedang di cari oleh pakcik yang berbaju lusuh itu? Aduh...rupanya, dalam kita merungut serba kekurangan, masih ada lagi yang jauh lebih susah dari kita. Sesuatu yang mungkin sungguh tidak berharga pada kita, tapi pada insan lain, ia mampu meneruskan sebuah kehidupan.

Ketika saya ketawa, mungkin ada manusia lain yang sedang menangis.. Siapa yang menyapu air mata mereka? Jangan menangis Hasniza, banyak lagi pipi yang sedang dibasahi airmata. Tabahkan hati.. Kau ditakdirkan untuk menyapu air mata..bukan mengalirkan airmata. Be strong!

Sahabat, marilah sama-samalah kita muhasabah diri. Bersyukur dengan apa yang kita ada pada hari ini. Alhamdulillah.. Maha Suci Allah yang Mencipta. Alhamdulillah.. Dan cukuplah Allah sebagai pembantu ku.

Wallahua'alam

No comments: