+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, May 5, 2009

Bila Usia Meningkat.

Bismillahirrahmanirrahim..

Pertama sekali, chup..simpan sahaja hasrat anda untuk wish penulis "happy birthday" kerana entri ini tiada kena mengena dengan hari ulangtahun kelahirannya. Eheh..besday saya adalah jatuh pada tarikh 1 Julai, jangan lupa yer..=)

Masa terus berjalan, sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita juga kian bertambah dari hari ke hari. Inilah ketentuan yang tertulis untuk kita sebagai makhluk yang dicipta olehNya. Bermula kita dari setitik mani yang bersatu dengan ovum, kemudian terhasillah segumpal darah, di balut tulang dan daging kemudian ditiup roh lalu lahirlah kita menjadi seorang bayi.

Bermula kita meniarap, kemudian kita merangkak, bertatih kemudian kita berlari. Subhanallah, indahnya ciptaan Ilahi. Kita juga di bekalkan pula dengan akal dan naluri, ada perasaan, ada nafsu, ada cita-cita, ada kehendak. Maha suci Allah yang Maha Pencipta.

Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Hidup sebelum mati. Dalam usia sedang menganjak, meningkat dari tahun ke tahun, persoalan yang sering bermain di minda saya adalah, " selama aku hidup, apa yang telah aku lakukan???" aduh~ kadang-kadang, ada masanya saya menangisi nasib diri, betapa selama ini saya mensia-siakan anugerah jasad dan nyawa yang Allah telah berikan kepada saya. Astagfirullahalazim.

Jika sepuluh tahun yang lepas, saya baru selesai menduduki SPM, alhamdulillah, saya mendapat keputusan semua A. Dan Alhamdulillah, selama saya bergelar pelajar MRSM, saya selalu utamakan solat berjemaah di surau, selalu melakukan solat sunat dan sering membaca quran hinggakan saya berkemampuan menghafal Surah Yassin dan Mathurat pada waktu itu. Pergaulan antara lelaki dan wanita juga terbatas, saya terlindung dari maksiat, alhamdulillah.

Dan jika saya mati waktu itu, saya mungkin mati dalam keadaan yang selamat dari dosa dan noda, saya masih lagi seorang remaja yang baru beberapa tahun akil baligh yang terlindung dari maksiat dan dosa. Saya suci, saya murni, tapi kenapa Allah tidak mengambil nyawa saya waktu itu? (Rahsia Allah, hanya Dia Yang Mengetahui)

Tahun demi tahun, saya meneruskan kehidupan di alam baru pula, alam bergelar pelajar universiti dan sekarang, alam pekerjaan. Astaghfirullah.. Jalan yang terpaksa di lalui rupanya kian lama kian sukar. Onak dan duri menanti di sepanjang perjalanan. Ada masanya saya kuat menempuh halangan dan ada masanya saya tewas. Titik hitam mula berkumpul dalam diri ini, setitik demi titik, hingga lama kelamaan menjadi banyak. Iman pula sentiasa di paras yang berbeza-beza, ada pasang surutnya yang tersendiri, Astagfirullah, saya kian banyak melakukan dosa. Ampunkanlah aku wahai Tuhan..

Apa gunanya aku hidup, andai kehidupan ini semata-mata untuk menambah bebanan dosa? Dan kenapa Tuhan izinkan aku hidup sedangkan timbangan dosa ku kian lama kian berat? Astagfirullahalazim..

Setiap apa yang Allah ciptakan, biarpun sebesar zarah, pasti ada hikmahnya, pasti ada sebabnya. Allah Maha Bijaksana Lagi Maha Mengetahui. Ajal maut semuanya di tangan Dia dan hanya Dia yang tahu, bila tiba masanya Izrail harus datang menjemput. Dia yang Maha Berkuasa.

Pernahkah kita terfikir, kenapa kita masih hidup hari ini?

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..Bersyukurlah kerana sehingga hari ini, kita masih lagi dipanjangkan umur, tempoh pinjaman jasad dan nyawa ini masih lagi dipanjangkan.

Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana Allah ingin memberi peluang kepada kita untuk menyuci diri menghapuskan dosa semalam? Kita masih hidup agar kita dapat memohon maaf kepada mereka yang pernah kita lukai hatinya, kita masih hidup agar kita dapat melunaskan hutang yang belum terbayar.

Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada yang memerlukan kita, memimpin tangan mereka, menyapu air mata mereka, meminjamkan bahu dan telinga untuk mereka di kala mereka sedang berduka lara.

Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada tugas yang belum terlaksana sempurna. Masih banyak yang belum kita lakukan. Amalan dan bekalan untuk di bawa ke akhirat yang kekal abadi masih tidak mencukupi.

Aduh~ rupanya perjuangan kita di alam kehidupan ini masih belum selesai..masih banyak yang harus kita persiapkan..

Bila usia meningkat, ramai yang risau, kecantikan dan keremajaan bakal hilang, lalu sibuklah mereka menyuntik sana sini, makan vitamin itu dan ini. Malangnya ramai yang lupa, bila mati, jasad di timbus tanah, ulat dan cacing datang menggigit, semuanya akan reput, daging dan kulit di makan tanah. Kita kembali menjadi tanah. Apa gunanya cantik?

Bila usia meningkat, ramai yang risau, harta dan kekayaan yang dikumpul masih ditakuk lama, wang simpanan masih tidak mencukupi. Malangnya ramai pula yang lupa untuk mempersiapkan diri dan memperbanyakkan amalan dan mengumpul bekalan untuk di bawa ke sana.

Aduhai..saya bagaimana pula? usia saya juga kian meningkat, esok atau lusa mungkin tiba masa saya di jemput kembali pulang ke alam barzakh..

Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, tunjukilah aku jalanMu yang lurus, selamatkanlah dan bahagiakanlah aku serta seluruh muslimin dan muslimat, dunia dan akhirat.

Amin..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


4 comments:

Lisam said...

kan bagus Allah ambil nyawa kita masa iman kita masih kuat & diri masih suci kan?
tapi perancangan Allah, ujian Allah dan nikmat kurniaan Allah tiada siapa yang tahu.
semuanya terselit hikmah dan pengajaran yang perlu kita lihat dan perlu kita selidiki..

Jolynn said...

Semua yang berlaku ada hikmahnya... Allah nak bagi kita peluang untuk menghadapi arus dunia ini kerana kita tak boleh mengatakan kita beriman kalau kita tidak diuji, kan?

Allah knows best dan setiap hari yang mendatang insyaAllah akan kita semua gunakan untuk memperbaiki diri serta berseru kepada orang lain. =)

Ini merupakan entry yang menginsafkan jiwa...

♥نعمة السعده اسماعيل‎ ♥ said...

salam akak
~blogwalking~
terjumpa entry ni...

setuju sgt...
zaman sekolah dlu...di asrama... terlindung dr maksiat segala..
sedih...
semakin hari semakin ternoda rs...
namun..
DIA masih beri ruang supaya terus sedar...
tapi...kenapa semakin nk dekatkn diri pada DIA, terasa semakin byk khilaf yang dilakukan..
apa sy perlu buat ya?

*sedih*

Admin said...

Assalamu'alaikum

Bila umur semakin meningkat, kubur dah semakin dekat.

Bila umur semakin meningkat, sebenarnya maut pun tak kenal muda, tua, kecil besar, sihat dan sakit.

Ada hikmahnya mengapa ALlah tidak mengambil nyawa kita, semua itu dalam rahsiaNya yang tidak tercapai dek akal untuk memikirkannya. Sebab itu selalulah baca doa yang diajar rasuluLlah

Ya muqollibalqulub thabbit qolbi 'ala diiiniK

Wahai Yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati kami di dalam agamaMu.