+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Saturday, May 16, 2009

Ada Dalam Tiada.

"Kau nampak angin?" dia bertanya kepadaku. Aku menggelengkan kepala, maknanya, aku tidak nampak angin.

"Jadi, bagaimana kau tahu angin itu ada?" Dia bertanya lagi, lagak seorang professor cap ayam. Aku sekadar tersengih, menampakkan kesemua 32 batang gigiku yang tersusun kemas, owh, mungkin tak cantik, tapi cukup tanpa rongak dan tidak hitam. Aku kerdipkan mataku berulang-ulang kali. Sengaja menarik perhatian dia.

Dia membulatkan mata, marah dengan sikapku yang keanak-anakan. Aku mengerti panahan matanya itu. Aku kemudian tersenyum. Cuba untuk kembali serius. Lalu menarik nafas dalam-dalam.

"Aku tahu kerana aku dapat merasakannya..aku tau kerana aku dapat melihat dedaun kering berterbangan..aku tahu kerana ada kalanya angin yang lemah itu mampu berubah menjadi taufan yang kejam, angin itu juga mampu membunuh kau dan aku!" Aku menjawab, panjang lebar tanpa menggerakkan kedua tanganku sebagai lagak seorang pendebat. Kedua tanganku aku letak kemas di riba ku. tidak terangkat walau seinci. Tenang.

Dia kembali senyum kepadaku.

" Jadi, maksud kau..tidak nampak tidak semestinya tiada, kan?" Sekali lagi dia bertanya, kali ini bukan lagi berlagak sebagai seorang profesional, tapi gayanya bagai kucing lapar yang sedang memujuk tuannya memberikan ikan segar. Menggesel-geselkan badan di kaki tuannya. Untung dia bukan kucing itu, tidak pula bergesel denganku, cuma sekadar melunakkan dan merendahkan suaranya sahaja. Aku tergelak kecil melihat sikapnya yang tiba-tiba menjadi comel. Aku sekadar menganggukkan kepala. Setuju.

"Sekiranya aku tiada kelak, aku harap kau tahu, bahawa aku sayangkan kau kerana Allah. Kau jaga dirimu baik-baik, jadi muslimah yang solehah..ingat aku dalam doamu" Pantas dia menyambung kata-kata, sebelum sempat aku bersuara. Dia memalingkan wajahnya membelakangi aku namun aku sempat menangkap riak wajahnya yang berubah menjadi suram. Bukan sehari aku mengenalinya. Bukan setahun malah sejak kecil kami saling mengenali. Dia bukan sekadar sahabat baikku, malah aku menganggapnya seperti saudara kandungku sendiri. Dialah teman bergurau dan dialah teman bergaduh. Bila aku menangis dia yang memujuk dan bila dia terluka, aku yang membalut lukanya. Kami sering meluangkan masa bersama-sama. Mengaji sama-sama, dan lari sama-sama bila di kejar anjing Ah Leong yang terputus rantainya.

Suasana petang itu kian suram, aku ingin bertanya namun dia terus mengunci bibir, menyimpan sejuta rahsia. Aku kian gelisah namun cepat-cepat dia menarik hujung tudungku lalu ketawa berlari-lari anak keluar dari bilikku, sengaja memancing aku agar mengejarnya dari belakang..Haih....Maka terjadilah adegan kejar mengejar, pelakonnya adalah dua gadis yang kini sedang meningkat remaja. Aku dan dia.

______________________________


Bunga kemboja jatuh di hadapanku mengejutkan lamunanku. Aku menyapu air mata yang membasahi pipi. Semua hadirin sudah pulang, meninggalkan aku sendirian di pusara yang masih merah tanahnya. Aku tunduk, cuba menggapai kemboja yang gugur itu, angin petang menderu kuat menyentuh pipiku. Makin kuat ingatanku pada dia, sahabat sepermainanku sejak kecil.

" Jadi, maksud kau..tidak nampak tidak semestinya tiada, kan?"

Kata-kata itu bergema lagi di telingaku.. Ya, dia sudah tiada, pergi meninggalkan aku dan seluruh alam fana ini. Dia telah kembali menemui Sang Pencipta, tinggalkan aku yang masih hidup. Aku kini tidak mungkin dapat melihatnya lagi...namun di hatiku, dia tetap ada. Bagai angin yang sentiasa menemani aku tanpa pernah aku melihat jasadnya.

Selamat beradu di pusaramu sahabatku. Selamat tinggal sahabat. Semoga rohmu di tempatkan di dalam golongan hambaNya yang dikasihi. Amin ya rabbal alamin.




3 comments:

Nory said...

hai.salam.minat biss kecantikan.byk benifit d samping merasai produk marykay yg amt2 bagus

Lisam said...

waa..
sedihnye cite akak ni..
istimewa sungguh kawan akak tu..
dia macam tahu saat kematiannya terlebih dahulu akan hadir sebelum masa akak tiba...
teringat kat sahabat2 yang dah pergi~

AsNiza said...

thnx nora..tp sorry, um not interested, ekekek..

pakcik..dia tak tau pun dia mati bila..tapi dia tau dia ada penyakit..so dh bleh agak hidup tk lama sbb dah kronik..tp dia stil cover kt aku..supaya aku tk tau die sedang sakit..isk3..uwwwaaa..