+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, July 27, 2009

Setulus Kasih Irdina

Ruang empat segi itu kelihatan tenang, sepi menyelubungi segenap ruang. Di situ, duduknya seorang lelaki sedang khusyuk menatap monitor komputer. Dia membaca dari baris ke baris, hingga akhirnya tiba di satu perenggan, dia berhenti membaca seketika. Ayat-ayat itu di ulang berkali-kali, cuba untuk memahami sedalam-dalamnya, risau andai dia tersilap tafsir.

"Saya Irdina binti Irsyad, sekali lagi memohon maaf atas segala keterlanjuran dan kekasaran bahasa. Kita pernah menjadi kawan dan selepas ini, kita bukan lagi sesiapa. Saya akan lupakan awak sebagaimana awak melupakan saya. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kita, InsyaAllah,"
bait-bait kata yang tercatit pada skrin putih di hadapannya itu benar-benar menusuk hingga ke tangkai jantungnya. Hakimi berhenti membaca. Matanya di pejam erat. Tubuhnya disandarkan pada kerusi berwarna biru. Tidak semena-mena kerusi itu melentur sedikit ke belakang.

Hakimi masih lagi bersandar kaku. Fizikalnya kelihatan tenang namun jiwanya bergelora, hatinya berkecamuk resah. Pelbagai persoalan bermain di mindanya. Dia cuba mengurai segala kekusutan namun malangnya, semakin di cari penyelesaian, semakin dia hilang punca. Masalah kian bertambah komplikated. Akhirnya dia mengeluh perlahan. Matanya dibuka kembali bagai baru mendapat ilham. Dia harus lakukan sesuatu. Mesti! Hakimi bermonolog sendirian.

_______________________________________________________

Pada suatu petang, sebaik sahaja pulang dari kerja, ibu bapa Hakimi mengajaknya duduk semeja, ada sesuatu yang ingin dibincangkan, lalu Hakimi akur. Setelah berbasa basi, ayah akhirnya membuka cerita.

"Hakimi, ayah dan emak berpendapat, umur seperti kamu sudah sesuai benar mendirikan masjid, berumah tangga. Apa kamu sudah punyai calon sendiri?" Encik Hashim mengajukan soalan kepada anak sulungnya yang kini sudah menganjak usia 29 tahun. Isterinya sekadar menganggukkan kepala,tanda sokongan kepada buah kata si suami. Hakimi memandang tepat ke arah ayahnya. Hakimi lansung tidak terkejut mendengar soalan kedua ibu bapanya itu, malahan dia sudah dapat meneka dari awal. Masakan tidak, di mana-mana saja dia pergi, soalan serupa sering menyentuh gegendang telinganya, dia sudah lali. Dia juga sedar akan umurnya yang bukan lagi muda, sahabat-sahabat semuanya sudah beranak pinak. Hakimi menarik nafas panjang, kemudian menggelengkan kepalanya, maknanya dia tidak mempunyai sebarang calon untuk dijadikan isteri.

Puan Maimunah yang mendiamkan diri sejak tadi akhirnya bersuara..

"Emak tengok kamu ni ada rupa, kerja pun bagus, takkan lah tiada gadis berkenan pada kamu? mereka buta ke? " kata-kata itu terluncur dari bibir ibunya, selalunya perempuan memang begitu, apa di fikirannya itulah di bibirnya, dan wanita yang bergelar ibunya itu juga tiada bezanya dengan wanita-wanita lain, namun di hatinya, ibulah wanita yang paling istimewa. Paling mengerti, paling memahami, sanggup bersusah payah demi suami dan anak-anak. Ibu penuh dengan kasih sayang, penuh rasa cinta. Kadang-kadang Hakimi cemburu dengan ayah, bertuah ayah mempunyai isteri seistimewa ibu. Hakimi juga mahu isterinya kelak serupa dengan ibu, jika pun tidak menyamai 100%, 70% pun jadilah.

"Hakimi! emak bercakap dengan kamu.." suara Puan Maimunah berjaya mengejutkan Hakimi dari lamunan. Dia melontarkan senyuman, menutupi khilafnya yang menerewang jauh ketika kedua ibu bapanya sedang mengajak berbincang. Hakimi akhirnya bersuara..

"Belum ada calon, emak, ayah. Emak faham-fahamlah kerja Hakimi macam mana, bukan ada masa nak mengurat anak gadis orang.." Hakimi cuba berseloroh. Puan Maimunah sekadar tersenyum, di dalam hati mengiyakan kata anak terunanya itu. Betul juga, kerja memanjang, pagi keluar rumah, malam baru pulang, kadang-kadang ke luar daerah. Bisik Puan Maimunah di dalam hatinya.

"Kalau begitu baguslah, kawan ayah ada anak gadis, ayah pernah bertemu dengannya, ayah berkenan dengannya.." Ayah kemudiannya tersenyum setelah setelah selesai berkata-kata. Puan Maimunah di sebelahnya juga tersenyum. Hakimi sekadar menyakat.

"Haih, emak tak jeles ke, ayah berkenan dengan gadis lain mak.." Hakimi ketawa kecil. Puan Maimunah menjengilkan matanya. Anaknya yang sulung itu nama saja seorang jurutera berjaya, tapi sikapnya tetap sama tidak berubah, suka benar menyakat. Kadang-kadang dia sendiri tidak sedar bahawa anaknya itu sudah dewasa, begitu cepat masa berlalu.

"Kamu ni, ke situ pulak, ayah kamu ni berkenan untuk jadikan anak gadis Encik Irshad tu sebagai menantu, bukannya isteri, buat apa emak cemburu?" Ibu membidas, bibirnya dijuihkan sedikit ke hadapan. Hakimi dari tadi menahan gelak kini ketawa mengekek. Gelihati melihat perilaku ibunya.

Setelah beberapa ketika, Hakimi berhenti ketawa, tidak mahu nanti ketidakseriusannya itu mengguris hati kedua ibu dan ayahnya. Hakimi akhirnya bersuara,

"Gadis tu bagaimana ayah, Hakimi tak boleh lah bagi jawapan sekarang, mahu terima atau tidak.. tapi Hakimi rasa, Hakimi mahu kenal dia terlebih dahulu, tidak mahu nanti bila sudah ijab dan kabul baru nak menyesal.." Hakimi memberanikan diri menuturkan kata. Encik Hashim kelihatan termenung seketika, memikirkan kata-kata anak sulungnya itu. Ada betulnya.

"Kalau begitu, ayah akan maklumkan kepada Encik Irshad dululah.. kalau dia bersetuju kalian berkenalan dulu, ayah tiada bantahan, tapi kamu harus ingat, jaga adab, jaga akhlak, jangan pula permainkan perasaan orang, jaga nama baik keluarga kita. Kita orang Islam, sesaat pun kamu jangan lupa ya, dan oh ya, ayah bagi kamu tempoh enam bulan, ayah mahu dengar satu jawapan sahaja nanti, setuju atau tidak, itu saja," Encik Hashim menyatakan kesetujuannya. Nadanya ada tinggi ada rendah. Bab agama dia sentiasa tegas, tiada lebih atau kurang. Anak-anaknya di didik begitu sejak kecil. Encik Hashim mahu anak-anaknya menjadi anak yang soleh.

Hakimi menganggukkan kepalanya, tiada bantahan.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Peristiwa petang itu bermain-main di layar fikirannya. Perbualan antara ibu dan ayah pada petang itulah menjadi salah satu titik permulaan perkenalannya dengan seorang gadis bernama Irdina Irshad. Seorang gadis pelik lagi merimaskan. Namun bila dia menyepi, mampu membuat perasaan Hakimi digoncang resah. Ah, dia memang pelik, atau istimewa? Entahlah.. persoalan itu masih tidak dapat dijawabnya. Namun dalam diam, Hakimi mengakuinya, ada sesuatu pada gadis itu, sesuatu yang sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Sudah lebih tiga bulan mereka berkenalan, berhubung melalui e-mel dan sms, namun sekalipun tidak pernah bersua muka. Bercakap di telefon juga tidak pernah. Hakimi cuma pernah melihat sekeping gambar Irdina, gambar yang di kirim oleh Encik Irsyad melaluinya ayahnya Encik Hashim. Hakimi juga yakin, ayahnya juga turut melakukan hal yang sama, menghantar gambarnya kepada Irdina, namun dia sedikit pun tidak membantah. Dia cuba mengerti perasaan ayahnya yang tidak sabar menimang cucu kerana kebanyakan dari sahabatnya semuanya sudah mempunyai cucu. Hakimi mengerti.

Pernah suatu ketika, Hakimi menghantar e-mel kepada Irdina, di dalamnya di selitkan kata-kata berikut..

"Saya percaya awak tahu tentang rancangan ke dua ibu bapa kita, namun saya harap awak tidak menaruh sebarang harapan kepada saya, saya takut kelak nanti awak akan kecewa, buat masa ini, sama-sama kita mohon petunjuk dari Allah, sama-sama lakukan istiqarah, moga Allah permudahkan," Hakimi cuba berterus terang, menyatakan hasrat hati melalui tulisan kemudian menekan butang 'send'. E-mel di hantar. Tidak lama kemudian, Hakimi menerima maklum balas dari Irdina.. katanya, dia juga pasrah dengan ketentuan Ilahi, dia juga percaya kepada qada' dan qadar Allah, ajal maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan, dia pasrah dan redha dengan segala ketentuan Tuhan terhadapnya. Hakimi yang membaca baris ayat berasa lega dengan penerimaan positif Irdina. Di dalam hati berdoa, mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan.

______________________________________________

TO BE CONTINUE...

2 comments:

Lisam said...

yezzaa...1st again

rajinnye menulis...
leh masuk gines buk of rikod neh..
sume karangan sdiri, no kopipes pon..

bile la nak jadi rajin cam akak...sob9x

AsNiza said...

lisam..

sekarang juga pakcik! mula sekarang..rajin2 kan diri anda..^_^

akak ni pun, rajin menulis tp kualiti takde tkde guna gak... haish~

makin lama makin tk best plak entri akak nie, gaya bahasa pun rasa tak best.. tgh2 tulis rasa tk best terus stop. huhu..

i must do 'something', upgrade lagi, insyaAllah..