+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, July 22, 2009

Dia Boleh, Kita?

BEIJING - Polis China mengeluarkan amaran terhadap seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) selepas dia didapati menunggang motosikal tanpa kedua-dua belah tangan, lapor sebuah akhbar.

OKU tersebut, Liu Yeung, 27, dari Jimo dikesan memandu motosikal yang diubah-suai khas bersama dua pembonceng.

"Kami hanya menyedari dia tidak mempunyai tangan ketika dia ditahan. Liu memandu menggunakan badannya," kata seorang pegawai polis.

Liu dipercayai sudah menunggang motosikal tersebut sejak beberapa tahun lalu setelah dia cacat semasa masih kecil akibat menyentuh kabel elektrik sehingga merosakkan kedua-dua tangannya.
Ibu bapa Liu pernah menyerahkannya kepada pihak pengurusan sarkis ketika dia berumur 10 tahun dan memperoleh pendapatan dengan menunggang basikal.

"Lelaki itu menyangka polis menahannya kerana membawa dua pembonceng tetapi Liu terkejut setelah kami beritahu dia ditahan kerana menunggang motosikal tanpa tangan," kata polis.

Liu menganggur setelah syarikat sarkis tersebut muflis tiga tahun lalu dan sejak itu dia memperoleh pendapatan dengan menjalankan operasi teksi motosikal di bandar Jimo. - Agensi

Subhanallah, terkedu saya seketika tatkala kedua mata membaca bait-bait tulisan yang tercatat di sebuah akhbar tabloid, semalam. Kagum melihat semangat beliau yang tidak sempurna, telah bersusah payah demi mencari rezeki yang halal. Tanpa tangan, beliau menunggang motor untuk mencari rezeki. Membuktikan kepada kita bahawa tiada yang mustahil asalkan kita benar-benar berkehendak untuk mendapatkannya. Kekurangan bukan alasan untuk meminta-minta. Kecacatan bukan alasan untuk menagih simpati. Dengan kudrat yang ada, beliau berusaha malah telah melakukan sesuatu yang 'magik'. Maha Suci Allah yang Menciptakan.

Cuba bandingkan dengan diri kita. Kita sempurna segala. Tapi kita lebih suka gunakan anugerah jasad yang diberikan oleh Tuhan untuk melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, malahan merugikan diri sendiri. Aduh, terasa betapa kerdilnya diri saya ini. Terasa betapa selama ini saya tidak mensyukuri nikmat yang telah di berikan oleh Ilahi. Terasa selama ini saya tidak memanfaatkan segala pinjaman Allah kepada saya dengan sebaik mungkin. Malangnya saya..

Lebih teruk dari itu. Ramai juga yang sempurna sifat, namun malas berusaha. Malas bekerja dan tergamak menganiaya manusia lain. Merompak dan mencuri demi mendapatkan wang. Malangnya manusia ini! Betapa tidak tahu bersyukur dan tidak menginsafi diri. Naauzubillah..

Semoga, semangat yang ada pada Liu Yeung, tahu berdikari dan berusaha gigih dapat dicontohi oleh kita untuk mencapai lebih banyak kejayaan, dunia dan akhirat. Bukan senang untuk senang, dan bukan susah untuk susah.. Memandangkan kita tidak tahu apa yang bakal terjadi pada esok hari, maka ada baiknya kita cuba lakukan yang terbaik, agar suatu hari nanti, walaupun kita tidak berjaya mencapai langit, setidak-tidaknya kita telah berjaya menggapai awan.

InsyaALlah.

No comments: