Alhamdulillah, setelah sekian lama saya tidak berjaya khatam apa-apa bahan bacaan,akhirnya hari ini saya berjaya melakukannya. Buku yang baru selesai saya baca adalah Salahudin Ayubi, hasil penulisan Abdul Latip Talip dan diterbitkan oleh PTS. Buku ini dibeli semasa pesta buku antarabangsa di PWTC beberapa bulan yang lepas. Saya mula membaca buku ini pada hari Sabtu lepas ketika menunggu ketibaan sahabat dari Kajang di Stesen Komuter Batu Tiga. Dalam masa lebih kurang setengah jam penantian, saya hanya sempat menghabiskan beberapa bab. Kemudian sehari suntuk saya sibuk beraktiviti lantas tidak memberi sebarang ruang untuk saya membuka buku ini. Syukur kerana hari Ahad (semalam) saya tiada sebarang aktiviti dan sekadar menghabiskan masa di rumah, maka saya berkesempatan menyambung bacaan. Semangat saya berkobar-kobar ingin menamatkan bacaan.
Saya tertarik dengan buku ini kerana cara pengolahannya yang santai dalam bentuk novel sejarah Islam. Ketika membaca ada kalanya saya mengalirkan air mata kerana kagum dengan semangat jihad pejuang waktu itu terutamanya Sultan Salahudin Ayubi. Betapa baginda bersungguh-sungguh berjuang demi Islam kerana Allah. Bagaimana baginda mencontohi teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Adakalanya juga saya ketawa sendirian, seronok membayangkan bagaimana musuh Islam terpedaya dengan helah Salahudin dan seterusnya tewas berulang kali dalam peperangan menentang tentera di bawah pimpinan Salahudin.
"Ketika di medan perang, Salahudin ibarat ibu yang kehilangan anak tunggal"
Banyak pengajaran yang dapat saya ambil dari kisah ini namun saya lebih tertarik untuk berkongsi mengenai strategi perang yang dilakukan oleh baginda. Kebanyakkan strategi yang digunakan oleh baginda adalah mencontohi strategi Rasulullah. Tentera di bahagi kepada pasukan memanah, pasukan berkuda dan pasukan berjalan kaki. Mereka juga ada pasukan perisik. Perisik ditugaskan untuk mengintip pergerakan musuh dan keadaan geografi musuh sebelum mereka memulakan penaklukan. Ketika berperang pula, pasukan memanah akan berada di barisan hadapan, memanah dari jarak jauh, di ikuti pasukan berkuda kemudian menjatuhkan musuh dari kuda dan seterusnya perjuangan disahut pula oleh pasukan berjalan kaki.
Salahudin selalunya mengetuai pasukan berkuda dan baginda seorang pejuang berkuda yang sangat handal.
Ada kalanya Salahudin menggunakan taktik yang tidak pernah terfikir oleh musuh, 'expected unexpected', contohnya, ketika menyerang mereka melalui jalan sukar berbukit bukau atau lembah yang tidak disangka-sangka oleh pihak lawan. Musuh bersiap sedia menanti kedatangan tentera Islam di jalan rata namun tentera Islam meredah bukit bukau dan menyerang dari arah yang tidak di jangkakan. Pertahanan musuh lemah di bahagian itu dan mereka dapat dikalahkan dengan mudah. Kebijaksanaan baginda mengatur strategi ketika di medan perang sangat mengagumkan.
Pernah juga Salahudin menggunakan helah untuk mengelirukan musuh. Mereka ingin menyerang kota A, namun setelah tiba di pertengahan jalan, mereka menukar haluan kononnya ingin menyerang kota B dan akhirnya berjaya memperdayakan musuh, setelah musuh masuk ke dalam perangkap, tentera Salahudin kembali menyerang pada waktu malam dalam keadaan musuh yang tidak bersedia dan kelam kabut. Pergerakan keluar masuk juga selalu dilakukan pada waktu malam untuk mengelak di kesan musuh.
Sebelum membuat sebarang keputusan, Salahudin pasti membuat perbincangan dengan pasukannya. Mereka sering melakukan solat hajat dan sentiasa menggantungkan harapan kepada Allah swt kerana yakin bahawa mereka di jalan yang benar. Salahudin sentiasa mengambil berat akan kebajikan tenteranya dan sering memberi ucapan yang mampu menaikkan semangat jihad tenteranya. Berjuanglah kerana Allah. Baginda sentiasa mengingatkan pejuangnya agar ikhlaskan niat jihad kerana Allah, kerana Islam dan bukan kerana kemegahan, nafsu marah, atau kerana ingin mendapatkan harta kekayaan.
Pernah ketika terkepung dan tiada tempat bersembunyi, Salahudin memerintahkan tenteranya menggali parit untuk dijadikan kubu dan menempatkan tentera memanah di dalamnya. Setelah musuh menghampiri, musuh dihujani anak panah yang tidak di sangka-sangka dan kejutan ini berjaya membuat mereka kelam kabut lalu berpecah. Ini lebih memudahkan lagi mereka ditewaskan kerana tidak bersatu dan kacau bilau.
Ketika mengepung pihak musuh yang bersembunyi di dalam kota, Salahudin tidak pernah berdiam diri, sentiasa mencari penyelesaian dan sering mengelilingi kota tersebut agar mencapai penyelesaian bagaimana menembusi tembok yang kuat itu, pernah mereka menangkap tentera salib dan meminta tentera itu mengajar cara mengetuk pintu agar pintu itu di buka dari dalam. Pernah juga tentera Salahudin menekan musuh di dalam tembok dengan mengalih arah aliran sungai dan menghalang sungai mengalir masuk ke dalam kota yang dikelilingi tembok itu.
Ada kalanya tentera salahudin menggali lubang untuk menyusup masuk ke dalam kota dan ada juga masuk menggunakan tali pada waktu malam untuk menyelinap masuk ke dalam kubu musuh. Setiap langkah yang di ambil di fikir sebaiknya dengan tenang tanpa sifat melulu dan diputuskan setelah di bincangkan dengan pasukannya. Baginda juga selalu memohon petunjuk dari Allah dan kusyuk dalam melakukan ibadat.
Untuk menakluk Jerusalem, Salahudin memasang strategi dengan penuh teliti. Antaranya adalah menyerang dan menakluk negeri disekitar Jerusalem agar mereka berpihak kepadanya. Salahudin memastikan negara Islam bersatu dan baginda memerlukan sokongan daripada negeri-negeri Islam dan Alhamdulillah, setelah kejayaan demi kejayaan di capai oleh Salahudin, akhirnya baginda menjadi masyhur dan menjadi kebanggaan Muslim. Baginda menjadi pembakar semangat Muslim untuk bersatu dan bangkit menentang tentera salib yang telah menzalimi orang Islam sejak dari dulu. Ramai juga orang Islam yang sukarela ingin menyertainya berjuang menakluk Jerusalem.
Tekad Salahudin bulat untuk menakluk Jerusalem yang sudah 80 tahun di takluki tentera salib. Cita-citanya untuk bersolat di Masjid Al-Aqsa. Baginda bersungguh-sungguh menewaskan tentera salib kerana tentera salib sudah lama melakukan kezaliman terhadap orang Islam. Ketika berperang, tentera salib menzalimi kesemua Muslim termasuk wanita dan kanak-kanak. Wanita di perkosa dan kanak-kanak dibunuh. Bayi-bayi di jadikan bahan mainan, di lambung ke udara kemudian di tusuk pedang atau tombak sehingga tubuh bayi berkecai. Penempatan dimusnahkan dan semuanya di bunuh dengan kejam.
Tentera salib di bawah pimpinan Birnis sangat kejam dan Birnis adalah seorang yang angkuh dan sering menghina Rasulullah saw. Birnis sering mengganggu rombongan muslim tidak bersenjata yang ingin menunaikan haji di Mekah. Birnis juga bernah bercita-cita menawan Mekah dan Madinah. Hal ini benar-benar membangkitkan kemarahan Salahudin Ayubi dan baginda bersumpah tiga kali untuk membunuh Birnis dengan tangannya sendiri. Permusuhan antara Salahudin dan tentera salib berlansung agak lama kerana tentera salib sering mendapat bantuan daripada Eropah. Pihak Jerman dan Perancis sering menghantar bantuan ketenteraan, makanan, dan kewangan untuk membantu tentera salib mengalahkan tentera Islam, namun ternyata, Allah lebih mengetahui. Kesudahanya, Birnis berjaya ditumpaskan oleh Salahudin ketika pertempuran satu lawan satu.
Tentera salib berjuang kerana ingin hidup tetapi tentera Islam berjuang kerana ingin mati syahid. Ingin mendapatkan keredhaan Allah dan ganjaran syurga. Tentera salib melakukan kezaliman terhadap musuhnya namun tentera Islam di bawah pimpinan Salahudin sering melayan musuh dengan baik. Tawanan perang di tawarkan sama ada untuk memeluk Islam atau membayar wang tebusan sebelum dibebaskan. Wanita dan kanak-kanak juga dilayan dengan baik. Ternyata, iman membezakan tentera salib dan tentera Islam.
Setelah sekian lama berjuang, akhirnya tentera Salahudin berjaya menawan Jerusalem tanpa pertempuran darah. Baginda lebih mengutamakan rundingan, perbincangan secara aman dan mengelakkan peperangan walaupun ketika itu, kekuatan berpihak kepada tentera Islam. Musuh dibenarkan keluar dari Jerusalem dengan aman setelah membayar wang tebusan. Mereka keluar dengan membawa harta tanpa dizalimi tentera Islam. Fakir miskin dan hamba pula dibebaskan tanpa apa-apa bayaran. Alhamdulillah, dengan izin Allah, mereka dapat menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.
Demikian sedikit sebanyak kisah yang dapat saya sunting dan kongsikan bersama, untuk mengetahui lebih lanjut, eloklah kiranya anda membaca buku itu sendiri, insyaAllah, buku ini benar-benar bermanfaat. Namun, hanya seperkara yang saya tidak gemar tentang buku ini adalah penutupnya yang tidak berapa indah, terasa ada kekurangan dimana saya berpendapat, penulisnya sekadar ingin menyiapkan buku ini dengan kadar yang cepat dan gagal menarik perasaan pembaca untuk terus berada di dalam cerita itu, eheh..gagal menghayati dengan baik..
Walau apapun, ia tidaklah mencacatkan buku ini, tahniah kepada penulis kerana berjaya menulis dengan baik.
Semoga buku ini bermanfaat dan mampu menaikkan semangat pembaca agar lebih cintakan Allah dan rindukan syahid. Yakinlah, Allah sentiasa bersama orang-orang yang benar. Semoga Salahudin tetap terus 'hidup' dalam jiwa kita orang Islam.
Wallahua'alam
4 comments:
salam..
saya setuju ngan akak,
bila baca buku ni,
air mata kdg2 mengalir,
kdg2 rasa bersemngt,
dan saya terfikir,
bilakah saya akan berjuang sebegitu rupa,
untuk menegakkan kalimah syahadah di seluruh dunia,
hmmm
w'salam..
akak pun sama, duk fikir, tilik diri..
jauhnya beza mcm langit dan bumi..
mereka berjuang kerana mengejar redha Allah..sangat kurang berehat..siang berjalan jauh, malam pula setelah solat dan berdoa, mereka melakukan serangan..
akak duk pk2, bila masa derang rehat panjang..jauh nya beza ngn diri ini yg serba kekurangan..='(
salam..
buku ni memang best..
sejarah perjuangan salahuddin utk menegakkan islam,,
skg saya sdg dilamun cinta dgn buku2 y seangkatan dgnnya..
kdg2 tfikir sjauh manakah kita d zaman ini berusaha utk mnegakkan islam jika dibandingkan dgn usaha salahuddin..=|
Assalamualaikum kak AsNiza..
waahh saya pun suka bace buku ttg tokoh2 Islam terdahulu..hari tu baru slesai bce Sultan Muhammad al-Fateh skg plak bce ttg Sultan Salahuddin al-Ayubi..kedua2nya pyne klebihan sndri..mreka punya strategi msg2..stakat yg sy bce berkenaan Salahuddin al-Ayubi,subahanallah..sy kagum dgn strategi beliau dlm peperangan..wallahu'alam..
Post a Comment