+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Sunday, June 7, 2009

Bila Monitor dan Keyboard Bersatu.

Monitor ditatap sesungguh hatiku, kaku. Mulanya ada sesuatu yang ingin dicatatkan namun setelah siap di hadapan monitor, kesepuluh-sepuluh jari ini sekadar tersusun di atas keyboard, cuma berdiam kaku. Mata ini masih lagi terpaku menatap skrin. Kosong. Jari ini masih berkira-kira dan teragak-agak, tidak bergerak. Masih tidak bisa menari-nari menekan-nekan butang di atas keyboard. Irama belum bergema. Lagu belum tercipta. Kaku, masih menunggu arahan dari 'bos'...Diam seketika, sepi lagi...

"Ah..'bos' buntu pula saat ini, tadi sepanjang memandu kononnya idea berlumba-lumba ingin melompat keluar, nah! sekarang monitor di hadapan mata, keyboard juga sudah ada, tunggu apa lagi???" Semua 'pekerja-pekerja tidak bergaji' akhirnya merungut. Adeii..Aku lalu menggenggam jari jemari ku, kemas. Aku harus menulis, paling tidak, sedikit pun jadilah..

Demikian al-kisah, betapa kata hati dan akal ini beku saat ini. Berperang sesama mereka. Hati, naluri, akal dan seluruh anggota tubuh ini. Berteka-teki. Menanti arahan selanjutnya, harus bagaimana huruf disusun, ayat diatur, kata diluahkan tanpa suara, agar cerita hati dapat disampaikan kepada insan-insan yang sudi meluang masa membaca coretan di teratak buruk ini. Kelu. Sepi. Harus bagaimana? Jika sebelum ini saya selalu menulis, meluahkan apa yang terpendam di hati, terlintas difikiran. Kali ini perasaan ini diulit resah. Gundah gulana, berkecamuk..

Jarang benar saya membuat kajian terlebih dulu atau merujuk kepada mana-mana sumber rujukan. Kecuali bila perlu menggunakan petikan ayat Quran barulah saya membuka buku tafsiran. Pernah juga saya menaip entri blog sambil tertidur, terjaga kemudian menyambung lagi sehingga ke perenggan penamat, lalu menutup laptop dan menyambung tidur.. Aduh..adakah saya tidak serius? Atau bagaimana perkataan yang lebih elok dan sesuai untuk gambarkan sikap saya? Kuantiti kian bertambah, tapi bagaimana dengan kualiti? Saya harus merenung kembali, bermuhasabah diri semula..

Jika dulu, saya menulis untuk meluahkan rasa hati, memujuk jiwa ini, mengingatkan diri sendiri dengan kata-kata semangat agar sentiasa teguh berdiri dan berlari. Memujuk diri sendiri..Jika bukan kita, siapa lagi? Kerana hanya Allah dan kita sahaja yang tahu, apa yang hati dan jiwa ini perlukan dalam meneruskan kehidupan. Kita yang lebih tahu apa yang menggembirakan diri kita dan apa yang sebaliknya, maka dengan alasan itu juga, sering saya ulangkan ke dalam jiwa ini, "kalau bukan aku yang pujuk diri aku, siapa lagi?" Lalu terhasillah blog ini. Luahan kata ukiran jiwa. Dari jiwa yang gagah perkasa kepada jiwa yang sedang gundah gulana. Dari aku untuk aku..

Benarlah kite cuma merancang, Allah jua yang Maha Mengetahui. Tanpa saya duga, pengunjung blog ini kian ramai. Angka di kotak VVIP kian meningkat.. Subhanallah. Terkelu diri ini. Hingga detik ini, jumlahnya kurang satu mencukupi 100. Sungguh, ada rasa takut dalam diri ini. Kenapa mereka di situ? Mahu apa?

Ya Allah..saya rasa takut. Takut anda saya mengecewakan mereka. Takut andai saya tidak dapat memberi apa yang mereka mahukan. Takut andai saya terkilas lidah tersilap bicara. Takut andai saya menulis lalu berkongsi fakta yang salah. Sungguh, saya takut.. Tuhan sedang menghitung dan sentiasa menghitung. Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Saya impikan ganjaran pahala namun saya juga takut andai apa yang bakal saya perolehi adalah sebaliknya.

Mahu Ke Mana?

Kekuatan atau kelemahan. Positif atau negatif? Saya sepatutnya mempunyaijawapannya. Saya seharusnya tahu bagaimana mengemudi bahtera kapal ini kerana saya nakhodanya. Saya tidak mahu biarkan bahtera saya sesat, atau hanyut tanpa arah. Saya tidak ingin biarkan bahtera ini karam atau binasa. Saya tidak sanggup biarkan anak-anak kapal mati kehausan. Air laut tidak akan kekeringan namun untuk meneruskan hidup, anak-anak kapal tidak mungkin boleh meminum air yang masin. Saya harus bijak, agar anak-anak kapal ini terbela dan tidak pula meminum air yang masin, bagaimana..bagaimana...bagaimana?

Berfikir lagi dan lagi, jangan berhenti wahai Hasniza. Berkatalah yang benar dan yang baik sahaja, atau jika tidak, lebih baik kau diam. Terlajak perahu masih bisa di undur, terlajak kata dan laku tak mungkin boleh dipadam lagi. Mungkin kita boleh melupakan tapi untuk mengandaikan orang lain juga serupa dengan kita adalah suatu yang tidak wajar dan mustahil. Semoga apa yang kau kongsikan, mampu memberi manfaat kepada insan yang lain, jangan sekadar menulis omongan kosong atau mengukir coretan sampah. Jika tidak, kau bakal tergolong dalam golongan yang rugi, yang tidak reti memanfaatkan anugerah Tuhan. Segalanya pinjaman, segalanya sementara, bila tiba masanya, semuanya akan sirna. Oleh itu, janganlah kau leka, jangan alpa. Dan jangan pula tersilap langkah.

Antara Keyboard dan Monitor

Silakanlah..
Menarilah wahai jari jemariku.
Ukirkanlah ayat-ayat yang terindah.
Luahkanlah segala resah dan gundah.
Biar menjadi sejarah terindah.

Ada hasrat berbisik tanpa suara.
Lafazkanlah dengan setulus hatimu.
Biar jari-jari ini mengukir makna.
Bisu tanpa nada, tanpa suara.

Bila keyboard dan monitor bersatu.
Lalu akal dan hati bersepakat.
Mata dan jari mengangkat ikrar.
Bersumpah setia menyumbang bakti.

Mencari sebuah destinasi.
Ke barat, ke timur, ke selatan, ke utara.
Masih tidak ku ketemui.
Di manakah destinasi aku?
Semoga sampai syurga.

Amin ya rabbal alamin





2 comments:

relax said...

amin moga asniza lebih kuat dan lebih tabah . kadang-kadang memang kuta terkesima sekejab hanya untuk merenung .. :)

AsNiza said...

amin...

thanx relax, insyaAllah mudah2an..
mungkin kena undur setapak supaya boleh berlari sepuluh tapak ke hadapan, kan?

^_^