+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, August 18, 2009

Kisah Gadis Kecil: Pertemuan Pertama

Februari 1990

Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Aku benar-benar pasti kerana berkali-kali aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tangan kiriku. Hari ini, aku rasakan jarum panjang dan pendek itu bergerak begitu perlahan. Terkedek-kedek. Ah~!! Mungkin aku dalam keresahan, resah menantikan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi pada hari pertamaku ini.

Aku mengatur langkah kakiku menuju masuk ke kawasan sekolah dengan sejuta satu rasa yang bercampur baur. Hari ini hari pertama aku di sini. Bertugas sebagai seorang guru praktikal di sebuah sekolah yang agak terpencil. Sekolah ini cuma ada tiga buah bangunan. Dua bangunan lama setingkat dan satu bangunan baru 4 tingkat yang sememangnya baru disiapkan. Mungkin hadiah daripada kerajaan negeri kerana pilihanraya baru sahaja berlangsung. Aku tersenyum sendirian.

Aku tersenyum lagi melihat sebuah kolam yang letakknya berhampiran pintu pagar sekolah. Di sekelilingnya terhias pohon-pohon rendang. Juga terdapat air terjun yang mengalir tanpa henti. Panorama indah itu sedikit sebanyak mampu memujuk hatiku yang resah. Aku tersenyum lagi. Segala puji hanya bagi-Mu Allah.

Suasana masih sunyi namun kian menjadi hingar. Beberapa orang murid mulai mengisi ruang sekolah. Ada yang memandang aku kehairanan, mungkin aku terlalu asing bagi mereka. Aku mengerti kerana hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Setelah aku menghadiahkan senyuman, mereka tidak lokek membalasnya semula, terhibur juga aku melihat telatah mereka di pagi hari.

Aku terus menyusun langkah. Aku terlihat sebuah bangku cokelat berhampiran dengan tempat parking kereta guru, lalu aku terus melabuhkan punggungku di situ. Melepaskan lelah seketika waktu sementara menanti ketibaan guru dan pegawai yang harus aku temui pada hari pertama itu.

Seorang demi seorang murid melintasi pintu pagar sekolah. Aku sekadar menjadi penonton bisu. Ada pelbagai gelagat dan keletah kadang-kala membuatkan aku tergelak kecil sendirian. Gelihati. Tiba-tiba, tidak semena-mena bola mataku tertancap pada seorang gadis kecil.

Di belakangnya tergalas beg sekolah yang kusam dan terkoyak,aku dapat melihatnya dengan jelas. Dia mengatur langkah longlai sambil tangan sebelah kanannya memegang sebekas tupperware. Tubuhnya kecil, rambutnya pendek paras leher, hitam, lurus dan lebat. Bukan saja beg yang koyak, kasutnya juga koyak. Aku tersentuh melihatnya. Perasaanku dirundung hiba tiba-tiba. Sayu aku melihatnya.

Gadis kecil itu terus mengatur langkah, tidak sedar aku sedang memerhatikannya. Dia jalan menunduk. Merenung tanah yang bakal dipijaknya. Pandangan matanya bagaikan kosong, sedang melayang terlalu jauh. Wajahnya suram, bagai ada hirisan di hatiku kala mata kami bertautan.

Mata gadis kecil itu seolah-olah terlalu sarat dengan derita. Terlalu sukar untuk aku membacanya. Apakah yang sedang kau fikirkan wahai anak kecil? Aku bermonolog sendirian.

3 comments:

relax said...

be the first lagi... hahaha ermm..gadis kecil tu sape? ( ikhwana garu2 kepala)

Faarihin said...

salam.. ada sambungan tak citer ni? rasa nak baca lagi.. (^__^)

Anem Arnamee said...

Salam.

erm, ada "tarikan " cerita ni.
gadis kecil tu ssahke?

p/s: menunggu ^_^