+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, August 7, 2009

Bukan Senang Mahu Senang

Bismillahirrahmanirahim..

Di mulai dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Segala puji-pujian hanya bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat nabi junjungan Muhammad SAW serta sahabat..

Alhamdulillah.. Setelah sekian lama blog ini menyepi, kali ini saya cuba menulis sebaris dua kata ayat untuk dikongsikan bersama. Mungkin penulisan kali ini adalah lebih kepada peringatan buat diri saya sendiri, yang sentiasa leka dan alpa. Peringatan buat diri ini yang sering saja tidak istiqamah, astagfirullahalazim. Mana yang baik kita jadikan tauladan dan yang buruk sama-sama kita buang jauh-jauh, insyaAllah.


Istiqamah.

Secara dasarnya Istiqamah bermaksud; berdiri teguh di atas jalan Islam dalam segenap ruang kehidupan sama ada dari sudut aqidah dan pegangan, amalan, pandangan hidup, perjuangan dan sebagainya iaitu tidak akan berganjak sedikit pun dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai godaan dan rintangan. Wallahua'alam.

Istiqamah itu perlu tidak kira dalam apa jua amal kebaikan yang kita lakukan. Ini terbukti apabila Baginda Nabi Muhammad saw berkali-kali bersabda, antaranya di petik dari hadis-hadis berikut:

Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan;

‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.;

"Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah".

(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Menurut Imam al-Manawi pula dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ;

‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, (perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan). Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah).

Jadi Istiqamah mengikut pandangan Imam al-Minawi ini ialah; kita sentiasa taat kepaad Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6143).


Kenapa Yang Mudah Menjadi Sukar?

Betapa diri ini insan yang hina lagi tidak mensyukuri nikmat Allah. Hingga kini persoalan ini belum bisa terjawab oleh saya, kenapa susah benar ingin istiqamah? Kenapa Iman saya sentiasa naik dan turun? Begitu sukar di duga. Ada masa kita boleh menghabiskan senaskah al-quran dalam masa dua minggu, ada masanya pula berbulan lamanya tidak menyentuh kitab suci itu. Astagfirullahalazim.. Ada masa pula berjam-jam solat sunat, ada masanya solat fardu acuh tak acuh, astagfirullahalazim.. Ada masanya begini dan ada masanya pula begitu.. Ya Allah, ampunkanlah dosaku.

Kenapakah susah benar untuk aku beristiqamah?

Adakah kerana diri ini angkuh?

Adakah kerana hati ini sudah hitam di balut dosa?

Adakah jasad ini sudah berkarat kerana tidak mempraktikkannya sejak dari kecil atau otak ini sudah beku?

Astagfirullahalazim.. Ampunkanlah segala dosaku Ya Tuhan..


Kenapa Perlu Istiqamah?

Kerana dengan istiqamah melakukan amalan terpuji, antara ganjaran yang bakal kita perolehi adalah jaminan ke syurga. Subhanallah.. Sedikit perkongsian untuk renungan bersama, antara hikmah-hikmah dan balasan baik yang diperolehi jika kita bersitiqamah, semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar, insyaAllah..

Saya teringat ceramah Ustaz Hj Zamri Zainal Abidin beberapa minggu yang lalu. Tajuknya berkisar kepada Israk Mikraj dan istiqamah. Keduanya dikaitkan dan ternyata, ada kesinambungannya. Contoh yang di kemukakan oleh Ustaz Hj Zamri adalah.. ketika israk mikraj, baginda Nabi SAW terdengar derapan tapak kaki seorang sahabat di syurga, yakni Bilal bin Rabah.. Sedangkan waktu itu, Bilal masih lagi hidup.

Sebaik saja bersama-sama dengan para sahabat yang lain, Nabi kemudiannya bertanya kepada Bilal Bin Rabah;

" Wahai Bilal Bin Rabah, apakah amalan kamu sehingga melayakkan kamu tempat di syurga?"

Setelah termenung seketika, Bilal menjawab dengan penuh rendah diri dan tawadhuk..

" Aku sentiasa melakukan solat sunat selepas wudhuk (kini dikenali solat sunat wudhuk).."

Dan akhirnya baginda Nabi mengesahkan, memang itulah amalan yang melayakkan Bilal di syurga. Jika di fikir-fikir secara logik, bukan susah untuk melakukan solat sunat dua rakaat. Sesiapa juga boleh melakukannya, maka sesiapa juga boleh masuk ke syurga.. namun yang susahnya adalah bagaimana ingin kekal istiqamah..

Alhamdulillah, Bilal kekal sentiasa istiqamah dengan amalannya yang 'mudah' itu maka syurgalah sebaik-baik ganjaran. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Semoga kita juga ditempatkan di syurga, amin..

Setiap dari kita pasti mati, setiap dari kita mengidamkan syurga sebagai destinasi terakhir kita, tapi apakah amalan yang kita telah lakukan sudah mencukupi untuk kita menempah 'tiket' ke syurga? Astagfirullahalazim.. Betapa beratnya tanggungan dosa yang sedang terpikul di pundakku Ya Allah.. Ampunkanlah segala dosa-dosaku.

"Ya Allah, hanya Engkaulah sahaja yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan...Ya Allah, pimpinlah hati kami agar sentiasa kekal di jalan-Mu yang lurus. Tunjukilah kami jalan yang lurus, yakni jalan orang-orang yang Kau berikan nikmat kepadanya, bukanlah jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat..amin ya rabbal alamin.."

2 comments:

AhmadNizamuddin said...

Assalamu'alaikum...

dalam mencari istiqamah, insyaallah
segala yang sukar akan senang....

dapatkan sesuatu yang baik melalui cara yang baik...

se'simple' mana pon amalan seseorang, kalo beristiqamah, tak ke banyak ganjaran yang dapat...

moga2 kehidupan penuh dengan istiqamah dalam perkara yang baik...

amiinnn.....

wallahu a'lam....

AsNiza said...

W'salam AhmadNizamuddin..

amin ya rabbal alamin...semoga kita tergolong di antara mereka yang istiqamah..