+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, August 18, 2009

Persinggahan Sementara

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi, nabi Muhammad itu pesuruh Allah, Allah Maha Besar, Maha Suci Allah, segala puji hanya bagi Allah..

Syukur ke hadrat Ilahi kerana aku masih bernafas hingga kini. Syukur ke hadrat Ilahi kerana jasadku kini masih lagi bersatu dengan rohku. Alhamdulillah. Aku percaya, akal yang waras pastinya tahu dan yakin bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, namun, sedihnya.. kebanyakan dari kita sering lupa bahawa semakin lama kita hidup, semakin pendek usia kita. Semakin lama kita menetap di bumi yang indah ini maka semakin dekat ajal kian menghampiri. Aku mohon keampunann-Mu Tuhanku..

Bila ajal itu tiba, tiada siapa yang dapat menghalang. Ibu yang aku cintai akan aku tinggalkan. Kakak dan adik-adikku yang aku kasihi juga akan aku tinggalkan. Alya dan Ashraf yang aku senangi juga tidak mungkin dapat aku temui lagi. Sahabat dan taulan yang aku sayangi juga tidak mungkin dapat aku tatapi lagi. Bila roh sudah terpisah dengan jasad, tiada apa lagi yang mampu aku lakukan. Masanya sudah tiba untuk aku 'mengutip hasil' bagi segala yang sudah aku kerjakan selama aku masih hidup. Apa agaknya bekalan yang sudah aku bawa? Apa agaknya hasil kutipan ku itu kelak? Aku mohon keampunan-Mu ya Tuhanku..

Ibuku mungkin menangisi pemergianku. Kakakku pasti meratapi pemergianku. Adik-adikku juga pasti bersedih dengan pemergianku. Alya dan Ashraf mungkin belum mengerti apa-apa, namun aku percaya, mereka pasti merindui gelak tawa dan senda gurauku.. Teman-temanku juga pastinya merasai kehilanganku itu. Hati-hati yang mencintaiku pastu merasa hiba dengan pemergianku ini.

Namun, seiring dengan masa, aku juga percaya, lama-kelamaan, mereka juga pasti melupakan aku. Sedikit demi sedikit, aku luput dari ingatan. Lalu, namaku mula menjadi asing. Memori bersama aku mungkin kian padam. Aku dilupakan.

Apa yang tinggal untukku? Adakah keluarga, sahabat atau harta yang telah aku kumpul? Mungkin tidak.. Jadi apa yang masih tinggal untukku? Apa lagi yang dapat membantu aku? Apa yang dapat meringankan azab aku di dalam kubur? Apa yang dapat menerangi alam kuburku? Apa yang dapat menyelamatkan aku dari ular dan kala jengking? Apa yang dapat membantu aku menjawab soalan munkar dan nakir? Apa yang dapat melindungi aku dari dihimpit dan diazab? Apa yang dapat membantu aku??

Alam kubur alam persinggahan. Adakah destinasi untukku berehat dengan aman atau sebaliknya?

Apa yang telah aku lakukan? Apa yang telah aku miliki? Apakah ia mencukupi?

Aku takut azab-Mu Tuhan, namun aku tidak pula layak ke syurga-Mu. Kau ampunkanlah dosaku Ya Tuhan.. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun.


Amin ya Rabbal Alamin




3 comments:

Suhana Amiril said...

Amiin.. Amiin.. Amiin..

Amiin ya Robbal 'alamiin..~

AsNiza said...

:: suhana..

thnx sudi ziarah dan aminkan doa akak, sayang kamu ^_^

Ahyana Solehah said...

Hampir menitis air mata. Suatu muhasabah yang cukup bermakna. Syukran kak As...

Ya Allah, terimalah kami dgn sebaik2 kepulangan...

"Cukuplah mati itu sbg peringatan"...