+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, August 19, 2009

Kisah Gadis Kecil: Hikmah Di Sebalik Pertemuan

Episod Dua

Aku membetulkan tag nama yang tersemat di dada kanan ku. Tag itu tertera namaku "Nora Asyikin". Aku tersenyum menatapnya. Tudung yang sudah elok aku perbetulkan lagi, bimbang kalau-kalau penampilan pada hari pertamaku itu mengakibatkan persepsi yang buruk terbit dari minda anak muridku.

Aku berdiri tegak. Berdehem kecil beberapa kali untuk melegakan tekak. Kedua belah tanganku aku genggam dan lepas berulang kali. Seiring itu juga aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Aku masih berdiri di hadapan kelas 2 Mawar. Masih teragak-agak untuk melangkah masuk. Setelah membaca beberapa doa yang aku hafal, aku meyakinkan diri untuk terus melangkah masuk ke dalam kelas.

Sebaik sahaja aku masuk, suasana kelas yang tadinya bising menjadi senyap tiba-tiba. Seorang pelajar yang duduk di meja paling hadapan berdiri memberi salam padaku. Lalu aku tahu, dialah ketua darjah kelas 2 Mawar. Aku menghadiahkan senyuman kepada semua pelajar lalu menyuruh mereka duduk. Semuanya bagaikan robot, akur dengan kata-kataku.

Bilangan murid kelas 2 Mawar 26 orang semuanya. Sekolah ini tidak besar, jumlah pelajar keseluruhan dari darjah satu hingga darjah enam tidak melebihi 500 orang. Setiap darjah cuma ada 2 kelas dan bilangan murid bagi setiap kelas lebih kurang 30 orang sahaja. Aku berkira-kira di dalam hati. Kesemua 26 pasang mata sedang memandang tepat ke arahku. Ada yang tersengih-sengih menatapku dan ada juga yang sekadar endah tidak endah.

"Apa khabar semuanya? Sihat tak?" Aku memulakan bicara.

"Sihat!!" suara murid bergema menjawab soalanku serentak.

"Alhamdulillah.. siapa tahu sekarang ni waktu untuk subjek apa?" Aku memancing lagi.

"Mathematic!!" sekali lagi suara murid kelas 2 Mawar bergema. Aku senyum lalu menganggukkan kepala.

"Pandai semuanya. Alhamdulillah. Saya cikgu Nora Asyikin, guru pelatih akan mengajar kelas kamu subjek mathematic mulai hari ini, sampailah ke masa yang telah di tentukan, siapa suka matematik? " Aku mula berkeyakinan untuk berhadapan dengan murid-murid di hadapanku, panjang lebar aku berceloteh. Mereka mendengar, ada yang mengangkat tangan dan ada yang cuma tersengih menampakkan giginya yang rongak. Hatiku tercuit.

"Baiklah, hari ini cikgu tak akan terus mula mengajar, cikgu nak kenal-kenal dulu dengan kamu semua. Boleh tak cikgu tahu apa nama kamu sorang demi sorang?" Aku terus menyusun strategi. Murid-murid 2 Mawar mula kelihatan menerimaku dengan senang. Di dalam hati aku bersyukur. Mereka berama-ramai setuju untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Seorang demi seorang murid berdiri memperkenalkan nama masing-masing. Ada Amin, Yusri, Helmi, Halimi, Muhammad, Azri, Hanif, Azmi, Hazizi, Baharom, Faizal, Anuar dan Syukri. Aku cuba sedaya upaya aku untuk menyimpan wajah dan nama mereka kemas-kemas dalam mindaku. Untuk menghafal semuanya dalam masa satu jam bukan mudah, syukur juga kerana mereka turut memakai tag nama, setidak-tidaknya kemudian hari aku tidak perlu bertanya soalan serupa berulang kali.

Baris demi baris berlalu akhirnya tiba giliran murid perempuan yang berambut pendek. Aku agak terkejut melihatnya, entah bagaimana aku tidak sedar kewujudan dia di dalam kelas ini dari tadi. Mungkin kerana fizikalnya yang kecil? Entahlah.. Namun dia tidak asing bagiku. Kali pertama melihatnya aku sudah merasakan bagai ada tarikan magnet antara kami. Tarikan yang misteri yang terlalu sukar untuk aku tafsirkan.

Dialah gadis kecil yang pernah aku lihat sewaktu aku sedang duduk di bangku berhampiran pintu pagar sekolah awal pagi tadi. Dia menarik kerusinya ke belakang lalu berdiri memandang ke arahku. Dia cuma tersenyum. Jantungku berdegup laju sedikit dari sebelumnya. Ada pelbagai persoalan yang sedang bermain dibenakku. Namun aku memujuk diri supaya bersabar dahulu.

Mungkin Tuhan sengaja menemukan aku dengannya. Apakah hikmah yang tersembunyi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

2 comments:

Faarihin said...

salam.. wah.. smakin menarik cerita ni.. tak sabar nak baca sambungannya lagi.. (^__^)

Jackster said...

Eh sejak bile tules cerpen ? menarik ! =D