+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, July 15, 2009

Izinkan Aku Menangis

"Senyumlah!" Dia menegurku. Rupaku masih kelat. Mendung tanpa riak manis terukir di wajah. Muram. Tiada seri. Tidak bermaya. Terasa sungguh berat benar untuk aku menghadiahkan dia sekuntum senyuman.

" Senyumlah, sudah beberapa hari aku melihat rupa mu suram, tidak manis! Seolah-olah kau bukan lagi kau yang pernah aku kenal..Hey, mana hilangnya kau yang ceria dan optimis? Come on girl! " Dia masih tidak jemu menarik perhatianku. Tidak serik. Tidak mudah mengalah. Seperti selalu. Aku menolehkan wajahku padanya. Dia tersengih membalas renunganku. Dalam keterpaksaan aku cuba mengukir senyuman untuk dia. Tawar. Aku tahu dia tahu.

"Kau ni kenapa, ada masalah ke?" Dia bertanya kepadaku setelah melihat aku kembali membisu. Hanyut dalam khayalan. Diam tanpa kata, tanpa senyuman. Sungguh aku berbeza dari kebiasaan, mana mungkin dia tidak berasa aneh, dia memang wajar merasa pelik melihat keletahku kebelakangan ini. Dia memang prihatin terhadapku, dia benar-benar mengambil berat terhadap kebajikan ku. Dia memang benar-benar memahami aku. Dari dulu, kini dan selamanya. Aku tahu, dia pasti mengerti gejolak perasaan yang sedang melanda perasaanku kini. Kerana aku adalah dia.

"Aku tahu, kau tengah bersedih sekarang nie..aku faham, aku pun sedih juga..tapi janganlah diikutkan sangat perasaan tu.. " Dia masih lagi berkata-kata, namun kini rentak suaranya bertukar nada. Sayu pula jadinya. Mungkin benar-benar memahami kesedihan yang sedang melanda jiwaku atau barangkali sedih kerana aku seolah-olah tidak mempedulikan kehadirannya. Wajahnya juga kini murung sama seperti aku. Aku simpati namun aku tidak mampu berkata apa. Kali ini aku gagal memujuk diri, mana mungkin aku dapat memujuknya. Aku kini tewas dalam mainan perasaanku sendiri, mana mungkin aku mampu menghiburkan dia agar kembali senyum seperti selalu. Aku mengalah untuk hari ini.

Kami sama-sama diam membisu. Sunyi. Sepi.

"Awak, kite sedih.." Akhirnya aku memberanikan diri bersuara. Aku memalingkan wajahku mengadap ke arahnya. Dia membalas renunganku. Wajahnya juga tidak lagi ceria.

"Awak.. Kite dah tak tahu nak buat apa lagi, kite benar-benar sedih, kite kecewa, kite sudah tidak mampu berdiri lagi, kita penat, kite sudah kalah.." Aku menyambung kata. Kolam mataku mula bergenang... ah, beginilah selalunya aku bila bersembang soal perasaan. Ish! Aku mengutuk diri sendiri.

Dia menatap wajahku tenang. Sabar menanti aku menyambung kata-kata. Mulanya aku keberatan meluahkan, namun bebanan ini terlalu berat untuk aku menanggungnya sendirian. Akhirnya, dalam linangan airmata, aku meluahkan segala apa yang sedang membebankan fikiranku. Di hujung kata, aku menangis teresak-esak.

"Kadang-kadang, kite rasa dunia ini tidak adil terhadap kite.." aku masih menyambung kata. Cepat-cepat dia menutup mulutku.

"Shh.. jangan cakap begitu, tak baik! Istighfar, ingat Allah selalu.." Suaranya tegas, melarang.

"Kalau kau fikir kau malang, cuba kau fikirkan juga anak-anak yang dilahirkan ke dunia, tanpa dosa tanpa mengerti apa-apa, terbuang di jalanan tanpa ihsan, mereka jauh lebih malang.. bukan kau seorang yang menangis, semua orang juga pernah menangis. Sabarlah.." Dia memujuk. Namun jiwaku masih luka berdarah. Masih luka dan hancur remuk. Masih terasa peritnya. Pedihnya.

"Kite sudah lama bersabar, kite sudah penat bersabar, kite sudah bosan bersabar.. kite tidak tahu kite harus bersabar sampai bila. Kite tidak tahu kita masih boleh bersabar sampai mana! Kite takut suatu hari nanti bila kita juga akan musnah bila sabar itu tidak dapat dipertahankan lagi, kite takut...." Aku masih lagi meluahkan sisa-sisa perasaan yang masih berbaki. Air mata yang mengalir di pipi aku seka perlahan. Tidak mahu berhenti. Mengalir lagi dan lagi.

"Selagi kau hidup di dunia ini.. Selagi kau masih bernafas, selagi darahmu masih mengalir.. sabarlah.. Bukan sikit ganjaran Allah buat hamba-Nya yang bersabar.. Moga kau peroleh ganjaran dari Dia yang Esa, apa kau tidak mahu pahala?" Dia menguji aku. Aku menggelengkan kepala. Aku juga inginkan pahala itu. Tapi bagaimana? Aku sudah terlalu lemah, kian lemah. Lututku sudah longlai tidak berdaya untuk berdiri, apatah lagi untuk melangkah. Ah..

"Jika begitu, aku tidak mahu hidup lagi.. " Aku kembali bersuara, airmataku kini kembali mengalir laju. Deras. Dia memandang ke arahku, membulatkan matanya. Dia mengumpul kata untuk memujuk aku namun aku kini sudah hanyut dalam sendu airmata. Katalah apa kau mahu kata.. Kau selalu melihat aku ketawa, kali ini, cuma kali ini, izinkan aku menangis...

3 comments:

1jj4 1912 said...

kak..sambung..sambung cerita ni..jangan biar ia tergantung..
nak tahu apa yg terjadi sebenarnya..

-Nur- said...

cepatla sambung

AsNiza said...

:: melankoli sangat nie.. tkleh sambungla.. bahaya.. nnt org baca letih, ^_^