+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, October 20, 2009

Kuasa Cinta

Langit biru memayungi alam. Awan putih berarak beriringan. Burung-burung terbang berkawan, mencari sebuah destinasi yang pasti. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipiku. Damai yang mengasyikkan menyelinap ke seluruh ruang jiwaku. Bahagia yang tidak terlafaz dengan kata-kata. Aku senyum mendongak awan. Maha Suci Allah, inikah perasaan menjadi insan yang merdeka, baru aku tahu kini. Segala puji hanya bagi-Mu ya Allah.

Aku menyusun langkah, mengatur ayunan kaki mara terus ke hadapan. Mengharapkan lebih banyak keindahan, mengidamkan sekebun bunga, harum dan kembang mewangi. Adakah di hadapan sana akan ku kecapi lebih banyak bahagia? Atau apakah di hadapan sana, musibah pula yang bakal menanti? Terkeliru sesaat, langkah kakiku mati tiba-tiba. Aku ragu untuk terus maju. Aku kaku mematung. Diam. Untuk berpatah ke belakang adalah suatu yang mustahil, namun untuk terus ke hadapan, langkah kaki tidak sekuat mana. Harus bagaimana aku lakukan?

---------------------------------------

Begitulah kehidupan ini, kita sering dibayangi perasaan ragu, keliru dalam berhadapan dengan sebarang situasi. Tidak yakin dalam membuat keputusan dan tidak percaya pada kebolehan diri. Kanan atau kiri, tidak tahu mana yang harus dipilih.

Seorang sahabat menghubungi saya,
"Apa yang perlu di lakukan? kekasih hati akan ditunangkan dengan lelaki lain oleh keluarga"

Dan jawapan saya mudah, jika kamu benar-benar sayangkan dia, cepat-cepatlah masuk meminang (bagaimana caranya terserah kerana kamu lebih mengenali antara satu sama lain) dan jika dia terima pinangan, Alhamdulillah tapi sebaliknya jika dia menolak pinangan kamu, maka berlapang dadalah, terima semuanya dengan hati yang terbuka. Pasrah bahawa jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan.

Mudahnya saya menjawab, mentang-mentanglah saya tidak berada di tempatnya. Atau mudahnya saya menjawab, kerana saya tidak dilamun cinta.

Hebatnya pengaruh cinta, saya akui. Cinta mampu 'membunuh' dan cinta juga mampu 'menghidupkan'. Mereka yang terlalu cinta selalunya gagal berfikir dengan waras, tidak mampu berfikir dengan baik, buta mata dan buta hati.

Jadi seeloknya, mereka yang terlalu cinta dan mempunyai masalah cinta, meminta pandangan sahabat terdekat atau keluarga bila berhadapan dengan sesuatu masalah. InsyaAllah, akal yang tidak dipengaruhi rasa cinta mampu mencari solusi yang lebih baik.

Lebih baik dari itu, pandai-pandailah mengawal cinta. Jaga hati dan jangan biarkan cinta sesama manusia mengaburi segalanya. Cintailah Tuhan seperti yang selayaknya. Tanamkan perasaan malu dalam diri, malu untuk bercinta jika cinta terhadap Sang Pencipta tidak sehebat mana. Insafi diri, perasaan cinta ini anugerah dari Dia maka sesungguhnya Dialah yang paling berhak memilikinya.

Bercintalah andai kamu yakin cinta itu mampu membawa kamu ke syurga.
Lupakanlah cinta, andai cinta itu menjadi punca kemurkaan Allah.

Semoga kita dapat saling mengingati antara satu sama lain. Sama-sama muhasabah diri, jika ada keterlanjuran kata, mohon di maafi.

Wallahua'alam.

1 comment:

AhmadNizamuddin said...

Jangan gatai nak bercinta kalo tak gheti bercinta...

Cinta pada erti memberi...mungkin....

Cinta perlu dipupuk...mungkin...

Cinta perlukan pengorbanan...mungkin...

Cinta lebih menyakitkan dari menyenangkan...mungkin la kot...

namun, tak semua faham tentang cinta...

maknanya luas...

sejauh mana kuasa cinta itu....

belajarlah tentang cinta kepada Allahurabbi...

wallahu a'lam....