+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, October 28, 2009

Not a Virgin : Admit?

Bismillah.. salah satu sebab kenapa saya masih cuba untuk bertahan di iLuvislam.com adalah kerana saya berpendapat, adik-adik/user-user iLuvislam yang bermasalah masih memerlukan saya. Kerap juga saya mendapat PM dari user, bertanyakan pendapat dan pandangan terhadap masalah yang mereka hadapi. Tak kurang dari itu, banyak juga thread baru yang dibuka berkaitan dengan kes terlanjur atau zina sebelum nikah. Astagfirullahalazim.

Tujuan saya utarakan isu ini bukan berniat untuk membuat mereka yang pernah terlanjur berasa terhina, atau rendah diri, bersalah dan sebagainya. Pada saya, perkara yang lepas biarlah ia terus berlalu. Tiada gunanya di kenang kerana walau menangis air mata darah sekalipun, kita tidak mungkin mampu mengubah sejarah. Apa yang penting adalah berhenti melakukannya dan mohonlah keampunan daripada Allah dengan penuh keikhlasan. Mengadu dan merayu kepada Allah, agar dosa-dosa silam diampunkan dan diberi kesudahan hidup yang baik, sesungguhnya, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.

Objektif utama entri kali ini adalah bagi mencegah adik-adik/sahabat-sahabat agar tidak mendekati zina dan jangan melakukannya.

Mungkin saya dan anda pernah terbaca, lapisan dara terlalu nipis dan boleh terkoyak tidak semestinya kerana melakukan persetubuhan. Dan di dada akhbar juga peti televisyen juga sering memaparkan, hanya dengan melakukan pemeriksaan doktor, barulah dapat diketahui samada seseorang itu masih dara atau tidak. Saya tidak berani mengatakan berita itu bohong, tapi saya ingin katakan bahawa berita itu kurang tepat sepenuhnya.

Baru-baru ini, ketika blogwalking, saya terbaca beberapa entri di sebuah blog, "kaedah-kaedah mengenal gadis samada masih dara atau tidak". Suprisingly! Banyak betul kaedah dan banyak cara untuk mengenalinya. Wah! Kagum.. Betul atau salah apa yang di tulis di dalamnya tidak mahu saya pertikaikan, tapi apa yang ingin saya kongsikan adalah, jangan ingat orang tak tahu kalau kita sudah tiada dara. Maaf.

Jadi, kepada sesiapa yang sedang bercinta atau bakal bercinta, yang pernah 'ringan-ringan' atau bakal terjebak dengan zina, berhentilah melakukannya. Jangan sampai menyesal di kemudian hari, terutamanya wanita. Sesungguhnya 'dara' adalah kehormatan kita yang sangat bernilai yang wajib kita pertahankan.

Buang jauh-jauh persepsi, "takpe la, bukan orang tahu pun" kerana anda silap, sebenarnya bukan susah untuk membezakan anda masih dara atau tidak dan lebih penting dari itu, ALlah Maha Melihat. Malaikat raqib dan atib sentiasa mencatat amalan kita. Apa yang dilarang oleh Allah pasti ada sebabnya. Ingatlah..

Surah Al-Isra' ayat 32, Allah berfirman;

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Sampaikan walau sepatah ayat, dan kini aku telah melaksanakan amanahku. Terserah kepada kamu untuk menerimanya atau tidak. Moga Allah mengampunkan dosaku dan meringankan bebananku, amin ya rabbal alamin.

Wallahua'alam.

Monday, October 26, 2009

Hidup Mesti Diteruskan

Dengan nama Allah yang menguasai langit dan bumi, yang menghidupkan dan mematikan, yang mengasihi lagi mengasihani. Hanya pada-Mu aku berserah, hanya pada-Mu aku bermohon. Tunjukkanlah aku jalan yang benar wahai Tuhan..

Pertama sekali, saya memohon maaf kepada sahabat pengunjung blog kerana akhir-akhir ini (dan mungkin selama ini juga) saya tidak memberi perkongsian yang bermanfaat untuk kita semua. Entri blog saya penuh dengan keluh kesah, luahan dan omelan, leteran dan bebelan, yang pastinya tiada apa-apa faedah, maafkan saya, sekali lagi saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari semua.

Kedua, apa yang saya tulis selalunya datang dari hati dan minda saya. Saya selalunya menulis terus dari hati. Jarang membuat rujukan atau kajian. Apa yang saya fikir maka itulah hasilnya tulisan saya. Jadi, pada siapa yang sering mengikuti blog saya, tidak mustahil mereka dapat membaca kecelaruan yang melanda benak saya, terlalu transparensi dan mudah untuk ditafsirkan. Maka jujur saya mengaku, saya kini ada sedikit masalah yang perlu diselesaikan. Cuma memohon kepada Allah agar terus memberi kekuatan kepada saya untuk dapat terus bertahan.

Kepada semua yang terus menyokong, terima kasih infiniti saya ucapkan, moga Allah memberi ganjaran sebaik-baik ganjaran kepada kalian, moga doa kalian dimakbulka Allah, amin ya rabbal alamin..

InsyaAllah saya yakin dan percaya..

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata):

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".


[Al- Baqarah : Ayat 286]

Allah ada bersama kita, semoga aku tidak lupa pada-Mu.

Sunday, October 25, 2009

Frust = Dayus?

Seorang sahabat menegur saya kerana komen pendapat saya di satu thread berkaitan masalah cinta, putus cinta dan tidak dapat melupakan bekas kekasih. Katanya saya berfikir terlalu tipikal, seolah-olah memandang remeh terhadap permasalahan remaja lelaki itu. Remaja itu perlu diselamatkan, jika tidak, remaja itu mungkin jadi seperti dirinya, kerana cinta, akidah menjadi taruhan Naauzubillah.

Kebetulan minggu lepas, seorang sahabat berkongsi status di wall facebook beliau,
"Pagi-pagi dah dapat kes bunuh diri,"

Astagfirullah, terkedu saya seketika. Begitu hebat penangan cinta, cinta yang mampu merosakkan dan membunuh. Naauzubillahiminzalik..

Wednesday, October 21, 2009

ESQ Merungkai Rahsia Hati

Saya tersenyum sendiri, mengenang kelemahan diri, betapa rapuhnya hati ini, dijentik sekali terus pecah hancur berkecai. Baru saya sedar agaknya, betapa goyahnya iman ini, betapa lemahnya kesabaran ini. Betapa diri ini masih belum redha dengan ketetapan dan ketentuan qada' dan qadar. Astaghfirullahalazim. Hinanya diri ini. Ampunkahlah dosaku wahai Tuhan.

Dalam dada kita, ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah kita, jika ia buruk, maka buruklah kita. Dalam diri kita, ada seorang raja, yang mengawal tindak tanduk kita, menguasai perbuatan dan perkataan kita. Jika baik raja itu maka baiklah kita, jika jahat raja itu maka jahatlah kita.

Siapa diri kita yang sebenarnya? Pernahkah kita memikirkan hakikat ini? Kenapa kita berada di sini? Apa yang kita mahukan dalam hidup ini?

Allah anugerahkan kita IQ, EQ dan SQ. Mungkin ramai di antara kita yang lebih mengutamakan IQ. Kejayaan duniawi. Keinginan untuk cemerlang dalam pendidikan, dalam kerjaya. Malahan ibubapa juga sejak bayi dalam kandungan, sanggup berhabis wang ringgit untuk mendapatkan makanan berkhasiat yang bagus untuk otak bayi. Biar anak pandai, biar anak bijak.

Ketinggian IQ tanpa EQ akhirnya melahirkan manusia robot. Manusia yang bijak akalnya tapi hilang sifat-sifat murni dalam diri. Manusia yang bijak mencipta bom dan senjata tajam namun tanpa rasa bersalah membunuh dan memusnahkan kehidupan makhluk lain. Tiada rasa belas dan simpati. Tiada perasaan kasih dan sayang.

Sebaliknya pula bila seseorang manusia itu tinggi nilai EQ namun tidak miliki IQ.. Penuh perasaan kasih, sayang, cinta, rindu tapi akal tidak digunakan sebaik mungkin, kesudahannya penasaran sendirian. Umpama seekor ibu kucing yang terus hidup berlandaskan emosi dan nafsu. Apa yang membezakan kita dengan binatang jika bukan akal? Nah, ternyata betapa akal itu penting bagi seseorang manusia.

Jadi, apa yang perlu untuk kita mengawal IQ dan EQ? IQ selalunya bertindak ketika kita dalam keadaan sedar dan EQ pula bertindak ketika kita dalam keadaan separa sedar. Kita tidak meminta kita mengasihi, kita tak minta kita membenci tapi ia datang sendiri tanpa diundang. Dan IQ pula bekerja ketika kita dalam keadaan waras, bilamana kita mabuk pastinya IQ ini gagal berfungsi, lagaknya bagai seekor binatang.

Apa yang saya perolehi dari latihan ESQ adalah bagaimana caranya untuk mengawal IQ dan EQ. Ramai yang tidak sedar akan wujudnya SQ dalam diri sendiri. Spritual Quotient. SQ selalunya bertindak dalam keadaan kita di luar sedar. SQ terhasil dari nilai-nilai murni yang kita terapkan selama ini, menjadi habit atau kebiasaan dan bertindak tanpa kita sempat berfikir.

Bagaimana kita mengemudi hidup, kelakuan dan perkataan kita bergantung kepada nilai-nilai SQ dalam diri kita. Untuk mengetahuinya secara lebih terperinci, saya sarankan kalian membaca buku ESQ Emotional Spiritual Quotient yang dikarang oleh Ary Ginanjar Agustian, pengasas ESQ 165 dan yang terkini diterjemahkan dalam bahasa melayu oleh Mohd Nurul Imran yang juga presiden iLuvislam.com.

Sebaiknya juga, lebih bermakna jika kita dapat menjalani sendiri latihan ESQ 165, nikmatinya sendiri dan lihatlah dengan mata hati.."Feel the Experience & Get a Meaningful Life". Percayalah, apa yang bakal anda perolehi melalui latihan ini sungguh bermakna, mampu membuka mata kita yang tertutup selama ini, dan mengejutkan kita dari lena yang panjang.

Kita manusia diciptakan sempurna, di dunia ini kitalah khalifah. Kita diciptakan dengan sebabnya yang tersendiri. Di sini, kita ada tugas yang perlu dilaksanakan dan di sini bukanlah destinasi terakhir kita. Bagaimana kita mengemudi hidup kita menuju destinasi yang terakhir?

Menjawab kembali soalan ini;

Siapa kita?

Apa kita mahu?

Jawablah..

Aku hanyalah hamba Allah.

Syurga yang aku mahu.


Wallahua'alam.

Tuesday, October 20, 2009

Inilah Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim,

Bila kita disalahmengertikan, bersabarlah dan jangan cepat melatah. Usah bersedih dan tak perlu berduka. Ingat Allah sentiasa. Biarlah sebanyak mana dunia membenci kita, asalkan Allah mengasihi kita maka tabahkanlah hati, bersabarlah. Bersyukurlah.

Sudut pandangan setiap orang tidak mungkin sama, cara melihat pasti berbeza. Apa yang kita fikirkan baik belum tentu baik pada pandangan mereka. Maafkanlah mereka kerana mereka masih tidak mengenali diri kita yang sebenarnya. Maafkanlah mereka kerana mereka tidak lalui apa yang kita lalui, mana mungkin mereka mengerti dan memahami. Maafkanlah.

Perjalanan hidup setiap orang tidak sama, cubaan dan dugaan yang menguji setiap dari kita juga berbeza. Persekitaran dan orang sekeliling yang mempengaruhi pastinya turut memberi impak ke arah wujudnya perbezaan itu. Cuba untuk menerima hakikat ini, semoga hati menjadi lebih lapang.

Jangan menghukum mereka kerana kita tidak layak menghukum, yang berhak cuma Allah. Jangan mudah membuat kesimpulan kerana kita tak semestinya sentiasa betul. Jangan sentiasa mendongak ke atas, sekali sekala harus memandang ke bawah agar tidak jatuh tersungkur. Jangan asyik dan leka dengan pujian manusia, kerana kita bukan hidup kerana pujian dan tak mungkin mati kerana kejian.

Hiduplah dalam keikhlasan, jauhkan sifat hipokrit. Bukan sesiapa yang kamu tipu, tapi malangnya kamu cuma menipu dirimu sendiri. Insan lain mungkin tidak dapat membaca apa yang tersimpan di dada kamu tapi ingat, Allah tidak pernah lena walau sesaat, malaikat raqib dan atib juga tidak pernah jemu mencatat. Berwaspadalah.

Belajarlah untuk menghargai. Hargailah apa yang kita miliki. Belajarlah untuk bersyukur, syukurlah dengan segala anugerah dan pemberian Allah. Ingatlah dan jangan lupa, hidup di dunia cuma sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Segala apa yang kita miliki, semuanya hanya pinjamanan. Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali.

Wallahua'alam.


EDITED: nama2 malaikat. maaf atas kekhilafan sebelum ini. (^_^)

Kuasa Cinta

Langit biru memayungi alam. Awan putih berarak beriringan. Burung-burung terbang berkawan, mencari sebuah destinasi yang pasti. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipiku. Damai yang mengasyikkan menyelinap ke seluruh ruang jiwaku. Bahagia yang tidak terlafaz dengan kata-kata. Aku senyum mendongak awan. Maha Suci Allah, inikah perasaan menjadi insan yang merdeka, baru aku tahu kini. Segala puji hanya bagi-Mu ya Allah.

Aku menyusun langkah, mengatur ayunan kaki mara terus ke hadapan. Mengharapkan lebih banyak keindahan, mengidamkan sekebun bunga, harum dan kembang mewangi. Adakah di hadapan sana akan ku kecapi lebih banyak bahagia? Atau apakah di hadapan sana, musibah pula yang bakal menanti? Terkeliru sesaat, langkah kakiku mati tiba-tiba. Aku ragu untuk terus maju. Aku kaku mematung. Diam. Untuk berpatah ke belakang adalah suatu yang mustahil, namun untuk terus ke hadapan, langkah kaki tidak sekuat mana. Harus bagaimana aku lakukan?

---------------------------------------

Begitulah kehidupan ini, kita sering dibayangi perasaan ragu, keliru dalam berhadapan dengan sebarang situasi. Tidak yakin dalam membuat keputusan dan tidak percaya pada kebolehan diri. Kanan atau kiri, tidak tahu mana yang harus dipilih.

Seorang sahabat menghubungi saya,
"Apa yang perlu di lakukan? kekasih hati akan ditunangkan dengan lelaki lain oleh keluarga"

Dan jawapan saya mudah, jika kamu benar-benar sayangkan dia, cepat-cepatlah masuk meminang (bagaimana caranya terserah kerana kamu lebih mengenali antara satu sama lain) dan jika dia terima pinangan, Alhamdulillah tapi sebaliknya jika dia menolak pinangan kamu, maka berlapang dadalah, terima semuanya dengan hati yang terbuka. Pasrah bahawa jodoh pertemuan semuanya di tangan Tuhan.

Mudahnya saya menjawab, mentang-mentanglah saya tidak berada di tempatnya. Atau mudahnya saya menjawab, kerana saya tidak dilamun cinta.

Hebatnya pengaruh cinta, saya akui. Cinta mampu 'membunuh' dan cinta juga mampu 'menghidupkan'. Mereka yang terlalu cinta selalunya gagal berfikir dengan waras, tidak mampu berfikir dengan baik, buta mata dan buta hati.

Jadi seeloknya, mereka yang terlalu cinta dan mempunyai masalah cinta, meminta pandangan sahabat terdekat atau keluarga bila berhadapan dengan sesuatu masalah. InsyaAllah, akal yang tidak dipengaruhi rasa cinta mampu mencari solusi yang lebih baik.

Lebih baik dari itu, pandai-pandailah mengawal cinta. Jaga hati dan jangan biarkan cinta sesama manusia mengaburi segalanya. Cintailah Tuhan seperti yang selayaknya. Tanamkan perasaan malu dalam diri, malu untuk bercinta jika cinta terhadap Sang Pencipta tidak sehebat mana. Insafi diri, perasaan cinta ini anugerah dari Dia maka sesungguhnya Dialah yang paling berhak memilikinya.

Bercintalah andai kamu yakin cinta itu mampu membawa kamu ke syurga.
Lupakanlah cinta, andai cinta itu menjadi punca kemurkaan Allah.

Semoga kita dapat saling mengingati antara satu sama lain. Sama-sama muhasabah diri, jika ada keterlanjuran kata, mohon di maafi.

Wallahua'alam.

Saturday, October 17, 2009

Lelaki yang Aku Cintai

Tulang empat keratku bagaikan lumpuh. Sendi lututku terasa longgar, aku jatuh terduduk. Aku hilang upaya untuk berdiri. Segala kekuatan pergi meninggalkan aku terkontang-kanting melawan perasaan. Aku terduduk lemah. Menyandarkan belakangku pada dinding. Berkali-kali aku menggelengkan kepala.

"Tidak, tak mungkin, tak mungkin.. emak tipu.. tak mungkin..." lafaz itu berulang-ulang kali meluncur laju dari bibirku. Kolam mataku mula bergenang, menanti masa ingin melompat keluar.

Dia di hadapanku juga jatuh terduduk. Matanya merah. Air matanya mengalir deras sekali. Laju tidak tertahan, tidak mungkin dapat ditahan. Mana mungkin. Dia menangis teresak-esak. Tidak menghiraukan si anak yang melihat kehairanan. Dia menangis semahunya.

"Ayah dah takde...betul.. " ujarnya sekali lagi dalam sendu tangis. Aku masih berdegil, tidak mahu percaya. Ya Allah, beratnya dugaan ini. Sukarnya untuk aku menerimanya, lelaki yang aku cintai sudah tiada lagi di muka bumi ini. Ya Allah, sukarnya untuk aku terima, aku tidak mungkin dapat melihat dia ketawa lagi, tak mungkin dapat melihat dia tersenyum lagi, tak mungkin dapat memeluk dia lagi. Ya Allah, beratnya dugaan-Mu kali ini.

Aku tidak mahu menangis, aku enggan menangis. Aku tidak ingin menerima kenyataan itu. Aku tidak mampu menerima hakikat itu. Aku tidak mampu Ya Allah, katakan padaku kakak, ini cuma mimpi, katakan padaku emak, ini cuma gurauan! Aku sayangkan ayah..

Warasku menerjah akal. Tidak mungkin soal ajal maut dijadikan bahan gurauan. Tak mungkin emak sanggup menipu sehebat itu. Tak mungkin aku bermimpi kerana dia dihadapanku nyata, menangis penuh sendu, teresak-esak. Anaknya berdiri tercegat kehairanan melihat si ibu menangis lebih dasyat darinya yang dahagakan susu. Suami dia kelam kabut menyuruh kami segera mengemas. Ah, ini bukan mimpi! Ini bukan gurauan! Ayah sudah tiada.. Benar.. Ayah sudah tiada..

Air mata yang menanti masa ingin gugur lantas mengalir laju. Lebat bagaikan hujan yang mencurah di musim tengkujuh. Guruh dan petir tidak kelihatan, namun dadaku bagaikan ingin pecah. Tiada darah yang mengalir namun luka yang aku rasai terlalu perit. Lelaki yang aku cintai sudah pergi tinggalkan aku. Di situ, aku menangis semahu-mahunya.. Oh Tuhan, ajal ayahku sudah tiba...

Satu persatu kenangan bersama ayah berlegar-legar dalam kotak ingatanku. Pipiku basah, mataku bengkak namun aku masih tidak mampu berhenti menangis. Wajah ayah terbayang-bayang di ruang mataku.Senyumnya, tawanya datang bersilih ganti. Kau pasti ku rindu duhai ayah..

Kau sudah pergi ayah, kau sudah kembali kepada Sang Pencipta. Di dunia ini tiada yang kekal abadi, segalanya cuma pinjaman. Roh dan jasad ini juga cuma pinjaman. Hari ini harimu ayah, hari aku entah bila. Aku pasti mengusulmu bila tiba masanya. Ayah, aku menyayangimu, namun Allah lebih menyayangimu. Pergilah ayah.. Kembalilah kepada Tuhanmu. Aku akan tetap di sini hingga sampai ajalku. Aku akan tetap di sini, menghantar doa buatmu ayah.

Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapa ku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku masih kecil.

Amin ya rabbal alamin..

Wednesday, October 14, 2009

Sambutlah ESQ

InsyaAllah, pada 16, 17, 18 October ini, training ESQ, KL Angkatan ke-40 akan diadakan di Flamingo Hotel, Ampang. Selaku salah seorang alumni ESQ, saya menyeru sahabat yang berkesempatan dan berkemampuan, agar meluang sedikit masa mengikutinya. Sesungguhnya, pengalaman dan 'kenikmatan' yang dikecapi sepanjang latihan adalah sangat bermakna, tidak ternilai dan insyaALLAH, boleh 'digunapakai' di dunia dan akhirat, insyaAllah.

"Allah mengilhami sukma, beruntunglah bagi yang mensucikannya, rugilah bagi yang mengotorinya"

Siapa Kita, Apa Tujuan Hidup Kita?

Tidak dapat saya lupakan, ketika sesi pada hari pertama, trainer angkatan ke-37 yakni Pak Rinaldi bertanya kepada para peserta, soalannya mudah, "Siapa kamu?". Maka, pelbagai jawapan diberikan oleh para peserta, antaranya, "saya Ali bin Abu, saya seorang manager, saya seorang ayah, saya seorang suami, saya seorang jurutera, saya seorang anak dan sebagainya.."
Menakjubkan, pada hari terakhir training, apabila soalan sama di tanya, "Siapa kamu?" Jawapan kami para peserta bersatu menjadi satu, "Kamilah hamba Allah!" Subhanallah... Maha Suci Engkau Ya Allah.

Jika selama ini saya sering alpa dan leka, sering lupa dan lalai, bagai tertidur dan diulit mimpi yang panjang, maka saya bersyukur, syukur ke hadrat Ilahi kerana menemukan saya dengan ESQ, yang telah berjaya mengejutkan saya dari lena yang panjang, yang telah membuka mata saya, yang menginsafkan saya, yang telah meyakinkan saya bahawa matlamat hidup saya di dunia ini adalah semata-mata kerana Allah, cita-cita saya adalah syurga, Maha Suci Allah.

Jika selama ini saya sentiasa tercari-cari dan adakalanya sesat di tengah jalan, kini saya nampak ke mana arah tuju ini harus di bawa. Jika selama ini diri ini sering melupakan Allah, kini perasaan rindu dan cinta kepada Allah mulai hadir. Cinta kepada Rasul yang banyak berjasa, yakin kepada kitab Allah yang disampaikan melalui rasul-Nya. Terasa bahawa selama ini, diri ini hina dan kerdil, banyak melakukan dosa dan kerosakan. Angkuh dan bongkak. Tidak bersyukur tidak berterima kasih. Syukur kerana melalui ESQ, dengan kekuasaan Allah, keinsafan itu hadir sebelum mata ini terpejam rapat.

Ku akui kebesaran-Mu ya Allah. Betapa Engkau Maha Esa, Maha Pencipta, Maha Bijaksana. Engkau Memulakan dan Engkau Mengakhirkan. Engkau Menghidupkan dan Engkau Mematikan. Engkau Maha Pengasih dan Engkau juga Maha Pengampun. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Terlalu banyak anugerah dan pemberian-Mu, namun sering saja aku tidak mensyukuri nikmat-Mu, malahan aku sering merungut, mengadu, merintih, meminta-minta, ampunkanlah dosaku Ya Allah. Sungguh aku telah banyak merosakkan diri, sungguh aku telah menzalimi diri sendiri, jika Kau tidak mengampuni dosaku, maka jadilah aku orang yang rugi. Aku bertaubat pada-Mu Ya Allah. Kau ampunkanlah dosaku.

CERDAS NURANI

ESQ Cerdas Emosi

ESQ Cerdas Nurani

Menyapaku kini

Desah nafasku

Detakan di jantungku

Air mataku

Laju merah darahku

Berpadu

Langit menjulang

Nan kokoh tanpa tiang

Berhias bintang

Tertata dan melayang

Membentang

KARYA TUHAN…



Monday, October 12, 2009

Keindahan dan 'Keindahan' iLi.com

Tidakkah mereka tahu bahawa aku benar-benar sayang dan cintakan iLi.com sepenuh jiwa dan ragaku? Tidakkah mereka tahu bahawa aku mengasihi ruangan forum iLi.com, menatangnya bagai minyak yang penuh? Tidakkah mereka tahu bahawa bukan sedikit masa dan tenaga sudah aku korbankan untuk iLi.com? Demi kasih dan sayang, segalanya aku cuba persembahkan. Dan tidakkah mereka tahu bahawa rasa kasih, sayang dan cinta ini datangnya dari Allah?

Ya Allah, harus bagaimana lagi yang perlu aku lakukan? Kadang-kadang langkah kakiku terasa penat, terasa letih dan lesu. Aku penat dengan kerenah mereka yang buta, bukan buta mata, tapi buta mata di dalam hati. Sungguh, kadang-kadang aku terasa ingin benar aku mengalah, berundur dari arena yang melukakan ini.

Buntu, apa yang aku cari, apa yang aku mahu? Keliru, apa yang aku dapat, apa yang aku temui dari iLi.com?

Aku cari keindahan, dulu aku ketemui namun kini semuanya hilang. Apa yang aku temui kini adalah menghampakan. Busuk hati, pra sangka, buruk sangka, prejudis, dendam kesumat, pendek akal, sempit pemikiran, dengki, cemburu, salah sangka, dan macam-macam lagi.

Sungguh hati ini bagai dicarik-carik melihat tangan-tangan mereka yang merosakkan kedamaian dalam iLuvislam.com. Sungguh hati ini bagai disiat-siat melihat mereka menyalahgunakan iLuvislam.com. Sungguh hati ini bagai dirobek disiksa melihat kebusukan hati mereka.

Aku cari ilmu namun aku temui mereka yang berilmu tapi tidak beradab, aku temui mereka yang berilmu tapi berfikiran songsang, berilmu tapi kotor hatinya. Berilmu tapi tidak tahu menghormati. Berilmu tapi malangnya, tidak mengenal Tuhan mereka sendiri, naauzubillahiminzalik..Apalah ilmu yang dibanggakan? Untuk apa? Wajarkah aku menangis kerana mereka?

Ya Tuhan, kadang-kadang lutut ini terasa lemah, tidak lagi mampu berdiri apatah lagi melangkah.

Ketahuilah, cinta ini cuma satu, cinta kepada Allah. Cita ini cuma satu, rindukan syurga. Sementelah aku telah diizinkan Tuhan, menghadiri Training ESQ, mengenal diri, ketemui matlamat hidup, hati aku jadi parah bila mereka menuduh aku bukan-bukan. Gila kuasa? Pentingkan diri sendiri? Tidak berlapang dada, mahu menang sendiri. Sedihnya aku Ya Allah.

Kalau menadah tangan, memohon agar Kau berikan aku rezeki yang banyak juga aku tidak mampu, aku malu, aku tidak sanggup, apakah tergamak untuk aku meminta pangkat dan kuasa, menjangkaui hak yang sepatutnya? Aku pinta dan pohon keampunan dari-Mu Tuhan. Hanya itu yang aku mahu, keampunan dan keredhaan-Mu. Tapi kenapa makin ramai yang tersilap mengadili? Wajarkah aku dihukum?

Dan apakah 'kuasa' yang diperoleh daripada iLi.com mampu membuatkan aku bahagia? Tidak dan tidak. Aku bukanlah kanak-kanak, aku bukanlah remaja yang baru mengenal hidup. Aku sudah lama menghirup kemanisan dan kepahitan dalam kehidupan, segalanya dalam iLi.com tiada satu pun yang menguntungkan aku, tiada apa yang aku perolehi kecuali redha Allah.

Kenapa sukar untuk mereka mengerti?

Mungkin benar kata ibu, mungkin benar kata kakak. iLuvislam cuma merugikan aku, membuang masa dan wang ringgit.

Tapi, tahukah ibu, tahukah kakak?

Aku tidak mengharapkan harta, aku tidak mengharapkan kuasa, aku cuma mencari redha Allah, aku mencari erti persaudaraan, kebahagiaan dalam memberi.

Dan tahukah sahabat, kegagalan kamu mengerti naluri hati ini, malahan menuduh aku dengan tuduhan perit sangat melukakan hati ini.

Cinta kita satu, Tuhan kita satu, kita sujud dan rukuk pada kiblat yang sama. Bersatulah wahai saudaraku, jangan biarkan syaitan bersorak gembira melihat kita berkelahi, berperang sesama kita. Jangan biarkan syaitan durjana ketawa riang melihat kehancuran kita. Bersatulah wahai saudaraku.

Ya Allah, tabahkanlah hatiku, hanya Engkau yang berkuasa. Aku sujud dan sembah, berharap dan berserah hanya kepada-Mu.

Tuhan, bukakanlah pintu hati mereka.. Ya Allah, bukakanlah pintu hati mereka, berikan hidayat dan petunjuk kepada mereka agar mereka ketemui jalan-Mu yang benar. Satukanlah hati kami di bawah naungan kasih dan rahmat-Mu. Agar kami yakin dan pasti, hidup dan mati ini, hanya untuk-Mu.

Aku bukan lagi kanak-kanak yang asyik mengejar keseronokan. Masaku kian singkat. Apa yang mampu aku sumbangkan, sebelum mata ini tertutup rapat? Mengertilah wahai sahabat, aku tidak ingin hidup lama, aku tak mungkin hidup lama. Aku harapkan cinta dan kasihmu, bukan benci dan prasangka, andai aku mati, ingatlah aku dengan rasa cinta dan kasih, jangan kerana benci, jangan kerana dendam.

Wallahua'alam.
EDITED: Besarkan tulisan..

Sunday, October 11, 2009

Ujian Buat Kami

Ya Allah Yang Maha Mendengar, bukan aku tidak mensyukuri anugerah pemberian-Mu, aku sekadar ingin mengadu hanya pada-Mu, kerana hanya Kau yang aku sembah, hanya kepada-Mu aku menyerah diri.

Ya Allah, seharian kami keluar rumah. Dari jam 8.30 pagi berkelana mencari rumah sewa baru. Hingga ke tengah hari mencari tapi tetap juga hampa. Begini perasaan kami mencari rumah baru, agaknya bagaimana perasaan mereka yang tiada tempat untuk bertenduh. Maha Suci Allah, Kau memberi hanya kepada yang Kau inginkan.

Ya Allah, selepas solat asar, kami masih mencari, kali ini kami tuju ke kawasan Jalan Kebun dan sekitar Kota Kemuning. Singgah solat maghrib di surau Pangsapuri Aranda, tapi akhirnya jam 9.30 kami pulang dengan perasaan hampa. Penat. Letih. Lesu.

Ya Allah, kalau Kau izinkan, kami ingin segera berpindah dari sini. Semalam, rumah kami dipecah masuk oleh mereka yang zalim, menganiaya insan lain untuk kepentingan diri sendiri. Dua laptop telah di curi, sedikit duit dan barang kemas lesap. Aku bersyukur kerana laptop milik aku terselamat, walau apa pun, tak mungkin aku mampu tersenyum riang andai sahabatku bersedih hati dan kecewa. Sakit mereka juga sakit aku..

Lebih menakutkan, kami mengsyaki jiran rumah hadapan yang empunya angkara. Dua buah rumah bertentangan dengan rumah kami, keduanya rumah lelaki bujang. Sering mencuri pandang ke arah kami. Aduh..

Beberapa hari sebelum tragedi rompakan, di hadapan rumah kami digantung beg kertas dan bunga mawar merah. Memandangkan kami tidak mengendahkannya, kami pun tidak tahu ada apa di dalamnya. Hinggalah bila polis datang untuk menyiasat..Di buka kotak di dalam beg kertas tersebut, ada surat, kononnya dari lelaki bernama Ezat dari rumah hadapan ingin berkenalan dengan kami. Disertai sekali nombor telefon.

Lebih menyeramkan, ketika kejadian rompakan, pakain dalam ditemui bersepah hingga ke muka pintu depan. Astagifirullah, ya Allah, semoga Kau melindungi kami wahai Tuhan..Kami masih dalam usaha mencari..semoga Kau permudahkan jalan bagi kami Ya Allah..

Amin..

Saturday, October 10, 2009

Kalau Takut

Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai.

Kalau takut hangus terbakar,
Jangan sekali bermain api.

Kalau takut basah,
Jangan main hujan.

Kalau takut lemas,
Jangan mandi sungai.

Kalau takut di baham rimau,
Jangan masuk hutan.

Kalau takut terjatuh,
Jangan panjat pokok.

Kalau takut-takut.
Jangan jadi manusia.
Apakah?

Ya Allah, kuatkanlah langkah kakiku.

Thursday, October 8, 2009

Bagaimana Harus Ku Tahu?

Dalam kehidupan ini, kita sering saja berhadapan dengan situasi di mana kita harus membuat pilihan. Adakalanya pilihan yang terpaksa di buat mampu mengubah kehidupan kita secara total. Menjadi lebih baik atau sebaliknya.

Ketika membuat keputusan, pelbagai faktor mempengaruhi antaranya persekitaran, kepentingan diri, kehendak diri dan sebagainya. Faktor luaran dan faktor dalaman. Faktor menarik dan faktor menolak. Selalunya, faktor-faktor sebeginilah yang sering berlegar-legar dalam kehidupan kita samada kita sedar atau tidak dalam membuat tindakan atau keputusan.

Apabila kita dikehendaki membuat tindakan atau keputusan, bagaimana kita boleh meyakini, bahawa tindakan dan keputusan yang dibuat itu terbaik buat kita? Bagaimana kita boleh yakin bahawa keputusan itu adalah hasil dari naluri dan gerak hati yang dipandu oleh Allah swt? Atau ia sekadar mainan nafsu dan bisikan syaitan?

Jika Nabi Allah Musa a.s pernah berdoa..memohon daripada Allah agar Allah menampakkan zat-Nya supaya lebih meningkatkan lagi keyakinannya dan keimanannya kepada Allah..

Berkatalah Musa dalam munajatnya dengan Allah: "Wahai Tuhanku, nampakkanlah zat-Mu kepadaku, agar aku dapat melihat-Mu"

Allah berfirman: "Engkau tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi cubalah lihat bukit itu, jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya sebagaimana sedia kala, maka nescaya engkau akan dapat melihat-Ku."

Lalu Nabi Musa menoleh mengarahkan pandangannya ke arah bukit yang dimaksudkan itu yang seketika itu juga dilihatnya hancur luluh masuk ke dalam perut bumi tanpa menghilangkan bekas. Maka terperanjatlah Nabi Musa, gementarlah seluruh tubuhnya dan jatuh pengsan.

Setelah ia sedar kembali dari pengsannya, bertasbih dan bertahmidlah ia seraya memohon ampun kepada Allah atas kelancangannya itu dan berkata: "Maha Besarlah Engkau wahai Tuhanku, ampunilah aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang yang pertama beriman kepada-Mu."

Nabi Allah Zakaria A.S pula memohon agar dikurniakan anak.. Kemudian bila dikhabarkan bahawa isterinya mengandung, Nabi Allah bermohon lagi agar ditunjukkan bukti/petunjuk bahawa isterinya yang tua itu benar-benar mengandung.

Lalu Allah SWT berfirman melalui malaikat Jibril bahwa Nabi Zakariya akan akan dikaruniai anak bernama Yahya, dengan tanda tak bisa bicara selama 3 hari 3 malam.

Zakaria berkata : “Ya Tuhanku, berilah aku suatu tanda”. Tuhan berfirman “Tanda bagimu ialah bahwa kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sehat”

Demikianlah antara kisah, bagaimana Nabi utusan Allah membina keyakinan, menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah, tapi bagaimana dengan kita? Hamba yang hina lagi kerdil ini? Sering tewas dengan pujukan nafsu dan syaitan.

Bagaimana harus ku tahu, adakah itu keputusan yang terbaik untukku?

Wallahua'alam

Tuesday, October 6, 2009

Akulah Pejuang

Rembulan berwajah suram. Awan mendung berarak lesu. Bintang hilang upaya mempamerkan wajah, sembunyikan senyum di balik kegelapan malam. Unggas malam bersahutan menyanyikan irama syahdu, bagaikan mengerti jeritan hati.

Sendirian aku di jendela, menghirup udara desa yang nyaman. Biarpun bulan dan bintang tiada menghiasi dada langit, aku tetap jua setia di situ. Mencari seribu ketenangan. Mengumpul sejuta kekuatan. Mengutip ilham yang bertebaran tidak bertepian. Biar bersatu menjadi satu. Biar teguh menongkah arus. Biar pintar mengharung dugaan. Biar kental menempuh musibah. Tidak boleh tidak, aku harus!

Esok hari penentunya. Putaran jam pada dinding bagai berpusing lemah. Terlalu perlahan. Ajaibnya masa, di kala aku inginkan semuanya berakhir pantas, ia bagai melawan kehendakku. Ah! Barangkali ia cuma mainan perasaan. Aku mendengus lemah. Aku rebahkan tubuhku, cuba melelapkan mata namun ternyata aku hampa. Mustahil bagiku untuk tidur di waktu genting begini. Aku lalu bingkas menuju ke meja bacaan.

"Darah yang mengalir dalam tubuhmu adalah darah pejuang! Kau harus terus berjuang, jangan berundur walau selangkah!" Kata-kata Tok Bah bermain-main di benakku. Kata-kata terakhir yang aku dengar dari bibir Tok Bah. Bagai baru semalam aku melihat dia rebah, tewas pada butir peluru sang penjajah durjana. Bagai semalam aku melihat Abah meraung memangku kepala Tok Bah yang berlumuran darah. Hebatnya dugaan-Mu buat kami Ya Allah.

"Biar mati bermaruah, jangan hidup merempat, demi bangsa, demi agama, demi tanah air, kau mesti terus berjuang," Abah tidak pernah berhenti membakar semangat aku. Sejak aku mula belajar bertatih, hingga kini aku sudah bergelar anak jantan. Saban hari dan waktu, kata-kata seperti itu disuluh ke jiwaku. Biar terpahat kukuh, biar tertanam subur. Jangan layu, jangan tumbang, aku harus teguh! Kental jiwa dan raga.

Azan subuh mengejutkan aku dari lamunan panjang. Aku beristighfar, menghayati alunan suara azan dari masjid kampung seberang.

"Haiya alas solah.. "

"Laa haula wala quata il-laa bil-laa "

"Haiya alal falah.. "

"Laa haula wala quata il-laa bil-laa"

"Solatu khairum minan naum"

"Sodakta wa bararta "

"Marilah menunaikan solat"

"Tiada daya dan upaya melainkan Allah."

"Marilah menuju kejayaan"

"Tiada daya dan upaya melainkan Allah."

"Solat itu lebih baik dari tidur"

"Benarlah katamu.."

Aku bangkit, mengumpul segala kekuatan. Benar Tok Bah, benar Abah. Akulah pejuang! Pertarunganku kini bermula. Panggilan Ilahi kusahut penuh rasa cinta, rasa tawadhuk. Ini jihadku yang pertama. Usai salam dan doa, langkah seterusnya kuatur kemas. Jitu dan utuh. Akulah pejuang. Demi agama, demi bangsa, demi tanah air. Aku tidak akan berundur.




Monday, October 5, 2009

iLuvislam.Com [3hb Oct'09]

Alhamdulillah, Sabtu lepas adalah kali ke-tiga diri ini berkesempatan menziarahi Karangkraf yang letaknya di Seksyen 15, Shah Alam. Memandangkan rumah saya juga letaknya di Shah Alam, agar tidak wajar andai saya menguzurkan diri, tambahan pula, seperti lazimnya, rumah saya menjadi tempat berteduh bagi sahabat-sahabat.

Kali ini, saya bertuah kerana menerima tetamu yakni Fizah yang datang sehari lebih awal. Sebaik tamat waktu bekerja, saya menjemputnya di stesen komuter Batu Tiga. Malamnya kami sempat masak laksa penang sama-sama. Sambil masak sambil berbual merapatkan ukhwah antara kami, alhamdulillah.

Cabaran buat saya kali ini, gentar juga kerana kali ini 'kantoi' awal-awal, yakni kebanyakan dari sahabat dah tahu saya akan bawa laksa untuk pot-luck, jika sebelum ini, rahsia dan diam-diam saja apa menunya, kali ini berbeza kerana saya terlepas cakap bila menyangka potluck dibatalkan kerana pihak pengurusan sudah menempah makanan, haish~ makan diri ^_^

Cabaran yang agak 'hebat' apabila terpaksa memasak dalam kuantiti yang agak banyak (sikit je pun =p) sedangkan rumah bujang kami periuknya serba comel lagi kiut. Sudahnya, malam itu saya menggunakan tiga periuk termasuk satu rice cooker. Haha! Lain periuk lain rasanya, ada yang pekat ada yang cair, ada yang masam, ada yang pedas, sungguh menakutkan. Apa pun, tepat jam 1.30 pagi, saya selesai memasak dan bersiap untuk tidur. Tinggal bahan tambahan belum siap di potong.

Jam 3.30 pagi bangkit dari tidur, kejutkan Fizah untuk menjemput seorang user iluvislam yang juga pemenang pertandingan meriah ramadhan@iluvislam (Asma Husna) yang datang dari Johor. Dengan mamai saya memandu lebih kurang 30 minit. Alhamdulillah semuanya selamat dan saya tiba semula di rumah kira-kira jam 4.30. Sempat YM dengan seorang krew bertanya khabar tentang user tersebut, sudahnya kul 5 pagi saya sambung tidur. ^_^

Bangkit semula jam 6.30 pagi, meneruskan perjuangan masak-memasak hingga akhirnya sedar bahawa jam sudah menunjukkan jam 8 pagi. Agak terlambat kerana sepatutnya kami tiba di Karangkraf jam 8 Pagi tapi apa yang termampu, kami tiba di sana jam 8.45 pagi. Bersyukur kerana aktiviti belum bermula dan masih sempat menyusun dan mengatur makanan dengan jayanya.

Segala yang berkaitan dengan perjalanan program hari itu, boleh merujuk kepada thread di iluvislam dan blog-blog sahabat. Saya menarik diri untuk mengulang perkara yang sama, maaf ^_^

Selesai makan-makan kira-kira jam 1 tgh hari, saya mengambil kesempatan untuk menghantar beberapa user ke stesen komuter berdekatan, al-maklumlah time program tak sempat beramah-mesra, maaf kepada yang berkenaan. Alhamdulillah sempat berkenalan dengan mereka (maaf tak dapat sebut nama sebab tak ingat kesemua 4 orang tersebut, asif).

Kembali ke Karangkraf, sembang, mengemas, etc, sekali lagi ke stesen komuter hantar Fizah dan Najah. Tak best pun perpisahan, tapi itulah adat pertemuan. Pasti dihujungnya ada perpisahan.

Apa pun, sama-sama kite doakan agar dikurniakan kesempatan oleh-Nya agar dapat bertemu lagi. InsyaAllah.

Kembali ke Karangkraf. Sesi kemas mengemas dan menghabiskan makanan yang ada. Sambil-sambil bersembang dan berkongsi cerita. Macam-macam ada, ada yang seperti buang tebiat, kutip pasir masuk dalam plastik air, ada yang menyakat, ada yang mengorek rahsia, ada yang main pecah belon, ada yang main curik-curik ambuk gambar, ada yang termenung memikirkan masa depan dan macam-macam. Selesai mengemas, kami ada meeting sempena aktiviti yang akan datang.

Meeting berakhir kira-kira jam 4 petang, selesai meeting tiba masa untuk berpisah, kemudian teringat 'hutang' terhadap Imran, pernah janji nak belanja nasik ayam, alang-alang ada kesempatan, kami pakat ramai-ramai untuk makan sama-sama, rezeki mereka yang ada di situ pada waktu itu, antaranya Syawal, Aman, Lisam, Remy, Imran, Afif, Wann, Aina, Asma', Shikin dan temannya. Alhamdulillah, seronok makan sama-sama.

Selesai makan kira-kira 6.30 petang, saya bersama Asma' pulang ke rumah, Alhamdulillah kami tiba di rumah walaupun agak lewat, lepas waktu maghrib. Kepenatan kerana beraktiviti dan banyak memandu tapi masih tak boleh berehat kerana perjuangan masih belum selesai.

Siap menguruskan diri, jam 8 malam kami siap-siap di hadapan laptop untuk mesyuarat forum team (moderator). Rasa teruja mengatasi kepenatan, tak sabar-sabar 'bertemu' sahabat adik2 moderator dan tak sabar menerima watikah ketua forum team yakni noman, ini julung-julung kali beliau berkesempatan menyertai mesyuarat, alhamdulillah, Tuhan izinkan.

Mesyuarat berjalan lancar walau ada yang 'jihad' di tengah jalan kerana tidak dapat menggunakan paltalk. Antara moderator/kaunselor yang hadir adalah noman, remy, thuaibah, hidayat, atul, nisa, ila, iman, suhana, zulfa, asma', badrul (maaf kalau ada termiss =p )

Semoga kita terus bersama mantapkan saff dan teguhkan langkah kaki, moga Allah sentiasa membimbing hati kita dan kekal pada niat yang baik. Jangan lupa pesanan ketua forum yer ^_^

Alhamdulillah mesyuarat selesai agak awal maka saya berkesempatan tidur kira-kira jam 12 tengah malam.

Sekian laporan untuk hari Sabtu, 3hb October 2009.

Wassalam.

Tentang Kehidupan

Takrifan sebuah kehidupan masih sama bagi aku. Sebuah pengembaraan yang jauh, yang kita tidak tahu di mana destinasi terakhirnya, siapa yang bakal menemani kita mengharungi kehidupan, siapa yang akan kita temui, siapa yang akan kita tinggalkan, siapa yang akan memimpin tangan kita bilamana kita melalui lorong-lorong yang sukar.


Siapa yang akan menarik kita naik ke atas bilamana kita terjatuh ke dalam lurah yang dalam, siapa yang akan menyapu air mata kita tatkala kita ditimpa musibah, siapa yang akan menghulurkan penawar tatkala kita merintih kesakitan, siapa yang akan sentiasa ada bersama kita tanpa mengira susah atau senang?


Bagaimana agaknya jalan hidup kita kelak? Adakah berliku-liku atau lurus tanpa halangan? Adakah berbukit-bukau atau beronak-duri. Adakah bersimpang siur atau bercabang selirat? Atau bagaimanakah kelak jalan yang akan kita terpaksa tempuhi?


Wahai kaki, jangan penat melangkah. Wahai kaki, usah berhenti melangkah. Wahai kaki, gagahkanlah langkahmu. Wahai kaki, berjalanlah jangan berhenti. Wahai Hasniza.. hidup mesti diteruskan, jika bukan untukmu, tapi ingatlah mereka yang menyayangimu.

Friday, October 2, 2009

Usah Mudah Menghukum, Kamu Zalim

Pasar malam tidak jauh dari tempat kerja saya di buka setiap petang Rabu. Saya singgah di situ, andai ada keperluan yang mahu di beli. Hari itu saya keluar dari opis tepat jam 6.05 petang, dengan langkah longlai saya menuruni anak tangga opis lalu terus menapak ke pasar malam. Beberapa langkah saja jaraknya.

Saya memerhati sekeliling, susun atur gerainya tidak berubah, sama setiap minggu, malahan beberapa peniaga di situ juga sudah saya hafal mukanya. Terutamanya pakcik yang berniaga ayam bersama isterinya. Kelakar orangnya, pernah satu ketika kami bercakap bahasa Inggeris, apabila ada pelanggan berbangsa asing singgah membeli ayam. Fasih juga pakcik berniaga ayam bercakap bahasa antarabangsa. Seronok kami bersembang disertai lelaki asing itu. Isterinya di sebelah sekadar tersengih-sengih, tidak mengerti barangkali apa yang kami perbualkan. Andaian saya. Ah! Mudahnya saya membuat andaian. Astafgirullahalazim..

Saya terus mengatur langkah. Seronok berada di pasar malam kerana kite dapat melihat banyak gelagat orang. Di situ ada pelbagai macam ragam, tak ketinggalan sang pengemis menadah tangan memohon simpati. Saya terus melihat sekeliling. Susun atur gerai sudah saya cerna. Saya tahu arah mana ingin di tuju jika ada keperluan yang ingin dibeli. Gerai makanan di barisan depan, kemudian gerai buah, gerai sayur, gerai lauk pauk dan belah kanan pula gerai bahan kering dan kraftangan. Gerainya banyak, tetapi saya tidak suka berhabis masa di situ. Saya meneruskan langkah menuju ke gerai sasaran.

"Bunga kantan ni sekuntum berapa?" saya bertanya kepada peniaga sebuah gerai sayur sambil tangan saya sibuk membelek bunga kantan yang di susun di atas meja. Warnaya merah jambu pucat, tidak merah, tidak menggiurkan.

"80 sen satu,"jawab peniaga itu. Dalam hati terdetik ianya lebih murah jika di beli di pasaraya harganya RM1.40 sekuntum. Hati sudah terpikat tapi saya masih terus membelek, sekali sekala saya dekatkan bunga kantan itu ke hidung. Hehe.. Kalau ada virus H1N1, nahaslah saya, naauzubillah..

"Putik lagi ni pakcik, tak bau pun.." Omel saya sambil mengalihkan pandangan ke arah peniaga sayur. Dia sekadar tersengih.

"Haah, itu jer yang tinggal.." Jawabnya pula.

" Pakcik, kalau camtu, saya cuba tengok gerai lain dulu la eh, tengok camne kalau ada.." saya menyambung omelan. Peniaga itu sekadar melontarkan senyuman kepada saya, saya membalas senyumannya. Sudahlah banyak songeh, tak beli pula. Maaf yer pakcik. ^_^

Ketika saya sibuk memilih bunga kantan, di sebelah kiri saya peniaga lain pula sibuk melayan pelanggan yang lain. Dengan jelas saya mendengar mereka bercakap dalam dialek Kelantan, dalam hati terdesis, "orang kampung aku nih," fikir saya, membayangkan seorang lelaki Melayu Kelantan sedang bercakap dengan seorang wanita Melayu Kelantan. Betapa mudahnya saya membuat tekaan!

Setelah meminta diri untuk ke gerai lain, saya sempat mengerling ke arah pelanggan yang bercakap dialek Kelantan pekat tadi. Lar.. Saya silap rupanya.. Mungkin benar dia berasal dari Kelantan tapi ternyata, dia berseluar pendek, bersinglet adalah seorang wanita berbangsa Cina. Persepsi saya ternyata silap. Duh! Tak semestinya orang Melayu Kelantan yang fasih berloghat Jelantan, bagaimana saya boleh lupa? Astagfirullah..

Selesai meronda-ronda di pasar malam, membeli beberapa jenis barang untuk di buat masak, saya menuju ke kedai Max Value yang juga berhampiran dengan opis. Ada keperluan yang belum terbeli. Saya sekadar menekan minyak kereta dua tiga kali, maka sampailah saya. Sebaik sahaja mengeluarkan sejumlah duit di mesin ATM, saya ke bahagian peti minuman.

Dari jauh saya melihat seorang wanita bertudung bersama anaknya sedang memilih air minuman. Wanita Melayu ingin membeli minuman yogurt nampak gayanya. Saya membuat telahan. Memandangkan saya juga ingin membeli jus buat berbuka puasa, saya menuju ke arah peti minuman.

Setelah dekat dengan si ibu dan anak, saya dapat mendengar dengan jelas, wanita bertudung yang saya sangkakan wanita Melayu itu tadi rupanya bercakap dalam dialek Cina dengan anaknya. Saya mencuri pandang ke arah mereka, benar wajah si ibu jelas sekali bukan Melayu. Saya tersenyum sendirian.

Duh, silap lagi, dalam hari yang sama, saya tersilap teka untuk kali kedua. Ternyata, saya sedar dan makin percaya, apa yang kita percaya benar itu tak semestinya benar. Apa yang kita nampak benar juga tak semestinya benar. Kadang-kadang, persepsi kita sendiri mampu menipu kita, memperdayakan kita.

Peringatan untuk diri sendiri, jangan sekali-kali mudah menghukum. Jangan kerana sekali pandang, kita terus membuat kesimpulan. Jangan kerana sekali silap, kita terus membenci selamanya. Jangan terlalu mudah percaya pada fatamorgana dunia yang sering memperdayakan. Berhati-hatilah.

Teringat pada satu berita baru-baru ini. Sekumpulan tujuh lelaki di tahan polis atas tuduhan membunuh. Puncanya kerana mereka bertujuh telah membelasah akhirnya menyebabkan kematian seorang lelaki yang mereka syaki sebagai pencuri. Namun hakikatnya, mangsa yang terbunuh itu sebenarnya sekadar datang ingin beraya di rumah ibu angkatnya.

Lihatlah betapa buruknya akibat daripada menghukum tanpa kaji selidik. Ramai yang membenci ISA kononnya kejam, menghukum tanpa menyiasat terlebih dahulu, tapi diri sendiri mudah menghukum tanpa menilai tidak pula di pandang serius. Orang begini mudah di lihat di mana-mana, dalam dunia maya, ketika berforum dan juga di alam nyata. Sungguh, mudahnya berkata-kata tapi ternyata, sukar untuk melakukannya.

Jika kita menghukum tanpa selidik, kita mungkin menzalimi insan lain, dan tidak ketinggalan, kita juga turut menzalimi diri sendiri. Astagfirullahalazim. Oleh itu, dalam apa jua yang dilakukan, berfikirlah sebelum bertindak. Takutlah hanya kepada Allah.

Sekian. Wassalam.

Thursday, October 1, 2009

Di Mana Cahaya?




Tidak semua manusia di bumi ini sebertuah kita. Ada yang ditakdirkan buta dan tidak dapat melihat. Syukur Alhamdulillah, bersyukurlah kerana kita dianugerahkan dua mata yang sempurna, namun malangnya, sering saja kita kufur nikmat. Kita juga mudah lupa bahawa anugerah mata yang indah ini semuanya hanyalah pinjaman dari Allah yang Maha Esa. Dia berhak memberi dan Dia juga berhak mengambilnya semula, sebagaimana Dia Berkuasa Menghidupkan dan Mematikan kita. Maha Suci Allah.

Betapa pentingnya mata dalam kehidupan seharian kita, malahan di dalam al-Quran sendiri menjelaskan beberapa kali betapa kita perlu memanfaatkan anugerah mata ini sebaik yang mungkin, antaranya;

"Tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya? Dan keadaan gunung ganang, bagaimana ia di tegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia di hamparkan? Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya da yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorng Rasul pemberi ingatan." [Al-Ghaasyiyah: 17-21]

Dalam kehidupan ini, ada yang dapat melihat tapi masih meraba-raba mencari cahaya. Teruslah mencari dari utara hingga ke selatan tetapi tidak ditemui. Kemudian ke timur dan ke barat pula, namun malangnya apabila dia terus menjadi sesat. Naauzubillahiminzalik. Lindungilah aku wahai Tuhan dari kesesatan yang nyata dan tersembunyi.

Ada pula yang telah berjaya menemui cahaya, namun masih tidak mahu berpuas hati, tidak pula bersyukur, alasannya;

"Cahaya ini terlalu sedikit, terlalu malap tidak mampu menerangi jalan kehidupan!"

Lalu cahaya itu di tolak tepi, di abaikan dan di sia-siakan. Demi kepentingan dunia, mereka tidak mengambil cahaya yang sedikit itu malahan mereka sanggup memilih untuk terus berada dalam kegelapan. Naauzubillah..

Kemudian datang pula cahaya yang terang benderang, hingga akhirnya mata mereka kesilauan. Adakah mereka menerima cahaya itu? Malangnya tidak, kerana terlalu silau akhirnya mereka memejam mata rapat-rapat, supaya cahaya itu tidak 'menyakiti' mata mereka.

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?"
[Surah Ar-Rahman]

"Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada"
[Al-Hajj 22: 46]

Cahaya itu adalah perumpamaan hidayah dari Allah. Hidayah itu milik Allah dan ia diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Mudah-mudahan, kita antara insan yang terpilih dan tidak pula tergolong dalam golongan yang mensia-siakan hidayah Allah. Ya Allah, moga aku dan saudara-saudaraku tidak termasuk dalam golongan yang mensia-siakan cahaya-Mu itu. Peliharailah kami. Berikanlah kami cahaya dan petunjuk agar kami bahagia di dunia dan juga di akhirat.

Buta mata sesat di dunia, buta hati tidak nampak jalan ke syurga.

Wallahua'alam.