Hidup adalah sebuah pengembaraan, kita tidak pernah tahu di mana destinasi kita yang terakhir. Sebelum mata terpejam rapat. Pengembaraan ini adalah sebuah perjalanan takdir yang sudah tertulis. Apa dan siapa yang menanti di sepanjang perjalanan adalah di luar jangkaan kita yang bergelar 'pengembara'. Di mana kita singgah melepaskan lelah, hanya Tuhan yang tahu.
Nur Arina juga seorang pengembara. Di lahirkan dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan. Kerana kemiskinan juga, kedua-ibu bapanya sering bertengkar, sibuk mencari wang hingga kurang memberikan perhatian kepada anak-anak. Ayahnya sangat menyayanginya namun sayangnya, dia sering mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Ayahnya juga suka berjudi dan jarang ada di rumah. Ketika kecil juga Nur Arina pernah melalui pengalaman buruk kerana manusia bergelar lelaki. Nur Arina membesar dengan prasangka negative terhadap lelaki. Dia tidak percaya ada lelaki yang baik.
Pengembaraan Nur Arina diteruskan. Demi mengubah nasib keluarga, Nur Arina merentasi lautan benua demi menimba ilmu. Ketika pengajiannya di universiti, Nur Arina berkenalan dengan Syahir. Kesungguhan Syahir akhirnya telah berjaya membuka hati Nur Arina untuk menerima kehadirannya. Ketika sedang menuntut di luar Negara, mereka telah bernikah tanpa pengetahuan keluarga. Namun kebahagiaan mereka cuma sementara. Segalanya hancur apabila kehadiran Qistina menggugat kesetiaan Syahir. Nur Arina terluka begitu parah namun demi cinta dia terus pertahankan rumahtangganya.
Setelah tamat pengajian, Nur Arina kembali ke tanah air. Tidak lama kemudian, ayahnya kembali dijemput Ilahi. Nur Arina memendam rasa bertemankan air mata akibat kecurangan Syahir. Kesabaran Nur Arina benar-benar teruji apabila Syahir tidak muncul-muncul meziarahinya yang baru kehilangan ayah. Akhirnya rumahtangga yang dia pertahankan roboh jua.
Kehilangan dua lelaki yang sangat di sayangi pada satu masa benar-benar memberi kesan yang sangat mendalam buat Nur Arina. Nur Arina mengubat hati yang luka sendirian. Membina gua dan bersembunyi di dalamnya. Nur Arina juga pernah menjadi liar kerana merasakan ketulusan dan kebaikannya yang selama ini dikagumi oleh Syahir rupa-rupanya palsu. Syahir akhirnya tewas di tangan wanita seksi penggoda.
Dalam susah dan payah, pengembaraannya diteruskan jua. Nur Arina kemudiannya berkenalan dengan Khalid melalui alam maya. Bersoal jawab dan berbahas sehingga akhirnya membuka hati Nur Arina untuk lebih mendekati Allah. Nur Arina mula berusaha untuk menambah ilmu, menutup aurat dengan baik dan memperbaiki kekurangan diri. Warkah cinta Ilahi kini menjadi teman rapatnya. Penawar segala kesakitan. Kerana Khalid, Nur Arina ingin jadi wanita yang lebih baik.
Ketika perjalanannya mencari sinar Ilahi juga Nur Arina berkenalan dengan Khairunnisa dalam sebuah majlis ilmu. Sebuah pertemuan yang mencipta sejuta kisah penuh suka dan duka.
Masa terus berjalan. Khalid dengan dunianya, begitu juga Nur Arina. Haluan mereka berbeza. Syahir pula tidak jemu-jemu menagih kasihnya kembali, kononnya ingin menebus kesalahan lalu. Nur Arina masih bersendirian tanpa insan bergelar suami biarpun teman-temannya satu persatu mengakhiri zaman bujang. Risikan yang datang terpaksa di tolak kerana Nur Arina menyedari kekurangan yang ada pada dirinya. Nur Arina menempuhi kehidupan seharian dengan penuh ketabahan.
Apa yang menanti pada esok hari, hanya Allah yang tahu. Kerana takdir Allah jugalah, Nur Arina bertemu dengan Talhah. Pertemuan yang singkat akhirnya mengikat mereka dengan sebuah ikatan yang suci.
Siapakah Talhah yang sebenarnya? Apa niatnya menikahi Nur Arina. Adakah pilihan Nur Arina ini tepat dan bagaimanakah pengakhiran kisah mereka?
Akan bahagiakan Nur Arina di samping Talhah? Mampukah mereka pertahankan ikatan suci yang terbina? Atau siapakah yang akan memimpin tangan Nur Arina ke syurga?
No comments:
Post a Comment