+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, April 12, 2012

Jika Memancing Ikan

Amin berjalan di belakang ayahnya, setia mengekori setiap langkah ayahnya dengan cermat. Setelah beberapa minit berjalan kaki meredah semak-samun, akhirnya mereka tiba di tebing sungai. Pak Amat mengeluarkan joran dan umpan setelah memilih lubuk yang terbaik bagi firasatnya.




"Ayah, kenapa kita gunakan cacing sebagai umpan? Geli la Amin tengok.." Tiba-tiba Amin bersuara setelah Pak Amat mencampakkan jorannya ke dalam sungai buat kali yang pertama. Pak Amat cuma senyum memandang ke arah anaknya yang bongsu itu.

"Sebabnya, ikan yang ayah nak pancing ni, suka makan cacing. Kalau Amin nak tahu, kita tak boleh gunakan umpan yang sebarangan ketika memancing. Hanya umpan yang terbaik, akan membuahkan hasil yang terbaik.. If you want the best, you must try the best!" Begitu kata Pak Amat. Sekali sekala bercakap bahasa orang penjajah, entah anaknya yang kecil itu faham ataupun tidak dia tidak peduli. 

"Amin mungkin tak suka makan cacing, tapi ikan suka makan cacing. Kadang-kala apa yang kita benci, mungkin orang lain suka. Haa.. Begitulah.." Kata Pak Amat lagi. Menjelaskan lebih terperinci agar anaknya itu lebih mengerti.

Amin mengangguk-anggukkan kepalanya. Pak Amat senyum.

Setelah lama menunggu, akhirnya jorang Pak Amat terasa bagai ditarik-tarik dari dalam air. Umpannya sudah mengena lalu Pak Amat menarik jorannya perlahan-lahan. Akhirnya seekor ikan tumpas di tangan Pak Amat. Amin melompat girang.

"Ayah, tadi kenapa bila ikan dah makan umpan. Ayah tak tarik cepat-cepat. Kenapa ayah tarik perlahan-lahan?" Tanya Amin pula sambil matanya bulat teruja melihat ikan yang dikail.

"Memang begitulah caranya memancing. Tak boleh terus sentap, kalau tidak, ikan akan terlepas.. Sia-sialah kita tak dapat apa-apa. Mula-mula kita kena ikut rentak ikan tu terlebih dahulu. Biar mulutnya betul-betul tersangkut pada mata kail. Bila ikan tu dah kepenatan, dia tak lagi meronta-ronta, senanglah kita nak angkat ke darat.." Jelas Pak Amat kepada si anak.

"Dan lagi satu, bila umpan dah mengena, mata kail dah tersangkut pada mulut ikan, kalau boleh janganlah kita lepaskan semula ikan itu ke dalam air. Ambillah dia dan simpan elok-elok. Nak goreng ke, nak masak apa pun terserah pada kita. Kalau dilepaskan semula ke dalam air, bimbang pula kalau-kalau mulut dia dah sakit, dia tak dapat nak cari makan dan akhirnya dia akan mati... Kasihanlah dia..." Sambung Pak Amat lagi..

Baik.

Apa pengajaran daripada cerita pendek ini ya? 

Pertama, jika inginkan pasangan hidup yang soleh atau solehah, haruslah persiapkan diri terlebih dahulu untuk menjadi yang soleh ataupun yang solehah.

Kedua, jangan terburu-buru dalam tindakan. Harus persiapkan diri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Tahu strategi dan mempunyai perancangan yang rapi.

Ketiga, setelah memiliki hati seseorang, pegang dan jagalah ia baik-baik. Jangan kecewakannya.

Okey. Demikian kisah Pak Amat si pemancing ikan. Moga mendapat manfaat darinya, insyaAllah.

No comments: