+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, April 13, 2012

Suara Takdir Berbisik

Kereta kecil berwarna merah itu terus musnah dijilat api. Asap hitam berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Awan putih kini bertukar warna. Api merah marak menyala membakar setiap inci kereta. 

Suhu disekitar tempat kejadian meningkat beberapa darjah Celcius. Orang ramai kian banyak. Ada yang sedang bercakap di telefon, ada juga yang cuba mengambil gambar dan ada yang sekadar bercakap sesame mereka. Bercerita, barangkali tragedi ini suatu yang sangat menarik bagi mereka. Sehebat cerita letupan di kaca televisyen. Ada api. Ada bunyi. Kini secara langsung di hadapan mata. Bukan sekadar lakonan drama.



Tidak jauh dari bangkai kereta, Siti Sarah Safiya tersandar lesu di sebatang pohon. Dia menangis teresak-esak. Orang ramai yang hadir cuba menenangkannya namun sedikit pun tidak berhasil. Dia tetap terus menangis sambil bibirnya berulang-ulang kali memanggil nama kakaknya. Airmatanya mengalir laju.

“Mana anak saya?” Semua mata tertumpu kepada tuan empunya suara yang baru tiba bersama seorang lelaki. Suara itu milik seorang wanita berbaju hijau bercorak bercorak abstrak yang berusia awal 50-an. Wajahnya kusut sekali, matanya merah menahan tangis. Dia tercari-cari seseorang. Orang yang paling disayanginya. Matanya melilau ke kanan dan ke kiri. Jiwanya resah.

“Mana anak saya?!” Siti Maryam bertanya lagi. Tiada siapa yang menjawab. Semuanya diam dan ada yang saling berbisik sesama mereka.

“Bertenang Yam. Istighfar.. ” Pujuk Zakaria cuba menenangkan sang isteri. Namun semuanya sia-sia. Si isteri masih tidak keruan selagi anak kesayangannya tidak ditemui. Hatinya berdetak kencang bagai mahu pecah.

“Mana anak saya bang? Anak yang saya kandungkan. Anak yang saya susukan. Anak yang saya lahirkan. Mana dia bang.. ” Tanya Siti Maryam lagi.

Tiada siapa yang menjawab membuatkan hatinya kian hancur. Bertambah parah sebaik sahaja melihat kereta milik anaknya yang hangus dijilat api. Lututnya longgar serta merta. Airmatanya tidak mampu tertahan lagi kini bercucuran laju. Berbekalkan kudrat yang sedikit Siti Maryam cuba meluru ke arah bangkai kereta tersebut namun sempat dihalang oleh Zakaria. Maryam meraung-raung dan meronta-ronta memanggil nama anaknya.

Siti Sarah Safiya terdengar suara itu. Dia kenal suara itu. Sangat mengenalinya sejak dia masih kecil hingga kini, itulah suara yang sentiasa terngiang-ngiang di kotak fikirannya. Menghantui kehidupannya.

“Umi!” Siti Sarah Safiya memanggil ibunya. Namun suaranya tersekat-sekat dan tidak mampu keluar sepenuhnya. Dia kepenatan tidak bertenaga kerana banyak menangis.

“Umi!!” Siti Sarah Safiya memanggil lagi. Dia cuba berdiri untuk pergi mendapatkan ibu dan ayahnya namun dilarang oleh seorang wanita berbaju kuning yang dari tadi cuba menenangkannya.

“Adik duduk sini, kakak panggilkan ibu dan ayah kamu ke sini.” Pujuk wanita tersebut.

“Terima kasih kak.” Jawab Siti Sarah Safiya seraya menganggukkan kepalanya.

Wanita berbaju kuning yang baik hati itu terus bergegas mendapatkan Siti Maryam dan Zakaria yang sedang dikelilingi orang ramai. Bersusah payah dia meloloskan dirinya, kini dia berdiri tepat di hadapan Siti Maryam dan Zakaria.

“Puan, encik, anak kamu masih hidup.” Ujar wanita prihatin itu sebaik sahaja mendapat peluang untuk berkata-kata. Siti Maryam berhenti menangis serta merta.

“Anak saya? Siti Hajar masih hidup?” Tanya Siti Maryam. Hatinya berbunga kembali, harapan bercambah semula.

“Saya tak pasti namanya, tapi dia pemandu kereta itu.” Jawab wanita itu lagi sambil jarinya menunding ke arah bangkai kereta yang telah musnah dijilat api.

“Itu kereta anak saya. Mana dia sekarang?” Soal Zakaria pula. Tidak sabar mahu melihat cahaya hatinya. Berita kecelakaan yang diterimanya sebentar tadi benar-benar meruntun jiwanya. Kebetulan dia sedang memandu menuju destinasi yang sama. Dengan kadar yang segera dia memecut kereta bergegas ke tempat kejadian bersama isterinya. Semoga semuanya selamat Ya Allah. Rintihnya di dalam hati. Zakaria cuba berlagak tabah, menenangkan si isteri namun gelora jiwanya, hanya Tuhan yang Maha Tahu.

“Umi! Abah!”Jerit Siti Sarah Safiya sebaik sahaja melihat kelibat kedua orang tuanya. Air matanya masih lagi mengalir laju.

“Umi! Abah! Safiya di sini… “ Suaranya lemah tidak bermaya. Dia menangis teresak-esak.

“Mana anak Umi?” Tanya Siti Maryam sebaik sahaja menghampiri Siti Sarah Safiya. Kedua tangannya mencengkam kedua belah bahu Siti Sarah Safiya. Berulang kali dia bertanya sambil menggoyang-goyangkan tubuh lemah Siti Sarah Safiya apabila soalannya tidak berjawab.

“Sakit Umi.. Safiya pun anak Umi.. Safiya ada di sini Umi…” Suara Siti Sarah Safiya terketar-ketar. Luka dijasad mampu dilihat, disapu ubat dan akan sembuh bila-bila masa sahaja. Namun luka di hati hanya dia yang tahu. Hatinya pedih walaupun tidak berdarah.

“Bawa mengucap Yam. Ini kan anak kita juga.” Pujuk Zakaria lagi, cuba meleraikan cengkaman tangan isterinya. Siti Sarah Safiya mengaduh kesakitan. Memandang si ayah dengan sorotan mata penuh simpati meminta belas.

Zakaria kasihan melihat Siti Sarah Safiya diperlakukan begitu. Sejak kecil hingga kini, isterinya sengaja menganaktirikan Siti Sarah Safiya. Apa sahaja yang dilakukan oleh anak bongsunya itu ada saja yang tidak kena pada pandangan Siti Maryam. Zakaria hanya mampu mengeluh. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Siti Maryam seolah-olah mendendami Siti Sarah Safiya. Sikap Siti Maryam ada kalanya keterlaluan dan melampaui batasan benar-benar mengecewakannya.

“Safiya, bagitahu abah, mana kakak kamu?” Tanya Zakaria perlahan sambil tangannya memegang lembut bahu Siti Sarah Safiya. Maryam di sebelahnya tidak keruan sambil melilau pandangannya ke kanan dan ke kiri. Masih tercari-cari kelibat anak sulungnya.

“Safiya, mana Humaira?” Soal Zakaria lagi setelah anaknya itu masih diam membisu. Siti Sarah Safiya mengunci bibir, tidak tahu menyusun kata. Dia buntu bagaimana caranya mahu memberitahu si ayah. Airmata masih tidak mahu berhenti mengalir. Siti Sarah Safiya cuma mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Tangisannya makin hebat lalu dia memeluk erat ayahnya.

Tangisan dan kebisuan Siti Sarah Safiya itu benar-benar merobek hatinya. Kolam matanya bergenang, menanti masa ingin terjun keluar. Walaupun hati nuraninya sebak, menangis pilu namun Zakaria harus terus bertahan, dia perlu kuat demi anak dan isterinya.

Siti Maryam terdiam sejenak melihat anak dan suaminya berpelukan. Dia bagai hilang pedoman lalu meluru ke arah dua beranak itu. Siti Maryam menyentap bahu Siti Sarah Safiya kuat.

“Kau bunuh anak aku! Kau bunuh anak aku! Kau memang sial!” Jerit Siti Maryam sambil menggoncang kuat bahu Siti Sarah Safiya. Siti Maryam hilang arah. Hatinya sakit. Jiwanya pedih. Dia hilang kawalan. Tanah yang dipijak bagaikan bergelora, langit biru seakan berputar. Lututnya lemah dan longlai. Pandangannya kelam, kian pekat. 


[Untuk membaca sambungan cerita ini, boleh KLIK sini.. Adakah Siti Hajar masih hidup? Atau siapakah dalang di sebalik kemalangan itu? Jom baca jom.. Semoga terhibur.]

No comments: