Ketika zaman kanak-kanak, bila orang tanya saya nak jadi apa, selalunya saya akan jawab, "Cikgu!"
Naik sekolah menengah, saya dapat tahu bahawa kerja guru gajinya tak sebanyak gaji doktor atau jurutera. Bunyinya juga lebih hebat. Ditambah pula dengan keadaan pelajar sekolah yang makin lama makin kurang beradab pada guru, lalu saya tidak lagi bercita-cita mahu jadi guru. Saya orang miskin, saya mahu cepat kaya, saya mahukan kerja yang dapat memberikan hasil yang lumayan.
Ketika di tingkatan menengah rendah, kecenderungan saya kepada penulisan mula menyerlah. Saya suka menulis cerpan aka cerita panjang. Seronok. Sayangnya, kerana kemahuan saya untuk cepat kaya dan waktu itu saya tiada pengetahuan yang banyak tentang bidang kerja, dengan keputusan semua A dalam PMR, saya memaksa diri sendiri untuk belajar dalam aliran sains tulen di MRSM. Ambil mata pelajaran asas dan yang lain-lain semuanya subjek sains.
Lalu bermulalah era saya mempersiapkan diri samada untuk menjadi doktor atau jurutera.
Apabila keputusan SPM diumumkan, saya mendapat keputusan yang setara untuk subjek biologi, fizik, kimia dan matematik tambahan. Semuanya A, alhamdulillah. Jadi, antara dua, doktor ataupun jurutera, saya sekali lagi perlu membuat keputusan. Kerana saya ini takut darah, jiwa pula terlebih sensitif, saya tidak mahu ambil risiko dalam bidang perubatan. Tambahan lagi, tempoh pengajiannya lebih panjang jika dibandingkan dengan bidang kejuruteraan.
Lalu, saya membuat keputusan untuk fokus pada bidang kejuruteraan. Makin tinggi tahap pengajian, makin sempit ilmu dan pengetahuan saya. Kini hanya tertumpu pada kejuruteraan semata-mata. Minat saya pada bidang penulisan makin terpinggir.
Saya sangka, jadi jurutera aka engineer saya akan cepat kaya. Rupa-rupanya saya silap. Ketika bekerja sebagai jurutera, kakak saya yang usianya 3 tahun lebih tua daripada saya, bukan pelajar aliran sains, bukan doktor, bukan engineer, bukan pelajar lepasan Universiti, tiada diploma, tiada ijazah, cuma ada sijil spm dan sijil komputer dan pengalaman kerja telah mendapat tawaran kerja dengan IBM, gajinya lebih dua kali ganda lebih tinggi daripada saya. Aduh. Gawat..
Terasa seolah-olah saya membuang masa lebih 5 tahun di universiti tapi hasilnya tidaklah seberapa. Jadi engineer pun bukanlah bagus mana pun. Makan gaji juga. Setelah dapat apa yang saya cita-citakan, kini saya bingung. Terasa seolah-olah bukan ini yang saya mahu.
Dan saya tertanya-tanya lagi. Sebenarnya apa cita-cita saya? Kenapa saya mahukannya? Adakah ia cita-cita itu sudah memadai? Saya tiada jawapan yang jitu.
Sebagai seorang kanak-kanak, ya mungkin, cita-cita itu adalah suatu yang sangat 'besar' - penuh visi dan misi, pandang jauh ke hadapan. Tapi apabila sampai ke tahap saya kini, setelah mempunyai kerjaya sendiri, saya mula merasai bahawa cita-cita itu cumalah suatu yang 'remeh'. Sesuatu yang sempit dan mementingkan diri sendiri. Lalu, saya mula terfikir mengenai sebuah legasi.
Setelah saya mati, apa yang boleh saya tinggalkan untuk ummah? Ketika saya hidup, apa yang boleh saya sumbangkan kepada ummah? Kurangkan fokus terhadap cita-cita, kurangkan perhatian pada diri sendiri, sudah masanya untuk fikirkan masalah ummah.
Dalam mencari-cari, saya terkenangkan minat saya yang dulu. Bidang penulisan. Keinginan untuk menulis pula makin membuak-buak. Alhamdulillah. Minat saya yang satu ini tidak pernah padam. Malahan, ketika di universiti, sebagai penuntut jurusan kejuruteraan, saya sering memberitahu teman-teman rapat saya bahawa suatu hari nanti, saya pasti hasilkan sekurang-kurangnya satu buku atau novel.
Masa terus berjalan. Masa untuk mengejar cita-cita sudah berlalu, kini masa untuk mengejar impian, membina sebuah legasi, saya akan berusaha untuk merealisasikannya.
InsyaAllah. Moga Allah membantu saya. Saya mahu jadi seorang penulis yang berbakti kepada ummah. Melalui tulisan dan karya saya, saya ingin membantu mereka yang ingin dibantu. Saya mahu mengisi kekosongan jiwa yang ingin diisi, dengan cara saya. Saya mahu tinggalkan sebuah legasi saya yang tersendiri, sebelum mata tertutup rapat buat selama-lamanya. InsyaAllah.. Doakan saya sahabat.
Moga Allah makbulkan.
No comments:
Post a Comment