+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Thursday, April 12, 2012

Kita Ada Dua Kaki

Ketika kita berjalan kaki, kita pernah berharap dan berdoa; "Ya Allah, aku penat berjalan, berikanlah aku basikal."




Dengan izin Allah swt, akhirnya kita mempunyai sebuah basikal. Sekarang kita punya dua tayar untuk meringankan beban dua kaki kita. Kita gembira namun tidak lama. Setelah mendapat basikal, kita berdoa lagi; "Ya Allah, aku penat mengayuh, kakiku letih, berikanlah aku motorsikal."

Kemudiannya, motorsikal yang kita idamkan kini menjadi milik kita. Kita gembira bukan kepalang. Namun ia tidak berkekalan. Kita mula merasa tidak cukup. Setelah mempunyai motorsikal, kita pula merungut. Kaki letih bergayut dan terkangkang. Belakang pula penat tak dapat bersandar. Bila hujan kita basah, bila panas terik kita terbakar dek bahang mentari lalu kita mengharapkan kereta. Kancil pun jadilah!

Dah dapat Kancil, kita mahu Myvi pula. Dah dapat Myvi, kita mahu Honda, BMW, Mercedes, Ferrari, Lamborgini dan seterusnya. Tak pernah habis. Kita tak akan pernah merasa puas.

Sememangnya manusia, payah mahu bersyukur. Ada yang bersyukur, tapi jumlahnya sangat sedikit. Tapi itulah manusia yang diciptakan oleh Allah swt, punyai nafsu dan keinginan. Kehendak dan kemahuan.

Bukanlah suatu yang keji jika kita bernafsu kerana ia adalah fitrah bagi seorang manusia normal. Nafsu menjadi pemangkin dan pendorong kepada manusia untuk berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan. Nafsu untuk mempunyai harta, pangkat, wanita/pasangan, zuriat, jawatan, kemewahan dan lain-lain lagi.

Betapa Allah itu Al-Wadud, Dia berikan kepada kita bukan sekadar apa yan kita perlukan, tetapi juga apa yang kita inginkan.

Tapi pada masa yang sama, Dia juga ingin menguji kita sebagaimana firmanNya;

Anak dan harta adalah ujian bagi manusia.

Oleh yang demikian, dalam menuntun, meladeni, melayan kehendak nafsu-berwaspadalah agar kita tidak gagal dalam ujian Allah swt. Semoga kita lulus dengan cemerlang dan layak masuk syurga.

Semoga nafsu kita terhadap harta mendorong kita bekerja lebih kuat, agar lebih berjaya dalam kerjaya. Punyai banyak wang dan tidak lokek membelanjakannya ke jalan Allah. Semoga nafsu kita terhadap pasangan hidup mendorong kita menjadi insan yang lebih baik dan bermotivasi agar dapat membina keluarga sakinah yang diredhai Allah.

Jangan berhenti berusaha mendapatkan apa yang kita inginkan, nikmat Allah untuk kita sangat banyak, namun ingat, dalam apa jua yang kita lakukan, redha Allah adalah yang paling utama. Jadilah pencinta wanita sejati yang mencintai Allah dan rasulNya. Jadilah manusia yang kaya dan patuh pada suruhan Allah serta menjauhi laranganNya.

Jika belum berjaya, jangan pula berputus asa. Usaha lagi dengan lebih gigih. Bersyukurlah dan redhalah seadanya dengan setiap anugerah dan pemberian dari Ilahi.

Seandainya kita tiada dua tayar atau empat tayar, bersyukurlah kerana kita masih punya dua kaki.

Ada orang, tidak ada kaki pun. Maka, nikmat Tuhan yang mana lagi ingin kita dustai? Bersyukurlah.

"Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilang harapannya"(41:49)

Naauzubillah. Hargailah dua kaki kita. Kalaupun kita miskin, jadilah orang miskin yang taat pada Allah dan tidak pula meminta-minta selain daripada Allah taala.

No comments: