+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, April 10, 2012

Kasih Jangan Benci

Apabila hati dan jiwa kita penuh dengan kasih sayang, tiada lagi ruang untuk perasaan benci. Bila diri kita dihiasi dengan sifat-sifat terpuji, sifat-sifat mahmudah, tiada lagi ruang untuk sifat-sifat keji dan sifat-sifat mazmumah. Bila diri kita sibuk dengan melakukan kebaikan dan amal ibadat, tiada lagi masa untuk kita melakukan keburukan dan perbuatan maksiat. Insyaallah.
Sesungguhnya, di antara perkara yang baik dan perkara yang buruk itu ada benteng di tengah-tengahnya, maka ia tidak akan bercampur baur. Melainkan benteng itu telah roboh.

Wahai diri yang dikasihi Allah.

Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah, tetapi mengapa kita sering terkeliru dan ada masanya kita tersesat, tersalah pilih jalan.
Kita tahu al-Quran itu petunjuk yang benar, Rasulullah itu pemimpin, penyampai berita gembira tetapi mengapa kita sering terdorong untuk mengikut hasutan syaitan yang dilaknat? Kita tahu, kebaikan akan membawa kita ke syurga tapi mengapa kita lalai dan alpa, terjerumus kepada keburukan yang akan membawa kita ke neraka?

Mengapa?

"Ya Allah. Tunjukilah kami jalan yang lurus.."

Kepada diri, jauhilah perbuatan keji dan munkar. Jauhilah hasad dengki dan perasaan benci sesama manusia. Semailah perasaan kasih dan sayang sesama kita. Moga kita pula dikasihi oleh penghuni langit.

Sibukkan diri dengan melakukan perbuatan yang baik, bercakap perkara yang baik. Jangan menghasut, mengadu domba, mengumpat atau memfitnah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sebagaimana warna hitam dan warna putih tidak mungkin bersatu tanpa mengubah warnanya yang asal, begitulah kebaikan dan keburukan tidak mungkin mampu bergerak seiring. Sungguh, warna hitam itu lebih dominan, tetapi sekiranya warna putih dimasukkan lebih banyak secara berterusan, insyaallah, hanya warna putih yang suci bersih akan terserlah warnanya.

Setiap amalan dimulakan dengan niat. Insyaallah, sekiranya dalam apa jua yang kita lakukan, kita jaga niat kita kerana Allah taala, akan tercatit kebaikan di dalam buku catitan amalan kita. Moga bertambah timbangan amalan kebaikan menjadi lebih berat dan dapat melayakkan kita ke syurga.

Kasihlah, jangan benci. Sebagaimana air memadamkan api, begitulah kemaafan menghapuskan dendam. Luka di jari akan mengalirkan darah yang merah. Sakit di jasad sesiapa pun boleh lihat. Tapi luka di hati hanya Allah yang tahu. Penyakit di dalam jiwa juga hanya Allah yang tahu.

Kerana ada masanya, kita tidak nampak kekurangan diri sendiri. Tidak tahu penyakit yang tersembunyi. Bersyukurlah andai ada sahabat yang sudi menegur dan mengingatkan. Itu tanda dia kasih, tidak ingin kita selamanya berpenyakit, yang seterusnya merugikan dan membinasakan diri kita sendiri. Berterima kasihlah.

Semoga kita selamat di dunia dan di akhirat. Dijauhkan daripada azab api neraka. Amin.

No comments: