Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang memberi penyakit dan menyembuhkan. Tuhan yang menciptakan racun dan penawar. Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Maha suci Allah.
Jumaat datang lagi. Beberapa hari yang lepas kita gempar dengan berita gempa bumi, kebanyakan dari kita turut merasai gegaran hingga sempat mencetuskan rasa 'kecut perut', namun syukurlah, alhamdulillah kita semua masih selamat.
Allah pernah berfirman bahawa manusia tidak dikira beriman selagi mereka tidak diuji. Makanya, sebagai orang yang beriman, kita haruslah sentiasa siap siaga untuk menerima sebarang apa jua ujian dari Allah swt.
Dalam kemalangan, apakah kita ada kuasa untuk memilih dengan kereta siapa kita akan berlanggar? Atau adakah kuasa kita untuk menentukan bila dan di mana lokasi kita akan ditimpa malang? Apakah kita berkuasa menentukan berapa kali kereta kita akan berputar dan bergolek? Adakah kita berhak untuk menentukan, samada kita cedera di kaki atau di tangan?
Jawapannya, jelas dan nyata. Tidak. Bukan kuasa kita untuk menentukan apa bentuk ujian yang akan menimpa kita. Bukan hak kita untuk menentukan sedalam mana kita terluka bila di uji.
Apa yang boleh kita lakukan adalah bersabar dan redha. Sapu airmata. Kemudian bangkit semula menjadi manusia yang lebih kental. Hadapi dengan senyuman, biar sedalam mana luka ditoreh. Insyaallah. Allah lebih mengerti.
Sahabat yang dikasihi Allah.
Di sini, saya ingin mengambil kesempatan. Menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari hujung rambut ke hujung kaki andai selama saya mengendalikan teratak buruk @ blog ini saya ada melakukan kesalahan. Manusia biasa tak mungkin lepas dari kesalahan, jadi saya pun tentu sama.
Terima kasih atas kesudian kalian mengunjungi blog saya. Terima kasih atas sokongan. Biar pun blog saya ini cuma blog picisan, dan saya pula bukanlah sesiapa, kesudian kalian sangat saya hargai.
Kalau ada yang pernah terasa dengan kiasan dan analogi, perumpamaan dan sewaktu dengannya, jangan simpan dalam hati ya, semoga dapat berlapang dada.
Kepada sesiapa yang ada merasakan 'watak' mereka ada dalam contengan saya, maafkan saya, saya banyak berimaginasi. Al maklumlah, realiti serba pahit, jadi sengaja saya cipta 'khayalan' yang manis-manis.
Kepada yang pernah merasakan saya ni 'bajet bagus'. Maaf banyak-banyak. Saya menulis bukan kerana apa, cuma mengenangkan diri saya ini, pengajian saya di universiti ditanggung rakyat, saya dapat biasiswa. Saya cuma mencari ikhtiar bagaimana untuk 'membayarnya' semula, pada masa yang sama, mengumpul bekalan menuju mati.
Saya kongsikan satu rahsia, ya. Sebenarnya apa yang saya tulis di sini, tak semuanya saya TELAH buat. Ada juga yang saya tulis ingin sangat saya lakukan, atau untuk memujuk hati sendiri, supaya jadi lebih positif, lebih kuat. Atau mengingatkan diri sendiri supaya jadi hamba yang lebih baik. Seperti selalu, suka saya ulangi, saya bukanlah ustazah, bukan juga kaunselor. Cuma hamba Allah yang sering diuji dan suka berkongsi dengan cara yang tersendiri. Manusia kan unik. ;-)
Sebelum berundur, suka saya kongsikan satu lagi blog saya, www.hasnizaibrahim.blogspot.com. Di dalamnya ada cebisan-cebisan cerita Pimpin Daku Ke Syurga. Noktah Cinta dan lain-lain. Masih lagi dalam pembikinan, doakan saya ya.
Sekian dulu untuk kali ini. Wassalam.
No comments:
Post a Comment