+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, November 25, 2011

Rindu Buat Seorang Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim..

Selawat dan salam buat Nabi junjungan, Muhammad saw...

Syukur atas segala anugerah dan nikmat yang telah Allah kurniakan. Alhamdulillah.


Sungguh, saya sayang ayah! Tiada kata-kata mahupun ungkapan yang boleh saya lafazkan atau titipkan untuk menggambarkan betapa saya benar-benar sayangkan ayah. Moga Allah masukkan kami ke syurga bersama hamba-hamba yang soleh, dan semoga, saya dapat bertemu dan bersama dengan ayah lagi.. Ayah yang saya rindui.



Hari ini, saya teringat pada ayah lagi. Untuk kesekian kalinya -ah! Saya tak pernah lupa ayah, tapi hari ini, saya menitiskan airmata sekali lagi kerana terkenangkan ayah. Gara-gara seorang ayah yang saya kenal - yang amat mengagumi anaknya - sedangkan saya - tertanya sendiri - apa agaknya perasaan ayah saya, andai ayah tahu segala apa yang sedang dan telah anak kesayangannya ini lalui. Mungkin ayah akan bersedih, kecewa, marah, atau apa agaknya rasanya menjadi ayah kepada anak yang seperti saya?? Ayah.. Maafkan anakmu ini, duhai ayah..

Ya Allah - ampunkan dosa-dosaku, ampunkan juga dosa kedua ibu bapaku. Kasihani mereka sebagaimana mereka mengasihi aku ketika aku masih kecil.

Benar ayah saya bukan seorang guru, apatah lagi seorang pensyarah. Ayah saya bukan seorang bijak pandai apatah lagi profesor berjaya. Ayah saya cuma seorang petani, meredah selut dan lumpur bagi mencari sesuap nasi untuk anak-anak, meneruskan kelangsungan hidup. Tapi, kata-kata ayah saya ingat sampai kini, "Memanglah ayah ni tak pandai, sebab tu ayah hantar kamu belajar biar pandai, biar tak jadi macam ayah."

Namun ayah, lihatlah kini! Apa yang telah anakmu ini lakukan. Ampunkan dosaku Ya Allah, ampunkan dosa kedua ibubapaku.

Menjadi anak kepada ayah dan ibu bukanlah pilihan saya, tapi saya tidak pernah kesal sedikit pun. Mungkin benar - waktu dulu-dulu hidup kita susah, tapi kesusahan itu mengajar saya supaya berusaha lebih gigih. Mungkin benar - hidup kita dulu penuh airmata, namun kepayahan itulah yang mengajar saya supaya lebih mensyukuri segala nikmat dan pemberian Allah swt. Saya tidak ingin menyalahkan ayah, atau ibu kerana pada saya, kalian adalah yang terbaik. Namun menjadi saya pada hari ini, tentu sekali bukanlah seperti apa yang ayah dan ibu harap-harapkan, bukan juga seperti yang saya harapkan. Namun ayah, ibu.. Jangan bersedih - saya akan tetap terus berdoa dan berharap - agar penderitaan ini akan berakhir juga - dan kita akan bertemu lagi - di syurga kelak.

Ayah, ibu.

Dunia ini hanya sementara. Di dunia ini jugalah kita bertemu dan kita berpisah. InsyaAllah, moga anakmu ini menjadi yang solehah, dan bisa memimpin kalian ke syurga kelak. Amin..

"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". (Al-Ahqaaf 46:15

Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka. (Al-Ahqaaf 46:16)

"Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - (Ar-Ra'd 13:23)

2 comments:

anielurve said...

menitis air mata baca pasal entry ne...do i look like loser..huhu...my dad is there but i have less love from a father...tdk pernah rasa erti kasih sayang seorang ayah...tp tdk apa...

AsNiza said...

anielurve..

terima kasih sudi singgah dan baca.. saya doakan moga anielurve juga sempat merasa kasih sayang seorang ayah, insyaAllah.. teruskan memanjat doa kepada Allah ya..

masa kami kecil2 dulu, saya agak bertuah kerana saya merupakan anak kesayangan ayah. tapi kakak sulung - hm, mereka berdua mcm bermusuhan, tak pernah cakap elok2...

tapi alhamdulillah, Allah berkuasa atas segalanya.. bila anak2 dah besar, ayah pun dah tua, sakit pula.. sempat juga mereka berbaik2 seperti anak dan ayah. alhamdulillah.. syukur...

jadi, tiada yg mustahil, kan? semoga kebahagiaan utk anielurve pun akan datang juga..


amin..