+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Tuesday, February 8, 2011

Sebab Apa Saya Tak Nak Hidup Miskin

Bismillahirrahmanirrahim..

“Saya pernah dengar terbaca, orang kaya nanti kat akhirat susah nak masuk syurga kerana hartanya akan dihitung satu persatu. Sebab itu saya pilih kemiskinan.”

Begitu antara bait kata, pandangan salah seorang sahabat. Entah mengapa, kenyataannya itu berjaya mencuri perhatian saya. Jauh dilubuk hati saya, saya tidak setuju dengan pendapatnya itu. Saya sedar, dia berhak memberi pandangannya, namun maaf saya nyatakan, kalau dia benar-benar tahu erti kemiskinan, dia tentunya tidak akan berkata begitu. Saya 'maafkan' dia, dia belum kenal erti kehidupan, belum tahu apakah sebenarnya makna kemiskinan.


Saya tidak malu untuk mengaku, suatu ketika dulu, hidup saya sekeluarga diselubungi kemiskinan. Bukan saya ingin bermegah-megah atau mahu berbangga dengan kemiskinan yang pernah saya lalui, tapi mudah-mudahan ia mampu menjadi pengajaran buat kita semua, agar terhindar dari kemiskinan, insyaALlah.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung pada-Mu dari kekafiran dan kefakiran, aku berlindung kepada-Mu dari azab kubur, tidak ada Tuhan selain Engkau.”

Hampir 3 dekad yang lalu, saya keluar dari kandungan bonda di sebuah teratak usang, beberapa meter jaraknya dari Sungai Kelantan. Kebanyakan penduduk di kampong itu menanam padi sebagai sumber pendapatan. Waktu itu, sebelum sistem tali air diperkenalkan, padi di tanam mengikut musim tengkujuh. Kiranya setahun hanya sekali hasil tuaian bisa dikutip. Untungnya tidak banyak, cukup-cukup untuk bekalan makan sehingga musim padi seterusnya.

Saya tidak pasti samada emak dan ayah ada relung padi sendiri. Tapi apa yang saya pasti, emak dan ayah mengerjakan relung sawah padi milik orang dengan system pawah (hasil tuaian dibahagi dua) dan kadang-kadang mereka mengambil upah, menyemai atau menuai padi orang. Dapatlah sedikit wang lebih, tapi berapalah sangat upahnya. Biarpun memerah keringat tulang empat kerat, meredah selut dan lumpur, berpanas terik di bawah sinaran mentari seharian, tapi hasilnya tidaklah seberapa. Dan itupun, kalau hasil tanaman menjadi, namun ada masanya anak padi diserang tikus, belalang atau burung. Pernah juga hujan lebat dan angin kuat memukul dan memusnahkan tanaman sebelum sempat mengutip hasil.

Dan yang paling menyedihkan, pernah juga kami penduduk kampong, termasuk kedua ibubapa saya, terpaksa berputih mata apabila padi yang siap dituai, hanya menunggu masa untuk dijual, akhirnya dicuri orang yang tidak bertanggungjawab. Sejak itu, emak dan ayah ‘mengangkut’ saya adik-beradik, ikut sama bermalam di sawah. Tidur beratapkan langit berselimutkan embun apabila selesai musim menuai, sehingga padi selamat dijual. Demi memastikan padi tidak dicuri orang.

Kalian mungkin pernah mendengar cerita ini, suka duka kehidupan seorang petani. Kisah kehidupan ayah atau atuk kalian, tapi saya bukan sekadar mendengar, malah, saya sendiri melaluinya dan mengalaminya. Ketika zaman kecil saya, saya pernah meredah selut, berperang dengan pacat dan lintah membantu emak dan ayah mengerjakan tapak sawah. 

Kalian mungkin pernah dengar, ‘orang dulu-dulu’ mandi perigi atau sungai, tiada paip. ‘Orang dulu-dulu’ masak menggunakan kayu api. ‘Orang dulu-dulu tiada elektrik, tiada lampu. ‘Orang dulu-dulu’ menggunakan pelita minyak. Dan ketahuilah, walaupun saya bukanlah ‘orang dulu-dulu’, tapi semua itu tercatit dalam diari perjalanan hidup saya. Jiran-jiran kebanyakkannya mempunyai paip, tapi kami mandi di sungai dan perigi. Saya nyaris lemas dua kali di sungai tapi syukur umur masih panjang. Mereka ada tv, peti, apatah lagi lampu, kami tiada. Mereka masak menggunakan dapur gas, tapi kami tidak. Sebelum masak, harus cari kayu api. Pedih mata berair terkena asap sementara menunggu nasi masak.

Jika saya diberi pilihan, memang saya tidak akan memilih untuk hidup miskin. Cukuplah sekali saya melaluinya dalam kehidupan ini. Bagi sesetengah orang, zaman kanak-kanak adalah zaman yang indah, tiada dibelenggu sebarang masalah, tapi bagi saya, susah senang yang emak dan ayah lalui, tempiasnya turut mengenai kami anak-anak.

Maaf emak dan ayah. Niat saya bukan ingin merendah-rendahkan emak dan ayah. Malah pada saya, emak dan ayah adalah ibu dan ayah yang terbaik. Cuma ingin saya kongsikan di sini, agar dapat dijadikan teladan bagi sahabat-sahabat yang lain, agar mereka tidak melalui jejak langkah yang pernah kita lalui suatu masa dahulu.

Kerana kemiskinan. Ibu dan ayah sering bertengkar. Sementelah cara emak dan ayah ‘menguruskan’ wang keduanya sangat berbeza.Biarpun duit tak banyak, emak terlalu boros, tidak tahu menyimpan, tidak beringat-ingat untuk hari esok. Sudahlah pendapatan tidak menentu, apa yang ada hari ini, kalau boleh hari ini juga ingin dihabiskan. Berbeza dengan ayah, ayah sangat cermat dan selalu beringat untuk hari mendatang. Perbezaan ini sangat ketara dan sering mencetuskan api pergaduhan. Kami anak-anak juga sering menjadi mangsa. Biarpun kami tidak terdera secara fizikal, tapi mental kami agak terkesan. Kami pernah menangis empat beradik bila pergaduhan menjadi sangat serius. Namun begitu, syukur pada Ilahi kerana biarpun hampir setiap hari bergaduh, mereka bercerai mati.

Kerana kemiskinan juga, makan kami sekeluarga tidak menentu. Apa yang ada, itulah hidangan kami. Pernah saya merengek kerana bosan setiap hari makan nasi berlaukkan ikan masin. Pernah juga kami makan nasi dicampur air dan gula saja. Ah. Bukan mudah menjadi orang miskin.

Kerana kemiskinan juga, masa emak dan ayah untuk kami anak-anak sangat berkurang. Mereka sibuk mencari wang hingga kami anak-anak terabai. Mereka keluar ke bendang selepas subuh sebelum tanah terang. Pulang ketika matahari meninggi untuk makan dan solat zohor kemudian sekali lagi turun ke bendang sehingga petang. Tika menunggu padi masak, emak dan ayah mengambil upah menoreh getah, menebas hutan, dan segala macam kerja kampung. Kami membesar dengan sendiri. Tanpa didikan yang sewajarnya. Untung saya anak kedua, setidak-tidaknya saya punya kakak sulung untuk bergantung harap. Kasihan juga saya melihat kakak saya, ketika emak dan ayah tiada kat rumah, dialah yang menjaga adik-adik dan masak untuk kami. Tapi apalah sangat yang mampu dia lakukan, beza umur saya dengannya pun tiga tahun cuma. Kami membesar bersama-sama.

Kerana kemiskinan juga, saya sering malu dengan rakan-rakan sekelas. Ini kerana saya sering menjadi orang terakhir yang membayar yuran sekolah, setelah berkali-kali cikgu kelas meminta. Begitu juga tambang bas sekolah. Baju sekolah saya juga tidak seperti baju sekolah orang. Seingat saya, pertama kali saya pakai baju sekolah baru adalah ketika saya di tingkatan empat. Waktu itu kakak sudah bekerja dan waktu itu juga saya diterima masuk ke sekolah MRSM. Mahu atau tidak, harus menjahit baju uniform sendiri kerana jiran-jiran tiada baju yang sama untuk disedekahkan.

“Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”

Itu sedikit gambaran zaman kanak-kanak saya, kalau ingin dicerita semuanya, mungkin kalian pun tidak sanggup membacanya. Hehe. Jadi, biarlah saya simpan semuanya kemas dalam lipatan sejarah hidup saya. Mungkin nanti, kalau Tuhan izinkan saya punyai anak, insyaAllah kisah ini akan saya ceritakan padanya, agar dia tidak lupa asal usulnya. Bukan senang menjadi orang susah.

Bukan suatu kesalahan untuk menjadi orang miskin. Menjadi kaya juga bukan suatu dosa sekiranya kita tahu apa yang hak dan apa yang batil. Malah Allah juga telah berfirman,
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
(Surah Al-Hadid : 20)

Antara sifat yang perlu ada dalam diri manusia dalam menjalani kehidupan di dunia ialah sifat Zuhud dan Qanaah. Sifat zuhud adalah tidak keterlaluan dalam mengejar dunia sehingga melupakan akhirat. Manakalah sifat Qanaah ialah merasa cukup dengan segala apa yang ada sebagaimana yang di kurniakan oleh Allah tetapi pada masa yang sama kita tetap juga berusaha.

 Maka barangsiapa yang mempunyai sifat Qanaah ini, maka dia nescaya akan redha segala apa yang telah di tentukan oleh Allah kepadanya. Antara ciri – ciri orang yang mempunyai sifat Qanaah ini ialah mereka mempunyai sifat tidak suka meminta – minta walaupun hidup dalam keadaan miskin dan serba kekurangan. 

Juga harus diingatkan, pada zaman sekarang, walaupun wang dan harta bukanlah segala-galanya namun, segala-galanya memerlukan wang. 
Bukankah kita juga tahu, setelah matinya seseorang anak adam, semuanya telah terputus darinya kecuali tiga perkara iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah dan amal jariah dan anak-anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapanya. 

Sedarlah, dunia sekarang memerlukan wang untuk mendapatkan ilmu. Tanpa wang, ilmu juga tiada. Dan bagaimana pula boleh kita melakukan amal jariah andai kita pun perlukan bantuan dari orang lain? Seterusnya, bagaimana mungkin lahirnya anak-anak yang soleh andainya kita tiada persiapan yang rapi, tidak menyediakan kemudahan dan keperluan untuknya membesar, tidak memberinya didikan yang secukup? Tiada yang mustahil dengan izin Allah, tapi logiknya. Ternyata ia suatu yang amat sukar.

Oleh itu, sahabat yang dirahmati Allah. Ayuh kita berusaha. Bersungguh-sungguh untuk tidak menjadi miskin. Bukankah tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima? Di dalam Al-Quran juga telah menegaskan berkali-kali, betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah. Mari kita contohi Saidatina Khadijah yang dermawan, Abu Bakar, Uthman mahupun Abdrurahman Bin Auf. Moga harta kita membawa kita ke syurga, sebagaimana firman Allah swt.
"Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dengan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." [Al-Qasas : Ayat 76]
 Benarlah firman Allah swt.
 
 



2 comments:

Unknown said...

Saya setuju!Jika diberi pilihan utk memilih, mengapa perlu dipilih miskin sebagai dambaan hati. Selagi iman adalah matlamat hidup kekayaan tidak akan memakan diri.Insyaallah .

Unknown said...

Saya setuju!Jika diberi pilihan utk memilih, mengapa perlu dipilih miskin sebagai dambaan hati. Selagi iman adalah matlamat hidup kekayaan tidak akan memakan diri.Insyaallah .