+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Wednesday, November 30, 2011

Cuma Mentimun



"Kau pembohong!"

Zass. Kata-kata itu bagai panah tajam, menikam tepat ke jantungku. Aku terkesima. Sedetik, aku ingin segera bangkit mempertahankan diri. Dua detik kemudiannya, aku diam membungkam. Bukan aku tidak kenal dia. Aku tahu dia bagaimana. Tanpa sebab musabab, tanpa alasan yang kukuh, dia tidak akan sengaja menyakiti. Bukankah aku dan dia, satu.

Aku tunduk membisu. Menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembuskannya perlahan.

"Jadi, aku pada pandangan kau, seorang pembohong?" Aku menjawab soalannya dengan soalan.

"Ya." Dia angguk.

Ah. Kenapakah dia perlu terlalu jujur? Sedangkan dia tahu, bukan itu jawapan yang ingin aku dengar. Aku memejam mataku rapat. Kalaulah aku tak perlu membuka mataku selamanya, alangkah bagusnya.. Otak sentengku mula berkira-kira.

Escapisme! Ya. Aku ingin jadi begitu. Tapi sungguh, aku tak mungkin mampu melakukannya. Aku cuma manusia biasa yang tiada apa-apa kuasa luar biasa. Makan harus disuap dengan tangan sendiri. Berkumuh juga perlu menyucikannya dengan tangan sendiri. Seperti manusia normal yang lain.

"Tapi, kau tak semestinya betul. Aku bukan pembohong. Aku bukan penipu. Aku cuma menyembunyikan kebenaran, aku cuma tidak memberitahu perkara yang sebenar." Aku cuba mempertahankan diri sendiri. Sekadar menegakkan benang yang basah.

"Itu kata kau. Apa pula kata orang yang melihat tindak tanduk kau?" Dia membidas tepat ke sasaran. Aku tertusuk sekali lagi.

"Mereka boleh kata apa yang mereka mahu. Asalkan aku tahu apa yang aku lakukan, asalkan aku tidak membuat perkara yang salah, biarlah aku begini saja." Ujarku lemah tidak bertenaga. Mana saraf yang membawa energi menghilang membawa diri, aku tidak tahu.

Itu bukan kemahuanku, tapi aku juga tiada pilihan. Bukan mereka yang menanggung segala beban, tapi aku. Maka biarlah aku sendirian memikul segala yang tersandang di bahu. Biarpun aku tidak tahu berapa Newton yang sedang aku galas, tapi aku percaya, Allah beri dugaan kepada hambaNya yang mampu - maka - aku juga mampu.

"Kau hidup bermasyarakat. Tak boleh bersikap begini. Kalau kau hidup di hutan, lainlah. Kau seolah-olah mengundang fitnah, kemudian duduk berpeluk tubuh bagai tiada apa yang berlaku, perbuatan ini salah! Kau salah!" Tajam kata-katanya bagai belati menyiat-nyiat hatiku sehingga robek.

Aduh. Tidak berdarah, tapi sakitnya, hanya aku yang tahu. Dan Tuhan. Dan dia.

"Apa lagi yang boleh aku lakukan? Aku tidak berdaya. Tidak semua yang berlaku, di dalam kawalan aku. Aku ini lemah. Cuma mentimun. Digolek aku luka, menggolek juga aku yang luka. Jadi, biarkan saja aku begini.." Suaraku seakan-akan tidak mahu keluar. Tersekat-sekat.

"Kau menyiksa diri kau sendiri.. " Suaranya kian kendur. Tidak lagi tegang seperti sebelumnya, barangkali terbit rasa simpati, secebis rasa simpati buatku.

"Aku merancang, aku berharap. Tapi apa yang aku harapkan, apa yang aku rancang tidak semua jadi kenyataan. Bukan aku pinta jadi begini, tapi aku terima segalanya sebagai takdir terindah buatku. Bukan niat aku tidak berterus terang, tapi aku tidak pasti, apakah dengan berterus terang, keadaan akan bertambah baik atau sebaliknya? Mungkin lebih parah. Sekarang mungkin bukan masa yang tepat untuk mereka tahu apa yang aku dan kau tahu. Biarlah. Biarkan mereka berteka-teki. Dan biarlah juga aku pikul segala beban ini sendiri. Aku yang pilih jalan ini, aku harus kuat." Tuturku dari lubuk hati yang paling dalam.

Dia diam. Masih lagi diam. Aku mengerti, benaknya masih lagi bersarang seribu satu soalan. Aku juga begitu. Tapi aku percaya, Allah ada jawapannya. Aku harus tanya Dia.

1 comment:

LadyBird said...

hanya kita yg tahu kenapa kita rahsiakan..
mungkin pengalaman lepas mengajar kita sesuatu drnya..
dan ia memberi kita suatu pengajaran untuk lebih berhati2..
kadang2 berterus terang itu baik.. dan kadang2 diam itu jauh lebih baik.. ikut kata hati berlandaskan keimanan kak.. :D.. cayok3x..