+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Monday, November 14, 2011

Anak Juga Ujian


Tiada siapa yang dapat melihat masa depan. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita pada esok hari. Kita hari ini mungkin ulat yang hodoh. Kita hari ini mungkin awan yang gelap. Tapi mungkin esok kita adalah rama-rama yang indah. Mungkin juga esok, mentari kembali menyinari alam.

Lain orang, lain ujiannya. Lain orang, lain pula kisah perjalanan hidupnya. Watak-watak sampingan yang berlainan, skrip kehidupan yang berbeza. Tiada bumi yang tidak pernah ditimpa hujan, tiada pipi yang tidak pernah dibasahi dengan airmata. 

Hidup ini, hanyalah sebuah kembara, destinasinya hanya satu, samada syurga atau neraka. Tiada selain itu. Hanya syurga atau neraka.

Andai sengsara di dunia, berbahagialah kerana sengsara itu akan berakhir jua apabila nyawa meninggalkan jasad. Andai gembira di dunia, beringatlah kerana kegembiraan itu juga mungkin akan berakhir bilamana kita kembali ke alam barzakh. 


Apalah sangat dunia ini, bukankah berulang kali Allah berfirman dan mengingatkan kita hambaNya bahawa kehidupan di akhirat jauh lebih baik daripada kehidupan di dunia. Antaranya, dalam surah Al-Ankabut ayat yang ke-64..

"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)."

Dan surah An-An'am ayat yang ke-32;


“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"



Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memiliki hari pembalasan. Hanya kepada Engkau kami berserah diri dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus...

Sempena bulan Zulhijjah, bulan 'kemuncak' kaum muslimin menunaikan ibadat Haji dan juga melaksanakan ibadat korban, suka saya mengingatkan diri ini tentang pengorbanan Nabi Allah Ibrahim anaknya Ismail a.s dan isterinya Siti Hajar.

Mereka telah menjadi contoh teladan yang baik, bukti betapa kecintaan kepada Allah swt telah mengatasi segala cinta yang ada di dunia ini. Betapa seorang hamba yang sedar dirinya bertuan, rela berkorban apa saja demi memenuhi perintah dari Tuannya. Biarpun jasad dan nyawa jadi taruhan.

Katakanlah, "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNYA dan dari berjihad di jalan NYA, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan NYA." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (QS At-Taubah: 24)

Mari kita muhasabah serta koreksi diri, siapakah yang sebenarnya kita cintai?? Apakah bukti kita mencintai Allah? Adakah memadai hanya sekadar ucapan dengan bibir dan lidah?? Jadi mengapa kita hidup tidak keruan, bilamana kita tidak punyai anak sebagaimana orang lain yang memilikinya? Mengapa harus kita bersedih dan menghukum diri semata-mata kerana kita belum bergelar ibu atau ayah? Dan mengapa pula kita tergamak menyalahkan takdir apabila kehidupan bekeluarga yang kita impi-impikan belum menjadi realiti??

Insaflah. Kita merancang, tapi Allah juga merancang. Allah memberi ujian dan dugaan kepada hambaNya setimpal dengan kemampuan mereka. Barangkali sesuatu keburukan pada mata kita hari ini, sebenarnya itulah yang terbaik buat kita, hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya.


Allah berfirman lagi dalam Surah At-Taghabun, ayat yang ke-15;

“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cobaan (bagimu): di sisi Allah-lah pahala yang besar.”

Allah berfirman lagi salam surah Al-Kahfri, ayat yang ke-46;

“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabbmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.” 

Ada orang sedang bersedih kerana belum dilamar, belum dinikahi apatah lagi bergelar ibu atau ayah. Tak kurangnya, ada orang yang punya suami dan anak, namun bersedih kerana dilukai oleh suami yang dinikahi yang dicintai sepenuh jiwa dan raga. Mereka juga tidak bahagia! Jadi, sebenarnya bahagia itu milik siapa? Milik orang bujangkah atau milik orang yang sudah berumahtangga? Renung-renungkan..

Dan ingat. Setiap orang, ada ujian mereka yang tersendiri. Tidak kira apa pangkat dan status, kaya atau miskin, bujang atau sudah berumah tangga. Kita bukan satu-satunya manusia yang sedang diuji. Kita menangis, orang lain juga menangis. Kita sengsara, orang lain mungkin lebih sengsara daripada kita. Maka, bersyukurlah selalu. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap rahmat Allah.

Biar pedih, biar perit, jangan sesekali sesali apa yang telah terjadi, kerana ingatlah bahawa segalanya datang dari Allah swt. Allah tidak ciptakan sesuatu untuk sia-sia. Dia lebih mengetahui atas segalanya dan Dia Maha Bijaksana.


"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (At-Taghaabun 64:11

Bahagia yang dicari-cari mungkin telah ada dalam diri kita, terserah kepada kita bagaimana untuk menikmati erti sebuah kebahagiaan. Dan belajarlah untuk selalu mensyukuri segala pemberian dan anugerah dari Allah swt. Biar susah, ataupun senang.

Kenanglah Siti Hajar, yang merelakan dirinya yang sedang sarat mengandung ditinggalkan sendirian oleh si suami di tengah padang pasir yang kering dan kontang. Bukankah dia sengsara saat melahirkan anak sendirian tanpa suami tanpa bidan? Bukankah dia terseksa saat si anak menangis meminta air, dia berlari berulang alik dari Safa dan Marwah demi si anak? 

Tapi lihatlah akhirnya, si suami yang meninggalkan akhirnya kembali. Si anak yang kecil lagi lemah akhirnya membesar menjadi anak yang taat dan berbakti kepada orang tuanya.

Kenangilah jua Nabi Zakaria yang tua dan isterinya yang mandul, akhirnya dikurniakan Yahya anak   yang soleh.

Waduh. Pahit akan manis jua akhirnya. Ulat yang hodoh akhirnya menjadi rama-rama yang indah.

Innamaal usri yusra.. =)



Sesudah kesulitan, ada kesenangan. InsyaAllah..

No comments: