+ Dengan nama Allah +

Dan orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami nafkahkan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan, serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik.
Surah Ar-Rad : Ayat-22

Friday, November 18, 2011

Si Bulat yang Sumbing

Si Bulat Yang Keliru!


Si Bulat, itulah gelaran diberi. Rupanya bulat, indah dan sempurna, bagai tiada cacat dan cela. Setiap hari, Si Bulat menatap cermin seraya memuji-muji keindahan dirinya sendiri. Si Bulat juga bangga dengan apa yang dia miliki. Dia sering menjadi yang terbaik. Dalam apa jua pertandingan, Si Bulat sentiasa menjadi juara menambahkan lagi sikap angkuh dalam dirinya.

Si Bulat merasakan dirinya begitu sempurna dan sukar menerima ketidaksempurnaan. Si Bulat tidak suka mendengar alasan, baginya, alasan cuma rekaan yang tidak berasas. Si Bulat sering membuat hipotesis dan sering juga menolak kenyataan yang di luar ruang lingkup logic akalnya. Si Bulat  sentiasa berjaya dengan cemerlang maka baginya, kegagalan adalah sesuatu yang  hodoh, jijik dan sungguh tidak masuk akal.

Si Bulat yang sempurna memang begitu.

Pada suatu hari, Si Bulat mengembara bagi meneruskan lagi kelangsungan hidupnya. Akhirnya dia tiba di suatu daerah yang sangat asing bagi dirinya. Terlalu yakin dengan kebolehan yang ada pada dirinya, Si Bulat terus berlari laju tanpa sempat merancang dengan teliti. Tidak sempat memikirkan musibah yang bakal menanti di hadapan. Dia tergesa-gesa.

Si Bulat terus berlari laju dengan penuh keasyikan. Dia mengimpikan bulan dan bintang jatuh ke riba. Dia mengimpikan segunung emas selautan berlian. Dia mengimpikan kejayaan yang lebih gemilang, jauh lebih gemilang.

Namun. Takdir Tuhan menentu segalanya. Sedang Si Bulat asyik berlari, di hadapannya menanti sebuah lubang yang sangat dalam. Si Bulat lansung tidak menjangkakan kewujudan lubang itu, maka dia tidak bersedia untuk terus berhenti. Tidak bersedia untuk melompat lebih tinggi. Tidak bersedia untuk mengelak.

Akibat had laju yang tinggi, jumlah momentum yang besar, akhirnya Si Bulat terjatuh ke dalam lubang yang sangat dalam, gelap dan sempit itu.

“Aduh! Tempat apakah ini? Aku Si Bulat yang hebat! Aku sempurna! Mustahil aku boleh jatuh ke tempat yang serendah ini. Mustahil aku akan gagal! Semua ini mustahil. Aku yang terbaik. Sentiasa cemerlang. Tak mungkin aku gagal! Tak mungkin, mengarut! Tempat aku bukan di sini!” Rungut Si Bulat, sukar menerima kenyataan yang kini sedang menimpa dirinya.

Tiada siapa yang mendengar.

Malang nasib Si Bulat. Bukan sahaja jatuh ke tempat yang paling rendah, tubuhnya yang bulat sempurna, yang dia agung-agungkan juga kini telah cedera, telah sumbing. Dia tidak lagi sempurna. Dia kini sudah cacat. Hakikat ini terlalu berat bagi Si Bulat. Lama dia jatuh terduduk, meratapi dan menangisi nasib diri. Lemah dan tiada kudrat untuk bangkit dari lubang yang dalam.

Oh Si Bulat yang sumbing, kasihan kamu.

Si Bulat masih lagi menangis dan meratap mengenang nasib dirinya yang malang. Lubang yang dalam dan gelap itu akhirnya benar-benar telah memusnahkan sikapnya yang angkuh dan menyombong diri selama ini. Si Bulat mula sedar siapa dirinya, merasa hina dan rendah diri.

Si Bulat insaf.

Sedang dia berduka, tiba-tiba segaris cahaya mentari menyusur masuk menyentuh kulitnya. Si Bulat yang kedinginan mula terasa kehangatan. Si Bulat yang kegelapan, mula mendapat cahaya. Hatinya sedikit terubat. Hadir rasa ingin bangkit semula, keluar dari lubang yang gelap dan sempit itu.

Berbekalkan cahaya yang sedikit, Si Bulat cuba bangkit berdiri, mula mencari jalan untuk keluar dari situ. Sudah lama dia hidup di dalam lubang yang memisahkan dirinya dengan dunia luar. Sudah lama dia tidak berlari bebas ke mana saja mahunya. Dia ingin keluar dari lubang yang sempit itu. Dia berusaha sekadar termampu namun usahanya belum membuahkan hasil.

Hatinya rapuh, lalu mula berbisik sayu..

'Duhai Siapa yang Menjatuhkan aku, bantulah aku untuk bangkit semula. Duhai Siapa yang Memberi Cahaya, kurniakanlah aku pelita, terangilah aku. Duhai Siapa yang Mencipta aku bulat, kemudian menjadikan aku sumbing berikanlah aku kekuatan agar aku tabah dan terima segala ketentuanMu dengan redha. Duhai Siapa yang Berkuasa atas segalanya, hanya padaMu aku berserah dan memohon pertolongan. Berikanlah aku petunjuk... '

Rupa-rupanya, bisikan dan rintihannya didengari...

Bagai mendapat kekuatan baru, Si Bulat akhirnya berjaya keluar dari lubang itu. Dia kini kembali berpijak ke bumi yang nyata. Menghirup udara yang nyaman. Dia bersyukur semahu-mahunya. Kini dia sedar, kalau pun dia hebat, ada lagi yang lebih hebat darinya. Kalau pun dia indah, ada lagi yang lebih indah darinya.

Kini dia sumbing, tidak lagi bulat penuh seperti dulu. Kalau dulu dia berlari laju tanpa sempat menikmati keindahan alam, namun kini dia sumbing dan tidak dapat berlari laju. Kini dia berlari perlahan, sempat mencium haruman bunga yang kembang mekar. Sempat juga berhenti seketika berbual dan bertanya khabar keadaan sahabat sekelilingnya. Kalau dulu dia bulat penuh, indah dan sempurna. Dia angkuh dan sukar menerima ketidaksempurnaan, kini dia sumbing dan sedar, tiada siapa yang sempurna melainkan Sang Pencipta.

Oh! Rupanya, lubang yang dalam dan sempit itu telah berjaya menyentuh hati kecilnya, mengubah Si Bulat menjadi Si Bulat yang tahu untuk bersyukur. Lubang yang dalam dan gelap itu telah berjaya melunakkan hati Si Bulat agar tidak mudah lupa diri dan bongkak. Lubang yang dalam dan dingin itu telah berjaya mengingatkan Si Bulat kepada Sang Pencipta yang mencipta setiap sesuatu bukan untuk sia-sia.

Si Bulat bersyukur. Rupa-rupanya perasaan menjadi Si Bulat yang baru, Si Bulat yang sumbing dan tidak sempurna jauh lebih aman.. Si Bulat yang menerima kegagalan dengan redha. Si Bulat yang menerima kekurangan dengan penuh kesyukuran. Si Bulat yang lebih berhati-hati dalam membuat keputusan dan tindakan. Si Bulat yang tidak melulu dan berfikir sebelum bertindak. Si Bulat kini lebih baik dari sebelumnya. Si Bulat ini lebih tenang, lebih membahagiakan...

************************************

Si Bulat itu mungkin saya, mungkin juga anda.

Kita manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita manusia biasa bukanlah maksum dan bukan juga sempurna. Andai kita bijak, janganlah memperlekehkan orang yang kurang bijak daripada kita. Andai kita kacak bergaya, jangan pula kita memandang hina kepada orang yang kurang kacak daripada kita. Andai kita kaya, ingatlah ada lagi yang lebih kaya. Andai kita berjaya, ingatlah ada lagi orang lain yang lebih berjaya.

Hidup ini ibarat roda. Sekejap di atas, sekejap di bawah. Ketika berada di atas, janganlah angkuh dan bongkak kerana bila-bila masa sahaja, andai Allah inginkan kita jatuh ke bawah, kita pasti akan berada di bawah. 

Hidup ini terlalu singkat. Mati menanti tidak kira di mana kita berada. Andai tiba saat itu, tidak cepat atau lambat walau sedetik, malaikat maut akan segera mencabut nyawa kita dari jasad. Oleh itu, do the right-est thing. Kalau terjatuh, cepat-cepatlah bangkit, jangan berlengah. Kalau tersesat, cepat-cepatlah cari jalan keluar. Kalau gagal, cepat-cepatlah berusaha untuk mencipta kejayaan. Mohonlah pertolongan dari Allah. Moga Allah selalu melindungi.

Di alam dunia inilah, satu-satunya alam di mana kita diberi 'kebebasan' untuk memilih. Kebebasan untuk ke kanan atau ke kiri. Membuat dosa atau pahala. Mengumpul bekal menuju alam barzakh dan alam akhirat. Jadi, pilihlah yang terbaik agar kelak, destinasi kita yang terakhir adalah syurga.

Syukurilah segala yang kita miliki pada hari ini, kerana esok belum tentu ia milik kita, belum tentu kita masih hidup. Biarpun kita tidak sempurna, ingatlah bahawa yang dilihat Allah adalah iman dan takwa. Biar cacat rupa, asalkan sempurna iman.

Segala yang baik datangnya dari Allah, ampun maaf atas segala yang buruk. Wassalam.

3 comments:

amataresu said...

terima kasih pada-Nya yang mengetuk pintu hati & memberi peringatan di saat kita diulit kealpaan dunia...

Muhammad Naim Abdullah said...

SALAM

lama xsinggah di blog akak..

;D

AsNiza said...

:: amataresu..

betul tu, hidayah kan milik Allah.. thanks to Him :)


:: naim

wslm wbt..

lama betul akak tak online. byk yg tk mampu akak buat, dan byk juga yg terabai.. shame on me :(