Bismillahirrahmanirrahim..
Sedikit catitan untuk hari ini, agar saya tidak lupa. Saya gembira andai coretan kali ini dapat dimanfaatkan oleh kita semua, insyaAllah..
Pertama
Sebagai hamba Allah, kita mestilah taat kepada Allah. Oleh yang demikian, kita juga mesti taat kepada Rasul kerana Baginda menyampaikan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah swt. Jadi, seorang isteri juga mesti taat kepada suami, kerana Rasulullah saw menyuruh setiap isteri taat kepada suaminya. (Selagi tidak bercanggah dengan perintah Allah dan rasul)
Kedua
Selalu berbuat baik kepada semua makhluk. Perbuatan baik, walaupun sekadar niat, akan dicatit sebagai ganjaran pahala, apatah lagi bila kita melakukannya, ganjarannya jauh lebih besar. Tapi, amalan jahat, selagi kita tidak benar-benar melaksanakannya, ia tidak akan dicatit dalam buku amalan di bahu kiri. Perbuatan yang baik juga akan dibalas jauh lebih baik oleh Allah swt tapi perbuatan jahat, hanya dibalas setimpal dengan apa yang kita lakukan. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Ketiga
Satukan rohani dengan jasmani, dunia dan akhirat. Dalam mengejar kehidupan di dunia, jangan dilupakan kehidupan di akhirat. Dalam melakukan apa jua pekerjaan di dunia ini, ingat Allah Maha Melihat. Setiap amalan dan perbuatan akan dicatit dan akan dinilaikan diakhirat kelak. Jangan pisah-pisahkan agama dalam kehidupan. Semua perbuatan yang diniatkan kerana Allah, akan dihitung sebagai ibadah kepadaNya.
Keempat
Setiap perbuatan, amalan yang dilakukan, semuanya ada hukumnya masing-masing. Kita hidup mesti berlandaskan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Tidak kira apa jua yang kita kerjakan. Sebagai hamba Allah yang taat, kita tidak boleh melanggar hukum yang telah digariskan dalam Islam. Kalau bumi dan planet bergerak dalam orbit masing-masing, bencana akan menimpa jika planet-planet tersebut terkeluar dari orbit. Begitu juga manusia, 'musibah' akan melanda sekiranya manusia tidak mengikut hukum-hukum yang telah digariskan oleh Allah swt.
Kalau makanan pula, semuanya diandaikan halal, selagi Islam tidak menggariskannya haram. Contoh makanan yang tidak dihalalkan dalam Islam adalah binatang-binatang yang jelas disebut dalam Al-Quran seperti babi dan sewaktu dengannya. (Sila rujuk Al-Quran, 5:3) Oleh itu, jangan menyusahkan yang mudah. Islam bukanlah agama yang menyusahkan ummatnya, malah Allah juga berfirman, dalam Surah An-Nisa, ayat yang ke-28;
"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."
Sekian sedikit perkongsian untuk kali ini. Mohon maaf andai ada yang kurang. InsyaAllah, jika mendapat maklumat tambahan, saya berbesar hati untuk kongsikan dengan kalian. Sekali lagi ampun maaf. Juga. Terima kasih sudi singgah ke teratak buruk hamba. =)
Wassalam.
1 comment:
salam Akak asniza.
terima kasih.. :D
Post a Comment